Isnin, 22 November 2010

Bicara Tentang Korban..

"Dan bagi setiap umat telah kami syariatkan penyembelihan (kurban), agar mereka menyebut nama Allah atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. Maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepadaNya. Dan sampaikanlah (Muhammad) khabar gembira kepada orang-orang yang tuduk patuh (kepada Allah)" Al-Hajj:34
    Zulhijjah menjelma lagi. Umat Islam dilihat sejak sebelum ketibaan Zulhijjah, telah membuat pelbagai persediaan. Bagi yang berada di Tanah Suci Mekah, pastinya sedang berbahagia dan bergembira kerana berpeluang menjadi tetamu Allah. Bagi yang berada di tanah air, lumrahnya persiapan dibuat tidak semeriah sambutan Aidilfitri. Bagi yang hendak melaksanakan korban, pastinya penternak haiwan-haiwan korban telahpun dikunjungi. Di Mesir juga, sejak beberapa minggu yang lalu, jalan-jalan raya telah mula dihuni oleh pengunjung baru; biri-biri. Kenapa tiba-tiba, biri-biri dalam bilangan yang banyak boleh berada di atas jalan raya? Persoalan pertama menerpa benakku yang baru beberapa bulan bermukim di sini. "Untuk dijual, kan Aidiladha dah dekat.. Nak buat korban lah tu.." Jelas seorang ukhti. "Ooh.." Baru faham..
    Ada apa dengan KORBAN? Cukupkah sekadar menumbangkan lembu, kambing dan kerbau bermula selepas solat sunat Aidiladha hingga tamat hari Tasyrik? Atau sekadar membayangkan hidangan lauk pauk hasil korban yang pastinya menggamit selera? Emm...
    Sejak dahulu, umat Islam sering dikisahkan tentang korban. Bermula dari zaman Nabi Adam Alaihissalam hinggalah ke hari ini, masyarakat tidak henti-henti dihadapkan dengan kisah korban yang pelbagai. Namun, persoalannya, adakah masyarakat hari ini mampu menghayati istilah 'KORBAN' itu dalam konteks yang sebenarnya? Atau adakah masyarakat hari ini memandang  'KORBAN' itu melalui kacamata 'Hari Raya Aidiladha' semata-mata?
    Bermulanya sejarah korban ini pada zaman Nabi Adam Alaihissalam, ketika mana Habil dan Qabil diminta untuk mempersembahkan hasil tani mereka kepada Allah sebagai korban. Umum mengetahui bahawa kedua-dua mereka mempersembahkan hasil tani dalam bentuk yang sangat berbeza. Habil memilih hasil tuaian gandum miliknya yang subur dan terbaik manakala Qabil pula memilih kambing biri-biri yang kurus dan jelik. Ketika mana korban mereka diletakkan di puncak bukit, akhirnya korban Habil yang dipilih, lantaran keikhlasan dan ketulusan hatinya dalam mempersembahkan korbannya semata-mata kerana Allah Taala. Timbul amarah dalam atma Qabil dan ketika Habil dijodohkan dengan Iqlima, dendam yang berbuku makin menebal dan akhirnya Habil menjadi 'KORBAN' hasad dengki yang pertama sejak kewujudan manusia di muka bumi.
    Kemudian, kisah 'KORBAN' teragung yang terjadi setelah nabi Ibrahim Alaihissalam didatangi mimpi yang menyatakan perintah Allah untuk menyembelih putera baginda yang tercinta, Nabi Ismail Alaihissalam. Kisah 'KORBAN' ini menjadi satu simbol keagungan Islam hingga ke hari ini, betapa cinta pada Allah itu mengatasi cinta pada yang lainnya, hatta putera yang diharapkan menjadi penyambung zuriat dan penerus jihad dalam memperjuangkan dienul-Islam yang tercinta. Dengan penuh redha dan tawakkal, sang ayah mengkhabarkan berita itu kepada sang anak. Syukur, berkat yakin akan janji Allah, sang anak terus menyanggupi perintah besar itu. Namun, sungguh Nabi Ibrahim tidak menyangka, jasad sang anak yang hampir-hampir disinggahi pedang tajam miliknya, secepat kilat ditarik dan digantikan Allah dengan seekor kibas. Subhanallah.. Akhirnya, peristiwa bersejarah inilah yang kita nantikan pada tiap-tiap tahun untuk diperingati, untuk disyukuri dan untuk diambil iktibar darinya.
    Bukan itu sahaja, pengorbanan Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar Islam juga menjadi intipati perjuangan Ummah pada hari ini. Betapa kekasih Allah ini sanggup berkorban segalanya, termasuklah keselesaan hidup yang dijanjikan para pemerintah masyarakat jahiliah semata-mata untuk melaksanakan amanah sebagai pemimpin Ummah akhir zaman. Tiada ratapan pilu mengenangkan keadaan hidup yang serba kekurangan, apatah lagi tangisan hiba menyesali kehilangan demi kehilangan. Rasulullah, sebagai Uswatul Hasanah benar-benar mengajar kita erti 'PENGORBANAN' sebenar.
    Begitu juga pengorbanan para sahabat dalam menjulang keagungan Islam tanpa pernah menoleh ke belakang. Bagi mereka, biar terKORBAN jiwa dan raga, harta dan keluarga, asalkan jangan Islam jadi taruhan. Biar syahid dalam ghuzwah memerangi jahiliah, jangan 'mati' dalam alunan irama dunia yang melalaikan. Biar mereka berlapar, yang penting kekufuran dapat ditentang. Tidak lupa juga srikandi-srikandi terdahulu yang terlakar kisah PENGORBANAN mereka dalam lipatan sejarah. Betapa luhurnya hati Fatimah memberikan kalung mutiara miliknya kepada seorang pengemis semata-mata kerana mengharap redha Allah. Sungguh tegarnya jiwa Asma' binti Abu Bakar yang sanggup meredah kedinginan sahrawi, dalam tusukan bahaya yang pasti menubir pada bila-bila masa, demi menghantar sedikit makanan buat sang ayahanda dan KekasihNya. Tidak ternilai juga pengorbanan Sumayyah yang rela mati asalkan tidak menggadai akidah luhur yang tersemat di sanubarinya.
    Namun, sedar tidak sedar, adakah pengorbanan mereka yang disebutkan di atas benar-benar menjadi modal perjuangan Ummah hari ini untuk terus bekorban demi agama? Dalam kegentingan dunia yang menyaksikan betapa teganya Ummah hari ini menjual agama sendiri demi sesuap nasi, sedangkan Rasulullah pada saat-saat kewafatan Baginda masih menyebut Ummati..Ummati..Ummatiii, adakah wajar jikalau kita hanya memandang kisah PENGORBANAN mereka semua cuma sebagai satu sejarah? Atau masihkah kita sanggup memandang kososng terhadap fenomena muda-mudi kita yang sanggup MENGORBANKAN maruah dan harga diri demi cinta dunia sedangkan di zaman sahabat para remaja berkorban demi syahid di medan ma'rakah?
    Usah ditanya lagi kerana itulah realitinya. Penghayatan korban itu bukan pada menumbangkan kambing, lembu, unta dan sebagainya, tapi pada sejauh mana ibadah korban itu mempengaruhi cara hidup kita, ibadah kita, taqwa kita dan paling penting, iman kita. Bukan juga untuk berlumba korban siapa paling besar, paling mahal atau paling banyak tetapi adakah korban kita itu diterima Allah? Ikhlaskah korban yang kita lakukan? Atau sekadar untuk menunjuk-nunjuk semata-mata? Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj, ayat 37,    
"Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya adalah ketaqwaan kamu..."

Salam Aidiladha 1431 hijriah.                                                                                                                     Wallahu Taala A'lam. Wassalam..

Rabu, 10 November 2010

Akhirnya..

Dalam syahdu rindu,
Meratib langkah demi langkah,
Bernyanyi satu nama,
Merdu lagi indah,
Gemersik menyeru atma,
"Kemarilah..ini impianmu..'

Dalam sendu lagu,
Memenjara denyut sukma,
Meneriak satu kisah,
Meracik kagum dan pesona,
Memanggilku mendekat,
"Kemarilah, di sini cintamu.."

Dalam syair keliru,
Merobek kalbu dalam tangis,
Menari satu wajah,
Lautan sahrawi nan berdebu,
Dalam dataran cetera anbiya,
Seolah menanti aku.

Saat ku berpijak,
Setelah ku rentas sempadan benua,
Setelah ku seberangi beza waktu,
Sungguh,
Nyanyian syair yang menari,
Ada di hadapanku kini,
Mendepa dakapan alfu mi'zanah,
Menagih tiris mutiara suci,
Menyambut ku tiba.

Kaherah,
bertahun kau menjadi kalam mimpiku,
Coretan di ambang lena,
Catatan di senggang waktu,
Raikan aku dengan cintamu, Kaherah!
Biarkan aku bertamu,
Mengabdi kasih di dataranmu,
Ardhil Kinanah,
Impianku..

Baru bertatih, masih cuba untuk melangkah..

Sekelumit cuma perkongsian, buat ikhwah dan akhawat yang masih dan sedang mencari diri..
Harapnya jangan dipandang pada yang berbicara, tapi nilailah pada yang dinukilkan..
Diri ini baru bertatih, dan masih cuba untuk melangkah. Kiranya diri ini tersimpang, tersalah jalan atau terjatuh, moga ada yang sudi memperbetulkan tingkah diri yang dhaif ini.
Moga kita terus tsabat dalam mencari redhaNya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...