Isnin, 17 Januari 2011

BiLa MaTa BeRbIcArA, hAtI TuRuT mErAsA..

    MATA... Satu nikmat pancaindera kurniaan ALLAH yang sungguh tidak terduga. Dengannya insan bisa melihat dunia, meneropong angkasa, mengkaji fakta...

    Bila mata berbicara?? Pernahkah mata berbicara? Pernahkah mata mengambil peran lidah untuk berkata-kata? Ironinya tentulah tidak. Mustahil sekali untuk mata itu mengungkapkan kalimah. Namun hakikatnya mata juga mampu berbicara. Melalui mata kekadang terungkap segala monolog di jiwa.. Mata juga bisa bermain bahasa..

    Aduhai...nikmat mata yang diberikan Maha Pencipta, melengkapkan kejadian manusia yang serba sempurna. Meski ada insan yang tidak mampu melihat, namun pada wajahnya tetap terletak sepasang mata, walaupun nikmat melihat itu cuma dalam anganan semata. Tetapi pada hakikatnya, 'kebutaan' itu pasti berhikmah. Cuma antara si 'buta' itu sedar atau tidak, betapa 'buta' itu adakalanya membahagiakan..

    Buta bahagia?? Hahaha.... Pernyataan yang pasti melucukan sesetengah insan, pasti mengundang dekah tawa, senyum sinis, malah mungkin ada yang beranggapan 'gila orang ini'!!! Namun bila ditenung, setelah direnung, jelasnya ada KENYATAAN yang perlu difahami dan diterima. Bahagianya menjadi si 'buta'.. Mengapa???.......



    Sungguh insan buta mata itu beruntung kerana tidak perlu melihat segala kerosakan dan kehancuran yang melanda dunia. Tidak perlu menyaksikan keadaan ummah yang tenat diserang penyakit akhlak dan akidah yang membarah. Tidak perlu menyaksikan pembohongan dan penipuan yang ada di mana-mana. Tidak perlu menyaksikan penindasan pemimpin terhadap rakyat yang menjadi tanggungjawabnya. Tidak perlu menatap wajah-wajah kasihan yang dirampas hak dan kebahagiaan mereka. Tidak perlu menundukkan pandangan pada singkatnya akal muda-mudi yang gemar menayangkan tubuh tanpa segan silu. Tidak perlu berpura-pura tidak melihat segala kemaksiatan dan ikhtilat yang bermaharajalela. Tidak perlu.....

    Oh...betapa bahagianya si buta....

    Namun...
    Itu bagi mereka yang buta mata.. Bagi yang mampu melihat tapi buta hati???

    Sungguh sengsara manusia yang buta hatinya.. Justeru itu ada yang mengatakan lebih baik ditarik nikmat melihat itu daripada ditarik nikmat hati dan perasaan.. Tatkala si buta mata beruntung kerana tidak perlu menjadi saksi atas segala kepincangan dunia hari ini, betapa pula ruginya si buta hati kerana hatinya tidak mampu merasakan apa-apa terhadap keadaan dunia. Maksiat, ikhtilat, penipuan, peperangan, penindasan..semuanya dipandang hanya dengan mata semata sedang hatinya tidak mampu merasakan apa-apa. Sedih? Kecewa? Marah? Mungkin ada rasa itu tapi akankah timbul tatkala melihat keadaan ummah yang mengecewakan? Akankah terasa hati si buta hati apabila menyaksikan runtuhnya akhlak Islamiah dalam jiwa generasi muda? Akankah pedih jiwa si buta hati apabila melihat paparan ketandusan luhur budi dalam sanubari saudara-saudaranya? Akankah????

    Justeru nikmat mata dan hati itu berkaitan antara satu sama lain. Mampu melihat tetapi tidak mampu merasa, apa gunanya?? Lebih baik sekadar mampu merasa daripada mampu melihat tetapi tidak mahu berbuat apa-apa melainkan sekadar memerhati.

    Oleh itu, mari kita tasyabbuh mata dan hati kita..supaya seimbang kedua-duanya. Biar mata melihat dan hati turut merasa. Jangan lupa, pelihara kedua-duanya dengan sebaiknya kerana mata dan hati itu adalah nikmat Allah yang tidak ternilai harganya.. Pelihara mata itu dengan hanya memandang perkara yang dihalalkan, melihat perkara yang dibenarkan,  merenung sesuatu yang membawa pada ketenangan jiwa... Pelihara hati itu dengan zikir dan mengingati Allah, pelihara juga dengan tidak menyerahkan hati dan perasaan pada yang tidak berhak serta pada ketika yang bukan masanya, nescaya terpelihara hati kita dari kebutaan yang membawa bencana dunia akhirat..

    Jangan sampai kita yang celik dan mampu melangkah gagah, menjadi lebih kasihan daripada si buta yang bertongkat..

    Mari!! Kita pelihara dan syukuri nikmat mata dan hati kita...
 
~BintulQaryah~

Sabtu, 8 Januari 2011

Cerpen : Kerana Kurnia..

    Abdul tergesa-gesa menutup pintu. Dalam hati menyumpah seranah diri yang bangun agak telat hari ini. Membayangkan berapa banyak rezeki yang telah dilepaskan akibat keghairahannya tidur kembali usai solat subuh tadi, Abdul menyusun langkahnya pantas-pantas. Gubuk buruk tempat berteduhnya semakin jauh ditinggalkan. Dia menyusur deretan bangunan sambil memikul tikar buruknya. Dalam kekalutan itu, hampir saja dia dilanggar kereta. "Hoi, butakah?!" Jerkah pemandunya. Abdul tidak menghiraukan. Sambil berjalan, kepalanya didongak ke langit. Mencongak waktu yang telah terlepas lebih kurang sejam. Dalam hatinya membebel, tidak henti-henti.

    Akhirnya, Abdul tiba di destinasinya. Di tepi sebuah tembok besar yang terletak di tepi jalan, berhampiran sebuah warung kecil berpayung merah, dia membentang tikar buruk miliknya. 'Bismillah', Abdul lantas duduk dan memerhati sekeliling. Dari jauh, kelihatan sekumpulan pemuda, berpakaian agak aneh sedang melangkah menuju ke arahnya. Abdul terus menghulurkan tangannya, dengan harapan ada yang sudi memberi. Pemuda-pemuda berpakaian aneh tadi, lebih kurang lima orang kesemuanya hanya memandang sambil berlalu. Abdul kecewa. "Kau lambat hari ini, kenapa? Tadi ramailah orang. Sekarang kuliah sudah mula. Rugi kau hari ini." Sapa peniaga warung yang bernama Kasim. "Aku bangun kesiangan, soalnya aku tidur balik lepas solat tadi." Jawabnya acuh tak acuh. "Siapa ajar kau tidur balik lepas Subuh? Kau dah tau itu menutup pintu rezeki, kau buat juga." Kasim menyalahkan. "Aku tau. Lain kali aku tak buat lagi lah.." Abdul mengomel sendiri, mengundang tawa di bibir Kasim yang sibuk menyusun barang dagangannya.

    Pintu Jamiah di buka. Abdul memandang sambil tersenyum. Membayangkan rezeki yang akan diperolehinya sebentar lagi. Beberapa minit kemudian, kelihatan berpusu-pusu pemuda dan pemudi keluar dari gerbang besar itu. Abdul pun bersiap sedia. Tangannya diregang-regangkan, jarinya ditarik-tarik. Kemudian tangan tua berkematu miliknya dihulur kedepan. Seperti biasa, kata-kata pujian dilontar pada sesiapa yang memberi. Kesempatan ketika pelajar-pelajar jamiah pergi dan balik dari kuliah memang tidak akan dilepaskan. Pendapatan hariannya  memang tidak mencukupi namun itu sekurang-kurangnya mampu menghalangnya daripada kebuluran. Abdul sebolehnya tidak mahu meminta, malah keinginannya untuk bekerja masih lagi membuak-buak. Namun, kudratnya sudah terlalu tua. Langkahnya tidak sepantas dahulu. Usia 60 tahun, sepatutnya dihabiskan dengan beribadah dan keluarga namun, anak-anaknya sendiri sudah tidak mengenalnya. Lebih 5 tahun dia keseorangan dan dalam 5 tahun itulah dia menjadi penanti setia berdekatan jamiah yang masyhur sedunia itu, menadah tangan dan simpati, mengharap meskipun sekeping syiling rubu' baginya mengisi perut yang sering kelaparan.

    "Barakallahu fik.. InsyaAllah..InsyaAllah.." Sambil tersenyum Abdul melontarkan ucapan seperti biasa. Pemuda yang berdiri di hadapannya tersenyum. "InsyaAllah.." Balas pemuda itu. Tampangnya kelihatan baru, tidak pernah Abdul melihatnya. "Kau baru disini? Aku tak pernah melihatmu, pemuda." Abdul bertanya lembut. Pemuda itu terpinga-pinga. Kepalanya digaru-garu. "Baru lagi tu, aku pun tak pernah nampak." Kasim menyampuk. Pemuda tadi hanya tersenyum, sebelum berlalu pergi. "Sekarang bulan berapa dalam kalendar masihi?" Tanya Abdul pada Kasim. "September." Jawab lelaki bertubuh sasa itu. "Oh, patutlah. Baru lah tu." Abdul menganggukkan kepala sambil menghitung syiling dalam koceknya. Mengertilah dia, pemuda tadi tentu masih baru di sini. Seperti biasa, pada bulan September, akan kelihatan wajah-wajah baru di jamiah itu. Pemuda tadi, jika dilihat caranya berpakaian, Abdul mengagak pemuda itu tentu dari Malaysia. Entah di mana letaknya Malaysia itu, Abdul pun tidak tahu. Yang dia tahu, mereka bertubuh sederhana, kulit sawo matang, dan paling Abdul suka, mereka bangsa yang santun. Tidak seperti bangsanya yang kasar dan kurang beradab. Abdul bermonolog sambil tersenyum, syiling dalam koceknya dikira...

                                                                              *****
      "Syukran..syukran.." Seperti biasa, Abdul mengucapkan terima kasih kepada insan-insan yang sudi memberi padanya. "Eh, Abdul. Dah seminggu pemuda yang sama bagi kau sedekah." Tegur Kasim. "Pemuda baru tu kah? Semoga dia berjaya. Kerana adanya orang seperti dia, barulah orang macam aku ni dapat mengisi perut. InsyaAllah dia akan najah, InsyaAllah..." Abdul mengira-ngira syilingnya. Dalam benaknya mengakui, sudah seminggu pemuda Malaysia itu, pada setiap hari akan memberinya syiling. Setiap pagi, apabila melalui kawasan itu untuk ke jamiah, pemuda itu pasti akan menghulurkan syiling padanya. Tidak kira berapa, pasti ada. Abdul kemudian tersenyum. "Eh, Kasim. Pemuda tu pernah singgah di warung kau kan, selalu dia beli apa?" Kasim menggaru kepala. "Selalunya halwa lah. Kadang dia beli dengan harga rubu' ja. Aku perasan, dia ke warung aku ni pun untuk pecahkan duit. Nak bagi pada kau lah." Jawab Kasim sambil melangkah mendekati Abdul. "Baik betul pemuda tu. Bertuah ibu yang melahirkannya. Bukan macam anak-anak aku. Aku yang membesarkan mereka dari kecil, belikan itu ini. Tapi bila aku dah tua, dah tak kuat, seorang pun tak kenal aku lagi. Kalau aku ke rumah mereka, dihalau aku pergi. Cucu-cucu pun tak kenal aku." Rintihnya. Tubir matanya kelihatan basah. "Itu lumrah dunia Abdul. Zaman sekarang ni, anak-anak dah tak macam dulu lagi. Orang tua dah tak dihormati. Aku ni, risau sebenarnya tengok anak-anak aku. Sementara masih kecil ni, tenang jiwa aku. Bila dah dewasa nanti, tak tahulah." Kasim cuba memujuk hati Abdul yang rawan. "Kau didiklah anak kau baik-baik. Ajar supaya kenang jasa orang tua. Jangan jadi macam anak-anak aku." Abdul mengesat air mata. Tikar buruk tempat duduknya ditarik lalu digulung. "Aku balik dulu Kasim." Abdul melangkah laju tanpa menoleh. Kasim sekadar menggeleng kepala. 'Pasti Abdul menangis lagi..' Monolog hatinya.

                                                                              *****

    "Pak cik, mana pergi pakcik yang selalu duduk di sini?" Tanya seorang pemuda pada Kasim. Kasim merenung pemuda itu. Bahasa yang digunakan pemuda berkopiah itu melucukannya. "Anak yang selalu bagi duit pada dia tu kan? Pak cik pun tak tahu, nak. Dah seminggu dia tak datang. Pergi tempat lain agaknya." Jawab Kasim lembut. Pemuda itu mengerutkan dahinya. Kasim mengagak pasti pemuda itu tidak faham. Namun fenomena itu biasa baginya. Sambil tersenyum Kasim menepuk bahu pemuda itu. "Esok-esok dia pasti kembali." Pemuda itu mengangguk perlahan, dengan kerutan di dahi yang masih bersisa. "Siapa nama anak?" Tanya Kasim. "Er.. Mustaqim.." Pemuda itu teragak-agak. "MasyaAllah, nama yang cantik." Puji Kasim. Kemudian sambil tersenyum pemuda itu berlalu.

                                                                               *****

    "Kau pergi mana seminggu menghilang?" Abdul menghamparkan tikar buruknya di tempat biasa. Pertanyaan Kasim tidak dihiraukan. "Kau dengar tak aku tanya ni?" Kasim bertanya lagi dengan suara yang kuat. "Aku ke Rabaah. Dekat masjid." Abdul menjawab acuh tidak acuh. "Pemuda Malaysia tu cari kau." Abdul tersentak. Kasim kemudian direnungnya tajam. "Apa?" Abdul kehairanan. "Pemuda tu cari kau. Dia tanya aku, kau pergi mana." Kasim mengulang kata-katanya. "Habis apa kau cakap?" Abdul melangkah menghampiri Kasim yang sedang menyusun barang. "Aku bagitahu dia kau pergi tempat lain tapi kau pasti akan ke sini semula." Jawab Kasim pula. Abdul terdiam, memikirkan sesuatu. "Nama pemuda tu  Mustaqim." Suara Kasim kedengaran lagi dari balik timbunan kotak. Abdul menggaru-garu kepalanya. "Pemuda tu Mustaqim? Dia manusia atau bukan?" Soalan Abdul mengundang tawa Kasim. " Kau kena sampuk? Memang lah dia manusia." "Ada lagikah manusia yang baik sampai macam itu? Aku yang peminta sedekah ini pun ditanyakan. Hairan betul.." Rungut Abdul. Kasim terus tertawa tanpa menghiraukan Abdul yang kebingungan. "Hairan..hairan.." Rungut Abdul lagi..


     *****

    Mustaqim turun di perhentian bas yang agak lengang itu. Matanya meliar memandang kiri dan kanan seolah-olah cuba mengenal pasti tempat itu. 'Betullah di sini.' Bisik hatinya. Langkah kemudian diteruskan menuju satu tempat yang dahulu bukan asing baginya. Sebuah warung kecil berpayung merah di penjuru sebuah tembok besar di tepi jalan membayangi matanya sejak sekian lama. Sesampainya di sana, gembira hatinya bukan kepalang melihat warung yang sama masih ada dengan orang yang sama.

    "Assalamualaikum..." Mustaqim menyapa lelaki tua yang sedang menulis sesuatu dalam sebuah buku lusuh. "Waalaikumussalam.." Lelaki tua itu memandang dengan hairan. Lama wajah Mustaqim ditenung sambil dahinya berkerut cuba mengingati sesuatu. Kemudian lelaki tua itu menerpa dan tubuh Mustaqim dipeluk erat. "Apa khabar pakcik?" Mustaqim membalas pelukan Kasim. "Alhamdulillah. Anak apa khabar?" Kasim bertanya kembali sambil mengesat air mata. Mustaqim sekadar tersenyum. "Pakcik kenal saya lagi?" Mustaqim bertanya. Kasim lantas tertawa. "Mustahil pakcik tak kenal. 4 tahun anak di sini, tiap-tiap hari singgah di sini, mana boleh pakcik lupa." Kasim menepuk-nepuk bahu Mustaqim. Mustaqim tersenyum. "Dah kerja? Dah kahwin?" Kasim bertanya. Mustaqim mengangguk cepat sambil mengangkat 2 jarinya. Kasim tertawa lagi. "Alhamdulillah, rezeki saya sangat murah, pakcik." Giliran Mustaqim bersuara. Kasim tersenyum lagi. "Allah balas segala kebaikan anak pada Abdul dahulu. Allah memang Maha Adil.." Kasim berbicara sendiri.

    Masakan dia boleh lupa, seorang pemuda yang  selama 4 tahun setiap hari singgah di warungnya untuk menukar duit syiling lalu memberikannya pada pengemis tua yang sering duduk di tepi warung miliknya. Seorang pemuda yang begitu rendah hati, tidak pernah merasa malu untuk duduk di sisi Abdul, berbual dan bergurau senda. Pemuda itulah Mustaqim. Mustaqimlah pemuda itu. Setiap hari, Abdul pengemis tua malang yang disisihkan anak sendiri itu akan mendoakan Mustaqim atas kebaikannya. "Moga Mustaqim najah, mumtaz dunia akhirat." Itulah kata-kata yang sering diucapkan oleh Abdul dahulu. Pernah juga Abdul menggelar Mustaqim sebagai 'kurnia'. Kata Abdul, Mustaqim seorang pemurah yang dikurniakan Allah kepada insan terbuang sepertinya. Kasim masih ingat juga betapa deras air mata Abdul tatkala Mustaqim datang dan mengkhabarkan berita kepulangannya ke Malaysia. Pengajiannya selama 4 tahun telah tamat dan kerinduannya pada desa semakin membuak-buak. Abdul menangis sungguh-sungguh. Bukan kerana tiada lagi orang yang akan menghulurkannya syiling pada setiap hari, tetapi tangisannya adalah kerana doanya makbul. Doa agar Mustaqim berjaya menamatkan pengajian dengan lancar tanpa perlu  mengulang, doa agar Mustaqim berjaya mencapai cita-citanya.. Dan kini setelah 3 tahun kepulangannya, Mustaqim kembali lagi..

    "Pakcik, boleh bawa saya ke tempat Pakcik Abdul?.." Tiba-tiba Mustaqim bersuara. Pandangan matanya penuh mengharap. Kasim tersentak seketika namun akal warasnya kembali menyedarkan. "Baik, sebentar lagi ya. Pakcik tutup kedai dulu." Kasim menjawab lantas bangun dari duduknya. Pintu warung ditutup dan dikunci rapat. Sebentar kemudian, dengan motosikal buruk milik Kasim, mereka menuju ke tempat Abdul. Beberapa minit kemudian, sesampainya di hadapan sebuah 'rumah' kecil, Kasim menghentikan motosikalnya. Mustaqim melompat turun. Kasim lantas membuka pintu rumah kecil itu, menampakkan batu nisan yang berceracak. "Di situ.." Kasim menunjukkan sebuah sudut di penjuru 'rumah' itu. Mustaqim melangkah perlahan dengan wajah sayu sambil tangannya mengeluarkan sesuatu dari kocek kemejanya. Sebentar kemudian, bergema alunan Surah Yassin di perkuburan kecil itu. Kasim yang baru mahu mendekati tiba-tiba disapa seorang wanita tua yang menjaga kawasan itu. "Siapa itu?" Wanita berkerudung hitam itu bertanya hairan. Kasim sambil tersenyum menjawab. "Seorang pemuda yang baik hati, setiap hari tangannya menghulur kepada yang perlu, sambil cuma mengharap balasan secebis doa untuk kejayaannya. Pemuda itu, selepas beberapa tahun kembali ke sini hanya untuk bertemu dengan orang yang selalu mendoakannya.."

* Sekadar nukilan di pinggiran.. Telah lama dibiar terbiar dalam laptop, baru hari ini teringat untuk dikongsikan.. Semoga 'terhibur'!! (^_^) 

~BintulQaryah~

Khamis, 6 Januari 2011

TiAdA yAnG kEkAl AbAdI..

          Pernah pada satu hari di kampus, suasana ceria pada waktu rehat di kelas bertukar wajah tiba-tiba. Seorang teman terduduk di lantai setelah berbual di telefon. Air mata jelas membasahi pipinya.

"Eh, kenapa ni?" Tanya seorang teman. Diri ini sekadar memerhati.

"Tadi ada akak se'syaqqah' telefon, suruh balik sekarang juga."

"Jadi yang kau menangis ni kenapa?"

"Aku tak tau, tiba-tiba rasa risau. Rasa tak sedap hati. Tak apalah, aku balik dulu.."

Keesokan harinya...                                                                                                                                                                                  
"Kelmarin kenapa? Ada masalah kah?"

"Tak tau ke?"

"Tak.."

"Ayah meninggal.."

"Innalillahi wa inna ilaihi roji3un.. ayah sakit apa?"

"Tak sakit apa. Sihat walafiat ja. Manusia, bila sampai ajal tak kira ada penyakit ke atau tiada, tetap akan pergi juga."

     Aku terkedu. Wajah teman itu begitu tenang, matanya memandang ke hadapan. Biar berada jauh di perantauan, jauh dari keluarga tercinta dan tatkala masih cuba menyesuaikan diri dengan duri mehnah di bumi anbiya' ini, dirinya diuji pula dengan pemergian ayahanda tersayang. Peritnya pemergian itu ketika dia tercampak ke benua asing demi sebuah mujahadah. Timbul rasa sayu dalam hati ini, namun pastinya berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul..

"Sabar k.. Allah lebih sayangkan arwah."

"InsyaAllah..syukran. Setakat ini aku masih mampu untuk tabah. Doakan aku, agar redha atas segalanya."

Tanganku digenggam erat. Dingin.
Lantas ku teringat pada firman Allah...

"Apapun kenikmatan yang diberikan kepadamu, maka itu adalah kesenangan hidup di dunia. Sedangkan apa (kenikmatan) yang ada di sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman, dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal." As-Syura, 36.

    Sungguh, setiap apa yang kita miliki di dunia ini sama ada harta, pangkat, keluarga dan nikmat hidup yang lainnya, merupakan hak milik mutlak Allah Taala. Manusia cuma sebagai pemegang amanah dan bila Allah mengkehendaki, semua nikmat tadi pasti akan di ambil semula dari kita. Lantas untuk apa bersedih? Untuk apa kecewa? Sedangkan manusia tidak punya hak sedikit pun atas segalanya..

    Teringat sebuah kisah, seorang lelaki yang berpergian ke sebuah tempat yang jauh, meninggalkan isteri dan seorang anak di rumah..
    Sepeninggalan sang suami, sang anak tiba-tiba jatuh sakit lalu meninggal dunia. Apabila sang suami tadi kembali dari bermusafir, sang isteri hanya berlagak biasa sedangkan sang suami belum mengetahui apa-apa tentang kematian anak mereka. Sang isteri melayan suami seperti biasa. Kemudian apabila sang suami bertanya, "Isteriku, mana anak kita? Dari tadi abang belum bertemunya." Sang isteri sambil menahan sebak di dada lalu menjawab, "Anak kita sedang tidur, abang berehatlah." Keesokan harinya, pada waktu malam sang suami bertanya lagi, "Isteriku, mana anak kita? Dari kelmarin abang belum bertemu dengannya. Abang rindu padanya." Sang Isteri lalu menjawab, " Anak kita sudah tidur, esok sahajalah abang bertemu dengannya." Sang suami akur. Kemudian, si isteri berkata, "Abang, dahulu ada orang pernah titipkan barang miliknya di rumah kita." Sang suami bertanya pula, "Sayang jaga baik-baik tak barang dia tu?" Lalu sang isteri menjawab, "Jaga, dan baru-baru ini, waktu abang tiada di rumah, orang tu ambil balik barang dia." Sang suami berkata lagi. "Biarlah dia ambil. Itukan hak dia. Yang penting kita dah jaga barang dia baik-baik." Kemudian sang isteri berkata, "Abang, sesungguhnya anak kita milik Allah, dan Allah telah mengambilnya kembali.".......

    Sesungguhnya, redha atas segala ujian Allah itu merupakan salah satu bukti kekuatan iman. Manusia yang mampu menerima segala musibah dan mehnah dengan hati yang lapang, ialah manusia yang benar-benar yakin dengan segala janji Tuhannya, janji tentang hikmah yang menanti atas segala cubaan, dan janji syurga bagi orang-orang yang bersabar..

    "Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya talah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum kami mewujudkannya. Sungguh, yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu, dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri." Al-Hadid, 22-23.

~BintulQaryah~

Ahad, 2 Januari 2011

AkU jAtUh CiNtA...

    Pernah seorang ukhti mengatakan bahawa, hati manusia itu memerlukan makanan sama seperti manusia yang sering merasa lapar. Namun, makanan hati itu bukanlah nasi, mee, kuih-muih mahupun makanan-makanan enak yang sering dijamah manusia. Makanan hati itu tidak lain merupakan pengisian rohani yang bermanfaat, mampu men'sejahtera'kan iman serta mampu menambahkan taqwa pada Allah...

    Lantas, menyedari kepentingan 'makanan' untuk hati, bersama beberapa orang rakan se'fikrah', satu liqa' yang masih belum bernama kami lancarkan. Sasaran cuma pada rakan akhawat se'batch' namun andai diizinkan Allah akan kami ajak juga akhawat senior, moga apa yang kami usahakan dapat dikongsi bersama.
    Alhamdulillah, setelah 2 sesi, hati ini terasa makin cinta pada halaqah-halaqah kecil sebegini. Meskipun bagi 2 sesi ini cuma 4,5 orang sahaja yang turut serta, namun kami yakin hati sahabat yang lain kelak akan tergerak jua. Isu-isu yang dibincangkan tidaklah terlalu berat namun berfokuskan pada masalah umat. Keinginan untuk mengislah masyarakat mendorong kami untuk berfikir dan berfikir, sekaligus cuba mencari punca dan jalan penyelesaian bagi setiap penyakit yang agak parah membarah dalam nadi saudara-saudara seakidah seluruh dunia..

    Pernah terdetik dalam hati perasaan malas, letih dan bosan. Hampir-hampir sahaja kalah dengan pujuk rayu syaitan yang menghasut, mencipta berbakul-bakul alasan untuk tidak hadir. Namun cepat pula disedarkan dengan bisikan-bisikan dorongan yang datang dari sudut terdalam atma ini. Alhamdulillah, Allah masih memberikan diri ini peluang untuk terus mentarbiyah hati dengan kalimah-kalimah dan peringatan-Nya..

    Kami duduk dalam dawwar, lutut bertemu lutut. Ummul Furqan dibaca mengharap rahmah dan maghfirah Allah, moga liqa' kami diberkati.. Lantas beberapa potong ayatul Quran kami baca, berdasarkan fokus bagi topik sesi kali itu. Kemudian salah seorang dari kami akan membaca tafsirnya, lalu bermulalah perbincangan kami...

Kenapa begini?? Sebabnya begini...  Apa puncanya?? Puncanya ini.. Apa peranan kita?? Peranan kita begini.. Macam mana nak buat?? Caranya begini...

    Begitulah selalunya. Dari hati ke hati kami berbicara, meluahkan apa yang terpendam dalam jiwa. Tiada rahsia antara kami semua. Andai ada yang bermasalah, terluka mahupun berduka, semua berperanan menghiburkan. Konsep bersaudara kami genggam seeratnya. Terasa benar ukhuwah yang terjalin, ibarat ombak dan pantai yang tidak pernah terpisah, saling melengkapi. Senda gurau dan tawa mesra menghiasi liqa' kami, namun masih berbatas atas hakikat bahawa kami semua adalah wanita.. (^_^)

    Setelah sejam, doa penutup kami baca, moga setiap yang dikongsikan bermanfaat bagi semua. Lantas tangan dihulur, pelukan dieratkan.   
                                                                                 
    Sungguh, diri ini telah jatuh cinta. Pada liqa' dan ukhuwah kami semua. Meskipun ada yang baru saling mengenal, namun terasa bagai telah lama bersahabat. Hati-hati kami bagaikan telah diikat dan disatukan agar lebih erat dan rapat. Sememangnya ukhuwah kerana Allah itu amat indah...

    Kepada sahabat-sahabatku, Ukhti Nad, Ukhti Sue, Ukhti San dan Ukhti Fath, uhibbukunna fillah abadan abada..

~BintulQaryah~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...