Rabu, 16 Mac 2011

DARI BALIK PERBUKITAN : ANAK - ANAK ITU...

     Cuti sekolah pertengahan penggal hanya tinggal beberapa hari, pada masa yang sama aku juga setia menghitung detik. Meneliti nama pelajar-pelajar lain yang akan berangkat kembali ke bumi perlembahan Nil tidak lama lagi, aku masih tertanya-tanya. Bila agaknya giliranku tiba? Sungguh dalam hati ini begitu berbelah bagi. Di bumi Anbiya' sana, ada ilmu dan pengalaman yang perlu ku sambar, ada cita-cita yang perlu ku kejar. Sedangkan disini, di desa balik perbukitan ini, ada tanggungjawab seorang anak sulung yang perlu kutunai..!!

    Seorang pekerja Mamaku di kantin sekolah sering berkata, "Tak payah lah kau balik sana. Tolong mama kau di sini, uruskan kantin lagi bagus.."

    Sering ucapan itu ku sambut dengan dekah tawa. "Hahaha!!"

    Pernah juga terdetik hati mengiyakan. Namun jika difikirkan lagi, lebih baik aku teruskan perjuangan di sana. Sekembalinya nanti jangankan kantin sekolah, restoran first class akan ku binakan untuk Mama...!! Hahaha...impian tu..

    Hampir sebulan aku menjadi pembantu mama. Seawal jam 4.00 pagi aku ke kantin, menyiapkan segalanya, menjadi 'mandur' kepada makcik tukang masak, kakak tukang buat kuih dan pekerja-pekerja lain. Letih...memanglah letih. Namun bukanlah keletihan itu yang ingin aku ceritakan. Sebulan di sini, ada satu kenyataan yang sangat mengusik hati kecilku.. Sangat...

    Tahun lalu, di sekolah yang sama ini selama 4 bulan aku bertugas sebagai guru ganti, menggantikan tempat seorang guru Pendidikan Islam yang terpaksa bercuti kerana sakit. Fi'il pelajar-pelajar di sini, sedikit sebanyak sebati dengan hidupku. Sikap mereka yang kadang-kadang menimbulkan rasa geram dan panas hati, akhirnya akan terubat jua dengan usikan dan lawak jenaka yang menggeletek jiwa. 

 Gambar hiasan dari filem Laskar Pelangi

    Memandang anak-anak ini melalui dua perspektif yang berbeza. Melalui pandangan seorang 'guru', aku melihat anak-anak ini sebagai manusia yang perlu disulam jiwa mereka dengan ilmu, disiplin dan usaha. Namun melalui pandangan seorang 'pengurus' kantin, aku seolah-olah melihat kumpulan anak-anak kecil yang naif dan tidak tahu apa-apa.. Satu perspektif yang rasanya amat sukar untuk ku tafsirkan ertinya yang sebenar...

    'Bertugas' di kaunter jualan pada waktu rehat, aku sering melihat wajah-wajah polos yang pelbagai reaksinya. Ada yang dari jauh berlari pecut kerana takut semua makanan di kantin habis di jual, ada yang berjalan longlai tanpa semangat, dan ada juga yang datang ke kantin sekadar menjenguk kaunter jualan dengan mulut ternganga lantas berlalu pergi tanpa membeli apa-apa..

    Yang berduit datang membeli berulang kali. Yang kosong kocek bajunya hanya memandang dengan renungan yang mengusik simpati. Sering juga ada yang bertanya dari hujung ke hujung kaunter harga semua makanan yang dijual hingga naik lenguh mulutku menjawab. Namun akhirnya anak tadi akan pergi begitu sahaja, meninggalkan rasa sebal yang menebal dalam sanubari.

    Pabila sahaja wajah anak-anak 'tidak berduit' ini kupandang, akan ada rasa sedih yang bertandang. Bukannya anak-anak ini tidak makan, kerana untuk mereka ada skim RMT disediakan. Namun anak-anak ini pasti turut ingin mencicipi keenakan bebola ikan yang dijual RM 0.50 setiap cucuk. Anak-anak ini juga tentu mahu merasai kelazatan nugget ayam yang berwarna kuning keemasan, atau sosej yang harumnya menusuk rongga hidung hingga membangkitkan selera anak-anak yang kelaparan...

    Dalam simpati itu aku sering terfikir, anak-anak berwajah polos yang tinggal di sebuah desa yang letaknya di balik perbukitan ini, dewasanya kelak bagaimana? Masih terlalu jauh perjalanan mereka. Namun yang pastinya anak-anak ini belum bisa meramal hala tuju kehidupan mereka. Aku tertanya-tanya, anak-anak berwajah polos ini, andainya tidak dibentuk mengikut acuan yang sebetulnya, mampukah mereka mengubah nasib diri dan keluarga? Andainya anak-anak ini tidak dididik untuk menjadi pencinta ilmu, mampukah mereka meneroka alam dewasa yang penoh dengan pancaroba? Andainya anak-anak ini tidak dibiasakan dengan persaingan sihat, mampukah mereka untuk memenangi perlumbaan hidup yang sering memangsakan manusia yang selalu mengalah pada ketidakupayaan dan rasa lemah? Andainya anak-anak ini tidak diajar untuk menangkis serangan kemalasan, mampukah mereka menjamin bahawa keturunan mereka kelak tidak akan sekadar menjenguk di kaunter jaulan kantin sekolah lantas berlalu tanpa membeli apa-apa??

    Bukan aku hendak mengatakan mereka yang miskin itu lemah dan malas. Bukan juga aku hendak mengatakan bahawa orang-orang yang 'tidak berduit' itu bodoh. Bukan....

    Aku cuma ingin mengatakan bahawa masa depan, nasib dan alam dewasa anak-anak kecil yang tidak tahu apa-apa ini, semuanya terletak dalam tangan masyarakat di sekelilingnya. Kalau sang ayah tidak mendapatkan anaknya meskipun sehelai seragam sekolah, kalau sang ibu tidak menjerit memaksa anaknya ke sekolah, kalau sang kakak tidak bertegas kepada adiknya untuk menyiapkan kerja rumah, kalau sang abang tidak mengugut untuk tidak membawa adiknya memancing andainya mendapat nombor corot dalam kelas..... Agaknya siapa lagi yang akan mendorong anak ini untuk ke sekolah, menimba sebanyak mungkin ilmu lantas mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian sebelum meningkat dewasa dan menjadi pengamal ilmu yang berminda cerah dan berdada lapang? 



    Oh..anak-anak ini sungguh menginspirasikan. Di mata mereka aku melihat aku. Aku yang dulu punya impian, Abahku yang menyemainya, Mamaku yang membajainya. Kini impian itu berputik, dan akulah pula yang bertanggungjawab ke atas impian itu, sama ada aku siram impian itu dengan usahaku, atau kubiarkan impian itu kering dan layu, lantas gugur ke tanah dan mereput seperti sehelai daun yang tidak pernah wujud.

    Anak-anak desa di balik perbukitan itu, aku tidak berharap untuk melihat mereka kehulu kehilir dengan kereta jenama mewah, ataupun berpakaian sut mahal penuh bergaya. Aku cuma ingin agar satu hari kelak aku melihat mereka menjadi insan berguna yang mampu mengubah nasib diri dan keluarga, kemudian tanpa rasa berat hati menyumbangkan tenaga dan kemampuan untuk membangunkan bangsa dan agama, berdiri bersama barisan pejuang yang tanpa gentar mempertahankan Islam yang semakin dipijak dan ditindas. Hakikat yang jelas, anak-anak ini ibarat kain putih, bersih tanpa cela. Dalam dada mereka perlu disemai kasih sayang dan cinta, inspirasi dan cita-cita. 



    Lakaran warnanya tidak perlu indah, cukup untuk membuatkan anak-anak ini punya rasa yakin dan percaya, pada diri mereka serta pada takdir Allah yang tersirat berjuta hikmah dalam setiap satunya.. Anak-anak itu, ku tunggu dewasa mereka!!

~BintulQaryah~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...