Ahad, 27 November 2011

~Gentar~

    Cuak.

    Setelah beberapa lama meninggalkan dunia itu, hari ini aku akan kembali ke 'sana'.

    Ku hubungi Abah, menanyakan tips dan meminta kata-kata semangat.

    "Kakak boleh tu!"

    Tapi,

    Sejujurnya aku belum pernah sekalipun 'duduk' di posisi itu.

    Dan rasa cuak makin bertambah.

    Membuka lembaran-lembaran lama, cuba mengongsi sedikit memori untuk dijamah minda. Mengulang tayang tiap detik dan tiap kalimah yang terbit kala itu.

    Aku tidak pernah 'duduk' di posisi itu!

    Memujuk debaran yang mula menggila. 

    Semua, doakan...

    27 November 2011, 7.30 malam.

    Forum Maal Hijrah anjuran Biro Dakwah dan Tarbiah BKPSM.

    Moderator.

    Yassarallahu lana..

Rabu, 23 November 2011

~Anak Muda Itu~

    Terngiang-ngiang suara anak muda yang berlari-lari anak mengejar kami dari hadapan mini market Abou Zekry. "Yaa sodiq...yaa sodiq..." Tangan yang berkematu ditadah, mengharap meski secebis cuma simpati. Dalam remang langit senja itu aku masih sempat berfikir, bagi atau tidak?

    Rakan yang menemani menegah. Anak muda yang sihat tubuh badan tadi masih membuntuti langkah kami yang makin laju. Takut. Teringat kisah yang diceritakan oleh para senior, tentang mahasiswi yang dirompak dompetnya ketika mahu mengeluarkan wang untuk disedekahkan. Sempat aku mengerling anak muda tadi, wajahnya kelihatan marah. "Biarkan..."

    Berbelah bagi, antara simpati dan keselamatan diri. Apapun, anak muda iu sudah jauh ketinggalan. Kami yang memecut bagai anak tikus dikejar kucing mula rasa lega. Cuba berfikir positif. Tapi, perlukah berpatah balik? Kocek jaket hitam kugenggam.

    Ini situasi biasa, pemandang yang 'aadi. Lazim. Di merata ceruk bumi sejarah ini, akan kelihatan mereka-mereka yang bernasib seperti pemuda tadi. Sungguh. Meskipun begitu, kami sudah terlanjur menyayangi bumi ini. Bumi yang menjadi saksi catatan sirah utusan mulia Musa Alaihissalam. Bumi yang pernah menjadi tempat berpijaknya penguasa zalim Firaun. Bumi sahara yang dilitupi pepasir dan debu halus. Bumi anbiya' yang menjadi kiblat ilmu sedunia.

    Hanya mampu memandang, menitip sekalung doa buat mereka. Banyak yang mahu diceritakan sebenarnya. Namun ada tegahan atas alasan keselamatan. Tidak mengapa, lain kali akan dicoretkan juga dilembar maya ini. Buat anak muda itu, maaf. Terpaksa mengutamakan diri.

   Doa buat mereka yang masih mengharap kemunculan sinar baru. M.E.S.I.R., we love YOU!!

Rabu, 16 November 2011

~Sayang JADUAL!~

   


"Mengatur dan menjadualkan masa itu mudah. Namun untuk mengikuti dan menepati jadual itu payah."

    Sekeping kertas hijau tertampal di dinding, bertulis "Jadual Studi Saya". Di sebelahnya kertas merah jambu dengan tulisan "Jadual Kuliah Tahun 1." 

    Mengakui bahawa 24 jam sehari dan 7 hari seminggu itu hakikatnya sangat tidak mencukupi. Namun jadual di atas belum mampu diikuti sepenuhnya! Musim syita' dipersalahkan, aktiviti yang banyak dijadikan alasan. Sangat tidak wajar, bukan..?

    "Dari kau ja tu!"

    Frasa sama, berulangkali diulang.

    "Tajdid niat.."

    "Kau boleh!"

    Emmm...

    Mencari-cari di mana letaknya silap dan salah.

    Pada semangatkah?

    "Oh, rupanya semangat sewaktu Tamhidi dahulu telah hilang.."

    Kasihan sang jadual kertas hijau. Jadi hiasan semata-mata. Mencemburui sang jadual merah jambu yang dipatuhi sepenuhnya. "Yang merah jambu sahaja disayang.."

    Mencari-cari ke mana hilangnya kerajinan.

    "Oh, dalam diri, tersembunyi! Dihijab kemalasan."

    "Shoooh...shoooh kemalasan."

    Berazam mahu menyayangi jadual kertas hijau. 

    "Jadual Studi Saya"...

    Maaf ya.

"Manfaatkanlah lima kesempatan sebelum datang kesempitan. Manfaatkan usia mudamu sebelum kamu tua, manfaatkan sehatmu sebelum sakit, gunakan kekayaanmu sebelum kamu miskin, gunakan waktu lapangmu sebelum kamu sibuk dan manfaatkan hidupmu sebelum kamu mati." (HR al-Hakim) 

"Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu yaitu nikmat sehat dan waktu lapang." (HR Bukhari)

~BintulQaryah~

Khamis, 10 November 2011

~I'm back!~


Bismillahirrahmaanirrahiim…

                Alhamdulillah…kembali dengan semangat, berkat kekuatan yang ALLAH campakkan dalam sekeping hati kecil milik BintulQaryah. Meladeni hari-hari berlalu dengan ketidakstabilan emosi, kesibukan yang mengekang dan beberapa hal peribadi yang menghalang jemari ini untuk mengetuk papan kekunci buat kesekian kalinya. Manusia hanya merencana, dan ALLAH jua empunya kuasa untuk membenarkan segalanya terjadi. Alfu syukran buat semua yang sentiasa menemani diri ini kala aku sendiri tidak mampu untuk mengawal rasa dan air mata. Mereka yang setia mendampingi, membekalkan tegar bagi jiwa yang goyah dek cubaan dariNya yang tidak pernah henti menguji. Syukur, aku punya sahabat-sahabat yang sentiasa memahami dan tidak jemu menemani tika suka mahupun duka.

                Sesi kuliah 2011/2012 telah beberapa minggu bermula. Kini aku bergelar Mahasiswi Tahun 1 Kuliah Syariah Islamiah. Selamat tinggal Tamhidi… Maka terselak satu lagi lembaran baru dalam novel kehidupan seorang aku yang tidak punya cukup masa dan tenaga! Sesi lalu tinggal kenangan, dan sesi baru ini tentunya menjanjikan banyak kejutan, lebih dari cukup untuk membuatkan aku menopang dagu, memikirkan taktik-taktik licik bagi menyempati segalanya. Argh!!! 24 jam sehari, 7 hari seminggu sangat tidak mencukupi sebenarnya!

                Kuliah? Study? Murajaah? Sempatkah?!

                Baru semalam sepasang cuping telinga ini menerima sebutir ‘bom’ jangka masa, hingga lena semalam itu tidak nyenyak langsung. Kalut! Ada lagi lebih kurang 60 hari. 5 matapelajaran. Baru 3 kitab telah dimiliki. Sebuah kitab dengan lebih kurang 300 muka surat. Peperiksaan awal Januari. Lagi?

                Sempat..sempaaaattt!!(memujuk diri sendiri).

                NODDING..NODDING..

                Sambil membelek kitab Dirasat Fi Ulumil Hadis yang telah dipelajari hingga mukasurat 72. Mata menjeling kitab Dirasat FinNahwu WasSarf yang tebal dengan kulit berwarna cold blue. Buku ‘teks’ Lughah Ajnabiyah (English) dengan gambar Farawalah (Strawberri) pula seperti berteriak-teriak meminta dibaca. Sabar ya..sabaarr..satu-satu.. Kerisauan pula bagai menyentap tangkai jantung. Kitab Tarikh Tasyri’ dan Tafsir Ayat Ahkam belum muncul-muncul di Pejabat Jualan Buku. Agaknya bosan ammu penjual melihat wajah kami saban hari. Bertanyakan soalan sama, “Fi kutub sanah ula tani??..”

                “Barrah!!”… Cabuuutttt!!

                Tugasan persatuan?? Ada kepercayaan diletakkan di bahu ini. Cuba berfikir dan bertindak sepositif yang mungkin. Demi kebaikan semua. “Kak, saya tidak tahu apa-apa.” Jujur aku tipu. Jujur aku mahu mengelak. Maaf kak, kala itu minda terbalik 360 darjah, kemampuan untuk berfikir secara matang itu tiba-tiba hilang. Childish seketika. Diberi amanah untuk dijaga, tanggungjawab untuk dilaksana. Merasa bahawa aku perlu mencuba. Ya, mencuba dan berusaha sebaik mungkin. Lantaran aku juga sebahagian dari ‘keluarga’ besar yang banyak memberi ini.

                8 November lalu, ditaklifkan sebagai pengarah program ‘One Soul One Love Day’ anjuran Mahasiswi Sabah (WiSa). Terkejut dan terkena kejutan. Sesungguhnya aku lebih senang jadi orang bawahan, diarahkan bukan mengarahkan. “Aku orang baru dalam ‘keluarga’ ini, dan ramai lagi yang lebih layak!” Kakak itu bertegas, “Belajar, cari pengalaman.” Nganga sekejap. “Ok, aku cuba. Tapi bantu aku, kakak.”

Program tamat. Titik. Alhamdulillah, berjalan seperti yang dirancangkan. Menanti masa post-mortem, bedah siasat dan muhasabah untuk memperbaiki segala kekurangan. Am I satisfied? Of course not! Ini bukan SMAN, berprogram ikut cita rasa dan kehendak sendiri sahaja. Masih ada lack di beberapa sudut. Meski bukan disengaja, tapi tetap perlu diperbaiki.

                END.

                Mulakan yang baru. Segalanya. Optimis, positif, sabar, redha, kuat tentunya. InsyaALLAH, bantuan dan kelapangan akan sentiasa ada. Kan manusia tidak akan dibebankan melainkan sesuai dengan kesanggupan.. Stop the tears, and sadness. Nikmati hidup yang masih tersisa. InsyaALLAH iman dan taqwa temani tiap detik kembara ini..



               
“Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan dalam harta, jiwa, dan buah-buahan. Maka berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’, mereka itulah yang mendapat keberkatan sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” Al-Baqarah 155-157.

Mode: memujuk hati dengan KalamNya. Tears go away!! Ddm..

~BintulQaryah~

Jumaat, 4 November 2011

~Pemergian~

Bismillahirrahmaanirrahiim…
                Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan aku terus menghirup nafas, berpijak di muka bumiNya sambil menikmati nikmat kurniaanNya yang tidak terhitung. 

                Sebulan menyepikan diri, lantaran minda tidak punya kekuatan untuk menjana kalimah bagi dinukilkan di atas lembaran maya ini. Apa yang perlu aku tulis? Apa yang mahu diceritakan? Banyak sebenarnya yang mahu dikongsikan. Itu..ini…itu..dan ini… Tapi sungguh ketidakstabilan emosi mengekang keinginan itu…

                25 hari doa tanpa henti, mengharap keajaiban dari DIA yang berkuasa mengatur segala-galanya hatta gugurnya sehelai daun kecil. Saban waktu, siang dan malam tanpa jemu memanjatkan harapan menggunung. Semoga…semoga…semoga…ahhh…

                24 Oktober (isnin) aku dihubungi abah. Bertanyakan pesan untuk disampaikan pada Adik yang sedang menderita sakit. Dengan girang aku menjawab, “semoga Adik cepat sembuh!”. Abah tertawa kecil. Namun dalam tawa abah aku mengesan sesuatu. Pantas juga akalku mencongak waktu. Di Malaysia sudah pukul 1 pagi! Aku menenangkan diri, memujuk hati untuk redha andai waktu itu telah tiba. Terkenang mimpi semalamnya, aku terlihat Abah dan Mama membawa Adik pergi dengan menaiki kereta..

                Pagi 25 Oktober, belum sempat aku menunaikan fardhu subuh. 1 panggilan tidak dijawab, dari Abah. Aku bingkas bangun dari pembaringan, memerhati skrin telefon bimbit dengan nafas turun naik. Abah memanggil lagi. Dengan membiasakan suara aku menjawab salam. “Kakak dah bangun?” “Sudah..” Jawabku. “Dah solat subuh?” “Belum”..aku jawab lagi. Abah kemudian bertanya itu ini..seolah tiada apa yang terjadi. “Nah, Ummi nak cakap” Telefon bimbit bertukar tangan. Ibu kepada seorang rakan yang kami panggil Ummi bersuara. Aku sudah mengagak, sudah menjangka. Berita itu dikhabarkan saat aku merasa diriku sudah bersedia mendengarnya. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.. Adik pergi jua, bersama senyuman manis yang terlakar dibibirnya…

Adik pergi, setelah 25 hari bertarung dengan kesakitan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kemalangan yang berlaku cuma wasilah, kematian itu juga yang ditakdirkan Allah. Aku sebagai seorang kakak sulung hanya mampu menitip doa dari jauh. Mengharap Allah mencampakkan redha dan sabar dalam hati-hati kami sekeluarga. Mengharap agar pemergian Adik dikenang sebagai satu peringatan dari-Nya, bahawa bila janjiNya ditagih, kita tidak punya upaya untuk meminta dipercepatkan apatah lagi meski sedetik cuma penangguhan.

                Janji Allah itu pasti! Sesungguhnya tiada daya bagi sesiapa pun untuk memungkiri janji itu. Mama membacakan aku ayat 34 surah al-A’raf.. “Dan bagi setiap umat itu ada batas waktu (ajal). Apabila telah tiba ajal mereka, maka tidak akan dilambatkan ataupun dipercepatkan meskipun sesaat”. Abah pula memujuk, “Kita semua sedih kan..kita semua sedih.. Tapi kita semua ada IMAN, ingat itu.” Cuba membayangkan wajah Mama dan Abah, sungguh aku sangat tidak mampu. Mujur mereka tabah, mujur mereka kuat. Dan aku dari kejauhan ini, bersama empang air mata yang telah pecah mengharap ada tempias titisan kekuatan itu terpercik ke sini.

                Alhamdulillah, Allah jemput Adik dengan cara yang sangat lembut. Di atas pangkuan Mama dan Abah juga Adik pergi, bersama senyuman yang tidak tertafsir ertinya. Tengahari (waktu Mesir), satu pesanan ringkas tiba. “Adik pergi dengan senyuman, Air muka Adik sangat manis. Adik pergi di pangkuan Mama dan Abah. Kami menuntun Adik dengan kalimah zikir dan syahadah. Allah jemput Adik dengan amat lembut sekali. Alhamdulillah..” Lantas apa lagi yang perlu dikatakan oleh seorang bernama aku ini, andai Allah sendiri telah melunaskan janjiNya dengan cara yang amat dicemburui insan-insan lain?

                Adik menghembuskan nafas terakhir pada 25 Oktober, pukul 8 pagi di atas pangkuan Mama dan Abah serta disaksikan sanak saudara, keluarga angkat, guru-guru, dan rakan-rakan yang turut berada di sana (Hospital Sultanah Bahiyah). Jenazah Adik dimandikan, dikafankan sebelum disolatkan di Masjid Wira Mergong, Alor Star selepas solat Asar. Pukul 9.30 malam, bersama jenazah Adik, Mama, Abah, Ummi, Kak Jannah (kakak angkat), Ustaz Adenan (pengetua), Ustaz Muaaz (PK1), dan seorang pegawai dari JPN Kedah berlepas ke Kuala Lumpur. Keesokan harinya (26 Oktober) pukul 9.00 pagi mereka berlepas pulang ke Kota Kinabalu dan jenazah terus dibawa pulang ke Kota Belud. Jenazah dibawa ke rumah nenek, diperlihatkan buat kali terakhir kepada adik-adik dan kaum keluarga yang lainnya, kemudian disolatkan sekali lagi di Masjid Jamek Kampung Kulambai dan kemudian dikebumikan di kampung Abah, Kampung Suang Punggur. 

                Bersama pemergian Adik jutaan doa dari mereka yang mengenali dan menyayangi Adik. Sungguh, Allah lebih sayangkan Adik, dan Allah lepaskan Adik dari kesakitan selama 25 hari dengan menjemput Adik kembali ke pangkuanNya. Seorang Adik yang kami sayang, yang kami kenang dan akan kami rindui selama-lamanya. 

                Bersemadilah dengan tenang, bersama cinta Rabb dan kasih kami semua!

~Al-Fatihah~
Allahyarham Ahmad Syafi’e bin Melih
19 Ogos 1995 – 25 Oktober 2011
                 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...