Khamis, 23 Februari 2012

~Jom ke kuliah!~

    Musim sejuk menjadi satu cabaran besar bagi kami, mahasiwa mahasiswi yang menuntut di datar benua Afrika ini. Awal pagi terutamanya, hawa dingin yang adakalanya mencecah suhu negatif sememangnya sesuatu yang bukan mudah untuk ditangani. Mengerekot dalam selimut tebal merupakan sesuatu yang paling digemari hinggakan seorang ukhti pernah berkata, "Macam nak angkut stove, periuk nasi, dan pinggan mangkuk sekali dan masak dalam selimut. Sejuk!"

    Kali pertama 'menyambut' ketibaan musim sejuk pada penghujung 2010, aku dan rakan-rakan jadi agak 'teruja' seketika. Dengan penuh bersemangatnya kami membeli selimut tebal dan winter coat berharga murah di pasar Hussein. Ke kuliah dengan pakaian berlapis-lapis, stokin berlapis-lapis hingga ada yang kelihatan 'gemuk'. Selera makan meningkat hingga berat badan naik mendadak. Duit poket pula cepat sahaja susut lantaran hajat perut yang berbeza daripada selalu. Makan, makan, dan makan!

~Awal musim sejuk tahun 2010 (sebelum ke kuliah)~

    Satu masalah utama bagi kami, ketika musim sejuk ialah kesukaran untuk bangun pagi dan ke kuliah. Bagi yang 'determined', musim sejuk bukanlah sesuatu yang jadi alasan. Tapi bagi yang mudah kalah dengan situasi, kehadiran ke kuliah pasti boleh dibilang dengan jari. Bila tidak ke kuliah, tentunya akan terlepas maklumat bermanfaat dan nota-nota penting dari pensyarah. Silap-silap boleh tak tahu bahawa ada tugasan bahas (assignment) yang perlu di submit dengan segera.

    Itulah masalahnya, apabila musim sejuk dijadikan 'musuh'. Musim sejuk di bumi anbiya' ini dijadikan SETERU! Walhal hakikatnya suhu dingin yang mengejangkan urat saraf ini merupakan satu bentuk cabaran untuk menguji sejauh mana kekuatan tekad para mahasiwa/wi untuk terus mengejar dan menuntut ilmu. Andai sahaja suhu dijadikan alasan, ramai pula mahasiswa/wi Malaysia di negara Eropah yang masih ke kuliah dalam keadaan salji tebal yang terus turun dan menutupi jalan-jalan raya. Mesir bukan ada salji pun!

~Musim sejuk di Jordan, bersalji (culik gambar adik, hehe)~

    Jadi, jom ke kuliah! Biarkan sahaja kabus dingin yang sering mentupi pandangan di waktu pagi itu. Abaikan sahaja angin sejuk yang menghembus itu. Perjuangan harus diteruskan, tidak kira dalam musim apa pun, cuaca apa pun. Sudah sunnah orang berjuang, biar apapun rintangan dan duri melintang di pertengahan jalan, tetap akan ditempuhi tanpa rasa gentar.

    Jom ke kuliah!

~Winter Break 2012~

    Bismilahirrahmanirrahim.. Salam temu kembali. Agak lama laman maya ini tidak kujenguk. Usai kertas terakhir imtihan pada 19 Januari lalu, aku sekadar terperap di rumah, melayani rasa rindu untuk bersantai-santai dan melapangkan fikiran yang agak kabut. Ajakan demi ajakan untuk menghabiskan cuti di luar Kaherah kutolak mentah, memikirkan bahawa telefon bimbitku akan berdering dengan panggilan mesyuarat program pada bila-bila masa. Hajat hati untuk bercuti ke Jordan, bertemu dengan adik tersayang juga terpaksa dipendam sahaja.

    CUTI = PROGRAM. Tiada sesalan untuk itu. Banyak suara mengeluh menyapa cuping telinga aku sambut dengan senyum semata. Tidak mengapa, fikirku. Agaknya semangat berprogram dan berorganisasi yang tertanam sejak zaman persekolahan lagi masih berkobar-kobar. Heheh..

HARI PUTERI WISA

    Dimulakan dengan program Hari Puteri kelolaan Mahasiswi Sabah (WISA) yang berlangsung selama 3 hari bermula 2 hingga 4 Februari. Hari pertama dimulakan dengan pertandingan tazkirah subuh. Aku sebagai peserta bidan terjun melakukan kesilapan BESAR dengan tidak menyediakan teks untuk tazkirah yang bertemakan Maulidur Rasul. Justeru sewaktu pertandingan aku terpaksa meminta sahabat baikku untuk menjadi peserta pertama sedangkan yang bernombor giliran 1 itu adalah aku dan ketika sahabat itu bertazkirah, aku kelam kabut menulis isi penting tazkirah 7 minit dengan minda sedikit blur. Thanks Nadiah! Acara gelanggang dan sukaneka pula bukanlah kemahiranku. Sekadar menjadi pemain reserve bagi acara bola jaring, selebihnya aku hanya jadi tukang sorak melihat mereka yang lain menjaringkan gol ke dalam keranjang dan menjadi tukang jerit melihat mereka meng’out’kan bola futsal ke luar gelanggang.

    Keesokan harinya (hari kedua), mencongak masa yang terlewat lebih 2 jam, aku nyatanya tidak sabar untuk kembali berdiri di pentas itu. Debat Ala Parlimen mewakili kumpulan Khaulah Al- Azwar sebagai Timbalan Ketua Pembangkang! Usul yang didebatkan sebenarnya menyebabkan aku ‘marah’ sedikit. Tetapi memikirkan mungkin kerana mereka-mereka yang lain ingin melihat sejauh mana ‘panas’nya isu dan usul yang diperdebatkan ini, cabaran kuterima dengan hati sedikit hampa. ‘Berkahwin selepas belajar mendatangkan lebih banyak kebaikan berbanding berkahwin semasa belajar’, “Yang diPertua Dewan, kami dari delegasi pembangkang memohon agar usul ini DITOLAK!”

~Yang diPertua Dewan menerangkan peraturan dan tatacara sidang parlimen~

~Pembentangan hujah menyokong usul oleh Timbalan Perdana Menteri dari delegasi kerajaan~

~Pembentangan hujah menolak usul oleh Timbalan Ketua Pembangkang dari perwakilan pembangkang (saya la tuu..hehe)~


~Perwakilan pembangkang yang tekun & bersemangat!! =) ~

  
    Usai acara debat, acara kuiz bahasa arab pula dilangsungkan. Sekadar memerhati dengan jawapan-jawapan yang muncul di kotak minda. Kemudian, acara berbalas pantun yang diadakan cuma satu pusingan lantaran kesuntukan masa. Kali ini jadi pemantun ketiga. Pengalaman yang sangat-sangat sedikit diaplikasikan sebaik mungkin. Oh Bahasa Melayuku….

    Malamnya pula sesi latihan untuk acara nasyid dan dikir barat. Percaya atau tidak, seumur hidupku itulah kali pertama aku berdikir seumpamanya. Arggh, hampir sahaja aku menarik diri. “Aku tak pandai, aku tak pandai!!” Tapi melihatkan ahli kumpulan yang berkobar-kobar semangat mereka, aku pendamkan sahaja rasa malu yang tidak kena pada tempatnya itu.

    Hari terakhir, acara penutupan sepatutnya diadakan pada sebelah pagi. Tetapi mungkin kerana semua peserta ‘pengsan’ akibat sesi latihan hingga ke tengah malamnya, acara penutupan diadakan selepas solat zohor. Sesi latihan terakhir pada pagi itu terpaksa aku lepaskan, tugasan membuat klip video untuk ditayangkan nanti harus diselesaikan sebaiknya meskipun masa yang diperuntukan cuma sedikit. Alhamdulillah, acara penutupan berjalan dengan sangat lancar. Kumpulan Khaulah Al-Azwar sendiri menang dalam banyak acara yang dipertandingkan termasuklah acara debat ala parlimen (Usul ditolak! Heheh) dan acara berbalas pantun.

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

    5 Februari. Petangnya diadakan acara kuiz maulidur rasul. Sekali lagi menjadi peserta bidan terjun. Dengan ilmu dan info yang cuma sedikit, soalan-soalan yang sepatutnya jadi pengetahuan sedia ada terasa seperti sukar. Ketara betapa ceteknya ilmu tentang ilmu sirah nabawiyyah. Aduss…(ketuk kepala sendiri)
Malamnya pula diadakan sesi ceramah maulidur rasul dan acara penyampaian hadiah bagi program Riadah Shita’ anjuran BSUK, hadiah bagi beberapa kategori sepanjang Hari Puteri dan hadiah bagi pertandingan-pertandingan sempena Maulidur Rasul. Kuiz?? Nombor 3, hehehe…

BAZAAR ARAMAITI BKPSM

    Ini juga aku suka! Teringat pula ketika program ekspo (Hari Kantin, Anugerah Cemerlang dan Malam Kesenian Islam) di SMAN dulu. Gerai Persatuan Bahasa Melayu tetap menjadi kerinduan. Dahulu aku dan adik-adik sepersatuanlah yang akan ke pekan Kota Sarang Semut membeli bahan mentah, memasak dan menguruskan hal ehwal gerai kami. Cikgu cuma jadi pemantau dan pemerhati. Rindunyaa…

    WAITER: Mengambil pesanan, hantar pesanan, ambil makanan, hantar makanan, dan melayani kerenah pelanggan-pelanggan yang bermacam ragam. Tidak termasuk pelbagai insiden memalukan dan melucukan, bermandi pepsi floating, tersilap hantar pesanan, menerangkan satu persatu menu kepada seorang mahasiswi Turki bagai itik dan ayam dan bermacam-macam lagi, haha.. Pengalaman pertama berbazaar selaku mahasiswi, seronok.

    Mengambil peluang dalam setiap kesempatan. WISA CORNER. Menjual pelbagai barangan dan produk dari Hewi dan WISA sendiri. Buku-buku, T-shirt muslimah, sarung kaki, badge BKPSM dan WISA serta penanda buku (musabab aku ponteng gotong royong anjuran BKER pada 6 Feb). Riang rasa hati melihat meja jualan yang cepat sahaja kosong. Bukti produk WISA sentiasa di hati ahli-ahli WISA, hehehe….



~opss, gambar tak jelas~


    Kini kuliah untuk semester kedua telah dibuka kembali, dan aku serta rakan-rakan pun akan meneruskan perjuangan ini untuk kesekian kalinya. Cuti dah seronok, kembali ke kuliah pun mestilah dengan rasa paling seronok, kann!! (^_^)

*****

    Kelmarin (22 Februari), usiaku genap 21 tahun. 21 TAHUN. Usia layak mengundi. Tua. Matang. Dewasa. Apa lagi?? Semoga dengan pertambahan usia ini, ada azimat dan kekuatan untuk aku terus tabah dan sabar dalam mengharungi liku hidup dan cabaran sebagai anak rantau di bumi anbiya' ini. Doa-doa yang para sahabat titipkan tentu sekali aku berharap akan dimakbulkan Allah. Sanah helwah!!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...