Khamis, 18 April 2013

Teaser : WISA's Day Out 2013

Bismillahirrahmaanirrahiim...

   Setelah setahun lebih berlalu, Mahasiswi Sabah (WiSa) Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir BKPSM kembali menganjurkan WISA's Day Out, satu program berbentuk riadah, santai tetapi tidak mengenepikan pengisian ilmiah. Menjadikan ukhuwah sebagai batu sandaran, WISA's Day Out kali ini diwarnai dengan pelbagai aktiviti menarik dan berguna untuk santapan mahasiswi sekalian.

   Slogan tahun ini, "Binds Ukhuwah, Creates Muslimah"

   Jom adik-beradik WISA sekalian, ramai-ramai kita meriahkan WISA's Day Out 2013. Insha Allah kheir...






Oppss.. ada video trailer juga sebenarnya. Tapi, tak perlulah kan... :-)

Isnin, 15 April 2013

Dakwah : Bukan Office Hour.


    Suatu petang, ketika bersibukan men’stapler’ surat-surat dan minit mesyuarat, saya ditegur seorang ukhti, “Ina, sibuknya… Waktu pejabat dah lama habis, sudah-sudahlah tu…” Saya hanya tersengih-sengih sambil meneruskan kerja.

    Seorang sahabat yang agak ‘lurus’ pula bertanya, “Memang kerja persatuan tak boleh buat lepas office hour kah Na?”

Meledak tawa kami sebilik.

~It's all about dakwah and ummah, and it's all for ALLAH~

    Kemudiannya saya terfikir-fikir, ‘kalau kerja-kerja amal dan dakwah cuma boleh dibuat semasa waktu pejabat, habislah!’

    Dalam usrah bersama sahabat-sahabat Durrah Widyani dan adik-adik Namlah Zakiyah, sering sahaja kami berkongsi dan saling mengingatkan tentang dakwah, sebagai satu lapangan kerja yang wajib dilazimi oleh seorang Muslim. Kami juga ditekankan tentang perlunya ukhwah dalam usaha menyebarkan dakwah. Analoginya seperti yis kering, glukosa dan air suling. Ketika mana yis kering perlu dicampurkan glukosa dan air suling supaya terhasilnya ethanol (abaikan sifat dan fungsi ethanol), seperti itulah Muslim perlu melazimi dakwah dan ukhuwah untuk menghasilkan ummah.

1+1+1 = INFINITI (ini yang kita mahu!)

    Berbalik kepada soalan sahabat saya yang ‘lurus’  tadi, amatlah melucukan sekiranya ada yang beranggapan bahawa kerja-kerja amal dan dakwah hanya perlu dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Waktu belajar, belajar. Waktu makan, makan. Waktu shopping, shopping. Jadi, bila waktu dakwah? Adakah ‘comel’ jika kerja dakwah yang mulia dikhususkan pada waktu tertentu sahaja? Saya sekali lagi mengingatkan diri saya bahawa amal dan dakwah bersifat fleksibel. Bila-bila masa, di mana sahaja, kepada siapa jua. Titik.

    Sesiapa pun tahu bahawa jalan dakwah BUKANNYA satu. Sepertimana Rasulullah SAW memberi teladan kepada umat Islam melalui perkataan dan perbuatan, sebegitu jugalah sewajarnya Muslim berkata dan bertindak bagi menyampaikan dakwah.

~Dakwah tidak mengenal usia~
Program Charity De'Tour Ramadhan WISA BKPSM 2012
Rumah Anak Yatim Darul Bakti Kota Belud


Listen, let me speak!
(Tiada kena mengena dengan isu Forum Suara Mahasiswa)

    Ceramah, tazkirah atau sebarang penyampaian maklumat secara lisan dijulang sebagai teknik dakwah popular sepanjang zaman. Era lampau ketika mana kecanggihan teknologi cumalah angan dan mitos, cara sebegini merupakan nadi yang membantu kelangsungan arena dakwah. Zaman kini, meskipun segala info dan input terbit dari hujung jari, metod dakwah secara speak-listen masih menjadi pilihan utama.

    Sekarang, tekan butang alat kawalan jauh, sudah boleh tonton ceramah dan kutip butir-butir ilmu dari mana-mana da’ei hebat seluruh dunia.

Kemah keming UAI!

Show, don’t tell!

Salah seorang penulis yang saya kagumi sering menulis dalam muka buku, ‘show, don’t tell.’

Saya memaksudkannya dengan ‘tunjukkan, jangan sekadar berkata!’

    Bila berbicara tentang dakwah, para da’ei tidak pernah lari dari membicarakan soal akhlak. Mana tidaknya, akhlak mazmumah merupakan masalah besar umat Islam pada hari ini.

Syeikh Muhammad Abduh pernah berkata,
“Saya pergi ke Paris lantas saya melihat Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Kaherah dan saya melihat Muslim tanpa Islam.”

    Setiap da’ei tidak terlepas dari sakit kepala memikirkan akhlak ummah. Ketika mana jiwa seorang da’ei sudah marak dengan semangat dakwah dan jihad, ketika itulah hati kecil sang da’ei itu sedang bersedih mengenangkan saudara seakidahnya yang semakin jauh dengan Islam. Justeru di zaman keegoan ini, menasihati secara lisan sudah kurang praktikal. Bila mana mad’u asyik-asyik menuduh para da’ei sebagai ketinggalan zaman, modal lapuk dan alim-alim kucing, ketika itulah jelas maksud frasa ‘show, don’t tell’.

    Oleh itu, salah satu jalan dakwah yang efektif adalah dengan menunjukkan apa yang betul, bukan sekadar menasihati semata-mata. Contoh, A menasihati B supaya solat berjemaah. Tetapi dalam masa yang sama A acap kali solat bersendirian di akhir waktu. B cukup pintar, lantas berkata “eleh, suruh aku solat jemaah, padahal engkau solat nafsi-nafsi, akhir waktu pula tu!”

Nampak kurang cantik di situ. That’s why, show, don’t tell!

    Jadi, titik utama permasalahan dakwah tetap tidak lari dari masalah akhlak, bukan sahaja mad’u tetapi da’ei juga. Jangan lupa, dakwah paling besar adalah dakwah kita terhadap diri kita sendiri. Bukankah dakwah itu mudah, bila da’einya terlebih dahulu punya akhlak mahmudah sebelum mengajak dan menasihati orang lain?


I can’t draw, but I can write!

    Dalam usrah Durrah Widyani yang berjumlah 12 orang, ada 12 bakat yang dikenal pasti. Kami sering diingatkan supaya menggunakan bakat dan potensi diri yang ada ke jalan dakwah dan kebaikan. Kata seorang ukhti, “sayang sekiranya kebolehan kita disia-siakan untuk perkara-perkara lagha, sedangkan pada masa yang sama kita boleh menggunakan bakat yang ada bagi memanfaatkan sesuatu yang besar untuk Ummah.”

    Benarlah, Allah meletakkan segala sesuatu sesuai pada tempatnya. Dan bakat-bakat hebat yang dimiliki itu, bukankah cantik dan sesuai jika dimanfaatkan ke jalan dakwah? Bukan sahaja kita telah menggunakan nikmat anugerah Allah pada jalan kebaikan, malah kita juga telah berusaha mengajak orang lain supaya turut sama meniti jambatan pahala.

    Kita hidup dalam masyarakat yang terdiri daripada kelompok individu yang memiliki kebolehan, kemampuan dan tugas yang berbeza. Setiap individu ini perlulah melaksanakan tugas MASING-MASING dengan sebaiknya, supaya masyarakat tersebut boleh digerakkan menuju matlamat yang ingin dicapai. Ini kerana setiap satu gerak kerja dalam sebuah masyarakat merupakan tiang yang mampu menentukan jatuh bangunnya tamadun masyarakat tersebut. Contohnya, dalam sebuah restoran, ada tukang masak, tukang cuci pinggan, dan jurukira. Kalau setiap pekerja dalam restoran tersebut melakukan tugasan yang tidak sesuai dengan kebolehan mereka, apa akan terjadi agaknya? Ataupun sekiranya semua orang mahu melakukan perkara yang sama, semua orang sibuk mahu menjadi jurukira, siapa yang akan melakukan kerja-kerja memasak? Kalau semua orang sibuk mahu jadi tukang masak, siapa akan jadi tukang cuci pinggan?

Teringat kata-kata Mat Luthfi dalam video Parodi Forum Suara Mahasiswa,

“Kalau anjing tak menggonggong, dia akan bercakap. Kalau anjing bercakap, siapa yang nak menggonggong?” (analogi sahaja. Sila abaikan anjing dan gonggongannya.)

    Maksudnya mudah. Dalam dakwah, lakukan apa yang sesuai dengan kemampuan kita. Kalau semua orang sibuk mahu berceramah, peluang dakwah lain melalui tulisan dan seni kreatif yang luas sasarannya akan terbazir begitu sahaja.

    Buat da’ei-da’ei senior, apabila saya cuma tahu menulis, jangan sesekali paksa saya melukis. Kerana orang lidi saya tidak pernah berupa orang lidi.

    Bila sahabat saya tiada kebolehan bercakap di khalayak, saya tidak mahu memaksanya berucap kerana saya tahu, tindakan saya itu hanya akan membunuh keberanian dan menjatuhkan self-esteem sahabat saya tadi. Ini terbukti.

Biarkan setiap orang dengan kemampuan sendiri. Buluh tua jika dilentur, patahnya sudah tidak cantik.

    Justeru, dengan kebolehan dan potensi tidak-kenal-masa yang Allah berikan kepada semua manusia, jelaslah bahawa dakwah boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja, bukan ketika office hour semata-mata.

Kalau dakwah cuma ketika office hour, saya tidak boleh berblog di waktu malam lah ya?
Kalau dakwah cuma ketika office hour, bangun subuh sendiri-sendiri lah, tak perlu kejutkan orang lain?

Iyalah, office hour bermula pukul 8.00 pagi, tamat pukul 4.00 petang.

    Kesimpulannya, dakwah bukan office hour, tetapi tanggungjawab yang istimrar, yang perlu dipikul oleh seluruh Muslim. Dakwah bukan bermetodkan ceramah dan tazkirah semata-mata, tetapi juga pada setiap potensi diri manusia yang boleh dimanfaatkan untuk semua. Dakwah bukan melalui lisan sahaja, tetapi juga melalui pembawakan dan tauladan yang terbit dari keperibadian para da’ei dan da’eiah.

Jom berdakwah! 
\\(^_^)//

P/S : Saya mengetuk papan kekunci sambil berharap supaya tulisan ini memberi manfaat kepada sesiapa juga yang meluangkan masa membaca.

Selasa, 9 April 2013

Shoutul Nahdzah : Perjalanan masih jauh.

Bismillahirrahmaanirrahiim..


   Shoutul Nahdzah merupakan satu nama yang sangat akrab di hati saya. Meskipun zaman persekolahan telah saya tinggalkan hampir 4 tahun yang lalu, perkembangan dan perjalanan Shoutul Nahdzah masih menjadi prioriti dalam lingkung pengetahuan saya.

   Manager tidak rasmi, portfolio saya 4 tahun yang lalu. Saya sendiri kurang ingat bagaimana saya boleh 'terlibat' dengan Shoutul Nahdzah. Meskipun sering bersama mewakili sekolah ke Karnival Pendidikan Islam, saya hanya tekun dengan dunia syarahan saya, dan mereka tekun dengan nasyid mereka. Pernah sesekali, apabila giliran Shoutul Nahdzah di gelanggang nasyid sudah selesai, mereka beramai-ramai ke kelas yang menempatkan pertandingan syarahan dan memberi kata-kata semangat. "Good luck, Kak Kinah!"

Shoutul Nahdzah, chayok!

   Suatu hari, saya tiba-tiba diminta mengubah sedikit lirik lagu yang akan mereka pertandingkan di Festival Nasyid peringkat zon 4 Kuala Muda/Yan. Saya kehairanan sendiri, mengapa saya? Alasan mereka kerana lagu Hijrah dendangan kumpulan Wardatul Jannah (kumpulan nasyid yang saya sertai di tingkatan 4), ciptaan sepenuhnya saya dan rakan, Siti Hawa Jamaludin. Apa alasannya, sampai sekarang saya sendiri tidak tahu.

   Dengan senang hati saya mengubah sedikit lirik lagu tersebut, hingga timbul konflik antara saya dan penulis asalnya, senior setahun yang baru menamatkan STAM. Selesai mengubah lirik, saya diminta pula menambah intro dan mengubah melodi bridge di pertengahan lagu. Tugasan pertama kali dalam hidup itu saya terima dengan senang hati. Selepas itulah bermulanya, 'perkaitan' antara saya dan Shoutul Nahdzah. Mengawal dan meninjau sesi latihan, menyediakan minuman suplemen, menguruskan kostum pertandingan hinggalah memasang riben di songkok mereka, saya yang lakukan. 

Shoutul Nahdzah di Malam Kesenian Islam SMA Nahdzah 2010
   Tamat STAM, tamatlah zaman persekolahan. Saya meninggalkan bumi SMAN dan Shoutul Nahdzah dengan rasa berat hati. Namun, setiap perkembangan Shoutul Nahdzah tetap saya ikuti hingga ke hari ini. Meskipun ahli-ahlinya sudah bertukar, namun bagi saya mereka tetap Shoutul Nahdzah. Apatah lagi jurulatih mereka hari ini, Ahmad Al-Muqsit adalah salah seorang ahli Shoutul Nahdzah di zaman persekolahan saya dulu. 

Shoutul Nahdzah di Pertandingan Nasyid Belia sempena Sambutan Hari Belia
Peringkat Negeri Kedah 2009, anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah.
  
   Muqsit setia meng'update' maklumat pertandingan di facebook, menyebabkan saya sentiasa tertunggu-tunggu natijah setiap usaha mereka. Sudah ada video-video persembahan Shoutul Nahdzah dimuat naik di youtube, memudahkan saya mengikuti segala perkembangan mereka. Apa yang saya lihat, Shoutul Nahdzah hari ini sudah keluar dari kepompong nasyid skema dan keanak-anakan. Berbanding ketika pertama kali Shoutul Nahdzah menyertai MTQ pada tahun 2007, Shoutul Nahdzah kini digelar antara kumpulan nasyid terhebat dalam kalangan sekolah-sekolah sekitar daerah Kuala Muda/Yan.

   Alhamdulillah, baru-baru ini Shoutul Nahdzah merangkul naib johan dalam Karnival Pendidikan Islam peringkat Daerah Kuala Muda/Yan. Pencapaian membanggakan bagi saya. Dalam sengitnya persaingan antara kumpulan nasyid sekolah-sekolah, melihat Shoutul Nahdzah berdiri dengan yakin dan megah di atas pentas, saya bertepuk tangan penuh rasa teruja. Yes, itu dia Shoutul Nahdzah!

   Perjalanan mereka masih panjang, namun saya yakin dan percaya mereka mampu pergi lebih jauh.


Youtube : Shoutul Nahdzah juara pertandingan Nasyid di Festival Belia Sejahtera


Like facebook Shoutul Nahdzah di : www.facebook.com/ShoutulNahdzah


p/s : A friend (fellow Sabahan studying in Egypt) is currently taking part in Awakening Star Contest, and I'm proudly ROOTING for him. Open this link and kindly hit 'LIKE' button to show your support! 

Ahad, 7 April 2013

~Jom ke Al-Azhar! (2)~

Bismillahirrahmaanirrahiim..


Agak lama saya tidak menyinggah di blog BQ ini. Kesibukan nyatanya telah mengekang keupayaan saya untuk terus istiqamah menulis dan berkongsi sesuatu di laman karib saya ini. Hinggalah seorang sahabat berkata, "banyak comment dalam entri Al-Azhar tu, tak nak balas ke?"

Saya agak terkejut bila membaca beberapa ulasan dalam entri ~Jom ke Al-Azhar!~. Hampir semua ulasan dalam entri itu berbentuk soalan, dan saya akui saya sendiri bingung memikirkan jawapan-jawapan yang perlu saya berikan. Kotak mesej facebook saya juga didatangi soalan-soalan hampir sama. Apatah lagi kebanyakan soalan memerlukan penjelasan yang berada di luar pengetahuan saya. Saya ada menulis di perenggan awal artikel itu, bahawa (ketika artikel itu ditulis) keberadaan saya di bumi Mesir ini belum pun mencecah usia 2 tahun.

Saya tahu saya perlu bertanggungjawab dengan tulisan saya. Tapi saya juga sangat jelas dengan impak jika saya berikan jawapan 'hentam keromo' bagi setiap soalan yang ditanyakan. Akhirnya saya menemukan satu konklusi. Baik untuk ANDA yang mahu bertanya, dan BAIK juga untuk saya yang ditanya (tetapi tidak tahu bagaimana mahu menjawab).

Saya yakin dan percaya Syihab Educonsult lebih arif untuk membantu anda!
facebook : https://www.facebook.com/pages/Syihab-Educonsult/298045390321434







Saya mohon berjuta kemaafan buat saudara-saudari yang mengemukakan pertanyaan. Saya tidak berani untuk menjawab berdasarkan pengetahuan saya yang cetek, apatah lagi untuk mengabaikan soalan-soalan anda semua. Saya cuba sediakan satu alternatif lain untuk anda, semoga anda menemukan jawapan bagi setiap persoalan dan kemusykilan.

Saya yakin dan percaya, Syihab Educonsult lebih arif untuk membantu anda!

Ahlan...ahlan...ahlan,
Kami nantikan kedatangan mahasiswa/mahasiswi baru Al-Azhar 2013!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...