Ahad, 30 Mac 2014

Sepuluh jari tangan, 23 tahun.

Bismillahirrahmanirrahim..

Seorang teman bertanya, "kau masih menulis di blog?" Minggu hadapannya dia bertanya lagi soalan yang sama, "kau masih menulis di blog?" Maka saya katakan padanya, "jarang-jarang, ahjumma. Kalau dijenguk blog aku tu, entah berapa kilogram sudah sawang dan habuknya!"

Maka hari ini saya datang mengemas sedikit sebanyak, melihat follower bertambah seorang dua, membaca komen-komen di entri-entri lalu membalas apa-apa yang perlu, shoutbox yang dipenuhi iklan-iklan, dan terakhir sekali menjenguk dashboard, mengintai beberapa entri dari sahabat-sahabat seangkatan yang jauh lebih rajin mengetik papan huruf.

Saya membaca pelan-pelan satu entri dengan rasa sangat terharu. Si dia yang dahulu saya kelek ke hulu ke hilir, yang sering saya cubit, dan yang selalu saya paksa menemani saya ke sana sini, si dia itu menulis tentang saya. Ya, tentang saya. Tulisannya pendek sahaja, beserta beberapa gambar termasuk foto saya ketika darjah 6, juga screenshot ucapan hari lahirnya kepada saya.

Terima kasih, Hasanah.
Ya, terima kasih!
***

Writers block?! (eh, writers kah saya?)

Itu agaknya yang berlaku kepada saya. Kerana sibuk dengan kuliah dan tugas-tugas rasmi, daya fikir 'luar skema' saya berkurang. Saya diminta menulis lirik nasyid, namun hingga ke akhirnya saya hanya berteleku di hadapan komputer riba tanpa berbuat apa-apa. Saya cuba menulis artikel, namun setelah beberapa jam kerja saya hanya menaip, memadam, menaip dan memadam tanpa satu perenggan pun berjaya saya tulis. Saya cuba mengarang cerpen, tetapi hingga beberapa hari saya cuma mampu memandang tajuk cerpen tersebut yang jalan ceritanya masih belum ada.

Ya, inilah natijahnya setelah dua sesi memikul amanah yang sama. Bidang tugas yang tidak pernah lari dari lingkung protokol dan kebiasaan, menyebabkan saya jadi sering bergantung kepada sesuatu untuk menghasilkan sesuatu, dan ini satu kelemahan diri yang perlu saya akur.

Apabila membaca entri blog sahabat lain, saya bagai terhenyak. Mereka telah menulis dengan banyaknya, dan mereka telah menyebarkan manfaat dan kebaikan dengan banyaknya!

Saya pula hanya berdoa moga setiap surat rasmi, kerja pejabat dan minit mesyuarat yang saya tulis ada manfaat dan kebaikannya untuk ummah dan komuniti sekeliling saya.

Saya bukan menyalahkan tugas yang terpikul di bahu itu. Saya cuma menyandang amanah, dan cuba melaksanakannya semampu kudrat yang saya ada. Bila saya yang lemah ini cuba mendahulukan yang utama, maka yang kurang penting itu akan terabai juga. Inilah saya, yang tidak mampu fokus kepada banyak perkara dalam satu-satu masa!

Bila menjenguk blog ini, saya seperti mahu meminta maaf kepada BintulQaryah, kerana seorang Nurussakinah ini mengabaikan sendiri prinsip dan janji untuk tidak pernah mengabaikan BintulQaryah lagi. Namun apakan daya, tuan punya yang berusia 23 tahun ini hanya punya sepuluh jari tangan. Sepuluh jari tangan yang perlu dikerah untuk melakukan segala-galanya, sepuluh jari tangan yang tugasnya mengikut kata hati. Malah sepuluh jari tangan ini juga yang sering terluka dan tercedera kerana tuan punyanya yang selalu cuai dalam semua perkara.

Alahai, sepuluh jari tangan!
Moga sahaja ada pahala dan redha Allah dalam setiap hasil kerja-kerjamu.

Kebetulan pula, ketika entri ini ditaip, lagu kegemaran zaman kanak-kanak saya sedang berkumandang di radio. Jari tangan saya berhenti menaip sebentar, lalu ikut menyanyi kecil...

"Di hati ini hanya Tuhan yang tahu..."

Lantas saya merenung kuning kemilau di jari manis kanan. Oh, Mama, kakak rindu!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...