Sabtu, 14 Jun 2014

Mereka Sahabat (bhg. 1)

   

    Menjenguk satu akaun emel yang sudah lama tidak berusik. Saya terbaca satu emel lama, tulisan seorang sahabat yang sudah hampir 11 tahun tidak saya temui. Setelah tamat Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), saya sempat berbalas-balas beberapa emel dengannya, bertanya khabar masing-masing dan berkongsi sedikit sebanyak perkembangan diri. Kemudiannya masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Saya sibuk menguruskan keberangkatan saya ke Mesir, dan sahabat itu juga sibuk dengan persiapan untuk melanjutkan pengajian ke satu negara di benua lain. Hinggalah sebentar tadi baru saya menyedari bahawa emel terakhirnya tidak pernah saya balas!

    Lama saya termenung dan mengenang-ngenang, cuba mengingat kembali wajah sahabat saya itu. Yang kembali berputar di ruang fikiran saya adalah tentang betapa kagumnya saya kepadanya. Seorang sahabat yang pintar dan hebat, yang tidak pernah walau sesaat pun rasa kagum saya hilang. Betapa Allah telah menganugerahkan akhlak mulia dan peribadi penuh hikmah kepada anak muda berusia dua belas tahun itu.


    Saya membaca kerat demi kerat tulisannya dengan senyum berbaur pilu. Lantas terkenang sikap tidak matang saya yang selalu kalah dengan kebijaksanaannya. Dalam usia mudanya dia sudah pernah menasihati saya persis seorang dewasa yang punya banyak pengalaman hidup. Dia pernah memujuk ketika saya kecewa, seolah-olah dia pernah merasai ujian yang paling berat sepanjang hidupnya. Dia pernah menegur ketika saya khilaf, laksana seorang ahli ilmu yang tinggi firasatnya.

   Saya kagum, juga rasa bertuah kerana pernah ditemukan dengan sahabat sepertinya. Kami tidaklah terlalu akrab bagai isi dengan kuku, juga tempoh masa kami belajar di satu alma-mater yang sama tidaklah begitu lama. Namun, sahabat ini benar-benar telah memberi saya satu nilai dalam hidup yang berjaya merubah sedikit seorang saya. Paling terpahat kemas dalam hati saya hingga kini adalah betapa dia meletakkan Allah dalam segala apa yang dilakukannya. Betapa dia yakin pada hikmah tawakkal, dan betapa dia menjadikan adat dan syariat agamanya sebagai garis penghadang dalam hidupnya.



    Sahabat itu, sejak akhir-akhir ini sering muncul dalam mimpi saya, dengan pelbagai peran yang sering membuat saya sendu. Saya cuma berharap agar Allah hadirkan dia dalam mimpi sebagai satu tanda bahawa kami akan bertemu semula satu masa nanti. Seorang sahabat yang saya kepingin benar untuk melihat dia meskipun sekali cuma.

Oh ya, sahabat itulah yang sedikit sebanyak telah menjentik hati saya supaya percaya pada keupayaan saya untuk menulis. Kerana satu tulisan dalam emelnya, saya memberanikan diri untuk mencuba nasib, dan akhirnya blog BintulQaryah ini wujud.

Terima kasih, sahabat.

Moga Allah pertemukan kita lagi.
(8.15 pagi, 15 Jun 2014, tiga hari sebelum musafir ke Malaysia)


...mereka sahabat akan bersambung...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...