Isnin, 1 September 2014

Kursus Pra-Perkahwinan Islam : Ada apa denganmu?

    Saya tergelak-gelak sendiri selepas menjawab panggilan telefon dari abah. “Sms nombor ic kakak dan angah, abah mahu daftarkan kursus kahwin di MUIS.” Kebetulan saya sedang sibuk dengan kerja-kerja rumah, laju sahaja saya menghantar sms kepada abah. Beberapa minit kemudian, saya berfikir kembali, ‘kursus kahwin? Di MUIS? Oh tidaakk… terserempak dengan kawan-kawan nanti jenuhlah nak menjawab!’

    Sepulangnya abah dari Kota Kinabalu, bertubi-tubi soalan saya ajukan. “Biar betul abah? Kursus kahwin apa awal-awal ni? Kakak belum mahu kahwin pun. Terjumpa kawan-kawan di MUIS nanti macam mana?”

“Sebab tu abah suruh ikut sekarang, walaupun belum mahu kahwin. Ikut awal-awal supaya tidak kelam kabut bila sudah habis belajar dan sudah dapat kerja. Sijil kursus tu boleh pakai seumur hidup.”

Saya ternganga dan ternganga.

    Abah memang advance dalam merancang masa depan kami adik beradik. Umur ni habis belajar, umur ni dapat kerja, umur ni kahwin, dan umur ni abah sudah boleh timang cucu!

Abah sahaja yang bulat hati. Saya dan adik masih berbelah bahagi lagi. Hari pertama kursus, kami melangkah dengan jiwa kacau, berjalan pun terhendap-hendap kerana takut terserempak dengan kawan-kawan.

“Kalau ada orang tahu kita ikut kursus kahwin ni, macam mana?”
“Macam mana apa? Ikut kursus saja pun, bukannya mahu kahwin sekarang.”
“Nanti orang sangka kita mahu kahwin.”
“Cakap sajalah keluarga suruh ikut kursus awal. Apa susah?”

Dan kami memang terserempak dengan beberapa orang kenalan. Memang terpaksa menayang muka selamba, padahal dalam hati sudah menggelabah seperti orang kena hukuman mandatori gamaknya.

    Pada awalnya saya mengkritik dalam hati, ‘apalah sampai wajibkan kursus kahwin ni? Buang masa, buang tenaga, dan buang duit RM100 lagi! Hujung minggu ni duduk rumah goyang kaki lagi bagus.’
Oleh kerana saya belum ada niat mahu membina baitul muslim dalam masa terdekat, menyertai kursus kahwin ini adalah suatu keterpaksaan bagi saya. Lainlah kalau memang sudah ada perancangan, tidak perlu dipaksa abah, saya pasti sudah mendaftar awal-awal lagi.

    Kami ‘terpaksa’ menadah telinga mendengar slot demi slot ceramah. Dari perkara asas berupa akhlak dan akidah Islam hinggalah kepada hal ehwal rumahtangga yang ‘menakutkan’, semuanya ‘ditelan’ tanpa rela. Kadang-kadang terasa seperti mahu angkat kaki dan cabut lari dari Bilik Hikmah di bangunan MUIS itu.


Prosedur pendaftaran perkahwinan?
Pembubaran perkahwinan? Hah? Baru daftar sudah mahu bubar?
Pengurusan Kewangan?
Pengurusan tekanan pun ada??

Patutlah.
Patutlah di Malaysia, kursus pra-perkahwinan Islam diwajibkan kepada semua pasangan Islam yang mahu berkahwin.

    Sepanjang dua hari berkursus, saya mendengar dan melihat situasi kecelaruan pemahaman tentang hukum Syariah yang melibatkan hal ehwal rumah tangga, yang selama ini saya cuma pelajari dari kitab-kitab kuliah di universiti. Selama ini saya diajar tentang rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnya, tetapi sepanjang kursus saya belajar bahawa dengan situasi masyarakat di Malaysia yang semakin hilang nilai adab dan tatasusila, ahli-ahli agama, para ulama’ dan umara’ perlu lebih arif, perlu lebih pakar dari sekadar tahu rukun dan tahu syarat sah.

Masalah wali?

    Masih ramai dalam kalangan peserta kursus yang tidak tahu siapa gerangan wali dan apa fungsinya. Masih ada yang keliru tentang urutan wali selepas bapa. Malah masih ada yang tidak tahu siapa yang boleh menjadi wali dan siapa yang tidak. 

    Kita tidak perlu hairan. Kita yang pernah bersekolah menengah pasti tahu sejauh mana hukum Syariah tentang asas-asas perkahwinan melekat kuat dalam ingatan. Apatah lagi dengan silibus sekadar asas yang tidak merangkumi praktikal malahan teori yang cuma sedikit-sedikit. Jangankan rukun-rukun nikah, rukun-rukun solat pun mungkin ada antara kita yang masih lupa!

Pandemik anak tidak sah taraf.

    Kata salah seorang penceramah, mengikut kajian yang dijalankan, setiap jam seramai tujuh orang anak tidak sah taraf dilahirkan dalam negara Malaysia. Saya dan yang lain-lain terkesima. Tujuh orang setiap jam? 7 darab 24? Darab 365? Ertinya dalam tempoh setahun seramai 61320 orang bayi tidak sah taraf lahir di Malaysia! Itu yang diketahui, yang didaftarkan. Kalau ada lagi yang disembunyikan, tidak termasuk lagi yang dibunuh dan dibuang di tong sampah dan longkang-longkang?

    Kasihan, setiap tahun 61320 orang bayi yang tidak berdosa terkena tempias dosa si ibu dan ayah yang tidak bertanggungjawab. Bayi perempuan, apabila sudah dewasa dan mahu berkahwin kelak, terpaksa turun naik mahkamah bagi proses mendapatkan izin berwali hakim yang mengambil masa bukan sekadar sehari dua. Astaghfirullahal’adzim..

Fenomena hipotesis ‘semakin tinggi taraf pendidikan, semakin tinggi hantaran perkahwinan’.

    Apabila ditanya kepada salah seorang peserta kursus, berapa nilai hantaran paling selamat kini? Jawabnya RM18k. Sewa khemah, kerusi meja, pelamin, pakaian pengantin, jamuan makan, itu dan ini, RM18k adalah suatu jumlah yang cukup-cukup.

    Namun kata penceramah tersebut, majlis perkahwinan ibarat sebuah gerbang. Alam rumah tangga adalah kediaman sebenar kita. Untuk apa gerbang yang cantik dan indah kalau di dalam rumah kosong? Kita mahu hidup di gerbang sahaja atau di dalam rumah?

Metafora yang bijak, saya rasa. Justeru saya melihat analogi gerbang dan rumah melalui satu pentafsiran lain.

Persediaan sebelum berkahwin.

    Persediaan sebelum berkahwin itu adalah wajar dilebihkan kepada bahagian dalam rumah, bukannya gerbang. Bahagian dalam rumah disini merujuk kepada persediaan secara teknikal iaitu kemampuan kewangan, juga persediaan mental dan spiritual, yakni persediaan hati dan jiwa sebelum mengemudi alam rumahtangga. Yakinkah sudah untuk menjadi seorang suami ataupun isteri? Mampukah sudah untuk menjadi ketua keluarga, mendidik dan membimbing isteri dan anak-anak ke jalan Allah? Sudah bersediakah untuk melaksanakan semua tanggungjawab dan amanah?

Majlis perkahwinan besar-besaran, perlukah?

Saya pernah membaca satu artikel,tidak silap tajuknya  ‘Derhaka selepas Taat’.

    Majlis akad nikah yang sederhana, sekadar mengundang kaum kerabat dan sahabat dekat. Pengantin perempuan berpakaian menutup aurat, majlis dibuat di dalam masjid kononnya mahu menambah berkat. Alhamdulillah. Kemudian majlis bersanding besar-besaran. Busana pengantin perempuan berubah 360 darjah. Pelamin mewah tersergam indah, acara karaoke, tari menari, maksiat mata dan hati, pembaziran harta, riak dan menunjuk-nunjuk. 

Na’uzubillah..
Mana taat sewaktu upacara akad nikah tadi?
Syariat Islam kan ada, malah lebih mudah dan lebih murah.
Sungguh besederhana itu lebih afdhal disisiNYA

    Encik penceramah menayangkan satu video, sepasang suami isteri muda bertelagah kerana tidak cukup wang untuk menampung perbelanjaan rumah tangga kemudiannya MENGUNGKIT jumlah hantaran berbelas-belas ribu yang diminta oleh si isteri dulu.  Thumbs up, Encik penceramah. Usai kursus, saya lihat mulai ada yang berfikir dan mencongak kembali tahap persediaan masing-masing.

Tips memilih pasangan.

Sebelum bertolak, mama sempat berpesan, “mudah-mudahan lepas kursus kahwin ni, jumpalah jodoh yaa..” Hehee..mama..mama..

Kata Ustaz yang berceramah, jangan meletakkan expectation yang terlalu tinggi terhadap pasangan. Jangan angkuh untuk menerima sebarang kekurangan, tetapi jadilah penyempurna terhadap kelemahan masing-masing.

Saya sebenarnya segan untuk elaborate frasa di atas. Bukan kepakaran saya.

Cukup untuk saya membuat kesimpulan sendiri dari slot ceramah ustaz tersebut, nanti cari bakal suami yang boleh menerima segala bentuk kekurangan, kelemahan, kenakalan, kekasaran, kedegilan,  kegarangan..(ya ALLAH, apakah semua ini! T.T)


    Pendek kata, saya bersyukur kerana Allah memberi peluang untuk menyertai kursus pra-perkahwinan Islam ini, meskipun saya belum ada sebarang perancangan mahu berkahwin dalam masa terdekat. Walaupun pada awalnya ada rasa terpaksa, di penghujungnya saya merasakan ada hikmah di sebalik ketegasan abah memaksa saya dan adik menyertai kursus ini. Sekurang-kurangnya kini kami tahu, bernikah itu perlu persediaan, dan persediaan itu bukanlah pada gerbangnya, tetapi pada isi rumah secara keseluruhannya. Rumahtangga itu dibina bukan dari material, tetapi melalui hati dan jiwa. Manakala hati dan jiwa yang mahu bernikah itu pula, perlulah dibajai dengan iman dan taqwa kepada Allah, barulah Allah kurniakan rumahtangga yang punya sakinah, mawaddah dan rahmah.


p/s : tulisan sekadar pengalaman menyertai kursus, bukan tanda bau-bau nasi minyak! :-p
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...