Sabtu, 8 November 2014

MAT : Menyusur arus

Bismillahirrahmaanirrahim..



Buat yang kesekian kalinya, Mesyuarat Agung Tahunan BKPSM berlangsung lagi. 

Meskipun dirancang ala kadar atas beberapa sebab, MAT yang kami nanti-nantikan sekian lama akhirnya tamat juga, tepat pada pukul 3.30 petang kelmarin.

Syukur kepada Allah, walaupun berdepan pelbagai halangan dan kesukaran, kami kini bisa menarik nafas lega setelah sah bergelar mantan. 

Setelah barisan AJKT sesi 2013/2014 dibubarkan, kami meninggalkan kerusi AJKT dan berdiri di barisan paling belakang. Saya dihampiri seorang sahabat yang bertanya, "Nurus, kenapa ndak bertanding jawatan TYDP III?" 

Saya senyum sahaja, lantas mengulangi gurauan sama yang sudah saya sediakan dari awal.

"Berilah peluang kepada orang lain pula. Kau ndak bosan kah tengok muka aku?"

Sang sahabat menokok, "alah, dulu tu Timbalan Setiausaha. TYDP III lah bah pula!" 

"Dah namanya Timbalan Setiausaha, tulis surat sajalah yang aku tahu. Kau suruh aku jadi TYDP III?! Ndak ngam lah!"

Sang sahabat terdiam.

Saya ikut diam, menyimpan kemas-kemas alasan sebenar lagi logik jauh di sudut hati. Biarlah saya dan anda semua sahaja yang tahu.

Ibarat menyusur arus, kita perlu tahu bila masa untuk bergerak ke kanan, bila masa mahu bergerak ke kiri. Apabila perlu mengelak batu, kita cuba untuk mengelak. Bila perlu melangkah besar, kita mesti melangkah juga.

Begitu kiranya alasan saya, saya mahu menyusur arus. Cukuplah selama dua sesi ini saya duduk bersama barisan pimpinan. Kali ini saya mahu bergerak melalui arah yang lain, bukan lagi membantu persatuan dengan mengelek fail, menaip kertas kerja dan menulis minit mesyuarat, kerana selama dua sesi ini saya terjerat dengan protokol kerja dan kekangan idea yang pegun, yang kurang menyumbang  dalam usaha transformasi yang kami canang-canang. Itulah masalah saya!

Untuk menggerakkan BKPSM, tidak bergantung pada usaha AJKT semata-mata. AJK kecil juga punya peranan besar yang lebih efektif dalam usaha menjayakan agenda transfromasi kita!

Kemudian, keputusan pilihanraya diumumkan. Kami bertepuk sorak dari barisan belakang, bila nama-nama yang kami kempenkan siang dan malam diumum sebagai penyandang jawatan sekian, dan sekian. Alhamdulillah, saya melihat satu kelompok generasi baru yang lebih kompetitif dan lebih bersemangat. Ketika mereka duduk di kerusi AJKT yang kami tinggalkan, saya seolah dapat melihat aura baru yang bakal mentransformasi BKSPM menjadi sebuah persatuan kebajikan yang lebih cemerlang.

Sebak, apabila saya dakap tubuh mantan TYDP III juga ketua WISA yang juga dua sesi berada dalam barisan AJKT. Kak Atul yang bakal pulang ke tanah air lagi beberapa hari itu teresak-esak di bahu saya. Saya menepuk-nepuk bahunya tanda faham. Hanya kami yang mengerti perasaan sayu yang hadir setelah dua sesi bekerja bersama-sama. Saya lantas teringat ketika Tuan YDP memberikan ucapan penutup, saya dan Kak Atul saling menggenggam tangan, apatah lagi ketika mengesan nada sebak dan hiba dalam ucapan penutup yang penuh makna. 'Sampai di sini sahaja kak, sampai di sini sahaja.'

Setelah barisan pimpinan dibubarkan, masing-masing mengangkat bahu, "fuh, ringan!" "Bebas, macam burung terbang di awan!" kata mantan Bendahari yang juga bakal pulang ke tanah air.

Ahh.. saya jadi sayu membaca mesej-mesej di grup whatsapp Majlis Tertinggi. 
Dan saya pasti bakal merindui kesibukan selama dua sesi ini. 

Apapun, segalanya demi menyusur arus. 
BKPSM tetap di hati saya, 

Timbalan Setiausaha dan Timbalan Ketua
Biro Sukan dan Kebudayaan.
Kini mantan.


Khusyuk mendengar permasalahan ahli.
Apapun, mengadu dulu pada AJKT ya!
Haip, apa tu?!


Barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi BKPSM, girl's power!
Ahli Jawatankuasa Tertinggi
Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir
Sesi 2013/2014

Isnin, 3 November 2014

BKPSM : Dilema Transformasi?

BKPSM, sebuah nama kecil yang meribat hati-hati anak bumi bawah bayu, yang merantau menadah ilmu nun jauh di tanah perlembahan Nil. BKSPM, ditunggaki 20 jiwa muda, memayungi hampir 300 ragam dan kerenah. BKPSM, untuk yang ketiga puluh dua kalinya, akan menyaksikan pertukaran tampuk kepimpinan, perubahan nahkoda dan awak-awak kepercayaan, namun masih membawa visi, misi, prinsip dan halatuju yang sama.

BKPSM, buat yang kesekian kali, mengulang putar skrip sama yang cuma diolah sedikit-sedikit saban tahun.

BKPSM kami yang berusia muda belia, sebenarnya masih lagi dihantui masalah yang sama setiap kali pertukaran barisan pimpinan. Setiap kali yang lama mahu berundur, atau merasakan bahawa sudah tiba waktunya untuk melihat generasi baru berdiri di podium sebagai ketua, pengarah ataupun sekecil-kecil tugas pengacara, maka kami akan mencari yang muda sebagai pengganti. Kata generasi lama, "giliran kalian pula." Namun yang muda terus-terusan menolak, terus-terusan berdalih dengan sejuta alasan klise. Justeru generasi lama terhenyak, tergagau mencari-cari gerangan siapa yang sudi berkorban dan berkhidmat demi BKPSM yang kami cintai ini.

Tipikal generasi baru yang merasa kononnya masih belum bersedia. Mereka berkata, "abang itu ada, kakak ini ada, mereka masih ada!" Ataupun mencipta alasan sama yang disepakati hampir setiap manusia. "Saya tidak pandai bercakap di hadapan khalayak, saya tidak pandai mengawal orang-orang bawah, saya tidak pandai jadi pengarah." Saya tidak pandai itu, saya tidak pandai ini.

Yang tua terhenyak lagi, sakit kepala memikirkan cara membuang skeptikal firasat generasi baru yang cukup gemar beralasan tanpa berusaha untuk mencuba!

Saya juga tergolong dalam kalangan mereka, kalangan generasi lama yang sedang mengintai wajah-wajah baru untuk ditolak ke barisan hadapan.

Suatu malam saya mendatangani beberapa junior dan seorang teman serumah. Saya merisik-risik, mahu tahu pendapat mereka sekiranya dicalonkan untuk menyandang jawatan serta dikempen habis-habisan. Seperti biasa, tanpa jeda mereka menggeleng, juga habis-habisan. Saya menjadi antara generasi lama yang terhenyak sambil berfikir, 'Ya Allah, siapa lagi yang patut kami dorong kehadapan?'

Bilangan kami sangat sedikit jika dibandingkan dengan persatuan anak negeri lain. Justeru dalam kalangan yang sedikit ini, kami mengharapkan supaya ada ahli yang cukup besar jiwanya bagi mengemudi persatuan serta sanggup berkhidmat dengan ikhlas dan amanah. 

Kerja kita tidak bergaji, ya, tidak bergaji!
Malah adakalanya terpaksa melabur wang poket sendiri ketika melaksanakan tugas.
Namun, imbuhan pahala, pengalaman dan pelajaran yang diperolehi adalah cukup besar dan sangat bernilai, setidak-tidaknya bagi saya yang kerdil ini. Terlalu banyak yang dipelajari, bermula dari A hingga infiniti. Dari sekecil-kecil teknik menulis surat rasmi hinggalah kepada kemahiran mengatur program dan aktiviti. Segalanya terlalu berharga bagi saya, malah sudah tidak sabar mahu mengaplikasikan segala pengalaman ini di tanah air kelak.

Bagi mereka yang mendakwa diri mereka 'noob' dalam pengurusan organisasi, saya katakan kepada mereka bahawa semua orang bermula dari negatif. Dari tidak tahu apa-apa hinggalah boleh melakukan hampir semua perkara. Tiada manusia yang sejak dilahirkan sudah hebat memimpin dan petah berkata-kata. Segalanya bermula dari bawah, begitu juga dalam proses mengasah kemahiran dalam berpersatuan.

"Saya malu untuk bercakap di khalayak ramai."
Kami tidak mendesak anda untuk bercakap di khalayak ramai. Itu kerja pemidato, kerja penceramah. Seorang ketua tidak semestinya hebat berucap berdegar-degar. Yang penting adalah kemampuan memimpin dan mengatur, merancang dan mengurus. Bercakap di khalayak ramai? Saya melihat kemahiran bercakap itu sering datang secara automatik. Kalau tidak pun, anda sendiri akan belajar dari persekitaran anda. Ingat, pemimpin adalah manusia-manusia hebat yang duduk dalam kalangan manusia-manusia hebat. 

"Tapi saya tidak hebat!"
Bagaimana anda begitu pasti bahawa anda tidak hebat sedangkan anda sendiri belum pernah menilai kemampuan diri anda?
"Saya sudah menilai diri saya. saya tetap tidak mampu."
Cuma ada satu cara untuk menilai kemampuan diri; mencuba dan berusaha, Mengalah dan memberi alasan bukan proses penilaian diri, sebaliknya merupakan langkah berputus asa!

"Saya tidak pandai mengatur dan mengurus."
Ramai orang menyangka bahawa menyandang jawatan bererti mereka akan melakukan semuanya. Mereka menyangka bahawa segala tugas terbeban di bahu mereka. Mereka lupa bahawa apabila seseorang itu bergelar ketua, maka dia perlu mencari tangan-tangan yang bertugas untuk membantu dan menyokong. Anda punya ahli jawatankuasa, maka berikan kepercayaan kepada mereka untuk melaksana dan mengurus. Anda cuma perlu bertindak sebagai penyelia, penasihat dan pemerhati. Semuanya tugas anda? Segalanya tanggungjawab anda? Dunia kepemimpinan tidaklah sekejam itu!

Bermacam-macam lagi alasan yang diberikan. Takut, risau, dan alasan yang paling popular; tidak pandai memimpin.

Sekali lagi saya mengingatkan bahawa hidup berpersatuan ibarat hidup berkeluarga. Akrabnya bagai isi dengan kuku, rapatnya bagai teman karib yang sudah kenal bertahun-tahun, prihatinnya ibarat keluarga dekat yang berkongsi segala rasa. Apabila anda berdepan masalah, anda tidak akan sesekali dibiarkan terkontang-kanting. Teman-teman sejawatan akan sentiasa ada menghulurkan bantuan, sekurang-kurangnya nasihat. Kerana itu anda melihat presiden mana-mana negara sentiasa dibantu oleh jemaah menteri yang memegang pelbagai portfolio, dinasihati dalam semua keputusan, malah dibangkang bertujuan untuk menegur dan memperbetulkan.

BKPSM kita yang muda dan hambar, saya berharap saya sempat menyaksikan kesan transformasi yang dicanang-canang Ahli Jawatankuasa Tertinggi. Bukan sekadar perubahan dalam konteks gerak kerja semata-mata, tetapi juga perubahan cara berfikir. Ahli BKPSM perlu berubah, perlu ikut menyonsong arus. Bukannya kekal di tampuk lama, cuma tahu mengkritik dan menegur tetapi enggan terjun bersama melakukan perubahan. Bukannya hanya mahu menjeling apabila tidak berpuas hati, tetapi berani menegur melalui medium musyawarah yang berhikmah lagi menjaga maruah!

Jangan biarkan transformasi ini bertukar menjadi dilema. Apabila kita mahu mengubah sesuatu, kita yang terlebih dahulu perlu berubah. Transformasi perlu diteruskan, bukan dengan mengikat kaki dan tangan orang lama yang sudah lelah, tetapi mendorong orang baru yang punya idea segar dan sudut pandang yang lebih luas visi dan misinya.

Saya turut berharap akan tiba masa dimana ahli BKPSM sudah berani menawarkan kudrat sendiri. Sudah mahu berkata 'OK' apabila dicalonkan untuk bertanding jawatan AJKT. Tidak perlu lagi dikejar-kejar, dipujuk dirayu malah digula-gulakan dengan pelbagai jaminan dan janji-janji. Transformasi juga bermaksud membuang segala sikap keanak-anakan, berubah menjadi lebih matang dan berusaha keras untuk mendepani amanah dan tanggungjawab yang diberi. Tiada lagi episod menandatangani borang pencalonan dengan syarat dan skrip 'kalau dia tandatangan, baru saya tandatangan!'



4 November 2014,
12. 33 pagi,
Sejam selepas menghantar tiga borang pencalonan Majlis Tertinggi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...