Khamis, 30 Disember 2010

YaNg PaLiNg JaUh ItU IaLaH....

Teringat tatkala diberi taklifan untuk berbicara sedikit pada sesi Tuhfatul Mar'ah baru-baru ini.. Pada mulanya diri merasa gentar, namun pabila teringat diri ini pernah menasihati seorang sahabat, 'Buat apa nak takut? Ni baru di sini, belum lagi balik ke Sabah nanti.. Rilek la, mesti boleh punya..' aku termangu sendiri. Untuk apa aku gentar? Dakwah tetap dakwah!!

Sejak pagi aku memerah minda, mencari-cari topik yang perlu diulas. Lantas idea menjelma setelah terpandang jam tangan hadiah pemberian ibu..

Imam Ghazali r.a pernah bertanya 6 soalan pada anak-anak muridnya. Salah satunya, yang membuatku terusik sedikit ialah soalan tentang apa yang paling jauh...

Apa yang paling jauh?? Matahari? Bulan? Bintang? Uranus? Pluto??

Yang paling jauh, hinggakan tiada siapa pun di dalam dunia ini yang mampu memperolehinya ialah MASA YANG TELAH BERLALU..


Jawapan yang sangat rasional, tidak tersangkal dan telah mengajak akal cetek ini untuk berfikir seketika lantas dikongsikan bersama sahabiah dalam sesi TM yang lalu..

Sekaya mana pun seorang manusia itu, lantas dibelanjakan hatta berbilion dolar sekalipun, untuk kembali ke masa silam, tetap tiada gunanya. Setinggi manapun penyesalan atas sesuatu tindakan, lalu diri berharap agar masa bisa berundur ke belakang untuk diubah segala tingkah, tetap jua sia-sia..

Jadi, jelaskan??? Betapa berharganya masa yang diberikan Allah pada kita....
Justeru, kenapa disiakan? Kenapa dibazirkan? Kenapa dihambur-hamburkan masa itu seolah-olah ianya ibarat debuan halus cuma? 

Benarlah kata pujangga arab,
MASA IBARAT EMAS.
MASA ITU IBARAT PEDANG, JIKA KITA TIDAK MEMOTONGNYA, MAKA IA AKAN MEMOTONG KITA.

Kadang diri terfikir, bertahun-tahun menghirup nafas di bumi bertuah milik Allah ini, untuk apakah agaknya usia ini dilaburkan??
Belajar?
Beramal?
Berdakwah??
Atau...
Bersuka ria??

Satu senario yang LUMRAH pada hari ini,
"Nanti-nantilah buat baik, sekarang ni enjoy dulu.."
"Alaa..kita kan muda lagi, rileklah. Dah tua nanti, bertaubatlah.."

Tanpa menyedari bahawa ajal itu akan tiba pada bila-bila masa..
"Dan bagi setiap umat itu ada ajal. Apabila tiba ajal itu, maka tidak akan dapat ditunda mahupun dipercepatkan, walaupun sesaat.."Al-A'araf, 34.

Andai usia yang berharga ini, digunakan pada perkara yang tidak sepatutnya, kelak pasti akan timbul penyesalan. 
"Ya Allah, menyesal aku x belajar bersungguh-sungguh..Kalaulah masa dapat berputar kembali..."
"Ish..kenapalah aku banyak main dulu. Kan bagus kalau aku tumpu study.."
"Kalaulah aku sedar dari awal, tentu takkan jadi sampai macam ni..."


Agaknya, mampukah masa itu diulang kembali, seperti kita merewind kembali cd atau dvd?
Atau dapatkah kita menggunakan mesin masa, seperti mana yang digunakan Doraemon dan rakan-rakannya? (^_^)
Atau kalung pemutar masa pemberian Prof. Mc Gonnagal pada Hermione Granger dalam Harry Potter and The Prisoner of Azkaban?? (^_^)

Kita hidup dalam zaman realiti, yang mana masa lampau itu tidak dapat berputar kembali. Lalu, berpesanlah pada diri sendiri, agar tidak menyiakan usia dan masa yang diberi. Laburkan usia pada jalan mujahadah, moga hidup sentiasa beroleh berkah. Andai dilalaikan oleh godaan dunia, menyesal kelak tidak lagi berguna. Lantas beringatlah, moga tidak terhantuk lalu terngadah.

Jangan lupa, yang paling jauh itu bukan mentari yang menyinar, apatah lagi bulan yang bercahaya.
Bukan bintang yang berkerdip, apatah lagi langit yang tak terjangkau..
Yang paling jauh itu ialah masa yang telah berlalu.
Justeru gunakanlah masa yang ada tersisa dengan penuh bijaksana..

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan yang beramal soleh, serta saling berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran.." Al-Asr, 1-3

-BintulQaryah-

Jumaat, 24 Disember 2010

Siapa Aku???

Siapa aku??
Sering kali persoalan ini menerpa sudut nubari ku..
Tertanya-tanya diri ini, siapa aku sebenarnya??
Lalu, dalam sebuah program ilmu kutemui satu jawapan ringkas.
Cukup untuk menggambarkan dengan jelas,
Siapa aku..dan siapa kita...

'AKU SEORANG ISLAM'
Mudah sahaja jawapannya..
Mungkin ada orang yang akan tertawa, menuduh jawapan ini sebagai klise, ketinggalan zaman, kolot dan sebagainya. Namun, jauh di sudut atma ini berbisik megah, 'andai ada yang bertanyakan soalan ini, dengan bangganya aku akan menjawab, 'AKU SEORANG ISLAM'..

Mengapa? Kenapa? Bagaimana?

ISLAM itu ibarat pohon berdahan 3. Dahan yang pertama ialah Syariah. Dahan kedua pula ialah Ibadah. Manakala dahan ketiga ialah Akhlak.. Pada setiap dahan ada ranting-ranting kecil yang menggambarkan keseluruhan keperluan hidup manusia..

AKU SEORANG ISLAM. Cukup untuk menjelaskan segala jawapan yang menggambarkan tentang diri kita. Melalui ISLAM tergambar bahawa kita ialah seorang manusia, seorang hamba kepada Sang Pencipta, seorang anak, seorang pelajar, seorang itu, seorang ini dan bermacam-macam 'seorang' lagi..

Buktinya..
1) Seorang manusia : Jelaslah, bahawa kita adalah manusia. Dikurniakan akal dan anggota badan yang sempurna. Bisa berbicara, mendengar, berfikir dan mencipta.. Jadi, dengan menjawab 'AKU SEORANG ISLAM', jelaslah bahawa kita seorang manusia.. Meskipun semua makhluk Allah seperti tumbuhan dan haiwan itu bisa berzikir pada yang mencipta mereka, mampukah mereka menjawab 'AKU SEORANG ISLAM' apabila ditanya oleh seorang manusia?? Jadi, bersyukurlah kerana dicipta sebagai seorang manusia...

2) Seorang hamba : Tercatat dengan jelas dalam Al-Quran yang tidak ada keraguan padanya : Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepada Ku..(AzZaariyat:56)... Manusia memang diciptakan untuk mengabdikan diri dan beribadah kepada Allah SWT.. Jadi, dengan hanya menjawab 'AKU SEORANG ISLAM', tergambar juga bahawa kita adalah hamba kepada Allah SWT..

3) Seorang anak : Dalam Islam, kita dituntut untuk memuliakan ibu bapa, berbicara dengan mereka menggunakan perkataan yang lemah lembut, malah salah satu bekal yang tidak putus bagi seorang manusia ialah doa dari anak-anak yang soleh.. Jelas kan,..Kalau kita menjawab 'AKU SEORANG ISLAM', yang benar-benar beramal dengan Islam, pasti kita akan menjadi seorang anak yang soleh dan solehah...

4) Seorang pelajar : Islam menuntut semua manusia untuk menuntut ilmu, dan menuntut ilmu itu tidak terhad pada konteks formal sahaja. Berfikir dan menghayati keindahan penciptaan alam semesta juga boleh dikatakan sebagai menuntut ilmu. Jadi, cuba hayati firman Allah SWT dalam surah Al Mujadilah ayat 11 yang bermksud : "Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat".. Malah Islam sendiri menganjurkan umatnya untuk menuntut ilmu biarpun hingga ke negara China... Jadi, jawab sahaja 'AKU SEORANG ISLAM', tergambarlah bahawa kita juga merupakan seorang penuntut ilmu..

Dan banyak lagi sebab mengapa kita perlu jawab 'AKU SEORANG ISLAM'. Kalau hendak dirungkaikan semuanya mungkin mengambil masa yang agak lama...
Islam itu kan indah, mencakupi seluruh aspek kehidupan.. Malah termaktub dalam Kalamullah bahawa tiada agama lain di sisi Allah selain agama Islam...

Jadi, buat apa beri jawapan lain sekiranya ada jawapan mudah yang tepat dan bernas?? Malah, jawapan sebeginilah yang diberikan umat Islam ketika Islam menguasai 2/3 dunia... Sekiranya mereka ditanya, SIAPA KAMU? Dengan bangga mereka menjawab, AKU SEORANG ISLAM...

Selamat beramal semua... (^_^)

Isnin, 22 November 2010

Bicara Tentang Korban..

"Dan bagi setiap umat telah kami syariatkan penyembelihan (kurban), agar mereka menyebut nama Allah atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. Maka Tuhanmu ialah Tuhan Yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepadaNya. Dan sampaikanlah (Muhammad) khabar gembira kepada orang-orang yang tuduk patuh (kepada Allah)" Al-Hajj:34
    Zulhijjah menjelma lagi. Umat Islam dilihat sejak sebelum ketibaan Zulhijjah, telah membuat pelbagai persediaan. Bagi yang berada di Tanah Suci Mekah, pastinya sedang berbahagia dan bergembira kerana berpeluang menjadi tetamu Allah. Bagi yang berada di tanah air, lumrahnya persiapan dibuat tidak semeriah sambutan Aidilfitri. Bagi yang hendak melaksanakan korban, pastinya penternak haiwan-haiwan korban telahpun dikunjungi. Di Mesir juga, sejak beberapa minggu yang lalu, jalan-jalan raya telah mula dihuni oleh pengunjung baru; biri-biri. Kenapa tiba-tiba, biri-biri dalam bilangan yang banyak boleh berada di atas jalan raya? Persoalan pertama menerpa benakku yang baru beberapa bulan bermukim di sini. "Untuk dijual, kan Aidiladha dah dekat.. Nak buat korban lah tu.." Jelas seorang ukhti. "Ooh.." Baru faham..
    Ada apa dengan KORBAN? Cukupkah sekadar menumbangkan lembu, kambing dan kerbau bermula selepas solat sunat Aidiladha hingga tamat hari Tasyrik? Atau sekadar membayangkan hidangan lauk pauk hasil korban yang pastinya menggamit selera? Emm...
    Sejak dahulu, umat Islam sering dikisahkan tentang korban. Bermula dari zaman Nabi Adam Alaihissalam hinggalah ke hari ini, masyarakat tidak henti-henti dihadapkan dengan kisah korban yang pelbagai. Namun, persoalannya, adakah masyarakat hari ini mampu menghayati istilah 'KORBAN' itu dalam konteks yang sebenarnya? Atau adakah masyarakat hari ini memandang  'KORBAN' itu melalui kacamata 'Hari Raya Aidiladha' semata-mata?
    Bermulanya sejarah korban ini pada zaman Nabi Adam Alaihissalam, ketika mana Habil dan Qabil diminta untuk mempersembahkan hasil tani mereka kepada Allah sebagai korban. Umum mengetahui bahawa kedua-dua mereka mempersembahkan hasil tani dalam bentuk yang sangat berbeza. Habil memilih hasil tuaian gandum miliknya yang subur dan terbaik manakala Qabil pula memilih kambing biri-biri yang kurus dan jelik. Ketika mana korban mereka diletakkan di puncak bukit, akhirnya korban Habil yang dipilih, lantaran keikhlasan dan ketulusan hatinya dalam mempersembahkan korbannya semata-mata kerana Allah Taala. Timbul amarah dalam atma Qabil dan ketika Habil dijodohkan dengan Iqlima, dendam yang berbuku makin menebal dan akhirnya Habil menjadi 'KORBAN' hasad dengki yang pertama sejak kewujudan manusia di muka bumi.
    Kemudian, kisah 'KORBAN' teragung yang terjadi setelah nabi Ibrahim Alaihissalam didatangi mimpi yang menyatakan perintah Allah untuk menyembelih putera baginda yang tercinta, Nabi Ismail Alaihissalam. Kisah 'KORBAN' ini menjadi satu simbol keagungan Islam hingga ke hari ini, betapa cinta pada Allah itu mengatasi cinta pada yang lainnya, hatta putera yang diharapkan menjadi penyambung zuriat dan penerus jihad dalam memperjuangkan dienul-Islam yang tercinta. Dengan penuh redha dan tawakkal, sang ayah mengkhabarkan berita itu kepada sang anak. Syukur, berkat yakin akan janji Allah, sang anak terus menyanggupi perintah besar itu. Namun, sungguh Nabi Ibrahim tidak menyangka, jasad sang anak yang hampir-hampir disinggahi pedang tajam miliknya, secepat kilat ditarik dan digantikan Allah dengan seekor kibas. Subhanallah.. Akhirnya, peristiwa bersejarah inilah yang kita nantikan pada tiap-tiap tahun untuk diperingati, untuk disyukuri dan untuk diambil iktibar darinya.
    Bukan itu sahaja, pengorbanan Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar Islam juga menjadi intipati perjuangan Ummah pada hari ini. Betapa kekasih Allah ini sanggup berkorban segalanya, termasuklah keselesaan hidup yang dijanjikan para pemerintah masyarakat jahiliah semata-mata untuk melaksanakan amanah sebagai pemimpin Ummah akhir zaman. Tiada ratapan pilu mengenangkan keadaan hidup yang serba kekurangan, apatah lagi tangisan hiba menyesali kehilangan demi kehilangan. Rasulullah, sebagai Uswatul Hasanah benar-benar mengajar kita erti 'PENGORBANAN' sebenar.
    Begitu juga pengorbanan para sahabat dalam menjulang keagungan Islam tanpa pernah menoleh ke belakang. Bagi mereka, biar terKORBAN jiwa dan raga, harta dan keluarga, asalkan jangan Islam jadi taruhan. Biar syahid dalam ghuzwah memerangi jahiliah, jangan 'mati' dalam alunan irama dunia yang melalaikan. Biar mereka berlapar, yang penting kekufuran dapat ditentang. Tidak lupa juga srikandi-srikandi terdahulu yang terlakar kisah PENGORBANAN mereka dalam lipatan sejarah. Betapa luhurnya hati Fatimah memberikan kalung mutiara miliknya kepada seorang pengemis semata-mata kerana mengharap redha Allah. Sungguh tegarnya jiwa Asma' binti Abu Bakar yang sanggup meredah kedinginan sahrawi, dalam tusukan bahaya yang pasti menubir pada bila-bila masa, demi menghantar sedikit makanan buat sang ayahanda dan KekasihNya. Tidak ternilai juga pengorbanan Sumayyah yang rela mati asalkan tidak menggadai akidah luhur yang tersemat di sanubarinya.
    Namun, sedar tidak sedar, adakah pengorbanan mereka yang disebutkan di atas benar-benar menjadi modal perjuangan Ummah hari ini untuk terus bekorban demi agama? Dalam kegentingan dunia yang menyaksikan betapa teganya Ummah hari ini menjual agama sendiri demi sesuap nasi, sedangkan Rasulullah pada saat-saat kewafatan Baginda masih menyebut Ummati..Ummati..Ummatiii, adakah wajar jikalau kita hanya memandang kisah PENGORBANAN mereka semua cuma sebagai satu sejarah? Atau masihkah kita sanggup memandang kososng terhadap fenomena muda-mudi kita yang sanggup MENGORBANKAN maruah dan harga diri demi cinta dunia sedangkan di zaman sahabat para remaja berkorban demi syahid di medan ma'rakah?
    Usah ditanya lagi kerana itulah realitinya. Penghayatan korban itu bukan pada menumbangkan kambing, lembu, unta dan sebagainya, tapi pada sejauh mana ibadah korban itu mempengaruhi cara hidup kita, ibadah kita, taqwa kita dan paling penting, iman kita. Bukan juga untuk berlumba korban siapa paling besar, paling mahal atau paling banyak tetapi adakah korban kita itu diterima Allah? Ikhlaskah korban yang kita lakukan? Atau sekadar untuk menunjuk-nunjuk semata-mata? Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hajj, ayat 37,    
"Daging (haiwan korban) dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya adalah ketaqwaan kamu..."

Salam Aidiladha 1431 hijriah.                                                                                                                     Wallahu Taala A'lam. Wassalam..

Rabu, 10 November 2010

Akhirnya..

Dalam syahdu rindu,
Meratib langkah demi langkah,
Bernyanyi satu nama,
Merdu lagi indah,
Gemersik menyeru atma,
"Kemarilah..ini impianmu..'

Dalam sendu lagu,
Memenjara denyut sukma,
Meneriak satu kisah,
Meracik kagum dan pesona,
Memanggilku mendekat,
"Kemarilah, di sini cintamu.."

Dalam syair keliru,
Merobek kalbu dalam tangis,
Menari satu wajah,
Lautan sahrawi nan berdebu,
Dalam dataran cetera anbiya,
Seolah menanti aku.

Saat ku berpijak,
Setelah ku rentas sempadan benua,
Setelah ku seberangi beza waktu,
Sungguh,
Nyanyian syair yang menari,
Ada di hadapanku kini,
Mendepa dakapan alfu mi'zanah,
Menagih tiris mutiara suci,
Menyambut ku tiba.

Kaherah,
bertahun kau menjadi kalam mimpiku,
Coretan di ambang lena,
Catatan di senggang waktu,
Raikan aku dengan cintamu, Kaherah!
Biarkan aku bertamu,
Mengabdi kasih di dataranmu,
Ardhil Kinanah,
Impianku..

Baru bertatih, masih cuba untuk melangkah..

Sekelumit cuma perkongsian, buat ikhwah dan akhawat yang masih dan sedang mencari diri..
Harapnya jangan dipandang pada yang berbicara, tapi nilailah pada yang dinukilkan..
Diri ini baru bertatih, dan masih cuba untuk melangkah. Kiranya diri ini tersimpang, tersalah jalan atau terjatuh, moga ada yang sudi memperbetulkan tingkah diri yang dhaif ini.
Moga kita terus tsabat dalam mencari redhaNya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...