Selasa, 23 Ogos 2011

Ramadhanku di Kaherah #9 : Sabarlah.. kenapa Lemah?

    22 Ramadhan, aku dan beberapa orang ukhti mengunjungi Pasar Hussain, sebuah pasar yang sangat terkenal dalam kalangan pelajar Malaysia lantaran harga barang-barang seperti pakaian, dan perhiasan dijual dengan harga murah. Kami bertolak usai solat zohor, menaiki tremco ke Dui'ah dan dari Dui'ah menaiki tremco lagi ke Pasar Hussain. Cuaca agak panas, dengan suasana yang amat sesak dengan keberadaan pengunjung-pengunjung lain.

    Misi kami, cari dan beli jubah! Dari satu kedai ke kedai lainnya kami menjenguk, belum ada yang berkenan di hati. Terik mentari menyebabkan dahi berkerut-kerut, namun kerutan itu hilang apabila mendengar para peniaga mempromosikan barang jualan kepada kami dalam Bahasa Melayu.

~Harga murah..harga murah.. tiga puluh lima ringgit..
~Harga percuma..harga percuma.. sepuluh pound saja..
~Harga mati..harga mati...harga gila..
~Murah gila..murah gila..tidak mahal..tidak mahal..
~Selamat datang, beli ini jubah harga murah...

    Pekikan mereka sungguh mencuit hati. Dalam kesesakan yang luar biasa, ditambah dengan cuaca panas yang luar biasa, nada suara mereka masih seperti biasa. Bersemangat dan ceria. Kadang kami tidak mengendahkan, lantaran barang yang dipromosi bukan dalam senarai kehendak kami. Namun mata ini pasti akan mengerling mereka sambil berfikir "Diorang tahu kah apa yang diorang cakap tu?"

    Langkah diteruskan, semakin jauh perjalanan namun belum ada sehelai jubah pun yang kami berkenan. Padahal gerak kakiku sudah mulai perlahan, aku mula longlai. Cuaca panas ini menyebabkan aku jadi sangat lemah. Namun enggan merisaukan yang lain, langkah ku atur sepantasnya. Sampailah ke penghujung Pasar Hussain, kami berempat menyeberang pula ke Atabah. Tujuan masih sama, mahu beli jubah yang murah dan lawa!

    Alhamdulillah, hajat terlangsai sudah. Sehelai jubah sedia berbungkus plastik hitam, kusumbat ke dalam beg galas yang sering jadi teman setia. Kami pun berpatah balik ke Hussain, kehendak sudah terlaksana, tentu mahu segera kembali ke rumah. Namun entah mengapa kesesakan manusia menjadi sangat luar biasa. Aku ditolak dari belakang, sedang yang didepan juga masih bersesak mahu melewati lorong sempit yang dihimpit meja-meja jualan. Ya Allah, aku terpijak hujung jubah hitamku, dan hampir sahaja aku tersungkur jatuh.

    Kerana terlalu diasak dari bahagian belakang, aku terpijak selipar seorang pemuda yang berada di hadapanku. "Ma'alisy." Aku mohon maaf. Aku cuba kecilkan langkahku, supaya tidak lagi terpijak selipar pemuda itu. Namun manusia-manusia di belakang ku menolak dan mendobrak tubuh kecil ini hingga aku terpijak lagi selipar pemuda tadi. Pemuda itu menoleh, "Ma'alisy..ma'alisy.." Kataku lagi. "Ma'alisy?!" Pemuda itu geram barangkali, dia menarik bahuku dan menyuruh aku berjalan dahulu. Aku terdorong ke hadapan hingga terlanggar seorang nenek tua yang mengusung barangan di atas kepala. Barangan nenek itu hampir terjatuh. "Yalla!!" Sergahnya padaku. Aku menunduk, lantas melajukan rentak langkah. Dalam hati mula marah. Arggghhhh!! Mujur sabar masih tersisa, lalu aku teruskan langkah secepatnya tanpa menyedari ukhti-ukhti yang bertiga itu terlalu jauh ketinggalan di belakang.

    Sabar..sabar...sabar... Aku memujuk hati sendiri. Cuaca panas terik ditambah dengan keletihan dan rasa geram membuatkan kemarahan hampir meletus. Mental dan hati ini memang lemah, lemah sangat. Hingga hampir sahaja kalah dengan nafsu.. Lantas teringat satu hadis :

Dari Abu Hurairah ra, bahawasanya seorang lelaki telah berkata kepada Nabi Muhammad SAW. “Berilah wasiat kepada aku”. Sahut Nabi : “Janganlah engkau marah”. Kemudian dia mengulangi beberapi kali. Sabda nabi: “Janganlah engkau marah.” Riwayat oleh Imam Bukhari.

MasyaAllah.. Ramadhan ini, nafsu marah itu masih ada rupanya. :-(

    Seorang ukhti bertanya, "Balik naik apa?" "Teksi." Laju aku menjawab. Mata sudah mula kuyu, dan kaki benar-benar seakan tidak mampu untuk menampung tubuh yang terasa makin berat. Di dalam teksi, aku tersandar lesu. Keletihan benar-benar menyebabkan aku lemah. Kemudian ukhti tadi berkata, "hmm.. ni kita, kalau sahabat-sahabat Rasulullah tu, bulan puasa angkat senjata pergi berperang, boleh menang lagi. Kita ni, baru pergi Hussain dah macam nak pengsan."

   Aku terkedu, dan terdiam. Benar kata ukhti tadi. Baru ke pasar Hussain, panasnya pun tidaklah seberapa, bawa barang pun bukannya berat, tapi sudah mengeluh keletihan. Tapi sahabat-sahabat Rasulullah dalam Perang Badar, di bulan Ramadhan sambil mengusung senjata berjaya memenangi perang pertama dalam Islam itu. Aku? Nyatalah lemahnya aku.. 
Padahal mukmin yang lemah itu...

Dari Abi Hurairah ra, katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alayhi wasalam): Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai olih Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah, dan sekiranya suatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya “KALAU” membuka amalan syaitan.
 (Hadis Riwayat Muslim)
 
    Jadi, jom kuatkan fizikal mental dan hati, supaya dapat mengharungi Ramadhan yang berbaki beberapa hari lagi dengan penuh bergaya... (^_^) 
 
~BintulQaryah~
   

Sabtu, 20 Ogos 2011

Ramadhanku di Kaherah #8 : 10 Terakhir ini

~Uii... sepuluh terakhir Ramadhan sudah pula ni~

    Masa berlalu begitu pantas, seakan kuda yang berlari kencang tika cemeti mendarat di tubuhnya.. Terasa seperti baru semalam Ramadhan bertamu ziarah, tetapi hakikatnya cuma berbaki 10 hari sahaja lagi sebelum Ramadhan meminta diri..

    Alhamdulillah, syukur kerana Dia masih mengizinkan roh ini terus kekal di dalam jasad, membenarkan hela demi hela nafas dan memberi kesempatan untuk diri ini terus menjamah nikmatNya yang tiada batas. 20 Ramadhan 1432 h, meladeni hari-hari penuh dengan pengisian dan program bermanfaat..

    Semua orang sedang sibuk berlumba-lumba mengerjakan kebajikan, berebut-rebut mengisikan pahala ke dalam tabung amalan, bersengkang mata menelaah firman-firmanNya dan menghadap-Nya tanpa ada rasa lelah. Terasa meriah pula, seperti camar-camar yang sengit bersaing di angkasa, lalu terbang laju menjunam ke bumi demi menyambar rezeki yang dikurniakan-Nya.

    10 hari terakhir ini, 10 terakhir paling dinantikan oleh mereka-mereka yang dahagakan rahmat dan cinta Allah. Ketika yang lain sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri, menukar segala yang lama kepada yang baru (kekadang cuma demi pujian insan lain), menyediakan itu, menyiapkan ini,  mereka-mereka yang dahagakan rahmat dan cinta Allah ini menyibukkan diri dengan ibadah dan amalan yang ikhlas kerana-Nya. Diri tertanya-tanya, dengan amalan yang tidak seberapa, dosa pula sentiasa ada, layakkah diri ini bertemu dengan malam yang mulia ini?

*****

"1) Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Qur'an) pada malam qadar. 2) Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? 3) Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. 4) Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. 5) Sejahteralah (malam itu) sampai terbit fajar."
~Surah alQadr, ayat 1-5.

*****

     Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.

Kehebatan Malam Al-Qadr

    Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Lailatul Qadar seperti berikut :-

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;

Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai'd Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi.  (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )

2) Di tuliskan pada malam tersebut "qadar" atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِين

Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)


Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang,  rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan
Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki  (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138).

Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57).

Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah BERSEDIA untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?

Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yag diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar 'bodoh' oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.

Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu 'shopping' dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.

Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-

وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر
 

Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah "beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul Qadr ( selain bulan Ramdhan)  ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta' membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami' Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).

Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.

Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;

Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)

Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.

(sumber dari Zaharuddin.net)  
*****

    10 Ramadhan lalu, aku dan sahabat-sahabat dikejutkan oleh berita kembalinya ke rahmatullah ayahanda kepada seorang lagi sahabat. Hati diketuk-ketuk rasa simpati, memikirkan pada hari itu juga sebenarnya merupakan tarikh keberangkatan pulang sahabat berkenaan ke Malaysia. Seorang rakan berkata "Kalaulah tunggu sehari lagi, sempat juga dia jumpa ayah dia kali terakhir..." Allah...bukankah ajal maut dibawah kekuasaanNya? Siapa kita untuk mempersoalkan detik waktu tibanya ajal itu? Allah berfirman : "Dan bagi setiap umat itu ajal. Apabila tiba ajal maka tidak dapat dilewatkan ataupun dipercepatkan meskipun sesaat." Ingat.. Dia yang Menciptakan, dan Dia juga yang Mematikan...

    10 hari terakhir ini, sudah mula benak ini bertanya pada empunya diri, "sempatkah kita bertemu Ramadhan tahun hadapan?" Tiada siapa yang tahu bila ajal akan bertamu, lantas 10 hari terakhir ini sewajarnya dimanfaatkan sebaiknya, untuk mengaut semaksima mungkin imbalan pahala...

Salam 10 terakhir Ramadhan..

Jom cari Lailatul Qadr!! (^_^)
~BintulQaryah~

Rabu, 17 Ogos 2011

Ramadhanku di Kaherah #7 : Sahur bukan susah...

Assalamualaikum warahmatullah...

    18 Ramadhan 1432 h, Alhamdulillah diri masih punya kekuatan untuk melalui hari-hari mendatang yang penuh cabaran.. Usai bersahur dan solat subuh, kitab suci itu ku telaah beberapa lembar. Mata mulai kabur, lantaran sejak semalam sepasang mata ini kupaksa untuk menghadap komputer riba, menyelesaikan satu tugasan yang sudah lama tidak ku lakukan. Kerja-kerja itu..ah...kata seorang rakan ketika aku khusyuk ber'dating' dengan desktop Cikgu Shidi di bilik IT,  "It looks like this job suits you well.." Perghh.. zue, rindu gila kat haaangg...

*****

Todays topic, SAHUR!!

"Kakak..kakak.. bangun sahur..." ~ Mama

"Oii kak.. bangunlah, sahur.." ~ Angah

"Kakak tua.. tiduuur ja. Bangun sahur..dush..dush.." ~ Abang

"Kinah... weii..bangun sahur la weii.. kang gastrik aku jugaaak yang susah.." ~ Zue

    Dahulu, suara-suara inilah yang akan ku dengar apabila tiba waktu bersahur. Kalau di rumah, since Abahku pantang melihat kami adik beradik tidak bersahur, maka aku yang mudah kecut perut dengan Abah pun secepat kilat (mengalahkan kilat sebenarnya) bangun dari katil. Tapi bila di asrama, sebaik sahaja makcik-makcik chef menekan siren dewan makan, aku secepat kilat juga menarik bantal dan menutup telinga. Mujurlah ada seorang sahabat, tidak pernah jemu mengejutkan aku untuk bersahur meskipun terpaksa menapak ke dormku yang terletak selang beberapa dorm dengan dormnya. Beletiaq (berleter) dan menarik kaki serta tanganku (dia tak kisah pun kalau aku jatuh) supaya bangkit segera.

Tapi di sini, memandangkan 3 orang 'budak kecik' tu dah balik Malaysia, menjelang waktu sahur,

".............................."

".............................."

Tiada siapa kejutkan aku! Huwaaa...

    Jadi, terpaksalah mata ini tidak lelap selepas bertadarus supaya tidak terlepas sahur, atau aku cuma akan terjaga bila sang muazzin melaungkan azan subuh! 

    Teringat ketika di SMAN dulu, pada hari ketika aku berdegil dengan rasa malas untuk turun ke dewan makan, hampir sahaja aku rebah ketika beratur untuk mengambil makanan untuk berbuka. Mujur ada sisa tenaga untuk aku cepat-cepat mencari kerusi untuk duduk, mengelak dari benar-benar rebah di dalam dewan makan yang riuh rendah. Mata kuyu, muka pucat, bibir kering dan tubuh lemah. Mak aiihh, itu di Kedah, yang ada hawa sejuk-sejuk sikit. Ni kat Mesir yang kering kontang lagi membahang ni, kalau aku tak sahur, rasanya apa akan terjadi?

    Bukan susah pun bersahur. Since Rasulullah pun dah bersabda, 
     
Daripada Anas Bin Malik RA berkata: Nabi SAW bersabda: '' Bersahurlah kamu maka sesungguhnya pada sahur itu terdapat berkat '' ~ Hadith Riwayat Bukhary & Muslim ~

    Memandangkan dalam sahur itu ada berkat, kenapa tidak cuba dikutip berkat itu?  Kalau jenis fizikal lembik (seperti aku) ni, sahur tu kan dah jadi seperti back up support untuk melalui beberapa belas jam tanpa makan dan minum. Jadi, bukan setakat berkat, ada faedah dan kebaikan juga untuk kesihatan.

    Sebiji tamar dan seteguk air pun jadi! Bukannya wajib makan nasi lauk ayam/ikan/daging.. makanlah apa-apa pun, yang penting sahur. Bersahur itu terhasil dengan memakan apa-apa makanan yang halal, atau meminum apa-apa minuman yang halal. Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang ingin berpuasa maka bersahurlah dengan sesuatu” (Riwayat Ahmad, disahihkan dengan syawahid).
    Tapi kan, ada satu fenomena yang sering berlaku, di mana ada individu menjadikan tidak bersahur sebagai alasan untuk tidak berpuasa. Ni siapa ajar ni? Tersalah cikgu ni.. Tengok dalam syarat sah puasa tu, ada tak tertulis di situ bahawa syarat sah puasa ialah dengan bersahur? Takde kan... Jadi yang pandai-pandai tu awatlah cek oii...

    Sahur itu adalah sunnah. Sekalipun ia tidak diwajibkan, namun amat-amat digalakkan. Bahkan ia dijadikan pembeza antara sahur muslim dan sahur Yahudi. Sabda Nabi s.a.w: 

“Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).

   Satu lagi kebiasaan, apabila ada yang sahur terlalu awal, seawal jam 2 pagi. Ada yang sahur ‘siap-siap’ sebelum tidur kerana malas hendak bangun. Ada yang jika bangun hampir waktu subuh, dia kata dah tamat waktu sahur, sekalipun belum azan lagi, dia tetap tak mahu sahur. Ni apa kes? Actually, kita disunnahkan untuk melewatkan sahur. Perkataan sahur itu sendiri merujuk kepada akhir malam atau sepertiga akhir malam. Ini seperti firman Allah:

“Pada waktu sahur mereka memohon keampunan” (Surah Ali ‘Imran: 17).
  
    Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya.

Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

    Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi s.a.w. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi s.a.w menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.

   Jadi, apa lagi? Buanglah sikap dan tabiat malas bersahur tu yerk. Bukan susah pun. Nasi putih dengan telur mata kerbau dengan kicap pun jadilah.. Takde beras? alaa, kurma pun boleh.. Sama-sama ambil berkat..

*****

p/s: biarpun tiada orang kejutkan, tetap cuba bangun sendiri. tak nak ponteng sahur!!

~BintulQaryah~

Ahad, 14 Ogos 2011

Ramadhanku di Kaherah #6: Jom jaga HATI

Bismillahirrahmaanirrahiim..

    15 Ramadhan 1432 h, syukur Alhamdulillah masih ada hela nafas tersisa dalam melalui hari-hari penuh barakah di bulan yang mulia ini. Suasana WYSK semakin hari semakin sunyi, dan aku sudah beberapa kali menyaksikan keberangkatan pergi mereka-mereka yang lain melalui jendela syaqqah. Dengan bagasi besar berisi oleh-oleh buat sanak saudara di kampung halaman, mereka tinggalkan sementara bumi Anbiya' yang padat dengan kenangan..

    12 Ramadhan lalu, aku ditaklifkan bersama seorang lagi ukhti untuk mengelolakan program usrah 'Halaqah Saidatina Aisyah' di kediaman ukhti-ukhti comel, Rabaah. Mulanya terasa diri sangat-sangat tidak mampu, namun Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Hari itu aku diberi tanggungjawab untuk membawakan beberapa potong hadis, lantas mengupas dan menghuraikannya. Maka melilau-lilaulah fikiran mencari idea, hingga terdetik dalam minda untuk berbicara soal HATI..

*****

Sabda Rasulullah SAW : Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam. Sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hinggas seluruh hatinya menjadi hitam. 
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

    HATI merupakan organ terpenting dalam tubuh badan manusia. Jika dilihat secara kasar,  HATI adalah satu elemen utama yang signifikan dalam kehidupan seseorang insan. HATI berada di dalam jasad, berwarna perang kemerahan dan terletak di bawah diafragma iaitu di dalam rongga abdomen. Secara analogikalnya, HATI boleh diibaratkan seperti raja bagi sesebuah negara. HATI mengawal tindak-tanduk dan tingkah laku seseorang manusia sepertimana seorang raja mengawal negaranya.



    Menurut Islam, HATI merupakan bahagian yang paling murni dan paling mulia yang berada dalam seluruh makhluk hidup yang mempunyainya. Orang kata, ikut hati mati, ikut nafsu lesu. Jadi, ikutlah akal. Namun, para ulama juga membahaskan mengenai tempat letaknya akal. Mereka bersepakat bahawa akal itu terletak di dalam hati, bukannya di otak. Allah Taala berfirman, 

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat berakal dengannya.” (QS. Al-Hajj: 46).

   Dalam jiwa seorang muslim, HATI secara kinayahnya bermaksud HATI yang mempunyai roh, jiwa dan perasaan, bukan seketul daging berwarna perang kemerahan semata-mata. Meskipun tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun semua muslim mengetahui bahawa di dalam HATI lah terletaknya IMAN. Bertitik tolak dari IMAN itu pula adanya NIAT, IKHLAS, TAQWA dan sebagainya. Sebagai satu sistem kawalan utama bagi jasad manusia, HATI tentunya memainkan peranan penting dalam menentukan tindak tanduk dan perlakuan seseorang itu. Justeru, apabila jasad dikawal oleh HATI yang didalamnya ada IMAN yakni percaya dan yakin akan zat dan kekuasaan Allah Taala, maka jasad tadi akan melakukan segala perbuatan yang menzahirkan keIMANan yang teguh di dalamnya. Tapi, seandainya HATI dipenuhi oleh titik dosa dan noda, maka jasad pun secara automatiknya akan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah semulajadi seorang hamba yang telah berbai'ah untuk patuh dan taat kepada Penciptanya.

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka akan baiklah seluruh anggotanya dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Ketahuilah, itulah hati".(muttafaq alaih)

    Bagaimana agaknya rupa HATI yang rosak? Mudah sahaja untuk kita mengenal pasti jasad-jasad yang terdapat didalamnya HATI yang rosak. Kita lihat sahaja pada tingkahnya. Andai akhlaknya cantik bagai mutiara di dalam cengkerang, bersinar-sinar bagai permata terkena panah mentari dan membuat sesiapa yang memandang terasa dekat dengan Allah Taala, maka jelaslah betapa indah kolam HATInya, betapa besar rasa takut dan TAQWAnya. Namun, jika akhlaknya jelik dan menggusarkan, perlakuannya mendatangkan rasa tidak senang hati dan menyebabkan sesiapa yang memandang merasa jauh dengan Rabbul Izzati, tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan HATInya.

    Oleh itu, HATI tidak dboleh dibiarkan mati, rosak, gelap, kering dan buta. Andai perkara-perkara sebegini terjadi kepada HATI kita, fikirkan sahaja bagaimana jasad kita akan merealitikan keadaan HATI kita ini. Mungkin sahaja kita menjadi seorang yang fasik, munafik, malah gemar melakukan maksiat. Tapi, bagaimana mahu jaga hati supaya tidak mati, rosak, gelap, kering dan buta?
  
1. Al-mujahadah (kesungguhan) dalam memperbaiki HATI.
    Allah Taala berfirman,  
“Dan orang-orang yang bermujahadah untuk (mencari keridaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami.” (QS. Al-Ankabut: 69)

2. Banyak mengingati mati dan hari akhirat.

    Rasulullah SAW bersabda :

أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ
“Perbanyaklah mengingat penghancur kelazatan, yakni kematian” (HR. Imam Empat kecuali Abu Daud)

3. Bergaul dengan orang-orang yang saleh.

     Dalam hal ini Nabi SAW bersabda sebagaimana dalam hadis Abu Musa Al-Asy’ari :

إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً

“Perumpamaan teman duduk yang baik dengan teman duduk yang jelek adalah seperti penjual minyak wangi dan pandai besi. Adapun penjual minyak wangi, maka mungkin dia akan memberikannya kepadamu atau mungkin juga kamu akan membeli darinya atau paling tidak kamu mencium bau wangi di sekitarmu. Adapun pandai besi, maka kalau dia tidak membakar pakaianmu maka paling tidak kamu mencium bau busuk di sekitarmu”. (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

4. Hatinya selalu terkait dengan Penciptanya dan Sembahannya.

    Ibnu Al-Qayyim berkata dalam Al-Wabil Ash-Shayyib : 

“Sesungguhnya di dalam hati ada wahsyah (sifat liar) yang tidak bisa dihilangkan kecuali dengan ketenangan dalam mengingat Allah, di dalamnya ada kesedihan yang tidak bisa dihilangkan kecuali dengan kegembiraan mengenal-Nya, dan padanya ada kefakiran yang tidak bisa dihilangkan kecuali dengan kejujuran tawakkal kepada-Nya, yang seandainya seseorang diberikan dunia beserta segala isinya niscaya kefakiran tersebut tidak akan hilang.” 

5. Amalan soleh dalam semua perbuatan

    Allah Ta’ala berfirman: 
 
“Barang siapa yang mengerjakan amal yang saleh maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa yang berbuat jahat maka (dosanya) atas dirinya sendiri.” (QS. Fushshilat: 46)

6. Memanfaatkannya (hati) sesuai dengan tujuan penciptaannya.

    Pernah ditanyakan kepada Ummu Ad-Darda` r.a tentang ibadah suaminya yang sering dia lakukan, maka beliau menjawab, “Berfikir dan mengambil pelajaran (darinya).”

7. Berzikir kepada Allah Ta’ala. 
    
    Allah Ta’ala berfirman: 
“Barang siapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Qur’an), Kami adakan baginya setan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (QS. Az-Zukhruf: 36) 

 *****
Syeikh Ibni Athoillah Iskandari pernah berkata :
 "Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan, juga tidak menyesal jika terjadi sesuatu perlanggaran dosa."

*****

    Jelas sekali, betapa pentingnya peranan HATI dalam kehidupan seseorang manusia. Sesuai dengan peranan HATI sebagai organ yang berfungsi mengawal aras glukosa darah dengan menyimpan glikogen di dalamnya, HATI juga berperanan penting mengawal akhlak dan perlakuan seseorang manusia. HATI bukan sahaja bertindak menyimpan vitamin dan garam mineral tertentu, bahkan juga HATI menyimpan NIAT tulus beribadah kepadaNya Yang Satu. HATI juga bukan sekadar bertindak menyahtoksik bahan-bahan beracun terutama dadah dan bahan-bahan bernitrogen seperti ammonia serta menyingkirkan hormon-hormon berlebihan, tapi HATI juga berfungsi menyahkan segala sikap-sikap mazmumah yang berkemungkinan besar menjadi hijab doa dan pengaduan seorang hamba kepada Tuhannya. 


    Bersempena dengan Ramadhan al-Mubarak ini, marilah kita bersama melakukan iman check-up, mendidik dan mentarbiyah HATI kita supaya menjadi lebih akrab dengan segala sifat positif seperti sabar, redha dan ikhlas, lebih mencintai Allah dan RasulNya, serta lebih bersemangat dalam mengumpul pahala amal ibadah. Semoga Ramadhan kali ini benar-benar menjadi medan islah sebenar dalam usaha kita menjadi muslim dan mukmin yang lebih baik. InsyaAllah.. Jadi, jom jaga HATI..!!

~BintulQaryah~

   

   

Khamis, 11 Ogos 2011

Ramadhanku di Kaherah #5 : Lapangnya...!

Bismillahirrahmaanirrahiim...

    11 Ramadhan 1432 h, terik mentari yang panas membahang tidak lagi dipedulikan. Sedaya upaya langkah dikerah dan diatur , melintasi imarah-imarah coklat berdebu yang tinggi menjulang. Di tangan ada beberapa bungkusan plastik berisi barang-barang dapur. Ketika melintasi sebuah padang hijau, hati berdetik, "Lapangnya....!". Lantas teringat, sejak beberapa hari ini ada rasa 'lapang' mencuit-cuit ulu hati dan rasa 'lapang' itu menzahirkan beberapa makna berbeza.

    Seorang demi seorang terbang pergi. Sunyi teramat rasanya di WYSK ini. Syaqqah ku sendiri terasa 'lapang', sepi. Seketika duduk sendiri di ruang tamu, ada pilu bertandang sebentar. Kalau dulu ada tawa mereka menghiasi pagi dan sore, ada usikan mereka mewarnai siang dan malam. Tapi mereka telah terbang pergi, meninggalkan sementara bumi Mesir yang menanti kepulangan mereka kelak ke sini. Berbaki beberapa hari lagi, nyata di syaqqah ini cuma tinggal kami bertiga. Aduhai sahabat-sahabatku, aku mula rindu...

    Dan yang membuatku terasa 'lapang' juga, apabila kelas tajwid di'cuti'kan beberapa hari. Tapi 'lapang' yang ini memang tidak aku gemari. Tiada apa-apa untuk dikalutkan, tiada apa-apa untuk dikejarkan. Maka aku pun berdiamlah di rumah, berteman dengan mushaf kecil coklat tua dan buku tajwid. Ohh, baru teringat, ada tugasan rupanya... Kurang rasa 'lapang' sedikit... :-)

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran". [al-‘Ashr 103:1-3]

    Hati? Bagaimana? 'Lapang'kah juga? Oh, iya... Hati pun seharusnya 'lapang', seperti padang hijau, WYSK dan syaqqah 11. 'Lapang' hati ini, susah sekali dicari. Sentiasa sahaja ada perkara-perkara yang membuatkan hati gundah gulana, resah dan gelisah. Namun sejak kebelakangan ini, bagai mudah sahaja bibir menguntum senyum, tingkah pun seperti lagak orang ceria. Hati 'lapang' agaknya, Ramadhan yang bertamu bagai mengagah redha dan sabar untuk terus bermain-main di taman sanubari. Jadi, bimbang dan bosan pun terusir pergi. "Selamat tinggal, berseronoklah dengan redha dan sabar itu..." Kata bimbang dan bosan kepada hati..

    'Lapang'.... banyak maksudnya menurut telahan seorang aku. Iyalah, bila mata memerhati, jiwa pun seakan menangkap maksud yang pelbagai, yang datang menjenguk sejenak lantas mengalirkan pengertian berbilang-bilang. Ketika melintasi padang hijau, 'lapang' bermaksud luas. 'Lapang' di WYSK dan syaqqah pula bermaksud sunyi. 'Lapang' kerana kelas tajwid dicutikan bermaksud bosan, dan 'lapang' ketika redha dan sabar bermain di taman sanubari bererti tenang.. Bagi akulah, nyatanya bagi orang lain tidak sama..!

*****
  
    Ramai yang merungut dan mengeluh, panas, letih, bosan! Hahaha... Ramadhan ini, kenapa mahu mengeluh lagi? Kan bagus jika berlapang dada. Panas? Letih? Bosan? Semua pun memahami, cuaca dan persekitaran membuat ramai yang merasa sesak dan geram. Kalau panas, tak perlulah berpayung langit di luar rumah. Kalau letih, kan banyak masa senggang tanpa aktiviti, berehatlah.. Kalau bosan, kalamullah ada, baca dan telaahlah.. Bagi aku, itu penyelesaiannya. Bukan dengan merungut, membebel, mengeluh dan sebagainya. Ramadhan ini, kerja-kerja tidak berfaedah dan mendatangkan kelalaian ibaratnya karat yang melekat di kekili batang pancing. Andai karat tidak dibuang, kekili pun akan rosak dan ikan pahala yang sudah tersangkut di kail amalan pun akan terlepas semula.. 

    Jom berlapang dada, ketika beramal dan ketika diulit masalah. Allah kan ada, mengadulah pada Dia. Nescaya dipermudahkan segala-galanya..

*****
   
Sofyan bin Dinar mengatakan kepada Abu Basyir-salah seorang sahabat Ali bin Abi Talib r.a: "Beritakan kepadaku tentang amal-amal perbuatan umat sebelum kita?” Dia menjawab: " mereka sedikit berbuat, tetapi banyak mendapatkan pahala." Sofyan bertanya: " apa sebabnya?" Dia berkata: "dengan sebab kelapangan dada mereka." (dikeluarkan riwayat oleh Hannad bab: az-Zuhd [2/600])
 
*****
~BintulQaryah~

Ahad, 7 Ogos 2011

Ramadhanku di Kaherah #4 : Lawan TIDUR itu...

Bismillahirrahmaanirrahiim...

    Segala puji bagi Allah, Tuhan pencipta sekalian alam yang lengkap dengan segala isinya. Dia juga yang mencipta langit nan indah, megah tanpa bertiang memayungi alam semesta. Dia juga mengatur gerak bulan bintang, hingga kini kita berada di bulan penuh barakah, Ramadhan al-mubaarak..

    Tadarus berakhir sekitar pukul 12.30 malam. Memikirkan cuma beberapa jam lagi akan masuk waktu subuh, majoriti antara kami melajakkan waktu TIDUR seketika, lantaran takut tidak terjaga untuk bersahur. Usai solat subuh dan membaca Al-Quran, ada yang masih kuat untuk meneruskan rutin harian. Namun ada juga yang tersungkur dalam pelukan gebar dan hawa nyaman pagi lantaran rasa kantuk dan keletihan...

    Usai zohor, kelas tajwid pula dilaksanakan, dan di sini bermulanya cabaran. Rasa kantuk yang masih bergayut di kelopak mata seakan enggan meleraikan pautannya. Mata kian berat dan tubuh makin lemah. Ke kelas atau sambung TIDUR semula? Maka mereka-mereka yang kuat ijtihadnya, melawan nafsu TIDUR yang sememangnya menjadi teman akrab manusia, akan segera sahaja bangkit bersiap mencapai buku tajwid, sebatang pen dan menyarung selipar menuruni anak tangga. Namun bagi yang kalah dengan bujukan hati untuk melayani godaan mimpi yang merayu tiada henti, akhirnya kepala terkulai di atas bantal, dan buku tajwid serta sebatang pen pun kekallah di atas meja, tersadai..

   Oh, Ramadhan ini, kala semua musuh iman dan taqwa terbelenggu kukuh di neraka sana, nafsu pula kian mampir, memujuk dan berbisik manja, "TIDUR lagi..TIDUR lagi..TIDUR lagiiii..." Nyatalah ada lompangnya jiwa ini. Tahulah ada karatnya hati ini. Fahamlah ada lemahnya iman ini. 

   Ini Ramadhan sayang! Seharusnya kala ini kau berpisah dahulu dengan temanmu yang bernama TIDUR itu. Cukuplah Allah jadikan malam untuk berehat, kenapa hingga ke siang, menjelang waktu berbuka masih enggan kau lepaskan TIDUR itu? Cuba lihat mereka yang tidur sebentar waktu malam, lantas bangkit semula untuk berqiyamullail. Usai sahur dan solat mereka berteman dengan mushaf, usai dhuha mereka akrabi lagi mushaf, usai zohor ke kelas tajwid, usai asar bersendiri lagi dengan mushaf sebelum bersiap seadanya menyambut ketibaan waktu berbuka. Usai maghrib, santapan mereka seadanya. Usai isyak dan tarawih, bertadarus mereka hingga malam di pertengahannya. Tapi kau? Ah, mengapa TIDUR sahaja?

   Ramadhan ini medan tarbiyahmu. Di sini kau patut didik dirimu, ajar jiwamu, kekang hawa nafsumu, kawal lidahmu, jaga pandangan matamu, tinggalkan kerja-kerja laghamu.. Ramadhan ini sewajarnya kau jadi sabar merentas dugaan, kau jadi tegar berdepan cubaan. Semua mengerti bahawa kau letih. Tapi sebenarnya apa yang menyebabkan kau jadi letih? Haha.. kau letih kerana kau terlalu lama berlari dengan TIDUR itu. Jangan hairan bila kau lemah lesu, kerana itulah natijahnya bagi mereka yang TIDUR melebihi masa..

   Sudah-sudahlah..cukup-cukuplah... Sampai bila lagi harus kau turuti kehendak TIDUR mu yang tiada berkesudahan itu? Ramadhan ini, pahala menanti untuk kau cari. Banyaknya tiada terhitung lagi, namun pahala itu tidak datang sendiri. Kau yang perlu bangun dari TIDUR mu, dan kejarlah pahala yang bertimbun itu. Pahala juga tentunya tidak datang dalam mimpimu, kerana bila kau terjaga, mimpi itu akan terbang disergah nyata. Jadi, pahala dalam mimpimu tadi kemana? Terbang juga, bukan..?

   Lawan TIDUR itu sayangku! Kata seorang ukhti jangan biarkan setahun itu jadi sebulan, sebulan itu jadi seminggu, seminggu itu jadi sehari dan sehari bagai ketikan pemetik api. Andai kau akrabi juga TIDUR itu, sebulan Ramadhanmu tinggal berapa saat bakinya? Kala kau sedar masih sempatkah kau bersaing dengan mereka yang sudah bertimbun amal kebajikannya? TIDUR sahaja bila masanya. Tiada siapa melarangmu. Namun perlukah juga kau TIDUR ketika yang lain berkejar-kejaran di taman-taman syurga?

   Aku bukan marah, cuma mengingatkan sahaja. Kerana aku sayangkanmu terlalu-terlalu. Wahai mata, jasad, hati, jiwa dan nafsuku..

~BintulQaryah~
   

Selasa, 2 Ogos 2011

Ramadhanku di Kaherah #3 : Awal Ramadhan ini..

Bismillahirrahmaanirrahiim..

    Alhamdulillah.. 1 Ramadhan yang dinanti akhirnya tiba jua. Sungguh ada rasa sebak yang bertamu, terkenangkan desa dan keluarga yang tercinta. Terbayang wajah Amin dan Ghazali yang sering mengadu dahaga di siang hari, wajah Hakimi dan Ochik yang berlagak kuat padahal mahu tersenyum pun tidak larat, wajah Mama, Abah, Abang, Angah dan Abang Ngah. Ada juga rindu di hati mengingatkan Ramadhan di asrama SMAN dulu. Tahlil dan ma'thurat sebelum berbuka, berlari turun dari surau usai solat maghrib, jatuh tangga, jatuh longkang, kejar kucing sebab curi lauk, macam-macam ada. Meriah, penuh warna warni dan keletah. (^_^)

    1 Ramadhan, aku dan rakan-rakan memenuhi jemputan untuk beriftor di rumah salah seorang tenaga pengajar Markaz Eqraa, Ustaz Muhammad Ramadhan. Sangkaku kediaman Ustaz cuma di sekitar Hayyu Sabie' atau Hayyu 'Asyir sahaja, tetapi rupanya terletak agak jauh nun di Giza sana. Kali pertama aku menjejakkan kaki ke Giza ketika lawatan ke Piramid tahun lalu. 
   
    Kami bertolak dari WYSK sekitar pukul 3 petang, berkumpul bersama rakan-rakan semenanjung di Hayyu Sabie' sebelum menaiki tremco ke Giza. Perjalanan memakan masa lebih kurang satu jam setengah dan kami berkesempatan melihat pemandangan petang 1 Ramadhan yang agak sibuk dan meriah. Di sana-sini kelihatan lampu berwarna-warni menghiasi imarah-imarah dan premis perniagaan. Tidak termasuk dengan kain rentang, banner dan hiasan-hiasan berupa reben berumbai-rumbai yang digantung merentangi jalan raya. "Fuiyyoo.. colourful sungguh.." Kata seorang ukhti. Mereka yang sudah beberapa tahun berada di sini pun masih terasa takjub, apatah lagi kami yang belum pun mencecah setahun keberadaan kami di Mesir ini. Bezanya Ramadhan di sini. tidak ada bazar menjual makanan seperti di Malaysia melainkan beberapa gerai sorong yang menjual minuman.

    Tiba di Giza, sebuah kota yang agak sesak sama seperti kota-kota lain di Kaherah ini lebih kurang pukul 5.30 petang. Sebaik sahaja tremco berhenti, kelihatan kelibat Ustaz Ramadhan yang menjinjing beberapa plastik bungkusan minuman berwarna hitam, air tamar hind (asam jawa), agak kami. Kami seramai 12 orang kemudian dibawa menyusuri lorong bangunan dan kami kemudiannya menyedari bahawa reben berumbai-rumbai yang banyak kelihatan di jalan raya tadi turut berada di atas kepala kami. Kedengaran desiran angin bergesel dengan reben-reben tersebut menghasilkan satu irama merdu yang bagaikan bernyanyi menyambut ketibaan bulan barakah ini. Terasa bagai mendengar desiran daun yang bergesel dengan angin, seperti berada di kampung sendiri pula. Rindu....

    Tiba di rumah Ustaz Ramadhan, kami di sambut oleh isterinya, Ukhti Shaima' dan puteri comel Ustaz, Sama'. Tidak lama kemudian, seramai 7 orang lagi akhawat semenanjung tiba. Usai taaruf ringkas, sementara menunggu masuknya waktu berbuka kami berbual-bual, bertanya itu dan ini. Sebaik sahaja azan, terus berbuka dengan buah kurma dan air kemudian solat maghrib berjemaah. Selepas solat, hidangan di bawa keluar, dan terbeliaklah biji mata kami yang memandang...

    Rabbi...macam mana nak habiskan?? Nasi yang dimasak cara arab, daging rebus, sup sayur yang dikisar, sup dan sambal kentang. Banyaknya, masyaAllah.. Alhamdulillah sepinggan nasi yang aku kongsi bersama seorang rakan, habis licin. Tapi, nasi tambah yang disediakan belum luak lagi. Masing-masing mulai bimbang kerana arif dengan sikap orang arab yang tidak suka sekiranya makanan yang mereka hidangkan tidak dihabiskan. Seorang ukhti berkata, "Saya dah banyak kali cakap dah kat Ustaz ni. Kalau hidang kat orang Melayu, jangan banyak-banyak, nanti tak habis. Ha, ni yang melambak macam 50 orang punya hidangan ni, siapa nak telan?" Haha..pecah tawa kami semua. Betul juga. Tapi, hati tuan rumah kenalah jaga. Maka kami pun berusahalah sedaya upaya 'menghabiskan' segala-galanya.. hehe..

    Usai makan, tiba-tiba Ustaz keluar dengan 2 biji loyang di tangan. "Ini manisan, namanya basbousa. Makan, dan saya tak mahu tengok ada sedikit pun yang tersisa." Blurppp..semua berpandangan sambil tersengih-sengih. Namun semua akur juga, sesudu basbousa disuap kemulut dan.... "Mak ooi manisnya!!" Pecah lagi tawa kami. Ukhti Shaima' pula menghidangkan air tamar hind (asam jawa) yang rasanya pekat likat lagi manis. Aku sendiri dipaksa menghabiskan 3 gelas air tamar hind tersebut. Sedaya upaya, perut yang penuh dipaksa juga untuk menghabiskan semua makanan. 

    Niat dihati cuma mahu bertandang sekejap bagi memenuhi jemputan, namun kerana kehendak Ustaz dan isteri yang mahu kami menghabiskan segalanya, akhirnya kami cuma bertolak pulang pada pukul 9.30 malam. Dalam perjalanan pulang menaiki tremco yang disewa, kelihatan pemandangan sebenar Ramadhan di Mesir ini. Beberapa buah masjid besar yang kami lalui kelihatan sesak dengan jemaah hingga melimpah ke jalan raya. Suara imam mengalunkan bacaan surah kedengaran di mana-mana, bersahutan hingga menenggelamkan bunyi bising kenderaan.

    Kata seorang ukhti dulu, ketika bulan Ramadhan di Mesir ini akan nampak kebaikan di mana-mana. Orang-orang kaya akan memberi makan kepada orang ramai sama ada di masjid atau di kediaman sendiri. Malah adakalanya makanan akan turut diagihkan dijalan-jalan, percuma. Ketika bulan Ramadhan ini si miskin akan merasa cukup seronok kerana bilangan mereka yang bersedekah cukup banyak. Malah ukhti itu sendiri pernah disergah ditengah jalanan oleh seorang lelaki yang mengagihkan minuman kepada sesiapa yang lalu lalang. Seperti Ustaz Ramadhan sendiri, menjemput pelajar-pelajar Markaz Eqraa ke rumah, menghidangkan makanan berbuka puasa malah membayarkan sewa tremco yang kami naiki!!

    Bulan Ramadhan juga ialah bulan yang dianjurkan sekali untuk bersedekah. Seandainya pahala sedekah ketika hari-hari biasa sahaja sudah cukup banyak sepertimana sabda Rasulullah saw : “Sedekah itu adalah sesuatu yang amat besar.” diulangi oleh Nabi tiga kali,  apatah lagi sedekah di bulan Ramadhan.

Dari Ibnu Abbas, berkata: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin. 
(Hadis Bukhari dan Muslim).



   Sedekah hakikatnya tidak terhad kepada masa-masa tertentu atau kepada orang atau individu tertentu. Sesiapa sahaja boleh bersedekah, tidak kira ketikanya atau kepada sesiapa jua. Namun yang paling utama ialah niat ikhlas bersedekah semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah SWT, bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk ataupun bermegah-megah dengan harta yang dimiliki. Sedekah itu sendiri pada dasarnya untuk membantu dan meringankan beban mereka yang tidak berkemampuan, bukannya untuk mengangkat darjat diri sendiri kononnya mampu menghulur pada mereka yang tidak bernasib baik.

   Jadi, jom ikhlaskan niat bersedekah, tulus kerana Allah Ta'ala...

~BintulQaryah~   

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...