Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan

Isnin, 10 September 2012

PROMOSI : Kicap & Sos Mak Ana


    Petang khamis lalu, makcik saya (kakak kepada Mama) dari Kota Kinabalu datang, menghantar bekalan kicap dan sos ke kantin sekolah yang Mama usahakan. Sempat juga berbual-bual dengan makcik dan adik sepupu saya, Hafiz, bertanya itu-ini tentang perusahaan kicap dan sos yang mereka sekeluarga usahakan sejak tahun lepas.


    Produk kicap dan sos ini menggunakan jenama Mak Ana, bersempena anak sulung makcik yang sejak kecil saya panggil Kak Ana.

    Kerana belum mampu untuk memiliki bangunan kilang sendiri, perusahaan kicap dan sos ini diproses terus dari rumah kediaman mereka di Kampung Tebobon, Menggatal. Produk ini merupakan hasil usaha sepenuhnya BUMIPUTRA MUSLIM, dijamin HALAL dan SUCI, malah mendapat sokongan dan diselia oleh MARDI, FAMA dan SDSI.

    Produk kicap dan sos Mak Ana kini diedarkan ke pasaraya, restoran, kedai runcit dan kantin sekolah sekitar Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud

    Pengguna boleh mendapatkan Kicap Pekat Manis, Sos Cili, Sos Cili Pedas, Sos Cili Manis, Sos Tomato, Sos Tiram dan Sos Pencicah Mak Ana dalam saiz botol kecil 400 gram berharga RM 2.50, dan botol besar 1 kg berharga RM9.00.

Boleh juga dibeli secara pukal/borong.

Maklumat pengusaha:

Pasar Besar Enterprise,
Kampung Tebobon, Menggatal,
Jalan Tuaran, 88450 Kota Kinabalu.

Telefon : 013-854 4291 / 014-656 6591 (Puan Deliam Zainuddin)

    Alhamdulillah, seorang pelanggan yang juga pengusaha gerai ikan bakar memberitahu bahawa Kicap Pekat Manis Mak Ana sangat sedap dibuat sambal kicap untuk hidangan ikan bakar. 

P/s : Saya dah rasa semua. Petang-petang pekena keropok lekor dengan Sos Pencicah Mak Ana, memang sedap!

Isnin, 4 Jun 2012

~Jeda I~

Alhamdulillah abadan..

    Tawakkal hanya pada DIA yang berkuasa mengatur dan menentukan hatta gugurnya sehelai daun kering. Seolah separuh beban yang mengimpit dada ini teralih setelah 4 kertas selamat ditempuhi. Semoga usaha-usaha itu terbayar dengan sesuatu yang bernama kejayaan, dan semoga 4 kertas yang masih berbaki ini dapat saya, dan kami semua tempuhi sebaiknya.

    Sekian lama saya merasa 'bahagia' dengan kondisi tubuh badan yang sihat walafiat, sehari sebelum bermulanya imtihan Allah uji saya dengan demam dan rasa sangat tidak selesa. Alhamdulillah, kifarah atas dosa-dosa saya. Sememangnya agak sukar untuk saya memurajaah dalam keadaan kurang sihat, namun siapakah saya untuk mengeluh dan berburuk sangka atas setiap perkara yang Allah timpakan? Saya yakin Allah ada dan memerhatikan tiap usaha dan kerja keras saya, meskipun saya pernah merasa sungguh tidak mampu walaupun untuk duduk tegak dan membuka mata. Alhamdulillah, hari ini demam itu sudah kebah dan saya sudah boleh memurajaah sambil duduk tegak dengan mata terbuka seluasnya. =)

    Sepetang tadi saya cuma duduk di hadapan komputer, menatap satu wajah yang saya amat rindui. Satu wajah yang kini cuma bisa saya tatap melalui foto-foto dan skrin komputer semata. Seterusnya dan selamanya akan begitu. Apatah lagi baru-baru ini saya dihubungi oleh seseorang yang mengatakan bahawa dia rindu pada pemilik wajah itu. Saya sekadar membalas mesej sambil tersenyum dalam sendu, mengatakan bahawa saya juga rindu, lebih rindu! Lebih-lebih lagi mengenangkan bahawa pulang ke desa nanti, tiada lagi kelibat dia di dalam bilik, di dapur, tiada lagi yang akan tidur di sofa di ruang tamu, tiada lagi bayang dia, arwah Adik yang telah pergi dahulu.

    Cepatlah imtihan habis, saya semakin tidak sabar mahu pulang!

Arwah (bertopi) bersama sahabat-sahabatnya

Jumaat, 4 November 2011

~Pemergian~

Bismillahirrahmaanirrahiim…
                Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan aku terus menghirup nafas, berpijak di muka bumiNya sambil menikmati nikmat kurniaanNya yang tidak terhitung. 

                Sebulan menyepikan diri, lantaran minda tidak punya kekuatan untuk menjana kalimah bagi dinukilkan di atas lembaran maya ini. Apa yang perlu aku tulis? Apa yang mahu diceritakan? Banyak sebenarnya yang mahu dikongsikan. Itu..ini…itu..dan ini… Tapi sungguh ketidakstabilan emosi mengekang keinginan itu…

                25 hari doa tanpa henti, mengharap keajaiban dari DIA yang berkuasa mengatur segala-galanya hatta gugurnya sehelai daun kecil. Saban waktu, siang dan malam tanpa jemu memanjatkan harapan menggunung. Semoga…semoga…semoga…ahhh…

                24 Oktober (isnin) aku dihubungi abah. Bertanyakan pesan untuk disampaikan pada Adik yang sedang menderita sakit. Dengan girang aku menjawab, “semoga Adik cepat sembuh!”. Abah tertawa kecil. Namun dalam tawa abah aku mengesan sesuatu. Pantas juga akalku mencongak waktu. Di Malaysia sudah pukul 1 pagi! Aku menenangkan diri, memujuk hati untuk redha andai waktu itu telah tiba. Terkenang mimpi semalamnya, aku terlihat Abah dan Mama membawa Adik pergi dengan menaiki kereta..

                Pagi 25 Oktober, belum sempat aku menunaikan fardhu subuh. 1 panggilan tidak dijawab, dari Abah. Aku bingkas bangun dari pembaringan, memerhati skrin telefon bimbit dengan nafas turun naik. Abah memanggil lagi. Dengan membiasakan suara aku menjawab salam. “Kakak dah bangun?” “Sudah..” Jawabku. “Dah solat subuh?” “Belum”..aku jawab lagi. Abah kemudian bertanya itu ini..seolah tiada apa yang terjadi. “Nah, Ummi nak cakap” Telefon bimbit bertukar tangan. Ibu kepada seorang rakan yang kami panggil Ummi bersuara. Aku sudah mengagak, sudah menjangka. Berita itu dikhabarkan saat aku merasa diriku sudah bersedia mendengarnya. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.. Adik pergi jua, bersama senyuman manis yang terlakar dibibirnya…

Adik pergi, setelah 25 hari bertarung dengan kesakitan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kemalangan yang berlaku cuma wasilah, kematian itu juga yang ditakdirkan Allah. Aku sebagai seorang kakak sulung hanya mampu menitip doa dari jauh. Mengharap Allah mencampakkan redha dan sabar dalam hati-hati kami sekeluarga. Mengharap agar pemergian Adik dikenang sebagai satu peringatan dari-Nya, bahawa bila janjiNya ditagih, kita tidak punya upaya untuk meminta dipercepatkan apatah lagi meski sedetik cuma penangguhan.

                Janji Allah itu pasti! Sesungguhnya tiada daya bagi sesiapa pun untuk memungkiri janji itu. Mama membacakan aku ayat 34 surah al-A’raf.. “Dan bagi setiap umat itu ada batas waktu (ajal). Apabila telah tiba ajal mereka, maka tidak akan dilambatkan ataupun dipercepatkan meskipun sesaat”. Abah pula memujuk, “Kita semua sedih kan..kita semua sedih.. Tapi kita semua ada IMAN, ingat itu.” Cuba membayangkan wajah Mama dan Abah, sungguh aku sangat tidak mampu. Mujur mereka tabah, mujur mereka kuat. Dan aku dari kejauhan ini, bersama empang air mata yang telah pecah mengharap ada tempias titisan kekuatan itu terpercik ke sini.

                Alhamdulillah, Allah jemput Adik dengan cara yang sangat lembut. Di atas pangkuan Mama dan Abah juga Adik pergi, bersama senyuman yang tidak tertafsir ertinya. Tengahari (waktu Mesir), satu pesanan ringkas tiba. “Adik pergi dengan senyuman, Air muka Adik sangat manis. Adik pergi di pangkuan Mama dan Abah. Kami menuntun Adik dengan kalimah zikir dan syahadah. Allah jemput Adik dengan amat lembut sekali. Alhamdulillah..” Lantas apa lagi yang perlu dikatakan oleh seorang bernama aku ini, andai Allah sendiri telah melunaskan janjiNya dengan cara yang amat dicemburui insan-insan lain?

                Adik menghembuskan nafas terakhir pada 25 Oktober, pukul 8 pagi di atas pangkuan Mama dan Abah serta disaksikan sanak saudara, keluarga angkat, guru-guru, dan rakan-rakan yang turut berada di sana (Hospital Sultanah Bahiyah). Jenazah Adik dimandikan, dikafankan sebelum disolatkan di Masjid Wira Mergong, Alor Star selepas solat Asar. Pukul 9.30 malam, bersama jenazah Adik, Mama, Abah, Ummi, Kak Jannah (kakak angkat), Ustaz Adenan (pengetua), Ustaz Muaaz (PK1), dan seorang pegawai dari JPN Kedah berlepas ke Kuala Lumpur. Keesokan harinya (26 Oktober) pukul 9.00 pagi mereka berlepas pulang ke Kota Kinabalu dan jenazah terus dibawa pulang ke Kota Belud. Jenazah dibawa ke rumah nenek, diperlihatkan buat kali terakhir kepada adik-adik dan kaum keluarga yang lainnya, kemudian disolatkan sekali lagi di Masjid Jamek Kampung Kulambai dan kemudian dikebumikan di kampung Abah, Kampung Suang Punggur. 

                Bersama pemergian Adik jutaan doa dari mereka yang mengenali dan menyayangi Adik. Sungguh, Allah lebih sayangkan Adik, dan Allah lepaskan Adik dari kesakitan selama 25 hari dengan menjemput Adik kembali ke pangkuanNya. Seorang Adik yang kami sayang, yang kami kenang dan akan kami rindui selama-lamanya. 

                Bersemadilah dengan tenang, bersama cinta Rabb dan kasih kami semua!

~Al-Fatihah~
Allahyarham Ahmad Syafi’e bin Melih
19 Ogos 1995 – 25 Oktober 2011
                 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...