Memaparkan catatan dengan label Kembara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kembara. Papar semua catatan

Selasa, 23 Oktober 2012

Ahlaan...!

Bismillahirrahmaanirrahiim...

    Ini entri pertama saya selepas hampir sebulan tiba di Kota Kaherah.

    Selesai sudah segala urusan pendaftaran kuliah, yuran, terjemahan keputusan Tahun 1 dan pengesahan pengajian. Alhamdulillah, kini sudah boleh tarik nafas lega, dan kini saya bergelar mahasiswi Tahun 2!

    'Ahlaan...!' itu sebenarnya satu simbol kepada semangat baru saya. InsyaAllah semangat yang akan menemani perjalanan saya sepanjang tahun pengajian ini. Meng'ahlaan...!'kan semangat yang hari itu pudar sedikit bila menyedari pagi-pagi kami ke kuliah kini tinggal bertiga. Sedih, sungguh sedih. Tapi bila menyedari lagi bahawa bagi setiap insan itu Allah telah aturkan jalan dan rezeki yang berbeza-beza, saya pujuk hati saya dan cuba memujuk hati-hati mereka dengan kalam Dia,

"Fa inna ma'al 'usri yusraa, Inna ma'al 'usri yusraa."

Moga saya kuat, dan semoga mereka lebih kuat.




***

    Tempoh hari sempat menyertai satu bengkel penulisan bersama penulis Azzah AR dan novelis sejarah Islam Pak Abdul Latip Talip yang datang ke Mesir bagi mencari bahan sejarah berkenaan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna untuk dimuatkan dalam novel terbaru Pak Latip yang dijangka terbit Disember nanti. Alhamdulillah, dapat ilmu dan maklumat baru. InsyaAllah akan cuba dipraktikkan juga... :-)

~Saya Adalah Penulis Yang Disayang Tuhan~

Bersama Cik Puan Azzah (berselendang merah)

Novel Shamsiah Fakeh, tulisan Cik Puan Azzah

Bersama Pak Abdul Latip Talib, novelis sejarah Islam

Novel Salahuddin Ayubi, tulisan Pak Latip.
Sempat lagi minta tandatangan, :-)

     Beberapa hari selepas itu, berpeluang pula menemani Cik Puan Azzah ke Kota Iskandariyah. Cik Puan Azzah dalam proses menyiapkan buku Travelog Menjejak Hassan Al-Banna. Kata Cik Puan Azzah, InsyaAllah akan siap Disember nanti, bersama dengan novel Hassan Al-Banna tulisan Pak Latip. Tak sabar pula nak beli!


~From Knowledge To Wisdom~
Di Bibliotheca Alexandrina

Istana Sultan Farouk, Montazah, Iskandariyah.
Saya, Cik Puan Azzah dan Kak Kartika.

    InsyaAllah, ada cita-cita mahu jadi penulis yang disayang Tuhan. Mungkin tidaklah sehebat Cik Puan Azzah dan Pak Latip, dan mungkin juga sekadar menarikan pena di laman BintulQaryah ini. Namun, siapa yang tahu rezeki hari esok? Andai ini jalan yang Allah sediakan untuk saya turut berjuang di jalan dakwah, saya harap anda semua turut doakan saya, yaa...

Wassalam...
Mahu jadi penulis yang disayang Tuhan.


Selasa, 13 September 2011

~365 hari yang lalu… {14 Sept 2010-14 Sept 2011}~

 Bismillahirrahmaanirrahiim…

    Alhamdulillah, puji dan syukur buat DIA yang menciptakan buana, lengkap dengan segala isinya.. Mengizinkan aku untuk terus bernafas, menghirup dan menikmati rezeki kurnianNya yang tiada bandingan.

    Rabu, kebiasaan bagi blogger-blogger di luar sana untuk menulis sekadar ‘Wordless Wednesday’ dalam entri masing-masing. Hmm.. tapi aku tidak. Tak kira rabu atau isnin, kalau sudah jemari ini berkehendak untuk menari, maka akan menarilah ia.. 

    Sedar atau tidak, hari ini (14 Sept) genap setahun sudah usia perjuanganku di bumi Mesir ini. Terasa seperti baru kelmarin kaki menjejak Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, menaiki bas ke Asrama Darul Aman (Rumah Kedah) Hayyu Sabie’ sebelum berpindah ke WYSK (Rumah Sabah) Awwal Abbas. Oohh..masa..cepatnya kau berlalu..

Mari imbas kembali (^_^)..



14 Sept 2010

    Penerbangan dari Amman Jordan ke Kaherah Mesir mengambil masa sekejap cuma. Dalam hati tidak sabar-sabar mahu menjejakkan kaki ke bumi yang selama bertahun-tahun menjadi anganan dalam lena. Sebak yang terasa dek perpisahan antara aku dan Abang (adik sebenarnya, tapi dari kecil dipanggil Abang) di Lapangan Terbang Amman seperti hilang seketika. Yalah, teruja mahu tiba ke tempat yang didamba.

    Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, disambut oleh ukhti-ukhti dan akhi-akhi dari Rumah Kedah. Kala itu aku berseorangan cuma. Tiada sesiapa yang dikenali memandangkan penerbangan yang aku sertai adalah trip kedua dan sahabat-sahabat sesekolahku sudah berlepas 11 Sept yang lalu.. Yaaiii… sepi…

    Dalam bas, taklimat yang diberikan sepanjang perjalanan langsung tidak aku endahkan. Air mata yang tertahan sejak transit di Amman akhirnya tumpah jua. Seorang ukhti di sebelahku mengusap-ngusap bahu yang terhinggut-hinggut. “Sabar ya dik…” Pujuknya. Aku pun sebenarnya hairan, kenapa baru sekarang air mata ini mahu mengalir? Di KKIA tidak, di KLIA tidak, di Amman pun tidak. Kenapa sekarang? Oh.. mungkin kerana keinginan yang dipendam selama bertahun-tahun, hasrat hati untuk menjejakkan kaki ke bumi Anbiya’ yang menjadi saksi lakaran jutaan sirah dan sejarah ini akhirnya tercapai jua. Air mata terharu, sebak, gembira, sedih, semuanya bersatu dalam sehelai tisu pemberian ukhti tadi. Abang? Oh, semoga si adik nakal yang kusayangi itu selamat tiba ke destinasinya di Mu’tah Jordan. Kala terpandang orang ramai yang lalu lalang menyeberangi jalan raya, aku teringat pula Mama, Abah dan adik-adik. Pasti mereka sedih yang teramat kerana melepaskan aku dan Abang sekaligus!

    Bas terus bergerak, melintasi bangunan-bangunan coklat berdebu yang menghiasi kiri dan kanan jalan. ‘Kenapa semua bangunan ni warna coklat? Ke orang Mesir memang tak pakai cat?’< Persoalan ini menari-nari di benak. “Haa, yang ini Kuliah Banat Universiti Al-Azhar, siapa yang ambil pengajian Islam atau perubatan Azhar nanti kuliah kat sini la.” Seorang akhi berserban besar bersuara melalui mikrofon bas. Secara automatiknya juga kepala ku berpusing, menoleh ke arah lokasi yang dimaksudkan. ‘Oh, kat sinilah aku belajar nanti. Eh, coklat juga..’ <Bisik hati yang masih hiba. 

>Madinat Nasr @ Nasr city : semua coklat!<
>Abbas El- Akkad (Awwal Abbas) : Kat area ni lah Rumah Sabah!<

    Tiba di Asrama Darul Aman (Rumah Kedah), aku tercari-cari, ‘mana pergi budak 3 orang lagi ni?’ Sahabat-sahabat yang bertolak lebih awal daripadaku tentunya sedang menikmati rehat dengan sepuas hati. Semua pelajar dibawa ke syaqqah masing-masing. Aku pula ke tingkat 5. Sebaik sahaja tangan mahu memulas tombol pintu, terlihat sekeping kertas bertaip terlekat di dinding. Nama ku baca satu persatu, dan di situ juga aku melonjak gembira!

    Pertemuan selepas hampir setahun tidak bersua. Masing-masing teruja dengan cerita masing-masing. “Seronok tak transit kat Kuwait?” “Seronok tak transit kat Jordan?” Huhu…hal sebegini pun jadi cerita. Namun keseronokan pertemuan semula itu tidak dapat membendung keletihan yang menguasai tubuh. “Jangan mandi!” Pesan seorang ukhti, ditakuti tubuh menerima renjatan iklim lantas menyebabkan demam dan sebagainya. Aku akur sahaja, menyalin pakaian dan merebahkan diri di atas katil. Dan, lena…..

*****

    14 September itu menyaksikan pelbagai cerita, berhimpun dalam satu hari cuma.  Kisahnya tidaklah terlalu menarik untuk diceritakan, namun itulah sebenarnya yang berlaku pada tarikh ini, 365 hari yang lalu. Apabila seorang aku, berlepas dari tanah air tercinta bersama seorang adik yang beza usianya tepat-tepat setahun denganku, lantas terpisah di pertengahan perjalanan dan aku pula tercampak ke sini, ke bumi yang menjadi imejan dalam mimpi sejak sekian lama. Mengimbau kembali perasaan yang terlahir tatkala kaki berpijak di atas aspal kelabu Lapangan Antarabangsa Kaherah, ketika melintasi Kuliah Banat Al-Azhar, memerhatikan ragam penghuni kota Kaherah yang beraneka rupa, semuanya terlipat kemas dalam memori satu hari 14 September 2010.

    Hari ini, 14 September 2011, genap setahun sejak hari itu. Diri cuba mengenang kembali rentetan peristiwa demi peristiwa yang telah berlaku sejak 365 hari yang lalu. Hmm..terlalu banyak kisah suka duka, tangis dan tawa yang terbuku dalam minda. InsyaAllah.. sejarah setahun ini akan dijadikan iktibar sebaiknya, untuk menemani usia perjuangan seorang kelana yang masih terlalu mentah. 

Semoga 365 hari yang akan datang membawa lebih banyak kisah dan cetera untuk dikenang!

~BintulQaryah~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...