Memaparkan catatan dengan label Rasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rasa. Papar semua catatan

Rabu, 5 Disember 2012

Lagi monolog seorang saya!

Bismillahirrahmaanirrahim...

   Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah atas kesempatan yang Allah berikan. Kesempatan untuk terus hidup sebagai hamba-Nya, kesempatan untuk terus mencicip nikmat-Nya yang tidak terhitung banyaknya. Alhamdulillah kerana saya masih berupaya untuk terus menyinggah laman BintulQaryah yang kekadang terabai ini.

   Menjelang imtihan semester pertama hujung bulan ini, entah kenapa saya rasa seperti saya sangat tidak cukup masa! Bukan mengeluh atau merungut, tapi inilah yang saya sedar tentang hakikat seorang pejuang, yang mana amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan itu lebih banyak, banyak dari masa yang ada!

   Laman BQ sudah pun berusia 2 tahun November lalu, seusia keberadaan saya di bumi Mesir ini. Laman ini salah satu teman akrab saya, yang kekadang saya anggap seperti pendengar setia. Apabila terdetik mahu berkata atau menyampaikan sesuatu, tetapi tiada medan sesuai untuk saya berbuat sedemikian, maka laman BQ akan jadi kanvas contengan saya. Kasihan BQ, dijenguk cuma bila perlu. Kadang sebulan dibiar berdebu dan bersawang tanpa sebarang entri bermaklumat dan bermanfaat,

   Mungkin ini entri terakhir sebelum imtihan bermula (mungkin!). InsyaAllah kalau saya masih mampu mengatur nafas yang sudah mula tercungap, akan ada lagi entri seterusnya. Kalau tiada izin dari-Nya, mungkin saja usai imtihan baru BQ akan punya entri baru. Sepertinya saya beralasan, kan? Kalau bukan musim imtihan pun, tetap juga BQ dijenguk sekali-sekala. Bukan apa, meng'aula'kan yang utama dahulu...

   Tiba-tiba terdetik di hati untuk berkongsi tentang ini;


    Kini sudah ada 'amanah' terbeban di bahu. Mungkin yang memandang merasa bahawa 'amanah' ini bukan apa-apa. Tapi bagi saya yang bukan siapa-siapa ini, 'amanah' ini satu tugas dan tanggungjawab berat yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Amanah ini tentunya akan jadi hujah bila berhadapan dengan DIA, khaliq yang mencipta saya (dan anda), khaliq yang menggerakkan hati dan jemari mereka untuk memilih saya memikul amanah ini.

"كلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته"
    "Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggungjawab pada apa yang kamu pimpin."

    Berada di 'atas' akan mengubah banyak perkara, terutamanya pada apa dan pada siapa keutamaan perlu diberikan. Masa kini terbahagi pada banyak perkara, bukan pada kuliah, kelas tutorial, makan dan tidur semata-mata. Banyak perkara perlu di'organize' semula, terutamanya untuk membiasakan diri dengan tanggungjawab besar yang sebelum ini tidak ada. 

    InsyaAllah, amanah ini saya cuba anggap sebagai satu cabaran hebat untuk saya terus mencari dan memperbaiki diri. Semoga sahaja amanah ini bisa jadi medan untuk kami semua terus bermuhasabah dan terus mengingati dan mendekati Allah. Doakan yang baik-baik, yaa... :-)

    Ada 'sesuatu' yang saya rasa saya MESTI lakukan. Perlunya 'sesuatu' itu untuk jadi suis pemancar, menggerakkan hati-hati yang lain, yang sedang tidur dan alpa. Pendek kata, 'sesuatu' itu perlu untuk kelangsungan dakwah Islamiah, kemaslahatan ummah dan kegemilangan ISLAM yang saya (dan anda) cintai ini. 

    Selamat menjalankan tugas dan amanah buat barisan Majlis Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM). Semoga kasih sayang dan hidayah Allah bersama kita, sentiasa... 



P/S: Serius tidak tahu, nak letak tajuk apa entri ini? Akhirnya, "Lagi monolog seorang saya!" Kalau tak sesuai, menjengkelkan or whatsoever, bagitahu ya. InsyaAllah saya tukar. :-)

Ahad, 27 November 2011

~Gentar~

    Cuak.

    Setelah beberapa lama meninggalkan dunia itu, hari ini aku akan kembali ke 'sana'.

    Ku hubungi Abah, menanyakan tips dan meminta kata-kata semangat.

    "Kakak boleh tu!"

    Tapi,

    Sejujurnya aku belum pernah sekalipun 'duduk' di posisi itu.

    Dan rasa cuak makin bertambah.

    Membuka lembaran-lembaran lama, cuba mengongsi sedikit memori untuk dijamah minda. Mengulang tayang tiap detik dan tiap kalimah yang terbit kala itu.

    Aku tidak pernah 'duduk' di posisi itu!

    Memujuk debaran yang mula menggila. 

    Semua, doakan...

    27 November 2011, 7.30 malam.

    Forum Maal Hijrah anjuran Biro Dakwah dan Tarbiah BKPSM.

    Moderator.

    Yassarallahu lana..

Khamis, 11 Ogos 2011

Ramadhanku di Kaherah #5 : Lapangnya...!

Bismillahirrahmaanirrahiim...

    11 Ramadhan 1432 h, terik mentari yang panas membahang tidak lagi dipedulikan. Sedaya upaya langkah dikerah dan diatur , melintasi imarah-imarah coklat berdebu yang tinggi menjulang. Di tangan ada beberapa bungkusan plastik berisi barang-barang dapur. Ketika melintasi sebuah padang hijau, hati berdetik, "Lapangnya....!". Lantas teringat, sejak beberapa hari ini ada rasa 'lapang' mencuit-cuit ulu hati dan rasa 'lapang' itu menzahirkan beberapa makna berbeza.

    Seorang demi seorang terbang pergi. Sunyi teramat rasanya di WYSK ini. Syaqqah ku sendiri terasa 'lapang', sepi. Seketika duduk sendiri di ruang tamu, ada pilu bertandang sebentar. Kalau dulu ada tawa mereka menghiasi pagi dan sore, ada usikan mereka mewarnai siang dan malam. Tapi mereka telah terbang pergi, meninggalkan sementara bumi Mesir yang menanti kepulangan mereka kelak ke sini. Berbaki beberapa hari lagi, nyata di syaqqah ini cuma tinggal kami bertiga. Aduhai sahabat-sahabatku, aku mula rindu...

    Dan yang membuatku terasa 'lapang' juga, apabila kelas tajwid di'cuti'kan beberapa hari. Tapi 'lapang' yang ini memang tidak aku gemari. Tiada apa-apa untuk dikalutkan, tiada apa-apa untuk dikejarkan. Maka aku pun berdiamlah di rumah, berteman dengan mushaf kecil coklat tua dan buku tajwid. Ohh, baru teringat, ada tugasan rupanya... Kurang rasa 'lapang' sedikit... :-)

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran". [al-‘Ashr 103:1-3]

    Hati? Bagaimana? 'Lapang'kah juga? Oh, iya... Hati pun seharusnya 'lapang', seperti padang hijau, WYSK dan syaqqah 11. 'Lapang' hati ini, susah sekali dicari. Sentiasa sahaja ada perkara-perkara yang membuatkan hati gundah gulana, resah dan gelisah. Namun sejak kebelakangan ini, bagai mudah sahaja bibir menguntum senyum, tingkah pun seperti lagak orang ceria. Hati 'lapang' agaknya, Ramadhan yang bertamu bagai mengagah redha dan sabar untuk terus bermain-main di taman sanubari. Jadi, bimbang dan bosan pun terusir pergi. "Selamat tinggal, berseronoklah dengan redha dan sabar itu..." Kata bimbang dan bosan kepada hati..

    'Lapang'.... banyak maksudnya menurut telahan seorang aku. Iyalah, bila mata memerhati, jiwa pun seakan menangkap maksud yang pelbagai, yang datang menjenguk sejenak lantas mengalirkan pengertian berbilang-bilang. Ketika melintasi padang hijau, 'lapang' bermaksud luas. 'Lapang' di WYSK dan syaqqah pula bermaksud sunyi. 'Lapang' kerana kelas tajwid dicutikan bermaksud bosan, dan 'lapang' ketika redha dan sabar bermain di taman sanubari bererti tenang.. Bagi akulah, nyatanya bagi orang lain tidak sama..!

*****
  
    Ramai yang merungut dan mengeluh, panas, letih, bosan! Hahaha... Ramadhan ini, kenapa mahu mengeluh lagi? Kan bagus jika berlapang dada. Panas? Letih? Bosan? Semua pun memahami, cuaca dan persekitaran membuat ramai yang merasa sesak dan geram. Kalau panas, tak perlulah berpayung langit di luar rumah. Kalau letih, kan banyak masa senggang tanpa aktiviti, berehatlah.. Kalau bosan, kalamullah ada, baca dan telaahlah.. Bagi aku, itu penyelesaiannya. Bukan dengan merungut, membebel, mengeluh dan sebagainya. Ramadhan ini, kerja-kerja tidak berfaedah dan mendatangkan kelalaian ibaratnya karat yang melekat di kekili batang pancing. Andai karat tidak dibuang, kekili pun akan rosak dan ikan pahala yang sudah tersangkut di kail amalan pun akan terlepas semula.. 

    Jom berlapang dada, ketika beramal dan ketika diulit masalah. Allah kan ada, mengadulah pada Dia. Nescaya dipermudahkan segala-galanya..

*****
   
Sofyan bin Dinar mengatakan kepada Abu Basyir-salah seorang sahabat Ali bin Abi Talib r.a: "Beritakan kepadaku tentang amal-amal perbuatan umat sebelum kita?” Dia menjawab: " mereka sedikit berbuat, tetapi banyak mendapatkan pahala." Sofyan bertanya: " apa sebabnya?" Dia berkata: "dengan sebab kelapangan dada mereka." (dikeluarkan riwayat oleh Hannad bab: az-Zuhd [2/600])
 
*****
~BintulQaryah~

Khamis, 14 Julai 2011

Selepas Imtihan..

    Alhamdulillah, puji-pujian buat Rabb pencipta alam, pengatur tiap detik dan pemudah segala kesukaran..

    Syukur, hari-hari mencabar berjaya dilalui dengan tenang. Sekilas terimbas keadaan minggu lalu yang agak chaos dengan segala kesibukan. Mujur persiapan awal sudah dibuat, jadi diri tidak lagi terkejar-kejar dan kelam kabut mengulangkaji dan semak semula silibus pelajaran.

Kaifa haal al-imtihan?

    Alhamdulillah.. syukur kepada Allah kerana mempermudahkan.
    Soalan imtihan bagiku tidaklah terlalu mudah, tetapi tidak juga terlalu susah. Andainya ada soalan yang rumit, wajar aku salahkan diri sendiri yang culas dan lalai. Namun imtihan kali ini cukup untuk membuatku tersenyum lebar. Lancar sahaja jemari membulatkan jawapan, mengisi tempat kosong dalam setiap soalan, dan mewasilahkan idea dari minda dalam bait jumal ketika menulis karangan.. Syukur, kelapangan masa lalu membuatkan aku merasa cukup bersedia.

    Hari pertama imtihan terasa agak santai kerana madah imtihan hari itu (Kitabah/mufradat/imla') adalah antara madah yang ditafsirkan mudah. Namun sesampainya di dewan peperiksaan, kami dimaklumkan bahawa imtihan bagi madah Muhadasah (perbualan) akan turut diadakan pada hari itu. Hahh?? Kenapa tiada di dalam jadual? Maka ada sedikit gelabah menguasai diri. Minda cuba untuk berfikir rasional, "Pihak pengurusan sengaja menguji tahap kemampuan pertuturan tullab". Tarik nafaas..hembus..tarik nafaas..hembus. InsyaAllah, boleh punya.. (^_^)

    Maka sesi Muhadasah pun bermula. Aku merupakan pelajar kedua terakhir dalam senarai.

~Soalan pertama, Alhamdulillah.
~Soalan kedua, pun Alhamdulillah.
~Soalan ketiga, Alhamdulillah lagi.
~Soalan keempat, hah?? Peliknya. Tapi, Alhamdulillah..
~Soalan kelima, Err..biar betul.
~Soalan keenam, ayark.. Apa ustaz ni cakap? Kitab Maqru' dan Kitab Matbu'? Benda apa tu?

    Namun tetap rasa bersyukur, Alhamdulillah.. Dapat jawab semua..

Natijah?

    14 Julai, sepatutnya natijah imtihan diumumkan hari ini. Tapi baru sebentar tadi seorang guru memaklumkan  melalui facebook bahawa natijah imtihan akan diumumkan pada hari ahad (17 Julai) ketika Majlis Ihtifal di Azhar Conference Center (ACC) bersama dengan Syeikhul Azhar. Ketika inilah rasa gelisah itu bertandang. Risau, cemas.. Namun hati memujuk, "Tenang, InsyaAllah, Allah memudahkan segalanya.."

Terima kasih semua...

    Aspresiasi tentunya ku dedikasikan buat mereka yang banyak berjasa, membantu dan memberi sokongan. Mulanya minda ter'setted' dengan ungkapan Bahasa Arab susah, Nahu Sarf payah.. Namun mereka menghapuskan anggapan itu dengan kata semangat dan dorongan yang pastinya berjaya mengubah tanggapanku. 

    Mereka ialah Guru-guru di kuliah: Ustaz Ahmad 'Asyur, Ustaz Baraa, Ustaz Abdul 'Aziz, Ustaz Haitham, Ustazah Nasrin dan Ustazah Nura. Guru-guru di Markaz Eqraa: Ustazah Amirah,  Ustaz Hosaini, Ustaz Muhammad Ramadhan dan Ustazah Du'aa . Mesra, penyayang, prihatin dan profesional! Sikap mereka membuatku semakin bersemangat untuk mendalami Bahasa Al-Quran. InsyaAllah, kemahiran dan kefasihan itu pasti akan jadi milikku.. 

Cuti?

    Mungkin sekejap. InsyaAllah sesi pengukuhan di kuliah akan bermula pada 27 Julai nanti. Sementara itu, masa senggang ini sedaya mungkin cuba untuk diisi dengan perkara yang bermanfaat.

    Sekilas terkenang puda pada satu janji. Sejak dahulu cuba mencari masa lapang bagi melunaskan janji itu. Namun ASIF JIDDAN, daqa'iq yang bernama masa itu tidak pernah memberikan walau seinci peluang untuk aku menta'kidkan idea. Padahal idea itu sering muncul pada ketika yang tidak terjangka. Papan kekunci hitam putih juga sudah lama berhabuk di atas meja, bagaikan menunggu jemariku untuk kembali memainkan irama. Dalam komputer riba biru ini juga sudah tersedia bait-baitnya. Tinggal untuk disatukan dengan rimanya sahaja.

Balik Malaysia?

    InsyaAllah tahun hadapan. Baru 3 bulan lebih di Mesir setelah 'cuti percuma tidak terjangka' bersempena dengan Revolusi Mesir Januari lalu, hati belum teringin untuk kembali semula ke tanah air. Memang ada rindu membuak di dada, namun di sini ada perkara yang lebih penting dari kerinduan itu. Sesi pengukuhan di kuliah, Talaqi di Masjid Azhar, kelas Quran bersanad, kelas tahsin Al-Quran di Markaz Eqraa, terasa seperti masa menyempitkan peluang pula. Mahu balik Malaysia? Err.. tak. (^_^)



~BintulQaryah~

Sabtu, 2 Julai 2011

Oh Semangat!!

    Semangat oh semangat, ke mana kau menghilang??!!

    Menghitung detik dan hari yang bakal berkunjung, lagi 9 hari. Sepatutnya semangat semakin membara. Namun entah mengapa jasad seolah-olah bertambah lesu apabila melihat kalendar kecil yang terletak kemas di atas meja.

    Makin malaskah aku? Atau minda ini sudah bosan untuk terus-terusan menghadap buku?

    Oh tidak......

    Semangat yang hilang perlu di cari. Kalau tidak nanti merana diri.




    Kembara ini masih panjang, lantas wajarkah aku kecundang pada semangat yang hilang??

  *****

Kembara Ilmu (Suhaimi)

Kembara ilmu selaut cahaya
Milik Tuhan tiada bertepi
Diselam tak cecah ke dasar
Ditimba tak luak setitis

Kembara misi lembah nurani
Menakung titisan ilmu suluhan budi
Resapan dari akal yang murni
Untuk diuntai mutiara sufi
Menjadi azimat menuju Firdausi

Lembah nurani fitrahnya suci
Jangan ditinggal gersang jangan dibiar hitam
Gersang nurani kerana tiada ilmu
Hitam nurani kerana dosa bertimbun


Noda di hati melemahkan minda
Kembara sufi terasa sukar
Sesatlah di dalam pelayaran
Hanyut tiada pedoman
Akhirnya karam dalam kegagalan


*****

Jadual Imtihan Niha'yah (banat) 
Markaz Lughah Arabiah Jami'atul Azhar As-Syarif, Kaherah.

11/07/2011
~Qiraah
~Mufradat
~Imla'

13/07/2011
~Qawa'id
~Istima'
~Kitabah

14/07/2011
~NATIJAH!!



SEMANGAT!!

*****
p/s : Makin dekat hari imtihan, tangan juga makin ringan dan rajin untuk mengetuk papan kekunci.. hehe...
   
~BintulQaryah~

Isnin, 27 Jun 2011

A 5 minutes tour...

    Seawal 7 pagi, sudah meninggalkan bangunan Wisma Yayasan Sabah Kaherah yang tersergam indah. Kebiasaannya, pagi-pagi begini suasana di WYSK masih sunyi. Barangkali aku dan seorang rakanku ini yang terawal meninggalkan WYSK, setiap hari. Kadangkala rakan-rakan lain pun hairan, kelas mula jam 8, tapi keluar rumah jam 7, buat apa di kuliah tu pagi-pagi buta, hah?

Bangunan WYSK
     "Nak exercise, dan jimat duit. Hehe.." Jawapan lazim. Memang, kami (aku dan rakanku) keluar rumah seawal jam 7 kerana kami ke kuliah dengan menaiki van mini yang dipanggil tremco setiap hari. Bukan seperti rakan lain yang ke kuliah setiap hari dengan menaiki teksi bermeter, jam 7.30 keluar rumah pun tak apa. Tambang tremco dari Awwal Abbas ke Sillim, kalau di Malaysia orang cakap murah sangat dah tu!! 75 qirsy (LE 0.75) sahaja.. Kalau tukar ke duit RM, dapatlah lebih kurang 40 sen. Murahkan...kan... (^_^) Lagipun, mahu ke tempat perhentian bas di Awwal Abbas tu, kami kena berjalan kaki dulu. Jauhlah juga, tapi berbaloi-baloi.. Sebab tu keluar awal, supaya tiba di kuliah lebih awal dan dapat berehat sebentar sebelum sesi kuliah dimulakan. Kalau nak naik teksi, keluar sahaja dari simpang Hateem At Taei, belok kanan, ala tuul... daaah sampai. Lambai sahaja tangan kalau ada teksi putih lalu.. =) Tapi tambang, fuhh. Boleh cover duit tambang tremco ulang alik 2 hari..

    Bukanlah mahu bercerita tentang murahnya tambang tremco di bumi Mesir ni. Bukan juga mahu bercerita tentang penatnya berjalan kaki dari WYSK ke Awwal Abbas tu.. Tapi mahu bercerita tentang perjalanan kami pada suatu hari, yang seperti biasa dari Awwal Abbas ke Sillim mengambil masa selama 5 minit. So, A 5 minutes tour lah!!

    Alkisahlah suatu hari, aku dan 2 orang rakanku sampai di Awwal Abbas dalam keadaan pagi yang sudah mula sibuk. Suasana yang hingar dengan jeritan pemandu-pemandu tremco : "Asyir..Asyir..Sabie'..Sabie'..", memang sudah kedengaran terlalu biasa. Bunyi hon kereta yang dituju pada kami gara-gara kurang berapa pandai melintas jalan pun sudah kedengaran terlalu biasa. Pandangan orang arab Mesir yang melihat kami berlari terkedek-kedek melintas jalan pun sudah terlalu biasa!!
    "Sillim?" Tanyaku pada pemandu termco yang menjerit "Ramsis..Sayyidah Aisyah.. Ramsis..Sayyidah Aisyah...". "Ta'ali.." Pemandu itu mengangguk. Maka kami pun masuk dan mengambil tempat duduk. Seperti biasa, maka mulalah kami mengorek beg duit masing-masing, mencari syiling 50 qirsy berwarna emas dan syiling 25 qirsy berwarna perak yang berlubang di tengah macam donat. Duit tadi pun dihulurlah pada konduktor tremco. (Mini van di Mesir ni ada konduktor tau!!)

    "Sillim talata." Rakanku menghulur LE 2.25. Sang konduktor menghitung duit di tangan. " Gini nus kaman!" (1 genih setengah lagi). Aikk.. aku dan rakanku berpandangan. "Apa dia cakap? Satu nus lagi?" Rakanku angguk. "Ehna talata ya ra'is.." Ujarku. "Aiwah.. gini nus kaman." Aku garu kepala. "Sillim talata." Aku mengulang lagi. Sang konduktor merenung aku yang menjegilkan mata. "Sillim talata? Aiwah, gini nus kaman." Konduktor berusia awal 20-an tidak mahu mengalah. Ya Rabbi... konduktor ni memang cari pasal.. Grr...

     "Wahid bikhomsah wa sab'ein sah? (seorang 75 kan?)" Aku bertanya dengan nada tidak puas hati. "La, gini wa rub' (tidak, 1.25)" Sang konduktor bertegas. Si pemandu pula memerhati melalui cermin pandang. Penumpang yang lain, jangan cakaplah.. Semua tersenyum-senyum sumbing. Seorang lelaki berkot dihadapanku berkali-kali menoleh ke arah kami. (Di Mesir, orang pakai kot pun naik bas juga. (^_^))

    Mood mula berubah, mahu marah. Dalam hati mula berteriak, 'Hei konduktor tremco!! Kau ingat kami baru sampai di Mesir ni  subuh tadi ka??' Namun apabila mengenangkan bahawa tremco tersebut sudah menghampiri kawasan Sillim dan tempoh perjalanan selama 5 minit pun sudah hampir tamat, maka aku terus mengeluarkan LE 1.50 lagi. Wajah konduktor tersebut tidak ku pandang, agaknya tersenyum bangga kerana dapat memperbodohkan kami. Eiii..geram.. 
     "Aiwah 'ala gambih lau samah!" Kataku kemudian meminta diturunkan. Tremco tersebut pun berhenti, betul-betul di hadapan Sillim. Tapi yang menambahkan kegeramanku ialah tremco tersebut bukan berhenti di tepi jalan, sebaliknya di tengah-tengah jalan raya yang  sibuk dilalui pelbagai saiz kenderaan!

*****

    Aku bukan marah kerana kerana terbazir LE 1.50. Ambil sahajalah LE 1.50 itu, aku dah tak kisah. Rezeki Allah berganda-ganda lebih banyak daripada itu.
   
    Tapi marah dan kecewa kerana ketidakjujuran konduktor tremco tersebut.
  
    "Kalau beginilah cara kamu mencari rezeki, memang kamu akan cepat kaya. Tapi untuk apa kekayaan yang dikaut dengan mengambil kesempatan dari insan yang tidak berdaya. Hanya kerana kami kurang fasih bertutur dan kurang memahami bahasa kamu, kamu buli pula kami sesuka hati. Pemimpin kamu, kamu gulingkan kerana sikapnya yang tidak amanah. Tapi hakikatnya kamu juga sebenarnya tidak amanah, wahai konduktor tremco!!"
  
    Ok, sekali lagi, ambil sahajalah LE 1.50 itu. Tapi ingat, kalau Allah tanya nanti, jangan salahkan aku pula. Pandai-pandailah jawab sendiri, ya...

*****
  
    A 5 minutes tour, sepatutnya langkah kami ke kuliah diiringi dengan selawat para malaikat..

    Tapi keranamu wahai konduktor tremco, langkahku ke kuliah sambil marah-marah pula. 5 minit rahmat ini terbazir sia-sia kerana emosi... Huh..ruginya..

*****

p/s : Not the first time, and not the last time of course!! (^_^)

~BintulQaryah~

Sabtu, 7 Mei 2011

Sayang Mama...

    Selama 20 tahun, gadis ini hidup menghirup udara Tuhan tanpa batasnya.

    Selama 20 tahun, gadis ini melangkah menongkah badai tanpa gentarnya.

    Selama 20 tahun, gadis ini merenung menghitung bintang tanpa ada penghalangnya.

    Dan selama 20 tahun, gadis ini tertawa dan senyum ceria, menikmati hidup dengan  bahagianya..

*****

    20 tahun yang lalu, di waktu subuh pada satu hari di bulan februari, seorang ibu muda terbaring keletihan selepas beberapa jam berperang dengan kesakitan. Seorang bayi kecil yang 9 bulan dikandung akhirnya selamat menjengah dunia. Ibu itu, dalam kesakitan dan kepayahan, mengalir air matanya melihat puteri sulung yang dinanti-nantikan itu berada dalam dakapan. Seorang puteri yang diharap menjadi penyejuk mata, penawar sukma. Puteri yang diharap menjadi sandaran tika berduka, bakal mengesat airmata kala derita menjelma. Puteri itu juga diharap menjadi srikandi hebat yang bukan calang orangnya, menjadi tiang pembangun agama, pembela bangsa dan tonggak penyelamat ummah...

    Puteri kecil itu, yang 20 tahun lalu telapak kakinya cuma sebesar jari kelingking ibu, kini sudah bergelar seorang mahasisiwi. Dewasanya diwarnai mehnah hidup perantauan. Puteri sulung yang bergelar kakak kepada 7 orang adik itu membesar dengan asuhan tegas seorang abah, juga kelembutan kasih sayang seorang mama. Sejak kecil diajar berdikari, melakukan segala-galanya sendiri tanpa mengharap bantuan sesiapa. Usia 16 tahun, gadis itu dihantar berkelana. Mamanya melarang dengan alasan usia yang masih terlalu muda. Namun dalam larangan itu sang mama percaya gadis itu mampu berkelana sendiri, mamanya juga percaya gadis itu mampu menjaga diri. Lantas dilepaskan gadis ini pergi, dengan doa moga menjadi anak yang berbudi.

    Setiap hari dirantauan gadis itu terlalu rindukan mamanya. Setiap kali usai solat doa dipanjat pada Allah Yang Esa, mohon moga mamanya sihat sejahtera, juga abahnya. Percaya atau tidak, gadis itu kurang gemar menatap foto mamanya. Manakan tidak, tiap kali ditatap mencurah-curahlah airmata gadis ini. Esak tangisnya sering disembunyikan di sebalik bantal dan selimut, takut dikata teman-teman anak yang manja. Gadis ini juga takut airmata rindukan mamanya akan mengajarnya menjadi lemah. Tangisan selalu mendatangkan rasa tidak selesa. Lantas tugasan yang dibekalkan ustaz dan ustazah di kampus terbengkalai begitu sahaja. Justeru gadis ini, jarang-jarang menatap foto mamanya. Katanya wajah mamanya lebih lekat dihati. Kalau ditatap membuatnya hilang tenaga, kerana rasa rindu yang membara. Sedangkan mamanya selalu menasihati, di rantau orang kuatkan hati..

    Mama selalu ingatkan gadis itu agar sentiasa tabah. Gadis itu mamanya larang bersedih andai kecundang dalam berjuang. Mamanya selalu berkata bahawa sebelum berjaya pasti akan ada kepahitan yang perlu dirasa. Kalau gadis itu menangis, mamanya akan peluk dan usap kepalanya. Pernah gadis itu hampir putus asa, mamanya bakar semangat gadis itu dengan cabaran yang lebih bermakna. Mamanya tidak mahu gadis itu berputus asa, kerana peluang untuk berjaya itu sentiasa ada di hadapan mata.

    Mama mendidik si gadis mengikut acuan masyarakat kampung, juga mengikut aturan syarak yang menggariskan didikan terbaik buat seorang anak gadis. Diajar itu ini, dilarang pun itu dan ini. Keluar rumah tidak boleh sesuka hati. Berteman pun mama yang tolong pilih. Bila berjauhan, tentu mama ada risau dalam hati. Gadis itu mama mahu jadi mawar berduri. Dipandang indah berseri namun untuk disentuh tidak sekali. Justeru gadis itu mama kawal seketat-ketatnya. Mama ingat kata orang, lebih mudah jaga lembu sekandang. Mama larang berkawan dengan orang tidak tentu hala. Mama larang keluar pekan kalau bukan dengan adik-adik ataupun abah. Mama larang itu, mama larang ini. Pernah gadis itu ada rasa sebal dalam hati. Nalurinya ingin bebas ke sana ke mari, ke hulu ke hilir bersama rakan-rakan seusia. Namun sejak kecil gadis itu tidak pandai membantah, lantas terpendamlah rasa sebal itu hinggalah meningkat dewasa.Usia remaja, gadis itu akhirnya mengerti. Larangan mama rupanya ada hikmah tersembunyi.

    Gadis itu sayangkan mamanya, sayang yang teramat. Mama mengandungkannya, mama melahirkannya, membesarkan dan mendidiknya dengan sempurna sekali. Baginya mamanya adalah wanita paling agung, punya keluhuran cinta yang paling disanjung. Kasih mama bagai langit luas yang memayungi hidupnya, tika hujan mahupun panas. Kerana mama gadis itu mampu berdiri dan berlari. Kerana mama juga gadis itu mampu mencapai semua yang diingini. Didikan acuan mama mencorak gadis itu menjadi insan cekal hati.

    Oleh itu, gadis itu punya azam untuk membahagiakan mama. Mahu diukirkan kembali senyum ria di wajah mama yang makin berusia, mahu ditebus kembali keletihan dan susah payah mama membesarkan dan mendidiknya serta adik-adik, mahu ditunaikan segala kemahuan mama, semua keinginan mama.. Lantas azam mahu berjaya dalam hati gadis itu makin menyala. Di puncak impiannya dilakarkan nama mama. Harapannya biarlah kejayaan dan kecemerlangan itu dihadiahkan buat mama...

*****

    Coretan buat mama yang tercinta. Terima kasih kerana telah melahirkan, membesarkan dan mendidik kakak serta adik-adik. Ma, Selamat Hari Ibu.. Saaayang mama.. (^_^)





p/s : SELAMAT HARI IBU BUAT SEMUA IBU DI SELURUH DUNIA.. Terima kasih kerana melahirkan ummat Muhammad yang bakal menerajui perjuangan Islam keseluruhannya..

 
~BintulQaryah~

   

Ahad, 2 Januari 2011

AkU jAtUh CiNtA...

    Pernah seorang ukhti mengatakan bahawa, hati manusia itu memerlukan makanan sama seperti manusia yang sering merasa lapar. Namun, makanan hati itu bukanlah nasi, mee, kuih-muih mahupun makanan-makanan enak yang sering dijamah manusia. Makanan hati itu tidak lain merupakan pengisian rohani yang bermanfaat, mampu men'sejahtera'kan iman serta mampu menambahkan taqwa pada Allah...

    Lantas, menyedari kepentingan 'makanan' untuk hati, bersama beberapa orang rakan se'fikrah', satu liqa' yang masih belum bernama kami lancarkan. Sasaran cuma pada rakan akhawat se'batch' namun andai diizinkan Allah akan kami ajak juga akhawat senior, moga apa yang kami usahakan dapat dikongsi bersama.
    Alhamdulillah, setelah 2 sesi, hati ini terasa makin cinta pada halaqah-halaqah kecil sebegini. Meskipun bagi 2 sesi ini cuma 4,5 orang sahaja yang turut serta, namun kami yakin hati sahabat yang lain kelak akan tergerak jua. Isu-isu yang dibincangkan tidaklah terlalu berat namun berfokuskan pada masalah umat. Keinginan untuk mengislah masyarakat mendorong kami untuk berfikir dan berfikir, sekaligus cuba mencari punca dan jalan penyelesaian bagi setiap penyakit yang agak parah membarah dalam nadi saudara-saudara seakidah seluruh dunia..

    Pernah terdetik dalam hati perasaan malas, letih dan bosan. Hampir-hampir sahaja kalah dengan pujuk rayu syaitan yang menghasut, mencipta berbakul-bakul alasan untuk tidak hadir. Namun cepat pula disedarkan dengan bisikan-bisikan dorongan yang datang dari sudut terdalam atma ini. Alhamdulillah, Allah masih memberikan diri ini peluang untuk terus mentarbiyah hati dengan kalimah-kalimah dan peringatan-Nya..

    Kami duduk dalam dawwar, lutut bertemu lutut. Ummul Furqan dibaca mengharap rahmah dan maghfirah Allah, moga liqa' kami diberkati.. Lantas beberapa potong ayatul Quran kami baca, berdasarkan fokus bagi topik sesi kali itu. Kemudian salah seorang dari kami akan membaca tafsirnya, lalu bermulalah perbincangan kami...

Kenapa begini?? Sebabnya begini...  Apa puncanya?? Puncanya ini.. Apa peranan kita?? Peranan kita begini.. Macam mana nak buat?? Caranya begini...

    Begitulah selalunya. Dari hati ke hati kami berbicara, meluahkan apa yang terpendam dalam jiwa. Tiada rahsia antara kami semua. Andai ada yang bermasalah, terluka mahupun berduka, semua berperanan menghiburkan. Konsep bersaudara kami genggam seeratnya. Terasa benar ukhuwah yang terjalin, ibarat ombak dan pantai yang tidak pernah terpisah, saling melengkapi. Senda gurau dan tawa mesra menghiasi liqa' kami, namun masih berbatas atas hakikat bahawa kami semua adalah wanita.. (^_^)

    Setelah sejam, doa penutup kami baca, moga setiap yang dikongsikan bermanfaat bagi semua. Lantas tangan dihulur, pelukan dieratkan.   
                                                                                 
    Sungguh, diri ini telah jatuh cinta. Pada liqa' dan ukhuwah kami semua. Meskipun ada yang baru saling mengenal, namun terasa bagai telah lama bersahabat. Hati-hati kami bagaikan telah diikat dan disatukan agar lebih erat dan rapat. Sememangnya ukhuwah kerana Allah itu amat indah...

    Kepada sahabat-sahabatku, Ukhti Nad, Ukhti Sue, Ukhti San dan Ukhti Fath, uhibbukunna fillah abadan abada..

~BintulQaryah~

Rabu, 10 November 2010

Baru bertatih, masih cuba untuk melangkah..

Sekelumit cuma perkongsian, buat ikhwah dan akhawat yang masih dan sedang mencari diri..
Harapnya jangan dipandang pada yang berbicara, tapi nilailah pada yang dinukilkan..
Diri ini baru bertatih, dan masih cuba untuk melangkah. Kiranya diri ini tersimpang, tersalah jalan atau terjatuh, moga ada yang sudi memperbetulkan tingkah diri yang dhaif ini.
Moga kita terus tsabat dalam mencari redhaNya...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...