Saya tergelak-gelak sendiri selepas menjawab panggilan
telefon dari abah. “Sms nombor ic kakak dan angah, abah mahu daftarkan kursus
kahwin di MUIS.” Kebetulan saya sedang sibuk dengan kerja-kerja rumah, laju
sahaja saya menghantar sms kepada abah. Beberapa minit kemudian, saya berfikir
kembali, ‘kursus kahwin? Di MUIS? Oh tidaakk… terserempak dengan kawan-kawan
nanti jenuhlah nak menjawab!’
Sepulangnya abah dari Kota Kinabalu, bertubi-tubi soalan
saya ajukan. “Biar betul abah? Kursus kahwin apa awal-awal ni? Kakak belum mahu
kahwin pun. Terjumpa kawan-kawan di MUIS nanti macam mana?”
“Sebab tu abah suruh ikut sekarang, walaupun belum mahu
kahwin. Ikut awal-awal supaya tidak kelam kabut bila sudah habis belajar dan
sudah dapat kerja. Sijil kursus tu boleh pakai seumur hidup.”
Saya ternganga dan ternganga.
Abah memang advance dalam merancang masa depan kami adik
beradik. Umur ni habis belajar, umur ni dapat kerja, umur ni kahwin, dan umur
ni abah sudah boleh timang cucu!
Abah sahaja yang bulat hati. Saya dan adik masih berbelah
bahagi lagi. Hari pertama kursus, kami melangkah dengan jiwa kacau, berjalan pun
terhendap-hendap kerana takut terserempak dengan kawan-kawan.
“Kalau ada orang tahu kita ikut kursus kahwin ni, macam
mana?”
“Macam mana apa? Ikut kursus saja pun, bukannya mahu kahwin
sekarang.”
“Nanti orang sangka kita mahu kahwin.”
“Cakap sajalah keluarga suruh ikut kursus awal. Apa
susah?”
Dan kami memang terserempak dengan beberapa orang
kenalan. Memang terpaksa menayang muka selamba, padahal dalam hati sudah menggelabah
seperti orang kena hukuman mandatori gamaknya.
Pada awalnya saya mengkritik dalam hati, ‘apalah sampai
wajibkan kursus kahwin ni? Buang masa, buang tenaga, dan buang duit RM100 lagi!
Hujung minggu ni duduk rumah goyang kaki lagi bagus.’
Oleh kerana saya belum ada niat mahu membina baitul muslim
dalam masa terdekat, menyertai kursus kahwin ini adalah suatu keterpaksaan bagi
saya. Lainlah kalau memang sudah ada perancangan, tidak perlu dipaksa abah,
saya pasti sudah mendaftar awal-awal lagi.
Kami ‘terpaksa’ menadah telinga mendengar slot demi slot
ceramah. Dari perkara asas berupa akhlak dan akidah Islam hinggalah kepada hal
ehwal rumahtangga yang ‘menakutkan’, semuanya ‘ditelan’ tanpa rela.
Kadang-kadang terasa seperti mahu angkat kaki dan cabut lari dari Bilik Hikmah
di bangunan MUIS itu.
Prosedur pendaftaran perkahwinan?
Pembubaran perkahwinan? Hah? Baru daftar sudah mahu
bubar?
Pengurusan Kewangan?
Pengurusan tekanan pun ada??
Patutlah.
Patutlah di Malaysia, kursus pra-perkahwinan Islam
diwajibkan kepada semua pasangan Islam yang mahu berkahwin.
Sepanjang dua hari berkursus, saya mendengar dan melihat
situasi kecelaruan pemahaman tentang hukum Syariah yang melibatkan hal ehwal
rumah tangga, yang selama ini saya cuma pelajari dari kitab-kitab kuliah di universiti.
Selama ini saya diajar tentang rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnya, tetapi
sepanjang kursus saya belajar bahawa dengan situasi masyarakat di Malaysia yang
semakin hilang nilai adab dan tatasusila, ahli-ahli agama, para ulama’ dan
umara’ perlu lebih arif, perlu lebih pakar dari sekadar tahu rukun dan tahu
syarat sah.
Masalah wali?
Masih ramai dalam kalangan peserta kursus yang tidak tahu
siapa gerangan wali dan apa fungsinya. Masih ada yang keliru tentang urutan
wali selepas bapa. Malah masih ada yang tidak tahu siapa yang boleh menjadi
wali dan siapa yang tidak.
Kita tidak perlu hairan. Kita yang pernah bersekolah
menengah pasti tahu sejauh mana hukum Syariah tentang asas-asas perkahwinan
melekat kuat dalam ingatan. Apatah lagi dengan silibus sekadar asas yang tidak
merangkumi praktikal malahan teori yang cuma sedikit-sedikit. Jangankan
rukun-rukun nikah, rukun-rukun solat pun mungkin ada antara kita yang masih
lupa!
Pandemik anak tidak sah taraf.
Kata salah seorang penceramah, mengikut kajian yang
dijalankan, setiap jam seramai tujuh orang anak tidak sah taraf dilahirkan
dalam negara Malaysia. Saya dan yang lain-lain terkesima. Tujuh orang setiap jam?
7 darab 24? Darab 365? Ertinya dalam tempoh setahun seramai 61320 orang bayi
tidak sah taraf lahir di Malaysia! Itu yang diketahui, yang didaftarkan. Kalau
ada lagi yang disembunyikan, tidak termasuk lagi yang dibunuh dan dibuang di tong
sampah dan longkang-longkang?
Kasihan, setiap tahun 61320 orang bayi yang tidak berdosa
terkena tempias dosa si ibu dan ayah yang tidak bertanggungjawab. Bayi
perempuan, apabila sudah dewasa dan mahu berkahwin kelak, terpaksa turun naik
mahkamah bagi proses mendapatkan izin berwali hakim yang mengambil masa bukan sekadar
sehari dua. Astaghfirullahal’adzim..
Fenomena hipotesis ‘semakin tinggi taraf pendidikan,
semakin tinggi hantaran perkahwinan’.
Apabila ditanya kepada salah seorang peserta kursus, berapa
nilai hantaran paling selamat kini? Jawabnya RM18k. Sewa khemah, kerusi meja,
pelamin, pakaian pengantin, jamuan makan, itu dan ini, RM18k adalah suatu
jumlah yang cukup-cukup.
Namun kata penceramah tersebut, majlis perkahwinan ibarat
sebuah gerbang. Alam rumah tangga adalah kediaman sebenar kita. Untuk apa
gerbang yang cantik dan indah kalau di dalam rumah kosong? Kita mahu hidup di
gerbang sahaja atau di dalam rumah?
Metafora yang bijak, saya rasa. Justeru saya melihat
analogi gerbang dan rumah melalui satu pentafsiran lain.
Persediaan sebelum berkahwin.
Persediaan sebelum berkahwin itu adalah wajar dilebihkan
kepada bahagian dalam rumah, bukannya gerbang. Bahagian dalam rumah disini
merujuk kepada persediaan secara teknikal iaitu kemampuan kewangan, juga
persediaan mental dan spiritual, yakni persediaan hati dan jiwa sebelum
mengemudi alam rumahtangga. Yakinkah sudah untuk menjadi seorang suami ataupun
isteri? Mampukah sudah untuk menjadi ketua keluarga, mendidik dan membimbing
isteri dan anak-anak ke jalan Allah? Sudah bersediakah untuk melaksanakan semua
tanggungjawab dan amanah?
Majlis perkahwinan besar-besaran, perlukah?
Saya pernah membaca satu artikel,tidak silap tajuknya ‘Derhaka selepas Taat’.
Majlis akad nikah yang sederhana, sekadar mengundang kaum
kerabat dan sahabat dekat. Pengantin perempuan berpakaian menutup aurat, majlis
dibuat di dalam masjid kononnya mahu menambah berkat. Alhamdulillah. Kemudian majlis
bersanding besar-besaran. Busana pengantin perempuan berubah 360 darjah.
Pelamin mewah tersergam indah, acara karaoke, tari menari, maksiat mata dan
hati, pembaziran harta, riak dan menunjuk-nunjuk.
Na’uzubillah..
Mana taat sewaktu upacara akad nikah tadi?
Syariat Islam kan ada, malah lebih mudah dan lebih murah.
Sungguh besederhana itu lebih afdhal disisiNYA
Encik penceramah menayangkan satu video, sepasang suami
isteri muda bertelagah kerana tidak cukup wang untuk menampung perbelanjaan
rumah tangga kemudiannya MENGUNGKIT jumlah hantaran berbelas-belas ribu yang
diminta oleh si isteri dulu. Thumbs up,
Encik penceramah. Usai kursus, saya lihat mulai ada yang berfikir dan mencongak
kembali tahap persediaan masing-masing.
Tips memilih pasangan.
Sebelum bertolak, mama sempat berpesan, “mudah-mudahan
lepas kursus kahwin ni, jumpalah jodoh yaa..” Hehee..mama..mama..
Kata Ustaz yang berceramah, jangan meletakkan expectation
yang terlalu tinggi terhadap pasangan. Jangan angkuh untuk menerima sebarang
kekurangan, tetapi jadilah penyempurna terhadap kelemahan masing-masing.
Saya sebenarnya segan untuk elaborate frasa di atas.
Bukan kepakaran saya.
Cukup untuk saya membuat kesimpulan sendiri dari slot
ceramah ustaz tersebut, nanti cari bakal suami yang boleh menerima segala
bentuk kekurangan, kelemahan, kenakalan, kekasaran, kedegilan, kegarangan..(ya ALLAH, apakah semua ini! T.T)
Pendek kata, saya bersyukur kerana Allah memberi peluang
untuk menyertai kursus pra-perkahwinan Islam ini, meskipun saya belum ada sebarang
perancangan mahu berkahwin dalam masa terdekat. Walaupun pada awalnya ada rasa
terpaksa, di penghujungnya saya merasakan ada hikmah di sebalik ketegasan abah
memaksa saya dan adik menyertai kursus ini. Sekurang-kurangnya kini kami tahu,
bernikah itu perlu persediaan, dan persediaan itu bukanlah pada gerbangnya,
tetapi pada isi rumah secara keseluruhannya. Rumahtangga itu dibina bukan dari
material, tetapi melalui hati dan jiwa. Manakala hati dan jiwa yang mahu
bernikah itu pula, perlulah dibajai dengan iman dan taqwa kepada Allah, barulah
Allah kurniakan rumahtangga yang punya sakinah, mawaddah dan rahmah.
p/s : tulisan sekadar pengalaman menyertai kursus, bukan tanda bau-bau nasi minyak! :-p