Khamis, 17 Januari 2013

Imtihan, Cuti dan Mr. Kebo-Kebo.


Sebelum itu; saya rindu Mr. Kebo-Kebo saya!
v(n_n)v

Alhamdulillah, genap seminggu berehat!

    Imtihan semester pertama bagi mahasiwi Tahun 2 kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar Kaherah tamat pada 10 Januari lalu. Dengan itu bermulalah cuti saya. Cuti seminggu, melegakan sakit-sakit kepala, sakit-sakit badan dan membetulkan kembali jam biologi saya yang sudah tidak tentu arah. Genap seminggu, saya tamatkan cuti rehat itu secara rasminya, hari ini.

    Dua minggu peperiksaan yang lalu berjaya ditempuhi semampunya. Bermula dengan madah Qadaya Fiqhiyah Mu’asirah, yang mana untuk tahun 2 kami ‘disumbat’ dengan segala istilah fiqh mu’amalat, dari isu ijarah muntahiyah bittamlik, prinsip tender dan bidaan, hukum penggunaan kad kredit dan akad import eksport. Berbeza dengan muqarrar tahun satu yang mana kami diperkenalkan dengan hukum perubatan wanita, bermula dengan hukum bayi tabung uji, bank susu dan sewa rahim hinggalah kepada hukum dan prinsip syariah dalam isu jirahah at-tajmil (pembedahan kecantikan).

    Qadaya Fiqhiyah, satu madah yang saya suka bagi takhassus syariah. Meskipun madah ini sangat mencabar, terutamanya untuk mengingat dan memahami segala istilah dan kosa kata baru, saya tetap suka.

    Seterusnya madah Nahu Sarf, madah yang jadi ‘musuh’ ketat saya sejak tingkatan satu. Alhamdulillah, sejak bergelar Azhariyah, Nahu Sarf sudah agak mesra dengan saya, tapi saya belum jadi pakarnya. Entah mengapa otak ini liat sedikit mahu memahami hukum dan kaedah tatabahasa Arab ini. Dan saya tahu saya perlu berusaha lebih lagi.

    Madah ketiga dalam jadual imtihan saya, Tauhid (nubuwwat dan sam’iyyat). Alhamdulillah, guru kelas tutorial kami banyak membantu, terutamanya bagi memahamkan istilah-istilah baru yang kami tidak pernah jumpai sewaktu tahun 1.

    Madah terakhir, Tafsir Ayat Ahkam bagi surah An-Nisa’ dan surah Al-Ma’idah. Sesak juga saya mahu menghadam dua kitab ini. Meskipun nipis sahaja, tapi isinya masyaAllah padat. Lumrahlah, namanya juga mahasiswi universiti, tiada yang mudah kalau saya tidak berusaha! Bagi madah ini, saya bertemu lagi dengan hal ehwal fara’idh. Terus terkenang pada Ustaz Abdullah, guru fiqh faraidh saya untuk SMRA dan STAM di SMAN. Ustaz Abdullah setia dengan asal masalah faraidh 40 nya, dan kata-kata keramat “hangpa ni masuk angin!”.


Encik Pemadam senyum girang di hari akhir imtihan. Suhu 10 darjah!

    Apa yang begitu mencabar kesabaran emosi dan kekuatan fizikal adalah imtihan semester pertama ini berjalan pada kemuncak musim sejuk. Musim sejuk di Mesir tiada salji, tapi orang Asia mana yang tahan dengan cuaca dingin yang kadang-kadang mencecah 10 darjah celcius ini?

    Saya dan seorang teman ke kampus seawal 8 pagi, sedangkan imtihan bermula pada jam 1 petang. Sengaja begitu, kerana kami merasa lebih bersemangat untuk mengimbas pelajaran pada saat akhir di kampus, bukan di atas katil dengan selimut tebal. Lalu dalam beberapa jam itulah kami akan bersoal jawab dan mengingat apa-apa yang terlupa, last force sebelum ke medan tempur.

    Oleh kerana kami tidak dibenarkan memasuki dewan kuliah, maka kami duduk di pondok kecil di belakang bangunan. Dalam dingin pagi yang menyeksa tulang belulang. Sekejap-sekejap kami ke kafe, memesan piza ataupun krip panas sebagai alas perut, kemudian kembali bersoal jawab bagai berforum perdana lagaknya.Kadang-kadang kami diserang angin kuat beserta pasir, membuat kami lari lintang pukang menyelamatkan diri, kemudian tertawa kagum pula melihat mahasiswi Arab yang selamba mengulangkaji di tengah-tengah ribut pasir itu. Menjelang zohor, kami solat di kaki lima bangunan. Mujur kampus ini kampus perempuan sahaja!

    Begitulah kami, sepanjang empat kertas peperiksaan. Kadang terasa letih, namun letih itu berganti seronok bila memikirkan ganjaran Allah buat orang-orang yang berusaha. 




    Memarahi diri yang terlebih seronok bila tamat imtihan. Semester dua saya ada 9 (+2) madah, dan diantaranya madah-madah baru yang saya tidak pernah kenal pun sebelum ini.

    Cuti seminggu saya sudah tamat. Saya akan kembali ber’gelut’ dengan kerja, tugasan dan hobi-hobi saya. Mr. Kebo-Kebo saya yang sudah beberapa lama dibiar berhabuk perlu dibelai-belai dulu, sebelum  kembali menghadap tutorial-tutorial yang tertangguh. Cikgu piano saya di youtube sudah merindu, agaknyalah! Beberapa cerpen dan certot yang tertulis separuh jalan juga perlu disempurnakan. Junior sekolah menengah saya pula meminta dituliskan beberapa lirik nasyid, untuk pertandingan katanya. Saya jadi teruja dengan busy-list saya!


Inilah dia Mr. Kebo-Kebo yang dirindu. Small yet stress-less!

    InsyaAllah 21 Januari ini, akan menyertai Bengkel Psikologi Gaya Nabi di Hayyu Asyir. Penyampai bengkelnya bukan calang-calang orang. Teruja lagi bila membaca testimoni para pengaplikasi teknik psikologi ini di muka buku, buat saya makin makin makin tidak sabar mahu pergi. InsyaAllah juga akan mendapatkan naskhah Teknik Mendorong Pelajar Corot Gaya Nabi di bengkel itu nanti. InsyaAllah!

   Apapun, imtihan dua minggu dan cuti satu minggu saya sudah tamat. 


p/s : Encik Ahmadi Putra akan tiba dari Jordan lusa petang.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...