Jumaat, 22 Julai 2011

Haflah Takrim..

    18 Julai (Isnin) yang lalu, bertempat di Azhar Conference Center (ACC), telah diadakan satu majlis Haflah At-Takrim bagi meraikan graduan-graduan pertama dari Al-Azhar Language Center ( مركز التعليم اللغة العربية للنا طقين بغيرها ). Al-Azhar Language Center yang bernaung di bawah seliaan World Association of Al-Azhar Graduate (WAAG) ini menyediakan pendidikan kemahiran Bahasa Arab secara menyeluruh bagi mana-mana pelajar asing yang tidak berjaya melepasi ujian kemasukan (Imtihan Qabul) Universiti Al Azhar pada Oktober 2010 yang lalu. Sesuai dengan peranan Universiti Al Azhar yang menjadi pusat ilmu sedunia, maka pelajar dari ALC juga tentunya datang dari berbilang negara yang berbeza sosiobudaya, bahasa dan adat istiadatnya. Dengan pelajar Malaysia mendominasi majoriti, turut terdapat pelajar dari negara lain seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Turki, Albania, Bosnia, Maldives, Nigeria dan beberapa negara dari utara benua Afrika.

~Banner majlis~

    Aku dan rakan-rakan sebagai graduan pertama dari Pusat Bahasa Arab ini tentunya tidak ketinggalan menghadirkan diri dalam majlis tersebut. Kami tiba di ACC pada pukul 11 pagi dengan menaiki teksi. Perasaan gentar tentunya tidak dapat digambarkan kerana turut dimaklumkan bahawa keputusan peperiksaan yang baru sahaja dilalui akan diumumkan pada hari ini. Memasuki dewan utama yang sudah mula dipenuhi para pelajar dan tetamu jemputan, perasaan kian berdebar-debar membayangkan natijah yang bakal diterima sebentar lagi.

 ~Aku dan rakan-rakan, sebelum majlis dimulakan~

    Pada pukul 12.30 petang, majlis dimulakan dengan tayangan video dokumentari tentang Al-Azhar Language Center (ALC). Sekilas temuramah bersama pelajar-pelajar ALC yang ditayangkan, terbayang betapa mahalnya ilmu Bahasa Arab yang kami semua perolehi sepanjang hampir setahun menjadi penuntut di ALC. Masing-masing meluahkan kegembiraan dan kesyukuran kerana berpeluang mendalami Bahasa Arab secara lebih mendalam sebelum menjejakkan kaki ke alam universiti yang sebenar.

    Usai tayangan video, pengerusi majlis menyampaikan ucapan aluan disusuli dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Saudara Hamid Kharjah, pelajar dari Turki. Sejenak diri terbuai dengan kemerduan bacaan yang bukan calang-calang. Semester pertama yang dilalui bersama pelajar-pelajar Turki sebagai rakan sekelas, aku sedikit sebanyak memahami betapa kefasihan lafaz arab itu merupakan sesuatu yang agak sukar bagi mereka. Namun mendengar bacaan Saudara Hamid Kharjah ini, persepsi itu berubah!

 ~Saudara Hamid Kharjah dari Turki~

    Acara diteruskan dengan persembahan puisi oleh Saudara Muzir Muhibbuddin dari Indonesia yang mendeklamasikan puisi bertajuk (من فيض النبي الكريم) karya Dr. Sa'eid Hassan, amid kuliah di ALC. Dengan suara lantang dan intonasi yang bersemangat, para pelajar dan penonton seolah-olah hanyut dengan roh puisi yang disampaikan. 

~Saudara Muzir Muhibbuddin dari Indonesia~
   
    Kemudian ialah persembahan nasyid dari kumpulan gabungan pelajar-pelajar putera dari Asia (Malaysia, Indonesia, Thailand). Persembahan mereka sederhana, namun semua yang ada ibaratnya memahami kekangan masa latihan yang mereka jalani. Di tengah-tengah persembahan, Syeikhul Azhar Dr. Ustaz Ahmad Muhammad At-Tayyib pun tiba. Ketika ini lagu kebangsaan Mesir tiba-tiba berkumandang dan persembahan nasyid di atas pentas terhenti. Setelah tamat lagu kebangsaan Mesir, kumpulan nasyid tadi meneruskan persembahan mereka dengan suara yang lebih bersemangat.


 ~Ketika ketibaan Syeikhul Azhar, semua hadirin berdiri semasa lagu kebangsaan Mesir dikumandangkan~
   
    Setelah itu, acara disusuli dengan ucapan wakil pelajar yang disampaikan oleh Saudara Muhammad Hasin dari Bosnia. Kemudian ucapan dari Fadhilah Syeikh Umar Kamil yang disampaikan oleh Saudara Umar Syaan dari Turki. Kemudian ialah ucapan dari Syeikhul Azhar Dr. Ustaz Ahmad Muhammad at-Tayyib. Paling mengesankan hati apabila antara butir ucapan Syeikhul Azhar berbunyi begini :

"برك الله على الذين ترك أهله وترك بلده للطلب العلم"

للطلاب الوافدين والوافدات, نحن نحتم بكم لأنكم روح الأزهر""

    Malangnya, Syeikhul Azhar berucap dari tempat duduk beliau yang berhadapan dengan pentas. Jadi tiada foto dapat diambil dari tempat dudukku yang terletak lebih kurang 10 meter dari pentas.

    Acara diserikan lagi dengan persembahan puisi dari Saudara Abdul Rasyid Ibrahim dari Nigeria yang mendeklamasikan syair berjudul (مصر تتحدث عن نفسها) disusuli dengan persembahan puisi dan nasyid oleh gabungan pelajar-pelajar puteri dari Asia (Malaysia, Indonesia, Thailand).

    Kemudian tibalah acara yang ditunggu-tunggu oleh semua hadirin iaitu pengumuman dan penyampaian hadiah kepada 10 orang pelajar yang mendapat markah tertinggi pada peperiksaan yang lalu. Membanggakan apabila seramai 5 orang pelajar Malaysia (3 putera dan 2 puteri) turut termasuk dalam senarai 10 pelajar terbaik ini. Hadiah berupa syahadah dan wang tunai disampaikan sendiri oleh Syeikhul Azhar. Kala itu kelihatan wartawan media dan hadirin memenuhi tempat duduk paling hadapan di mana Syeikhul Azhar menyampaikan hadiah. Sekali lagi, tiada foto berjaya dirakamkan.

  Usai acara, kami kekal di dalam dewan, menunggu makluman tentang keputusan peperiksaan yang kononnya bakal diumumkan pada hari itu. Suasana agak kalut ketika mana para pelajar mengambil kesempatan berjumpa dengan para guru dan bergambar sesama sendiri. Aku dan rakan pun tidak melepaskan peluang bergambar bersama Ustaz Baraa yang kebetulan berada berdekatan. Wajah Ustaz Baraa kelihataan berseri-seri kerana baru sahaja diakad nikahkan beberapa hari yang lalu dan ketika sesi bergambar itu, Ustaz Baraa mempersilakan kami hadir ke majlis resepsi yang akan diadakan pada malam hari itu.

    Ketika itu juga, terdengar pengumuman bahawa keputusan peperiksaan akan diumumkan melalui laman web rasmi ALC pada petang harinya. Para pelajar boleh menyemak markah dan status masing-masing dengan menggunakan angka giliran. Resah hati reda sedikit. Sekurang-kurangnya keputusan peperiksaan itu tidaklah diumumkan dengan pembesar suara!

    "Jom balik." Seorang rakan menggesa. Maka kami pun meninggalkan dewan yang tersergam indah itu, pulang ke rumah dan berehat seketika sebelum keluar semula selepas maghrib bagi menghadiri majlis resepsi Ustaz Baraa, guru Istima' dan Muhadasah kami!!

 ~Bersama Ustaz Baraa Safwan~

 ~Bersama rakan seSABAHan di luar ACC~

p/s : Pukul 5.30 petang itu, aku memberanikan diri membuka laman web rasmi ALC di www.azhar-alc.com, memasukkan angka giliran di halaman 'Nataijul Imtihanat', dan.......

Jeng..jeng..jeng..
 
~Alhamdulillah, syukur aku NAJAH!!~


~Jumpa di Tahun 1!!~


~BintulQaryah~




Khamis, 14 Julai 2011

Selepas Imtihan..

    Alhamdulillah, puji-pujian buat Rabb pencipta alam, pengatur tiap detik dan pemudah segala kesukaran..

    Syukur, hari-hari mencabar berjaya dilalui dengan tenang. Sekilas terimbas keadaan minggu lalu yang agak chaos dengan segala kesibukan. Mujur persiapan awal sudah dibuat, jadi diri tidak lagi terkejar-kejar dan kelam kabut mengulangkaji dan semak semula silibus pelajaran.

Kaifa haal al-imtihan?

    Alhamdulillah.. syukur kepada Allah kerana mempermudahkan.
    Soalan imtihan bagiku tidaklah terlalu mudah, tetapi tidak juga terlalu susah. Andainya ada soalan yang rumit, wajar aku salahkan diri sendiri yang culas dan lalai. Namun imtihan kali ini cukup untuk membuatku tersenyum lebar. Lancar sahaja jemari membulatkan jawapan, mengisi tempat kosong dalam setiap soalan, dan mewasilahkan idea dari minda dalam bait jumal ketika menulis karangan.. Syukur, kelapangan masa lalu membuatkan aku merasa cukup bersedia.

    Hari pertama imtihan terasa agak santai kerana madah imtihan hari itu (Kitabah/mufradat/imla') adalah antara madah yang ditafsirkan mudah. Namun sesampainya di dewan peperiksaan, kami dimaklumkan bahawa imtihan bagi madah Muhadasah (perbualan) akan turut diadakan pada hari itu. Hahh?? Kenapa tiada di dalam jadual? Maka ada sedikit gelabah menguasai diri. Minda cuba untuk berfikir rasional, "Pihak pengurusan sengaja menguji tahap kemampuan pertuturan tullab". Tarik nafaas..hembus..tarik nafaas..hembus. InsyaAllah, boleh punya.. (^_^)

    Maka sesi Muhadasah pun bermula. Aku merupakan pelajar kedua terakhir dalam senarai.

~Soalan pertama, Alhamdulillah.
~Soalan kedua, pun Alhamdulillah.
~Soalan ketiga, Alhamdulillah lagi.
~Soalan keempat, hah?? Peliknya. Tapi, Alhamdulillah..
~Soalan kelima, Err..biar betul.
~Soalan keenam, ayark.. Apa ustaz ni cakap? Kitab Maqru' dan Kitab Matbu'? Benda apa tu?

    Namun tetap rasa bersyukur, Alhamdulillah.. Dapat jawab semua..

Natijah?

    14 Julai, sepatutnya natijah imtihan diumumkan hari ini. Tapi baru sebentar tadi seorang guru memaklumkan  melalui facebook bahawa natijah imtihan akan diumumkan pada hari ahad (17 Julai) ketika Majlis Ihtifal di Azhar Conference Center (ACC) bersama dengan Syeikhul Azhar. Ketika inilah rasa gelisah itu bertandang. Risau, cemas.. Namun hati memujuk, "Tenang, InsyaAllah, Allah memudahkan segalanya.."

Terima kasih semua...

    Aspresiasi tentunya ku dedikasikan buat mereka yang banyak berjasa, membantu dan memberi sokongan. Mulanya minda ter'setted' dengan ungkapan Bahasa Arab susah, Nahu Sarf payah.. Namun mereka menghapuskan anggapan itu dengan kata semangat dan dorongan yang pastinya berjaya mengubah tanggapanku. 

    Mereka ialah Guru-guru di kuliah: Ustaz Ahmad 'Asyur, Ustaz Baraa, Ustaz Abdul 'Aziz, Ustaz Haitham, Ustazah Nasrin dan Ustazah Nura. Guru-guru di Markaz Eqraa: Ustazah Amirah,  Ustaz Hosaini, Ustaz Muhammad Ramadhan dan Ustazah Du'aa . Mesra, penyayang, prihatin dan profesional! Sikap mereka membuatku semakin bersemangat untuk mendalami Bahasa Al-Quran. InsyaAllah, kemahiran dan kefasihan itu pasti akan jadi milikku.. 

Cuti?

    Mungkin sekejap. InsyaAllah sesi pengukuhan di kuliah akan bermula pada 27 Julai nanti. Sementara itu, masa senggang ini sedaya mungkin cuba untuk diisi dengan perkara yang bermanfaat.

    Sekilas terkenang puda pada satu janji. Sejak dahulu cuba mencari masa lapang bagi melunaskan janji itu. Namun ASIF JIDDAN, daqa'iq yang bernama masa itu tidak pernah memberikan walau seinci peluang untuk aku menta'kidkan idea. Padahal idea itu sering muncul pada ketika yang tidak terjangka. Papan kekunci hitam putih juga sudah lama berhabuk di atas meja, bagaikan menunggu jemariku untuk kembali memainkan irama. Dalam komputer riba biru ini juga sudah tersedia bait-baitnya. Tinggal untuk disatukan dengan rimanya sahaja.

Balik Malaysia?

    InsyaAllah tahun hadapan. Baru 3 bulan lebih di Mesir setelah 'cuti percuma tidak terjangka' bersempena dengan Revolusi Mesir Januari lalu, hati belum teringin untuk kembali semula ke tanah air. Memang ada rindu membuak di dada, namun di sini ada perkara yang lebih penting dari kerinduan itu. Sesi pengukuhan di kuliah, Talaqi di Masjid Azhar, kelas Quran bersanad, kelas tahsin Al-Quran di Markaz Eqraa, terasa seperti masa menyempitkan peluang pula. Mahu balik Malaysia? Err.. tak. (^_^)



~BintulQaryah~

Jumaat, 8 Julai 2011

Kala minda menerawang...

Ingatlah sesungguhnya perjuangan meneggakan Islam ini ibarat aliran air yang ditahan, semakin ditahan, semakin dihalang ia akan terus melanda dan melanggar benteng penahan, lumrah alam juga telah menetapkan bahawa suatu masa dan ketikanya benteng pasti akan pecah, ketika itu maka terbuak buaklah aliran air tersebut membanjiri pelusuk muka bumi. Yakinlah!
~TGHAHA~
-Perjuangan itu ibarat dakian penuh liku. Diintai dari jauh seakannya mudah, namun kala kaki mula mengorak langkah baru terasa tingginya langit yang bersahabat dengan puncak jaya-

-Bukan penghalang yang mengekang kejayaan, melainkan ketakutan kita sendiri jualah yang memadamkan nyalaan api perjuangan-

-Usah berkhayal untuk menyentuh awanan, andai gentar untuk berpamit pada daratan-

~BintulQaryah~

Sabtu, 2 Julai 2011

Oh Semangat!!

    Semangat oh semangat, ke mana kau menghilang??!!

    Menghitung detik dan hari yang bakal berkunjung, lagi 9 hari. Sepatutnya semangat semakin membara. Namun entah mengapa jasad seolah-olah bertambah lesu apabila melihat kalendar kecil yang terletak kemas di atas meja.

    Makin malaskah aku? Atau minda ini sudah bosan untuk terus-terusan menghadap buku?

    Oh tidak......

    Semangat yang hilang perlu di cari. Kalau tidak nanti merana diri.




    Kembara ini masih panjang, lantas wajarkah aku kecundang pada semangat yang hilang??

  *****

Kembara Ilmu (Suhaimi)

Kembara ilmu selaut cahaya
Milik Tuhan tiada bertepi
Diselam tak cecah ke dasar
Ditimba tak luak setitis

Kembara misi lembah nurani
Menakung titisan ilmu suluhan budi
Resapan dari akal yang murni
Untuk diuntai mutiara sufi
Menjadi azimat menuju Firdausi

Lembah nurani fitrahnya suci
Jangan ditinggal gersang jangan dibiar hitam
Gersang nurani kerana tiada ilmu
Hitam nurani kerana dosa bertimbun


Noda di hati melemahkan minda
Kembara sufi terasa sukar
Sesatlah di dalam pelayaran
Hanyut tiada pedoman
Akhirnya karam dalam kegagalan


*****

Jadual Imtihan Niha'yah (banat) 
Markaz Lughah Arabiah Jami'atul Azhar As-Syarif, Kaherah.

11/07/2011
~Qiraah
~Mufradat
~Imla'

13/07/2011
~Qawa'id
~Istima'
~Kitabah

14/07/2011
~NATIJAH!!



SEMANGAT!!

*****
p/s : Makin dekat hari imtihan, tangan juga makin ringan dan rajin untuk mengetuk papan kekunci.. hehe...
   
~BintulQaryah~

Isnin, 27 Jun 2011

A 5 minutes tour...

    Seawal 7 pagi, sudah meninggalkan bangunan Wisma Yayasan Sabah Kaherah yang tersergam indah. Kebiasaannya, pagi-pagi begini suasana di WYSK masih sunyi. Barangkali aku dan seorang rakanku ini yang terawal meninggalkan WYSK, setiap hari. Kadangkala rakan-rakan lain pun hairan, kelas mula jam 8, tapi keluar rumah jam 7, buat apa di kuliah tu pagi-pagi buta, hah?

Bangunan WYSK
     "Nak exercise, dan jimat duit. Hehe.." Jawapan lazim. Memang, kami (aku dan rakanku) keluar rumah seawal jam 7 kerana kami ke kuliah dengan menaiki van mini yang dipanggil tremco setiap hari. Bukan seperti rakan lain yang ke kuliah setiap hari dengan menaiki teksi bermeter, jam 7.30 keluar rumah pun tak apa. Tambang tremco dari Awwal Abbas ke Sillim, kalau di Malaysia orang cakap murah sangat dah tu!! 75 qirsy (LE 0.75) sahaja.. Kalau tukar ke duit RM, dapatlah lebih kurang 40 sen. Murahkan...kan... (^_^) Lagipun, mahu ke tempat perhentian bas di Awwal Abbas tu, kami kena berjalan kaki dulu. Jauhlah juga, tapi berbaloi-baloi.. Sebab tu keluar awal, supaya tiba di kuliah lebih awal dan dapat berehat sebentar sebelum sesi kuliah dimulakan. Kalau nak naik teksi, keluar sahaja dari simpang Hateem At Taei, belok kanan, ala tuul... daaah sampai. Lambai sahaja tangan kalau ada teksi putih lalu.. =) Tapi tambang, fuhh. Boleh cover duit tambang tremco ulang alik 2 hari..

    Bukanlah mahu bercerita tentang murahnya tambang tremco di bumi Mesir ni. Bukan juga mahu bercerita tentang penatnya berjalan kaki dari WYSK ke Awwal Abbas tu.. Tapi mahu bercerita tentang perjalanan kami pada suatu hari, yang seperti biasa dari Awwal Abbas ke Sillim mengambil masa selama 5 minit. So, A 5 minutes tour lah!!

    Alkisahlah suatu hari, aku dan 2 orang rakanku sampai di Awwal Abbas dalam keadaan pagi yang sudah mula sibuk. Suasana yang hingar dengan jeritan pemandu-pemandu tremco : "Asyir..Asyir..Sabie'..Sabie'..", memang sudah kedengaran terlalu biasa. Bunyi hon kereta yang dituju pada kami gara-gara kurang berapa pandai melintas jalan pun sudah kedengaran terlalu biasa. Pandangan orang arab Mesir yang melihat kami berlari terkedek-kedek melintas jalan pun sudah terlalu biasa!!
    "Sillim?" Tanyaku pada pemandu termco yang menjerit "Ramsis..Sayyidah Aisyah.. Ramsis..Sayyidah Aisyah...". "Ta'ali.." Pemandu itu mengangguk. Maka kami pun masuk dan mengambil tempat duduk. Seperti biasa, maka mulalah kami mengorek beg duit masing-masing, mencari syiling 50 qirsy berwarna emas dan syiling 25 qirsy berwarna perak yang berlubang di tengah macam donat. Duit tadi pun dihulurlah pada konduktor tremco. (Mini van di Mesir ni ada konduktor tau!!)

    "Sillim talata." Rakanku menghulur LE 2.25. Sang konduktor menghitung duit di tangan. " Gini nus kaman!" (1 genih setengah lagi). Aikk.. aku dan rakanku berpandangan. "Apa dia cakap? Satu nus lagi?" Rakanku angguk. "Ehna talata ya ra'is.." Ujarku. "Aiwah.. gini nus kaman." Aku garu kepala. "Sillim talata." Aku mengulang lagi. Sang konduktor merenung aku yang menjegilkan mata. "Sillim talata? Aiwah, gini nus kaman." Konduktor berusia awal 20-an tidak mahu mengalah. Ya Rabbi... konduktor ni memang cari pasal.. Grr...

     "Wahid bikhomsah wa sab'ein sah? (seorang 75 kan?)" Aku bertanya dengan nada tidak puas hati. "La, gini wa rub' (tidak, 1.25)" Sang konduktor bertegas. Si pemandu pula memerhati melalui cermin pandang. Penumpang yang lain, jangan cakaplah.. Semua tersenyum-senyum sumbing. Seorang lelaki berkot dihadapanku berkali-kali menoleh ke arah kami. (Di Mesir, orang pakai kot pun naik bas juga. (^_^))

    Mood mula berubah, mahu marah. Dalam hati mula berteriak, 'Hei konduktor tremco!! Kau ingat kami baru sampai di Mesir ni  subuh tadi ka??' Namun apabila mengenangkan bahawa tremco tersebut sudah menghampiri kawasan Sillim dan tempoh perjalanan selama 5 minit pun sudah hampir tamat, maka aku terus mengeluarkan LE 1.50 lagi. Wajah konduktor tersebut tidak ku pandang, agaknya tersenyum bangga kerana dapat memperbodohkan kami. Eiii..geram.. 
     "Aiwah 'ala gambih lau samah!" Kataku kemudian meminta diturunkan. Tremco tersebut pun berhenti, betul-betul di hadapan Sillim. Tapi yang menambahkan kegeramanku ialah tremco tersebut bukan berhenti di tepi jalan, sebaliknya di tengah-tengah jalan raya yang  sibuk dilalui pelbagai saiz kenderaan!

*****

    Aku bukan marah kerana kerana terbazir LE 1.50. Ambil sahajalah LE 1.50 itu, aku dah tak kisah. Rezeki Allah berganda-ganda lebih banyak daripada itu.
   
    Tapi marah dan kecewa kerana ketidakjujuran konduktor tremco tersebut.
  
    "Kalau beginilah cara kamu mencari rezeki, memang kamu akan cepat kaya. Tapi untuk apa kekayaan yang dikaut dengan mengambil kesempatan dari insan yang tidak berdaya. Hanya kerana kami kurang fasih bertutur dan kurang memahami bahasa kamu, kamu buli pula kami sesuka hati. Pemimpin kamu, kamu gulingkan kerana sikapnya yang tidak amanah. Tapi hakikatnya kamu juga sebenarnya tidak amanah, wahai konduktor tremco!!"
  
    Ok, sekali lagi, ambil sahajalah LE 1.50 itu. Tapi ingat, kalau Allah tanya nanti, jangan salahkan aku pula. Pandai-pandailah jawab sendiri, ya...

*****
  
    A 5 minutes tour, sepatutnya langkah kami ke kuliah diiringi dengan selawat para malaikat..

    Tapi keranamu wahai konduktor tremco, langkahku ke kuliah sambil marah-marah pula. 5 minit rahmat ini terbazir sia-sia kerana emosi... Huh..ruginya..

*****

p/s : Not the first time, and not the last time of course!! (^_^)

~BintulQaryah~

Jumaat, 24 Jun 2011

Yalla BisSur'ah!!!

    Sejak kecil telah terdidik dengan segala yang segera. Semua perkara sebolehnya dilakukan dengan pantas dan segera. Pantang bagi abahku berlambat-lambat, justeru dewasanya aku juga dengan prinsip 'Pantang Lambat'. Haa..sesuailah barangkali dengan tabiat Misriyun yang juga tidak suka berlambat-lambat, semuanya mesti cepat. Yalla bisSur'ah!!

    Kehidupan di perantauan sebagai seorang mahasiswi menuntut sikap dan tabiat 'SEGERA' dalam banyak perkara. Setiap hari, menjadi yang ter'SEGERA' bangun pagi,  ter'SEGERA' bersiap, ter'SEGERA' keluar rumah untuk ke kuliah, ter'SEGERA' tidur,  malah ter'SEGERA' dalam segala-galanya. Kebiasaan ber'SEGERA' inilah yang mungkin menjadikan aku agak kebal dari kekelamkabutan. Namun kadang tersedar bahawa bersikap terlalu SEGERA adakalanya menatijahkan kefasadan dalam sesetengah tindakan andai aku kurang berhati-hati.


    Namun, hakikatnya ber'SEGERA' merupakan satu perkara yang LA BUDDA (mesti) ada dalam diri setiap mahasiswa/i. Mungkin bukan dalam semua perkara, namun sekurang-kurangnya keinginan untuk melakukan dan menyiapkan sesuatu dengan cepat dan pantas pasti ada. Contohnya, tugasan kuliah yang perlu dihantar esok hari terlalu banyak dan wajib disiapkan hari ini juga. Tapi, MasyaAllah banyaknya!! Oleh itu, mahasiswa/i empunya tugasan tadi akan sedaya upaya menyiapkan tugasannya selaju yang mungkin. Rujuk buku dengan cepat, menulis dengan cepat, malah mata pun dengan kadar cepat berulangkali memandang jam. Tapi, AWAS!! Kecepatan tanpa ketelitian mungkin menyebabkan mahasiswa/i tadi dimarahi pensyarah keesokan harinya.. 


     Kita hidup di zaman pantas!! Petikan hiwar dalam nas istima' tugasan kuliahku baru-baru ini. Ya, memang kita hidup di zaman pantas, segalanya pantas. Namun yang membuatku tersenyum sendirian ialah kerana terlalu mahu pantas dan ber'SEGERA', ramai mahasiswa/i mengambil jalan pintas dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya, kerana mahu cepat ke kampus di pagi hari, maka sarapan pada setiap pagi cuma semangkuk mi 'SEGERA' tanpa menyedari bahawa mi 'SEGERA' jika dikonsumsi berlebihan boleh me'NYEGERAKAN' serangan penyakit.. (^_^)

    *****

    Mahu lambat atau ber'SEGERA', semuanya bergantung dan terpulang pada kemampuan masing-masing. Boleh berlambat-lambat tetapi janganlah sampai melengahkan masa. Boleh juga ber'SEGERA' tetapi jangan sampai tersilap berlaku tingkah. Kekadang berlambat itu perlu, namun jangan lupa ber'SEGERA' juga penting. Bagi mahasiswa/i, lumrah kesuntukan masa menuntut pertimbangan akal sewajarnya . Exam just around the corner, siapa lagi yang masih mahu berlengah-lengah?? Yalla bisSur'ah!!!

p/s : Mi segera cepat dimasak, sedap dimakan. Cepat berpenyakit dan sedap juga makan ubat tiap-tiap hari.. Kan..kan..!! (sambil jeling-jeling mi segera dalam almari.. (^_^))


~BintulQaryah~

       

Rabu, 8 Jun 2011

Mahasiswa dan Kewangan : Keperluan dan Kehendak

    Topik yang agak berat ini tiba-tiba terlintas di fikiran sebaik sahaja kembali dari membeli belah barangan keperluan untuk sebulan di sebuah pasaraya berdekatan. Nampaknya jumlah debit bulanan semenjak aku kembali semula ke Mesir agak bertambah. Mungkin juga disebabkan revolusi rakyat Mesir pada Januari lalu yang menyebabkan kebanyakan harga barang dan perkhidmatan meningkat. Namun alhamdulillah, kenaikan jumlah debit bulan ini tidak berapa merisaukan..



  
    MAHASISWA DAN KEWANGAN. Rasanya rata-rata mahasiswa institut pengajian tinggi tidak akan terlepas dari memikirkan soal perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian. Apatah lagi bagi mahasiswa yang tidak tinggal bersama keluarga seperti di rumah sewa, asrama, kolej kediaman dan tentu sekali bagi mahasiswa yang belajar di universiti luar negara!

    Seringkali kerisauan mengenai wang perbelanjaan ini akan timbul di pertengahan bulan lebih-lebih lagi apabila jumlah perbelanjaan yang dijangkakan melebihi jumlah peruntukan yang ditetapkan. Contohnya bagi seorang mahasiswa yang menetapkan perbelanjaan bulanan sebanyak RM 500. Contohnya bagi membayar sewa rumah, tambang bas/duit minyak, makan, kredit telefon bimbit, buku, tuisyen/kelas tambahan, dan berbagai - bagai lagi keperluan.  Tetapi setelah dicongak segala keperluan bagi bulan itu, jumlahnya  mencecah RM 700. Lagi RM 200, mana nak cari?? Ketika itu, akan terdengarlah rungutan seperti, "Mak oi, mana nak cari duit ni?" ataupun "Sewa rumah tak bayar lagi, poket dah kering," ataupun "susah betul jadi orang sengkek ni" dan yang paling selalu "Makcik kantin, hari ni boleh hutang tak? Saya dah pokai laa..". (^_^)

    Bagi mahasiswa yang sentiasa berhati-hati dalam setiap pengeluaran wangnya, masalah kekurangan wang seperti di atas bukanlah satu masalah besar kerana kebiasaannya (mengikut pengalaman) mahasiswa sebegini akan mempunyai sistem backup bagi menampung segala perbelanjaan luar jangka. Contohnya dengan menggunakan wang lebihan peruntukan bulan lepas yang masih berbaki, ataupun dengan menggunakan sedikit peruntukan bulan hadapan dengan syarat perbelanjaan bulan hadapan dikurangkan mengikut jumlah yang digunakan pada bulan ini. 



    Namun persoalan pokoknya bukanlah menjurus pada JUMLAH PERBELANJAAN itu, tetapi pada TUJUAN PERBELANJAAN itu sendiri. Mahasiswa yang bijak merancang dan memilih (pendek kata bijak berfikir), akan tahu untuk membezakan antara keperluan dan kehendak. Jika diimbas kembali pada subjek Ekonomi Asas Tingkatan 4, KEPERLUAN itu membawa maksud segala barang atau perkhidmatan yang diperlukan manusia untuk meneruskan kehidupan seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Manakala KEHENDAK pula bermaksud segala barang atau perkhidmatan tambahan yang bertujuan untuk menyempurnakan lagi hidup manusia.

    Bagi mereka yang bergelar mahasiswa, KEPERLUAN itu tentunya menjurus kepada segala perkara yang wajib ada bagi memastikan kehidupan sebagai seorang mahasiswa itu terjamin. Contohnya rumah/tempat tinggal. Sekiranya seorang mahasiswa itu tidak mampu membayar sewa atau yuran tempat tinggal lalu dihalau dan ditendang keluar, agaknya di mana lagi mahasiswa tersebut mahu berlindung? Buku-buku pengajian juga contohnya, ketika mana pelajar lain menggunakan buku edisi terbaru karangan penulis terhebat, mahasiswa tadi cuma memiliki buku edisi lama yang diwarisi dari ahli keluarga yang  telah tamat pengajian. Alasannya, tiada wang untuk membeli buku edisi terbaru tersebut. Agaknya bagaimana mahasiswa tadi belajar dan mengulangkaji secara efektif? Justeru, itu yang dinamakan KEPERLUAN. KEHENDAK pula, jika dipandang melalui konteks kehidupan seorang mahasiswa, ialah segala bentuk perkara yang tidak mempengaruhi kestabilan hidup sebagai seorang pelajar. Pendek kata, tidak ada pun tidak mengapa. Contohnya, telefon bimbit model terbaru berharga ribuan ringgit, pakaian berjenama mahal lagi eksklusif, menonton wayang, clubbing, ataupun makan pada setiap hari di restoran mewah lagi berprestij yang pastinya menuntut angka bayaran yang bukan sedikit. Bagi mahasiswa bijak, perkara sebegini akan dielakkan sedaya upaya kerana mahasiswa bijak tahu bagaimana rupa dan kesan PEMBAZIRAN.

Firman Allah SWT...

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya” (Surah al-Isra', ayat 27).

Sabda Rasulullah SAW...

“Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (menyedekahkan) miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegah ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-adakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

    Berhadapan dengan masalah kesempitan wang merupakan sesuatu yang akan merunsingkan fikiran. Masalah dalam pembelajaran sahaja sudah cukup untuk memeningkan kepala. Jika ditambah lagi dengan masalah kewangan yang melanda, pasti seseorang mahasiswa itu akan hilang tumpuan dalam pelajaran!!
 


    Justeru, mahasiswa perlu bijak berfikir dan menganalisa. Tugas sebagai seorang mahasiswa itu menuntut pengobanan yang sangat banyak, jadi apa salahnya sikap suka bermewah dan memenuhi kehendak yang tidak perlu itu dikorbankan demi kehidupan yang lebih terjamin? Berjauhan dari keluarga itu hakikatnya bukanlah lesen untuk seorang mahasiswa itu melakukan apa sahaja yang diingini sesuka hati, apatah lagi menghambur-hamburkan wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk pengajian ke tempat yang tidak sewajarnya. Bagi mahasiswa yang mendapat tajaan biasiswa, dermasiswa, zakat ataupun pinjaman, usah merasa seronok dengan wang ribuan ringgit yang diberi percuma kerana semuanya merupakan satu amanah yang terbeban di atas bahu kita semua, untuk tidak menghampakan harapan mereka yang mendambakan sebuah kejayaan dari kita.

*****
p/s : Pernah berhadapan dengan rakan-rakan yang mengalami masalah kewangan. Puncanya tidak lain tidak bukan kerana sikap gemar menghamburkan wang bagi membeli barang yang tidak termasuk dalam kategori KEPERLUAN.

Jom berjimat dan berhemat!!! (^_^)


~BintulQaryah~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...