Ahad, 24 April 2011

KITA BERBEZA NAMUN KITA SAMA!!

    Usai subuh ini, selepas memanjakan jiwa dengan Al-Waqiah dan Ma'thurat, aku keluar ke balkoni syaqqah. Jam menunjukkan pukul 5.03 pagi. Dingin pagi yang menusuk ke tulang membuatkan timbul niatku untuk kembali menarik gebar. Namun memikirkan kembali bahana kehilangan rezeki, aku putuskan untuk bersantai seketika di balkoni syaqqah, bertemankan jaket biru tebalku dan secawan milo panas. Ku perhatikan imarah jiran yang masih sunyi. Bangunan kotak-kotak yang berwarna coklat, tinggi, rapat-rapat dan berdebu itu makin intim dengan pandangan mataku. Berbeza dengan rumah-rumah di Malaysia yang berwarna-warni dan pelbagai reka bentuk. Dingin suasana pagi dan 'rupa' rumah di sini dan di Malaysia mungkin berbeza, namun rumah tetap juga rumah... Berbeza tapi sama.. (^_^)

    Membicarakan tentang perbezaan, seringkali menimbulkan pertelingkahan. Kebiasaannya perbezaan akan mewujudkan perdebatan dan perselisihan. Perbezaan itu..ya..perbezaan itu. Setiap manusia dilahirkan berbeza hatta hingga cap jari pun Allah ciptakan dengan sebegitu istimewa, tiada banding rupa. Manusia ada yang cerah kulitnya, dan ada juga yang agak gelap seperti aku. (^_^). Ada yang tinggi, dan ada yang rendah, juga seperti aku. (^_^). Ada yang cerdik, dan ada juga yang kurang cerdik seperti aku.. (^_^).

    Teringat satu perbualan antara aku dan seorang teman. Gusti namanya, seorang gadis manis dari Indonesia. Kami berkenalan di dewan muhadharah Syariah tahun 1 di Kuliah Banat, sebelum memperoleh keputusan imtihan qabul. Menjejak ke Kuliah Tamhidi, kami makin erat meskipun berlainan kelas. Satu perbualan ketika bersama-sama menunggu giliran mendaftarkan cap  jari sebagai bukti kehadiran harian.

Gusti : Sakinah, aku itu mau nanya ke kamu? Apa boleh?

Aku angguk.

Gusti : Sakinah kan orang Malaysia, tapi kenapa sepertinya Sakinah dan teman-teman yang itu ( jarinya menunjuk rakan-rakan senegeri ku ) bicaranya kayak bahasa Indonesia? Orang Malaysia yang itu ( menunjuk pula rakan-rakan semenanjung ) kok beda ya?

Aku tersenyum. Mengerti kekeliruan itu.

Lantas aku yang agak 'fasih' bertutur bahasa Indonesia pun menjawab.

Aku : Gusti pernah dengar Sabah nggak? (Gusti geleng ) Ya, Malaysia itu juga kayak Indonesia, ada negerinya. Kalau di Indonesia itu kan ada Jakarta, ada Bandung, Surabaya, Padang.. Di Malaysia itu pula ada Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Sabah. Coba lihat, orang Jakarta dengan Padang itu bahasanya kan beda. Orang Kuala Lumpur dengan orang Sabah juga bahasanya nggak sama. Yang kedengaran kita itu bicara seperti Indonesia, kan Sabah itu sempadan dengan Kalimantan.. Coba lihat teman yang itu ( aku tunjuk sahabat dari Pattani ). Bahasanya seperti Melayu Kelantan, kerana tempat tinggalnya dekat dengan Kelantan. Sedangkan, dia orang Thailand..

Gadis manis berkaca mata kelahiran Padang itu angguk-angguk tanda faham.

Gusti : Tapi biar negerinya beda, bahasanya beda, bangsanya beda, tapi kita itu kan semuanya sama aja..

Aku kerutkan dahi.

Gusti : Iya sama lah... sama se Islam...

Kami tertawa serentak. Giliran aku pula angguk-angguk..

    Ya.. benar kata Gusti. Biar berbeza negeri, bahasa dan bangsa, kita semua sama... Sama se Islam!!

Bersamamu..walau di mana jua..walau berbeza warna..


    Kemudian seperti berulang kembali di mataku satu peristiwa beberapa bulan lalu, ketika berada di semester satu. Waktu kuliah biasanya berakhir pada pukul 12.50 petang. Lebih kurang pada pukul 12.00 ketika azan zohor berkumandang, kami kebiasaannya diberi peluang untuk menunaikan solat di dalam kelas, di bahagian belakang. Hinggalah pada satu hari, aku dan seorang rakan terlewat dari mengambil wudhuk, lantas bahagian belakang kelas sudah hampir dipenuhi rakan-rakan lain yang berjemaah. Kulihat imamnya, 'oh, Kausar..' sahabat dari Turki. Aku membuka kasut, mengambil sejadah kecil dari beg lantas membentangkannya. Rakan tadi bertanya, " Awak nak makmum ke? " Aku angguk hairan. " Awak yakin ke? " Aku angguk lagi, lebih hairan. " Eh, dia tak pakai stokin la. Awak yakin ke nak makmum? " Aku angguk dan angguk lagi.. "Dah...jom solat." Kutarik tangan rakan tadi yang masih berkerut-kerut dahinya.

    Usai solat aku bertanya, "Apa yang tak yakinnya kalau dia pakai stokin ke tak? " Sedikit geram atas kedangkalan pemikiran rakan tadi, namun aku cuba memahami. " Dia kan mazhab lain, kalau solat nampak kaki pun tak apa. Tapi boleh ke kita yang Syafi'e ni makmum dengan dia? " Allah...Allah... Allah... Haish, meluap darah kepala ku..

    Aku tarik nafas paaanjang-panjang. Lalu aku bertanya, " Erm.. kalau kat masjid kan, solat jemaah, kita tak tahu imam dia mazhab apa, macam mana? " Rakan tadi garu kening. " Memang kita beza mazhab dengan dia. Kita solat tak boleh nampak kaki, dia boleh. Tapi tak bermakna kita tak boleh berimamkan dia. Yang berbeza tu mazhab, bukan agama. Kita pegang satu tauhid tau.. mengucap pun bunyi sama.. " Aku tersenyum. Rakan tadi, tersengih, hee heee...

    Lantas ku berpesan kepadanya, jangan kerana perbezaan yang sedikit cuma, kita pecah belahkan jemaah. Persaudaraan itu hak semua muslim, tidak kira atas kriteria apa pun perbezaannya..



    Satu lagi ialah kisah aku dan Zumurrud, rakan baikku dari Istanbul, Turki. Gadis ini berusia 18 tahun, 2 tahun lebih muda dari aku. Zumurrud tubuhnya agak berisi, tinggi sesuai dengan fizikal orang Eropah. Berniqab dan berjubah hitam, berkaca mata dan cerdik orangnya. Kami rapat di dalam kelas kerana dia duduk di belakangku. Aku teringat ketika kami bersembang tentang si diktator Mustafa Kamal yang dibencinya. Dengan bahasa arab yang agak berterabur dan tunggang langgang, kami bercerita tentang Konstantinople yang kini jadi Istanbul, tentang kapal Mavi Marmara yang jadi sasaran serangan sadis laskar Zionis, tentang rumahnya di Hayyu Sabie' bahkan tentang perbezaan nama orang Islam Turki dan orang Islam Malaysia!!

    Zumurrud bertanyakan kepadaku, mengapa nama perempuan Malaysia mesti ada 'Nur' di pangkalnya? Aku mengangkat bahu tanda tidak tahu. Lantas aku dapat idea, lalu ku tanya kembali, mengapa nama orang perempuan Turki di pangkalnya tiada 'Nur'? Gilirannya pula menjongket bahu. " Emm..saya tak tahu. Tapi, itu bukan masalah. Ada 'Nur' atau tiada, 'kulluna muslimaat'..." Hehe...kami tertawa kuat. Kata-kata Zumurrud mengundang kesan di hatiku. Ya, ada 'Nur' atau tiada, bukanlah masalah besar, kerana kita semua sama, kita semua muslimah... (^_^) Buat Zumurrud, SENI SEVIYORUM!!! 


 Sekoq oren sekoq hitam, boleh pun depa kawan..
 

    Kita semua memang berbeza, berlainan rupa dan asal bangsa. Namun hakikat yang lebih nyata, persamaan pegangan iaitu ketauhidan kita tiada bezanya. Bahkan persaudaraan dan nikmat ukhuwah yang Allah kurniakan kepada kita adalah terlalu istimewa. Bukan perbezaan bahasa, mazhab mahupun seni nama yang jadi persoalan kerana kita ada di merata ceruk dunia, kita semua sama, kita yang bergelar Muslimin dan muslimah..!!

    Malah, bukan itu sahaja. Semua manusia meskipun berbeza pangkat dan darjat, keturunan dan kerabat, warna kulit hitam atau coklat, di sisi Allah semuanya tiada beza. Yang membezakan itu cumalah iman, taqwa dan amalan soleh. Kuota syurga neraka tidak tertakluk pada Melayu, Cina, India atau apa sahaja bangsa yang ada di muka bumi. Bukan kecantikan memberatkan timbangan, melainkan amal ibadah jua dihitung diperkira..

Kita semua sama.. pengukurnya hanya Taqwa.. (^_^)

    Buat 3 sahabatku, Gusti, rakan kurang faham dan Zumurrud, kalian menyedarkan aku sesuatu yang tiada tara nilainya... Persamaan kita ini, sungguh berharga...

~BintulQaryah~

Ahad, 17 April 2011

KONSTANTINOPLE DAN SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH : SATU KEBANGGAAN..

     Lama jemari ini tidak mengetuk papan kekunci, menjelmakan kalimah, frasa, faqrah dan nukilan.. Ke'sibuk'an diri memaksaku untuk menjenguk laman ini kekadang cuma.Saban hari berkejar, menyempati diri mengisi ruang waktu yang kian sempit dan terbatas demi menghimpun kembali segala semangat dan tenaga, semua kerajinan dan usaha yang layu sedikit dek kebiasaan yang kembali menjadi asing.. Hampir sebulan ketinggalan dalam pelajaran, hampir juga terlepas satu sesi imtihan penentu mustawa, menyebabkan ada satu rasa kecewa berdetik melihatkan sahabat-sahabat sekelas ketika semester pertama dahulu telahpun melangkah ke mustawa 7 dan 8 sedang aku masih di mustawa 6.. Ada rasa sedih namun aku terkenang kata-kata seorang ukhti, "semuanya ada hikmah". Lantas setiap pagi sambil melangkah menuju ke kampus, kesedihan itu kuganti dengan secebis senyum.. "Yaa..aku datang mahu belajar...." :-)

*****

    "Pembukaan Konstantinople.."
  
    Bab pertama (Ad-Darsul Awwal) dalam teks pembelajaran mustawa 6 pelajar Kuliah Tamhidiah (Markas Bahasa Arab) Universiti Al Azhar as Syarif, Kaherah. Minggu pertama pembelajaran menyebabkan semangatku membara. Topik berkenaan sejarah Islam antara yang sering menarik perhatianku. Meskipun metode pembelajaran semester ini agak berubah, namun pengkhususan dalam 4 bidang utama (Kitabah, Qira'ah, Istima' dan Muhadasah) masih menjadi keutamaan. Untuk minggu ini, tajuk Pembukaan Konstantinople menjadi tumpuan pelajar-pelajar mustawa 6. Seakan semangat juang Sultan Muhammad Al-Fateh meresap dalam diri....
    
    Lantas tergerak jemari ini untuk mencari maklumat lebih tentang Kota Konstantinople dan penawannya, Sultan Muhammad Al-Fateh yang agung... (^_^)

KOTA KONSTANTINOPLE

 
    

    Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bhosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh:
 

a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
 
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
 
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
 
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
 
e. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa
    

    Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.
   

    Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.
   
    Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Byzantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterannean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.
   
    Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.
    
    Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad Al Fateh telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinople pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453.
 

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH
    

    Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.
    

    Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau.
   
    Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!
   
    Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.
    
    Guru bagindalah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti baginda wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.
   
    Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa. Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.
    
    Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.
 

SEGALANYA BERMULA : PENAKLUKAN KOSTANTINOPLE
    

    Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini.
 

    Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.

    Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;
 

a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.
 
Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.


Meriam Dardanelles, dibuat daripada gangsa yang dicipta oleh pakar meriam berbangsa Hungary bernama Orban, digunakan oleh tentera Muslim pimpinan Sultan al-Fateh untuk merobek dinding Kota Konstantinople. Kini, meriam ini berada dalam simpanan Royal Armouries Museum.


Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.
 
b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.
 
Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh.
 
Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.
 
Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.
 
c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.
    
    Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.
    
    Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.

Benteng Rumeli Hisari. Dibina pada tahun 1451 dan 1452 oleh Sultan al-Fateh dan tenteranya. Tiga menara besar tersebut dinamakan sempena nama 3 orang panglima Sultan al-Fateh, Sadrazam Çandarlı Halil Pasha yang membina menara besar berhampiran pintu gerbang, Zağanos Pasha yang membina menara selatan, dan Sarıca Pasha yang membina menara utara.

    Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.
    

    Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!
    
    Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.
    
    Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapa baginda ingin menumpukan kepada ibadah.
    
    Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.
   
    Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.
    
    Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.
    
    Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!
    

    Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.
    

    Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.
   
    Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.
   
    Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".
    
    Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
    
    Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".
    
    Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".
   
    Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!
    
    Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.

*****
    
    MasyaAllah...info dan input yang sangat berguna buat saya...
   
    Teks Pembukaan Konstantinople  " فتح القسطنطينية "  dalam silibus mustawa 6 nampaknya makin menarik dengan maklumat tambahan ini. Ditambah lagi dengan sesi istima' yang mana ustazah akan menayangkan video kartun berkenaan peristiwa bersejarah ini, aku makin bersemangat untuk meneroka kisah hidup penakluk agung yang sangat mulia akhlaknya ini...
    
    Sultan Muhammad Al Fateh, ada lagikah pemuda berjiwa kental dan bersemangat waja seperti baginda?? Di akhir zaman ini, agaknya akan ada lagikah??
   
    Jom sama-sama muhasabah diri.. (^_^)


Info dipetik dari sini

~BintulQaryah~

Rabu, 16 Mac 2011

DARI BALIK PERBUKITAN : ANAK - ANAK ITU...

     Cuti sekolah pertengahan penggal hanya tinggal beberapa hari, pada masa yang sama aku juga setia menghitung detik. Meneliti nama pelajar-pelajar lain yang akan berangkat kembali ke bumi perlembahan Nil tidak lama lagi, aku masih tertanya-tanya. Bila agaknya giliranku tiba? Sungguh dalam hati ini begitu berbelah bagi. Di bumi Anbiya' sana, ada ilmu dan pengalaman yang perlu ku sambar, ada cita-cita yang perlu ku kejar. Sedangkan disini, di desa balik perbukitan ini, ada tanggungjawab seorang anak sulung yang perlu kutunai..!!

    Seorang pekerja Mamaku di kantin sekolah sering berkata, "Tak payah lah kau balik sana. Tolong mama kau di sini, uruskan kantin lagi bagus.."

    Sering ucapan itu ku sambut dengan dekah tawa. "Hahaha!!"

    Pernah juga terdetik hati mengiyakan. Namun jika difikirkan lagi, lebih baik aku teruskan perjuangan di sana. Sekembalinya nanti jangankan kantin sekolah, restoran first class akan ku binakan untuk Mama...!! Hahaha...impian tu..

    Hampir sebulan aku menjadi pembantu mama. Seawal jam 4.00 pagi aku ke kantin, menyiapkan segalanya, menjadi 'mandur' kepada makcik tukang masak, kakak tukang buat kuih dan pekerja-pekerja lain. Letih...memanglah letih. Namun bukanlah keletihan itu yang ingin aku ceritakan. Sebulan di sini, ada satu kenyataan yang sangat mengusik hati kecilku.. Sangat...

    Tahun lalu, di sekolah yang sama ini selama 4 bulan aku bertugas sebagai guru ganti, menggantikan tempat seorang guru Pendidikan Islam yang terpaksa bercuti kerana sakit. Fi'il pelajar-pelajar di sini, sedikit sebanyak sebati dengan hidupku. Sikap mereka yang kadang-kadang menimbulkan rasa geram dan panas hati, akhirnya akan terubat jua dengan usikan dan lawak jenaka yang menggeletek jiwa. 

 Gambar hiasan dari filem Laskar Pelangi

    Memandang anak-anak ini melalui dua perspektif yang berbeza. Melalui pandangan seorang 'guru', aku melihat anak-anak ini sebagai manusia yang perlu disulam jiwa mereka dengan ilmu, disiplin dan usaha. Namun melalui pandangan seorang 'pengurus' kantin, aku seolah-olah melihat kumpulan anak-anak kecil yang naif dan tidak tahu apa-apa.. Satu perspektif yang rasanya amat sukar untuk ku tafsirkan ertinya yang sebenar...

    'Bertugas' di kaunter jualan pada waktu rehat, aku sering melihat wajah-wajah polos yang pelbagai reaksinya. Ada yang dari jauh berlari pecut kerana takut semua makanan di kantin habis di jual, ada yang berjalan longlai tanpa semangat, dan ada juga yang datang ke kantin sekadar menjenguk kaunter jualan dengan mulut ternganga lantas berlalu pergi tanpa membeli apa-apa..

    Yang berduit datang membeli berulang kali. Yang kosong kocek bajunya hanya memandang dengan renungan yang mengusik simpati. Sering juga ada yang bertanya dari hujung ke hujung kaunter harga semua makanan yang dijual hingga naik lenguh mulutku menjawab. Namun akhirnya anak tadi akan pergi begitu sahaja, meninggalkan rasa sebal yang menebal dalam sanubari.

    Pabila sahaja wajah anak-anak 'tidak berduit' ini kupandang, akan ada rasa sedih yang bertandang. Bukannya anak-anak ini tidak makan, kerana untuk mereka ada skim RMT disediakan. Namun anak-anak ini pasti turut ingin mencicipi keenakan bebola ikan yang dijual RM 0.50 setiap cucuk. Anak-anak ini juga tentu mahu merasai kelazatan nugget ayam yang berwarna kuning keemasan, atau sosej yang harumnya menusuk rongga hidung hingga membangkitkan selera anak-anak yang kelaparan...

    Dalam simpati itu aku sering terfikir, anak-anak berwajah polos yang tinggal di sebuah desa yang letaknya di balik perbukitan ini, dewasanya kelak bagaimana? Masih terlalu jauh perjalanan mereka. Namun yang pastinya anak-anak ini belum bisa meramal hala tuju kehidupan mereka. Aku tertanya-tanya, anak-anak berwajah polos ini, andainya tidak dibentuk mengikut acuan yang sebetulnya, mampukah mereka mengubah nasib diri dan keluarga? Andainya anak-anak ini tidak dididik untuk menjadi pencinta ilmu, mampukah mereka meneroka alam dewasa yang penoh dengan pancaroba? Andainya anak-anak ini tidak dibiasakan dengan persaingan sihat, mampukah mereka untuk memenangi perlumbaan hidup yang sering memangsakan manusia yang selalu mengalah pada ketidakupayaan dan rasa lemah? Andainya anak-anak ini tidak diajar untuk menangkis serangan kemalasan, mampukah mereka menjamin bahawa keturunan mereka kelak tidak akan sekadar menjenguk di kaunter jaulan kantin sekolah lantas berlalu tanpa membeli apa-apa??

    Bukan aku hendak mengatakan mereka yang miskin itu lemah dan malas. Bukan juga aku hendak mengatakan bahawa orang-orang yang 'tidak berduit' itu bodoh. Bukan....

    Aku cuma ingin mengatakan bahawa masa depan, nasib dan alam dewasa anak-anak kecil yang tidak tahu apa-apa ini, semuanya terletak dalam tangan masyarakat di sekelilingnya. Kalau sang ayah tidak mendapatkan anaknya meskipun sehelai seragam sekolah, kalau sang ibu tidak menjerit memaksa anaknya ke sekolah, kalau sang kakak tidak bertegas kepada adiknya untuk menyiapkan kerja rumah, kalau sang abang tidak mengugut untuk tidak membawa adiknya memancing andainya mendapat nombor corot dalam kelas..... Agaknya siapa lagi yang akan mendorong anak ini untuk ke sekolah, menimba sebanyak mungkin ilmu lantas mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian sebelum meningkat dewasa dan menjadi pengamal ilmu yang berminda cerah dan berdada lapang? 



    Oh..anak-anak ini sungguh menginspirasikan. Di mata mereka aku melihat aku. Aku yang dulu punya impian, Abahku yang menyemainya, Mamaku yang membajainya. Kini impian itu berputik, dan akulah pula yang bertanggungjawab ke atas impian itu, sama ada aku siram impian itu dengan usahaku, atau kubiarkan impian itu kering dan layu, lantas gugur ke tanah dan mereput seperti sehelai daun yang tidak pernah wujud.

    Anak-anak desa di balik perbukitan itu, aku tidak berharap untuk melihat mereka kehulu kehilir dengan kereta jenama mewah, ataupun berpakaian sut mahal penuh bergaya. Aku cuma ingin agar satu hari kelak aku melihat mereka menjadi insan berguna yang mampu mengubah nasib diri dan keluarga, kemudian tanpa rasa berat hati menyumbangkan tenaga dan kemampuan untuk membangunkan bangsa dan agama, berdiri bersama barisan pejuang yang tanpa gentar mempertahankan Islam yang semakin dipijak dan ditindas. Hakikat yang jelas, anak-anak ini ibarat kain putih, bersih tanpa cela. Dalam dada mereka perlu disemai kasih sayang dan cinta, inspirasi dan cita-cita. 



    Lakaran warnanya tidak perlu indah, cukup untuk membuatkan anak-anak ini punya rasa yakin dan percaya, pada diri mereka serta pada takdir Allah yang tersirat berjuta hikmah dalam setiap satunya.. Anak-anak itu, ku tunggu dewasa mereka!!

~BintulQaryah~

Ahad, 20 Februari 2011

MAULIDUR RASUL : Benarkah kita cinta?

                
                Dewan besar SMK Bandaraya Kota Kinabalu gegak gempita dengan laungan selawat yang dialunkan para pelajar. Masing-masing berdiri dalam beberapa barisan yang mana setiap barisan itu diketuai oleh seorang pemegang papan tanda dan pemegang sepanduk. Agak meriah bagiku yang lebih seminggu tidak melihat dunia luar. Semenjak kembali dari bumi Mesir, duniaku hanyalah di rumah dan kantin sekolah..

                Adik-adik itu memakai pakaian tradisional Melayu. Yang jejaka segak dengan baju melayu dan para gadis pula dengan baju kurung. Sebelum itu mereka berarak beramai-ramai, dari mana ke mana aku pun tidak tahu. Keberadaanku di situ mengikuti abah yang dicemput sebagai penceramah pada program Sambutan Maulidur Rasul Peringkat SMK Bandaraya Kota Kinabalu. Seingatku, kali terakhir aku mengikuti abah berceramah adalah setahun yang lalu..

                Seketika fikiran ini melayang, memikirkan tentang insan mulia tauladan agung yang disanjung ummah zaman berzaman. Butir bicara abahku menarik perhatian. Kata abah, ketika insan mulia itu hampir wafat, tiada lain yang terbit dari bibirnya melainkan kalimah 'Ummatii..ummatii..ummatii..'. Bukannya 'isteriku..rumahku..anakku..' Seisi dewan tertawa. Memang agak lucu namun realitinya aku benar tidak pasti adakah anak-anak muda yang sedang tertawa itu menyedari akan iktibar yang tersirat dalam lelucon sebegitu??



                Memang benar, tatkala Izrail melaksanakan tugasnya untuk memisahkan nyawa kekasih Allah itu dari jasadnya, Jibril pun memalingkan wajah kerana tidak sanggup melihat Rasullulah dalam kesakitan. Lantas yang diucapkan Rasulullah itu bukan keluhan atau teriakan kesakitan. Bukan juga rintihan atau esak tangis hiba kerana bakal berpisah dengan dunia. Namun yang diingati ketika itu adalah ummah. Ummah yang dicintai dan dirindui sepenuh hati. Ummah yang diharapkan bakal meneruskan legasi kegemilangan syiar Islam lantas menyebarkannya ke segenap pelusuk alam. Ummah akhir zaman itu yang punya berbagai keistimewaan.. Ummati..ummati..ummati..

                Namun persoalannya, adakah rindu dan cinta Rasulullah itu berbalas? Sedangkan dalam kegawatan akhlak yang kian parah pada hari ini, jangankan rindu dan cinta Rasulullah, menuruti perintah Allah yang juga disembah oleh insan agung bernama Muhammad itu pun masih ramai yang tidak ingat!!

                Benarkah kita cinta? Kata abah, kalau bercinta itu biasanya makan pun tak kenyang, mandi pun tak basah, tidur pun tak lena. Namun akankah ummah Muhammad ini berperilaku sedemikian tatkala merindukan Muhammad itu sendiri? MasyaAllah.. siapa sebenarnya yang lebih mulia untuk dirindui? Muhammad SAW ataupun pacar yang sering bertukar ganti??

                Sabda Rasulullah, 

انما بعثت لأتمما مكارم الأخلا ق

‘Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia’

                Kalau benar kita cinta, pasti kita akan turuti semua sabda, semua sunnah, perintah, larangan, malah sikap dan peribadi Rasulullah yang  indah itu pun kita akan tiru. Cara baginda berbicara dan bermuamalah tentunya jadi kebiasaan kita. Akhlak baginda yang karim itu tentunya kita contohi, biarpun tidak semua.  Bertemu dengan Rasulullah akan jadi impian kita dan untuk menjadi ummat baginda di akhirat kelak tentunya jadi cita-cita kita. Namun agaknya berapa ramaikah yang mempunyai keinginan dan kesedaran sedemikian?



                Mencintai Rasulullah itu tidak cukup dengan hanya menjulang sepanduk dan berselawat dengan suara yang kuat. Mencintai Rasulullah itu juga tidak cukup dengan hanya sekadar berarak keliling kampung beramai-ramai. Mencintai Rasulullah itu hakikatnya tidak mudah dan bukan semua orang mempunyai rasa cinta yang mendalam terhadap baginda. Barangsiapa yang mencintai Rasulullah tentunya ia dicintai Allah..

صلى الله على محمد
صلى الله عليه وسلم
صلى الله على محمد
 صلى الله عليه وسلم

                Mencintai Rasulullah itu tentunya apabila kita merasa sangat rindu untuk bertemu dengan baginda. Terasa hidup seperti tidak lengkap sekiranya dalam sehari tidak mengenang baginda dan merasakan diri sangat bodoh apabila tidak mengikuti sunnah-sunnah baginda.

                Jadi, mari kita zahirkan rasa cinta kita pada Rasulullah dengan cuba menjadi ummat yang baik, berakhlak mulia dan bertaqwa kepada Allah. Kita kenang juga perjuangan baginda dalam menegakkan kalimah Tauhid di muka bumi ini biarpun jutaan halangan merintangi langkah baginda. Namun yang paling penting, sebelum kita cinta pada pesuruh Allah ini,teguhkan dulu iman kita pada Yang Maha Mencipta. Kerana apabila seorang insan itu tidak mencintai Allah, bagaimana agaknya hatinya mampu untuk mencintai Rasulullah??



*****

                Program Sambutan Maulidur Rasul SMK Bandaraya Kota Kinabalu diakhiri dengan kuiz Maulidur Rasul. Alhamdulillah, adik-adik ini tahu sirah hidup Nabi. Setiap kali soalan diajukan, berebut adik-adik ini mengangkat tangan. Meskipun cuma soalan mudah, rasanya lebih baik lagi daripada sesetengah orang yang terjerit-jerit melaungkan selawat tapi tidak tahu langsung apa maknanya!!

~BintulQaryah~

Sabtu, 5 Februari 2011

BoLeH tEkAn BuTaNg UNDO??

    Sambil memetik 'tuts' pada keyboard, mencari untaian ilham yang sering datang, sering pergi.. Selalunya melodi karanganku berubah sumbang, bila sahaja fikiran ini terlalai, menerawang ke awangan. Bila sahaja aku terlalai..



    Namun bukan masalah andai melodi yang ku petik pada 'tuts' itu sumbang kerana aku boleh memainkannya semula, dari awal nada. Sungguh, bukan satu masalah... Seperti bila aku menekan kekunci huruf untuk membina kalimah lantas tersilap, mudah sahaja punat backspace itu ditekan. Bila aku tersalah memilih warna ketika bermain dengan PAINT, mudah sahaja cursor ini dihalakan mencari tab 'UNDO', kan..

    Namun hidup ini hakikatnya tidak semudah menaip perkataan di atas papan kekunci, tidak juga semudah memilih warna dalam PAINT, dan tentunya bukan semudah memetik nada di atas 'tuts' keyboard. Seperti mana masa tidak dapat diputar kembali, sesungguhnya setiap tindakan yang kita lakukan, setiap patah perkataan yang kita ucapkan itu tidak akan dapat kita batalkan. Bila sudah terjadi, maka telah terjadilah ia..

    Justeru, setiap apa yang kita lakukan memerlukan satu pertimbangan akal yang waras, yang mampu membezakan antara manfaat dan pembaziran, hak dan kebatilan, kebaikan dan keburukan. Kerana, apabila sahaja kita tersilap atau terlalai sedikit dalam menentukan sesuatu perbuatan lantas kita tergelincir dalam satu kebodohan yang mendatangkan satu penyesalan yang tidak terungkapkan, mampukah kita berpatah kembali?




    Terkenang pula satu peristiwa, diri ini didatangi sebuah email dari seseorang. Seorang adik yang pernah bergelak tawa bersamaku, sering mengusikku dan sering menemaniku berjaga malam bila sahaja fatrah imtihan menjelang sewaktu di zaman sekolah. Adik itu bagiku sangat baik. Namun mungkin akibat tidak berfikir panjang dalam sesetengah tindakannya, tahun hadapannya adik itu tiada lagi di sekolah. Dalam emailnya dinyatakan betapa dia menyesal, betapa dia ingin masa itu berpatah kembali agar bisa dia memperbetulkan semua tingkah dan tindakannya. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Lantas emailnya ku balas ringkas. Aku minta adik itu agar berubah. Kunyatakan bahawa hidup ini tidak semudah menekan butang UNDO. Setiap penyesalan itu hakikatnya tidak berguna. Hidup perlu diteruskan, namun cara hidup itu perlu diubah..

    Andai sahaja hidup semudah menekan butang UNDO, pasti tiada istilah penyesalan.

    Andai sahaja...

    Namun, bila direnung kembali mengapa agaknya hidup tidak semudah menekan butang UNDO, minda ini bagaikan direnjat. Kerana apa agaknya? Kerana Allah telah ciptakan manusia, yang mampu bertindak dan berkata itu lengkap dengan akalnya. Andai hidup semudah menekan butang UNDO, agaknya apakah fungsi akal?

    Justeru, berfikirlah dalam setiap tindakan kerana akal itu tidak diciptakan dan dianugerahkan kepada manusia melainkan sebagai medium untuk berfikir. Jadi, sekiranya nikmat akal itu digunakan sebaiknya, alangkah bahagianya....

*****
    Sekiranya aku tersilap memasukkan garam ke dalam kopi, boleh tekan butang UNDO?

~BintulQaryah~

Isnin, 17 Januari 2011

BiLa MaTa BeRbIcArA, hAtI TuRuT mErAsA..

    MATA... Satu nikmat pancaindera kurniaan ALLAH yang sungguh tidak terduga. Dengannya insan bisa melihat dunia, meneropong angkasa, mengkaji fakta...

    Bila mata berbicara?? Pernahkah mata berbicara? Pernahkah mata mengambil peran lidah untuk berkata-kata? Ironinya tentulah tidak. Mustahil sekali untuk mata itu mengungkapkan kalimah. Namun hakikatnya mata juga mampu berbicara. Melalui mata kekadang terungkap segala monolog di jiwa.. Mata juga bisa bermain bahasa..

    Aduhai...nikmat mata yang diberikan Maha Pencipta, melengkapkan kejadian manusia yang serba sempurna. Meski ada insan yang tidak mampu melihat, namun pada wajahnya tetap terletak sepasang mata, walaupun nikmat melihat itu cuma dalam anganan semata. Tetapi pada hakikatnya, 'kebutaan' itu pasti berhikmah. Cuma antara si 'buta' itu sedar atau tidak, betapa 'buta' itu adakalanya membahagiakan..

    Buta bahagia?? Hahaha.... Pernyataan yang pasti melucukan sesetengah insan, pasti mengundang dekah tawa, senyum sinis, malah mungkin ada yang beranggapan 'gila orang ini'!!! Namun bila ditenung, setelah direnung, jelasnya ada KENYATAAN yang perlu difahami dan diterima. Bahagianya menjadi si 'buta'.. Mengapa???.......



    Sungguh insan buta mata itu beruntung kerana tidak perlu melihat segala kerosakan dan kehancuran yang melanda dunia. Tidak perlu menyaksikan keadaan ummah yang tenat diserang penyakit akhlak dan akidah yang membarah. Tidak perlu menyaksikan pembohongan dan penipuan yang ada di mana-mana. Tidak perlu menyaksikan penindasan pemimpin terhadap rakyat yang menjadi tanggungjawabnya. Tidak perlu menatap wajah-wajah kasihan yang dirampas hak dan kebahagiaan mereka. Tidak perlu menundukkan pandangan pada singkatnya akal muda-mudi yang gemar menayangkan tubuh tanpa segan silu. Tidak perlu berpura-pura tidak melihat segala kemaksiatan dan ikhtilat yang bermaharajalela. Tidak perlu.....

    Oh...betapa bahagianya si buta....

    Namun...
    Itu bagi mereka yang buta mata.. Bagi yang mampu melihat tapi buta hati???

    Sungguh sengsara manusia yang buta hatinya.. Justeru itu ada yang mengatakan lebih baik ditarik nikmat melihat itu daripada ditarik nikmat hati dan perasaan.. Tatkala si buta mata beruntung kerana tidak perlu menjadi saksi atas segala kepincangan dunia hari ini, betapa pula ruginya si buta hati kerana hatinya tidak mampu merasakan apa-apa terhadap keadaan dunia. Maksiat, ikhtilat, penipuan, peperangan, penindasan..semuanya dipandang hanya dengan mata semata sedang hatinya tidak mampu merasakan apa-apa. Sedih? Kecewa? Marah? Mungkin ada rasa itu tapi akankah timbul tatkala melihat keadaan ummah yang mengecewakan? Akankah terasa hati si buta hati apabila menyaksikan runtuhnya akhlak Islamiah dalam jiwa generasi muda? Akankah pedih jiwa si buta hati apabila melihat paparan ketandusan luhur budi dalam sanubari saudara-saudaranya? Akankah????

    Justeru nikmat mata dan hati itu berkaitan antara satu sama lain. Mampu melihat tetapi tidak mampu merasa, apa gunanya?? Lebih baik sekadar mampu merasa daripada mampu melihat tetapi tidak mahu berbuat apa-apa melainkan sekadar memerhati.

    Oleh itu, mari kita tasyabbuh mata dan hati kita..supaya seimbang kedua-duanya. Biar mata melihat dan hati turut merasa. Jangan lupa, pelihara kedua-duanya dengan sebaiknya kerana mata dan hati itu adalah nikmat Allah yang tidak ternilai harganya.. Pelihara mata itu dengan hanya memandang perkara yang dihalalkan, melihat perkara yang dibenarkan,  merenung sesuatu yang membawa pada ketenangan jiwa... Pelihara hati itu dengan zikir dan mengingati Allah, pelihara juga dengan tidak menyerahkan hati dan perasaan pada yang tidak berhak serta pada ketika yang bukan masanya, nescaya terpelihara hati kita dari kebutaan yang membawa bencana dunia akhirat..

    Jangan sampai kita yang celik dan mampu melangkah gagah, menjadi lebih kasihan daripada si buta yang bertongkat..

    Mari!! Kita pelihara dan syukuri nikmat mata dan hati kita...
 
~BintulQaryah~

Sabtu, 8 Januari 2011

Cerpen : Kerana Kurnia..

    Abdul tergesa-gesa menutup pintu. Dalam hati menyumpah seranah diri yang bangun agak telat hari ini. Membayangkan berapa banyak rezeki yang telah dilepaskan akibat keghairahannya tidur kembali usai solat subuh tadi, Abdul menyusun langkahnya pantas-pantas. Gubuk buruk tempat berteduhnya semakin jauh ditinggalkan. Dia menyusur deretan bangunan sambil memikul tikar buruknya. Dalam kekalutan itu, hampir saja dia dilanggar kereta. "Hoi, butakah?!" Jerkah pemandunya. Abdul tidak menghiraukan. Sambil berjalan, kepalanya didongak ke langit. Mencongak waktu yang telah terlepas lebih kurang sejam. Dalam hatinya membebel, tidak henti-henti.

    Akhirnya, Abdul tiba di destinasinya. Di tepi sebuah tembok besar yang terletak di tepi jalan, berhampiran sebuah warung kecil berpayung merah, dia membentang tikar buruk miliknya. 'Bismillah', Abdul lantas duduk dan memerhati sekeliling. Dari jauh, kelihatan sekumpulan pemuda, berpakaian agak aneh sedang melangkah menuju ke arahnya. Abdul terus menghulurkan tangannya, dengan harapan ada yang sudi memberi. Pemuda-pemuda berpakaian aneh tadi, lebih kurang lima orang kesemuanya hanya memandang sambil berlalu. Abdul kecewa. "Kau lambat hari ini, kenapa? Tadi ramailah orang. Sekarang kuliah sudah mula. Rugi kau hari ini." Sapa peniaga warung yang bernama Kasim. "Aku bangun kesiangan, soalnya aku tidur balik lepas solat tadi." Jawabnya acuh tak acuh. "Siapa ajar kau tidur balik lepas Subuh? Kau dah tau itu menutup pintu rezeki, kau buat juga." Kasim menyalahkan. "Aku tau. Lain kali aku tak buat lagi lah.." Abdul mengomel sendiri, mengundang tawa di bibir Kasim yang sibuk menyusun barang dagangannya.

    Pintu Jamiah di buka. Abdul memandang sambil tersenyum. Membayangkan rezeki yang akan diperolehinya sebentar lagi. Beberapa minit kemudian, kelihatan berpusu-pusu pemuda dan pemudi keluar dari gerbang besar itu. Abdul pun bersiap sedia. Tangannya diregang-regangkan, jarinya ditarik-tarik. Kemudian tangan tua berkematu miliknya dihulur kedepan. Seperti biasa, kata-kata pujian dilontar pada sesiapa yang memberi. Kesempatan ketika pelajar-pelajar jamiah pergi dan balik dari kuliah memang tidak akan dilepaskan. Pendapatan hariannya  memang tidak mencukupi namun itu sekurang-kurangnya mampu menghalangnya daripada kebuluran. Abdul sebolehnya tidak mahu meminta, malah keinginannya untuk bekerja masih lagi membuak-buak. Namun, kudratnya sudah terlalu tua. Langkahnya tidak sepantas dahulu. Usia 60 tahun, sepatutnya dihabiskan dengan beribadah dan keluarga namun, anak-anaknya sendiri sudah tidak mengenalnya. Lebih 5 tahun dia keseorangan dan dalam 5 tahun itulah dia menjadi penanti setia berdekatan jamiah yang masyhur sedunia itu, menadah tangan dan simpati, mengharap meskipun sekeping syiling rubu' baginya mengisi perut yang sering kelaparan.

    "Barakallahu fik.. InsyaAllah..InsyaAllah.." Sambil tersenyum Abdul melontarkan ucapan seperti biasa. Pemuda yang berdiri di hadapannya tersenyum. "InsyaAllah.." Balas pemuda itu. Tampangnya kelihatan baru, tidak pernah Abdul melihatnya. "Kau baru disini? Aku tak pernah melihatmu, pemuda." Abdul bertanya lembut. Pemuda itu terpinga-pinga. Kepalanya digaru-garu. "Baru lagi tu, aku pun tak pernah nampak." Kasim menyampuk. Pemuda tadi hanya tersenyum, sebelum berlalu pergi. "Sekarang bulan berapa dalam kalendar masihi?" Tanya Abdul pada Kasim. "September." Jawab lelaki bertubuh sasa itu. "Oh, patutlah. Baru lah tu." Abdul menganggukkan kepala sambil menghitung syiling dalam koceknya. Mengertilah dia, pemuda tadi tentu masih baru di sini. Seperti biasa, pada bulan September, akan kelihatan wajah-wajah baru di jamiah itu. Pemuda tadi, jika dilihat caranya berpakaian, Abdul mengagak pemuda itu tentu dari Malaysia. Entah di mana letaknya Malaysia itu, Abdul pun tidak tahu. Yang dia tahu, mereka bertubuh sederhana, kulit sawo matang, dan paling Abdul suka, mereka bangsa yang santun. Tidak seperti bangsanya yang kasar dan kurang beradab. Abdul bermonolog sambil tersenyum, syiling dalam koceknya dikira...

                                                                              *****
      "Syukran..syukran.." Seperti biasa, Abdul mengucapkan terima kasih kepada insan-insan yang sudi memberi padanya. "Eh, Abdul. Dah seminggu pemuda yang sama bagi kau sedekah." Tegur Kasim. "Pemuda baru tu kah? Semoga dia berjaya. Kerana adanya orang seperti dia, barulah orang macam aku ni dapat mengisi perut. InsyaAllah dia akan najah, InsyaAllah..." Abdul mengira-ngira syilingnya. Dalam benaknya mengakui, sudah seminggu pemuda Malaysia itu, pada setiap hari akan memberinya syiling. Setiap pagi, apabila melalui kawasan itu untuk ke jamiah, pemuda itu pasti akan menghulurkan syiling padanya. Tidak kira berapa, pasti ada. Abdul kemudian tersenyum. "Eh, Kasim. Pemuda tu pernah singgah di warung kau kan, selalu dia beli apa?" Kasim menggaru kepala. "Selalunya halwa lah. Kadang dia beli dengan harga rubu' ja. Aku perasan, dia ke warung aku ni pun untuk pecahkan duit. Nak bagi pada kau lah." Jawab Kasim sambil melangkah mendekati Abdul. "Baik betul pemuda tu. Bertuah ibu yang melahirkannya. Bukan macam anak-anak aku. Aku yang membesarkan mereka dari kecil, belikan itu ini. Tapi bila aku dah tua, dah tak kuat, seorang pun tak kenal aku lagi. Kalau aku ke rumah mereka, dihalau aku pergi. Cucu-cucu pun tak kenal aku." Rintihnya. Tubir matanya kelihatan basah. "Itu lumrah dunia Abdul. Zaman sekarang ni, anak-anak dah tak macam dulu lagi. Orang tua dah tak dihormati. Aku ni, risau sebenarnya tengok anak-anak aku. Sementara masih kecil ni, tenang jiwa aku. Bila dah dewasa nanti, tak tahulah." Kasim cuba memujuk hati Abdul yang rawan. "Kau didiklah anak kau baik-baik. Ajar supaya kenang jasa orang tua. Jangan jadi macam anak-anak aku." Abdul mengesat air mata. Tikar buruk tempat duduknya ditarik lalu digulung. "Aku balik dulu Kasim." Abdul melangkah laju tanpa menoleh. Kasim sekadar menggeleng kepala. 'Pasti Abdul menangis lagi..' Monolog hatinya.

                                                                              *****

    "Pak cik, mana pergi pakcik yang selalu duduk di sini?" Tanya seorang pemuda pada Kasim. Kasim merenung pemuda itu. Bahasa yang digunakan pemuda berkopiah itu melucukannya. "Anak yang selalu bagi duit pada dia tu kan? Pak cik pun tak tahu, nak. Dah seminggu dia tak datang. Pergi tempat lain agaknya." Jawab Kasim lembut. Pemuda itu mengerutkan dahinya. Kasim mengagak pasti pemuda itu tidak faham. Namun fenomena itu biasa baginya. Sambil tersenyum Kasim menepuk bahu pemuda itu. "Esok-esok dia pasti kembali." Pemuda itu mengangguk perlahan, dengan kerutan di dahi yang masih bersisa. "Siapa nama anak?" Tanya Kasim. "Er.. Mustaqim.." Pemuda itu teragak-agak. "MasyaAllah, nama yang cantik." Puji Kasim. Kemudian sambil tersenyum pemuda itu berlalu.

                                                                               *****

    "Kau pergi mana seminggu menghilang?" Abdul menghamparkan tikar buruknya di tempat biasa. Pertanyaan Kasim tidak dihiraukan. "Kau dengar tak aku tanya ni?" Kasim bertanya lagi dengan suara yang kuat. "Aku ke Rabaah. Dekat masjid." Abdul menjawab acuh tidak acuh. "Pemuda Malaysia tu cari kau." Abdul tersentak. Kasim kemudian direnungnya tajam. "Apa?" Abdul kehairanan. "Pemuda tu cari kau. Dia tanya aku, kau pergi mana." Kasim mengulang kata-katanya. "Habis apa kau cakap?" Abdul melangkah menghampiri Kasim yang sedang menyusun barang. "Aku bagitahu dia kau pergi tempat lain tapi kau pasti akan ke sini semula." Jawab Kasim pula. Abdul terdiam, memikirkan sesuatu. "Nama pemuda tu  Mustaqim." Suara Kasim kedengaran lagi dari balik timbunan kotak. Abdul menggaru-garu kepalanya. "Pemuda tu Mustaqim? Dia manusia atau bukan?" Soalan Abdul mengundang tawa Kasim. " Kau kena sampuk? Memang lah dia manusia." "Ada lagikah manusia yang baik sampai macam itu? Aku yang peminta sedekah ini pun ditanyakan. Hairan betul.." Rungut Abdul. Kasim terus tertawa tanpa menghiraukan Abdul yang kebingungan. "Hairan..hairan.." Rungut Abdul lagi..


     *****

    Mustaqim turun di perhentian bas yang agak lengang itu. Matanya meliar memandang kiri dan kanan seolah-olah cuba mengenal pasti tempat itu. 'Betullah di sini.' Bisik hatinya. Langkah kemudian diteruskan menuju satu tempat yang dahulu bukan asing baginya. Sebuah warung kecil berpayung merah di penjuru sebuah tembok besar di tepi jalan membayangi matanya sejak sekian lama. Sesampainya di sana, gembira hatinya bukan kepalang melihat warung yang sama masih ada dengan orang yang sama.

    "Assalamualaikum..." Mustaqim menyapa lelaki tua yang sedang menulis sesuatu dalam sebuah buku lusuh. "Waalaikumussalam.." Lelaki tua itu memandang dengan hairan. Lama wajah Mustaqim ditenung sambil dahinya berkerut cuba mengingati sesuatu. Kemudian lelaki tua itu menerpa dan tubuh Mustaqim dipeluk erat. "Apa khabar pakcik?" Mustaqim membalas pelukan Kasim. "Alhamdulillah. Anak apa khabar?" Kasim bertanya kembali sambil mengesat air mata. Mustaqim sekadar tersenyum. "Pakcik kenal saya lagi?" Mustaqim bertanya. Kasim lantas tertawa. "Mustahil pakcik tak kenal. 4 tahun anak di sini, tiap-tiap hari singgah di sini, mana boleh pakcik lupa." Kasim menepuk-nepuk bahu Mustaqim. Mustaqim tersenyum. "Dah kerja? Dah kahwin?" Kasim bertanya. Mustaqim mengangguk cepat sambil mengangkat 2 jarinya. Kasim tertawa lagi. "Alhamdulillah, rezeki saya sangat murah, pakcik." Giliran Mustaqim bersuara. Kasim tersenyum lagi. "Allah balas segala kebaikan anak pada Abdul dahulu. Allah memang Maha Adil.." Kasim berbicara sendiri.

    Masakan dia boleh lupa, seorang pemuda yang  selama 4 tahun setiap hari singgah di warungnya untuk menukar duit syiling lalu memberikannya pada pengemis tua yang sering duduk di tepi warung miliknya. Seorang pemuda yang begitu rendah hati, tidak pernah merasa malu untuk duduk di sisi Abdul, berbual dan bergurau senda. Pemuda itulah Mustaqim. Mustaqimlah pemuda itu. Setiap hari, Abdul pengemis tua malang yang disisihkan anak sendiri itu akan mendoakan Mustaqim atas kebaikannya. "Moga Mustaqim najah, mumtaz dunia akhirat." Itulah kata-kata yang sering diucapkan oleh Abdul dahulu. Pernah juga Abdul menggelar Mustaqim sebagai 'kurnia'. Kata Abdul, Mustaqim seorang pemurah yang dikurniakan Allah kepada insan terbuang sepertinya. Kasim masih ingat juga betapa deras air mata Abdul tatkala Mustaqim datang dan mengkhabarkan berita kepulangannya ke Malaysia. Pengajiannya selama 4 tahun telah tamat dan kerinduannya pada desa semakin membuak-buak. Abdul menangis sungguh-sungguh. Bukan kerana tiada lagi orang yang akan menghulurkannya syiling pada setiap hari, tetapi tangisannya adalah kerana doanya makbul. Doa agar Mustaqim berjaya menamatkan pengajian dengan lancar tanpa perlu  mengulang, doa agar Mustaqim berjaya mencapai cita-citanya.. Dan kini setelah 3 tahun kepulangannya, Mustaqim kembali lagi..

    "Pakcik, boleh bawa saya ke tempat Pakcik Abdul?.." Tiba-tiba Mustaqim bersuara. Pandangan matanya penuh mengharap. Kasim tersentak seketika namun akal warasnya kembali menyedarkan. "Baik, sebentar lagi ya. Pakcik tutup kedai dulu." Kasim menjawab lantas bangun dari duduknya. Pintu warung ditutup dan dikunci rapat. Sebentar kemudian, dengan motosikal buruk milik Kasim, mereka menuju ke tempat Abdul. Beberapa minit kemudian, sesampainya di hadapan sebuah 'rumah' kecil, Kasim menghentikan motosikalnya. Mustaqim melompat turun. Kasim lantas membuka pintu rumah kecil itu, menampakkan batu nisan yang berceracak. "Di situ.." Kasim menunjukkan sebuah sudut di penjuru 'rumah' itu. Mustaqim melangkah perlahan dengan wajah sayu sambil tangannya mengeluarkan sesuatu dari kocek kemejanya. Sebentar kemudian, bergema alunan Surah Yassin di perkuburan kecil itu. Kasim yang baru mahu mendekati tiba-tiba disapa seorang wanita tua yang menjaga kawasan itu. "Siapa itu?" Wanita berkerudung hitam itu bertanya hairan. Kasim sambil tersenyum menjawab. "Seorang pemuda yang baik hati, setiap hari tangannya menghulur kepada yang perlu, sambil cuma mengharap balasan secebis doa untuk kejayaannya. Pemuda itu, selepas beberapa tahun kembali ke sini hanya untuk bertemu dengan orang yang selalu mendoakannya.."

* Sekadar nukilan di pinggiran.. Telah lama dibiar terbiar dalam laptop, baru hari ini teringat untuk dikongsikan.. Semoga 'terhibur'!! (^_^) 

~BintulQaryah~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...