Bismillahirrahmanirrahim..
"Inna ma'al 'usri yusraa"
~Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan~
"Inna ma'al 'usri yusraa"
~Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan~
*****
Mahu tidak mahu, tidak boleh tidak. Setiap saat, minit, jam dan hari yang kita lalui, kita akan mendepani sesuatu yang dikatakan sebagai sunnah perjuangan, iaitu cabaran dan kepayahan. Cabaran dan kepayahan inilah yang seringkali menjadi peluntur tekad dan pembunuh semangat kala kita sedang bersusah payah menempuh jalan perjuangan yang penuh simpang siur.
Ketika kita mula merasa mudah dalam jalan perjuangan kita, datang cabaran dan kepayahan dalam bentuk duri, menikam kaki-kaki kita.
Ketika kita mula merasa ringan dalam jalan perjuangan kita, datang cabaran dan kepayahan dalam bentuk hujan, membasahi dan memberati hati-hati kita.
Ketika kita mula merasa lapang dalam jalan perjuangan kita, datang cabaran dan kepayahan dalam bentuk kehilangan, menyempit dan menyesakkan jiwa-jiwa kita.
Dan ketika kita mula merasa mampu untuk mendepani cabaran dan kepayahan, datang lagi cabaran dan kepayahan lain dalam bentuk ribut, menyukarkan langkah-langkah kita.
Di bumi manapun kita bertapak dan ke langit manapun kita mendongak, cabaran dan kepayahan itu akan tetap setia tersenyum. Ke hulu manapun kita melangkah dan ke hilir manapun kita berlari, cabaran dan kepayahan itu dengan penuh takzimnya akan tetap setia menanti. Bersembunyilah hingga ke lubang tikus pun, menyoroklah ke lubang cacing pun, cabaran dan kepayahan tidak akan pernah putus asa untuk menemani langkah perjuangan kita.
Tapi persoalannya, sejauh manakah kita akan terus bertahan dengan cabaran dan kepayahan tadi? Adakah kita akan tersungkur jatuh atau terus gagah melangkah persis perwira kebal?
Kita tidak mahu jadi manusia dan umat yang lemah dan berputus asa, bukan?
Kita sudah punya semangat, kita sudah punya usaha, dan kita sudah punya senjata yang cukup ampuh untuk terjun ke medan juang tadi. Tapi, jangan lupa, kita masih perlu sesuatu yang akan jadi penyokong setia kita.
Sepatu tawakkal!
Bersepatulah dengan sepatu tawakkal.
Biar kita rebah berdarah sekalipun, sepatu tawakkal kita akan mengingatkan kita, bahawa sehebat manapun usaha dan persiapan kita, ALLAH jualah YANG BERKUASA menjadikan dan menciptakan segalanya.
Biar kita tersungkur parah sekalipun, sepatu tawakkal kita akan mengingatkan kita, bahawa setiap sesuatu yang berlaku hatta gugurnya sehelai daun pun, tetap di bawah kekuasaan ALLAH jua, dan menang kalahnya kita di medan perjuangan itu, PASTI akan ALLAH datangkan HIKMAH yang tidak terduga.
Jadi, bersepatulah dengan sepatu tawakkal. Tapi, jangan lupa berbaju dan berkerudung usaha, ya!
*****
Imtihan semester kedua menjelang tiba. Sekarang sedang berusaha sehabis mungkin. Mohon doa semua, agar saya pun dapat memakai sepatu tawakkal saya.. =)
p/s: Jangan lempar sepatu tawakkal, nanti terpijak duri, terluka, berdarah, sakiiitt...
Alhamdulillah sangat terkesan dik. Syukran kongsi. ^___^
BalasPadamKak Chaq!! heheh, afwan kak.. syukran jugak sudi singgah sini.. =)
Padam