Khamis, 17 Mei 2012

~Terima Kasih, Cikgu!~


    Saya mula mengenal alam persekolahan seawal usia 4 tahun. Mengenangkan dengan seragam hijau putih saya memeluk erat pinggang Abah yang mengayuh basikal, menghantar saya ke TK (tadika, dalam singkatan Bahasa Indonesia) sebelum pergi ke kampus. Hari demi hari berlalu dan pada tahun 1996 di usia 5 tahun saya memasuki Kelas 1 di SD (Sekolah Dasar) sebagai murid paling kecil dan paling muda dengan berseragam merah putih, dasi (tali leher) dan topi merah. Sebagai satu-satunya orang ‘asing’ dalam kelas, ditambah lagi dengan usia paling muda (murid lain berusia 7 tahun), saya selalu menjadi mangsa buli teman-teman lain dan Ibu Guru yang kami panggil Bu Ita itulah yag selalu membela dan memenangkan saya. “Kamu jangan ganggu-ganggu Nurul ya, nanti Ibu bilang ke Mamanya..”. Hehe.. terima kasih ya, Bu Ita…

    1997, kami sekeluarga kembali ke Malaysia dengan kepayahan. Situasi meruncing dengan suasana kucar-kacir di Indonesia akibat rusuhan ketika itu memaksa Abah menghantar kami sekeluarga pulang dahulu meskipun Abah belum menamatkan pengajian. Saya pula meneruskan pengajian sebagai murid darjah 2 di SK Kulambai, Kota Belud. Juga kerana usia muda (6 tahun) dan tubuh yang kecil ditambah lagi dengan cara bertutur saya yang agak ke’Indonesia’an, saya menjadi mangsa buli. Ditertawakan, diusik malah dikatakan sebagai anak pendatang. Cikgu Mastun yang mengajar subjek muzik itulah yang membela saya dan memarahi para pembuli yang ‘sadis’ itu. “Siapa cakap dia anak pendatang? Mama dan Bapa dia ini orang sini. Kamu kenal Hajjah Yang Deris yang rumah hijau sana itu? Nenek dia itu.” Hehe.. terima kasih, Cikgu Mastun..

    1998, saya belajar dalam darjah 3. Namun sebulan selepas bermulanya semester pertama, saya diturunkan kelas ke darjah 1 semula. Alasan dan sebab sebenar saya tidak ketahui, mungkin juga kerana faktor usia saya yang belum pun mencecah 7 tahun. Menangis-nangis saya dalam pelukan cikgu, enggan dipindahkan ke kelas darjah 1. Puan Penyelia Petang ketika itu yang merangkul saya erat-erat dan memujuk saya, malah memberi saya beberapa kotak susu sekolah (waktu itu masih susu S.I.P) untuk dibawa pulang. Terima kasih, Cikgu..

    Tahun demi tahun berlalu, dan kini saya bergelar mahasiswi universiti. Tentunya mereka yang banyak berjasa hingga SAYA menjadi SAYA pada hari ini tentunya adalah guru-guru saya. Mereka yang tidak pernah jemu mendidik, mencurahkan ilmu, menasihati, menegur dan memberi sokongan serta dorongan tidak berbelah bagi.

    Mereka mungkin pernah marah, namun kemarahan mereka itulah yang mengajar saya untuk lebih mengenali diri. Mereka juga pernah memuji, dan pujian mereka itulah yang mengajar saya untuk lebih sedar dan tahu diri. Mereka juga pernah mencubit dan merotan, namun cubitan dan rasa sakit akibat rotan itulah yang mengajar saya untuk lebih berwaspada dan beringat dalam setiap perbuatan.

    Pendek kata, guru-guru saya adalah SAYA. Mereka yang mendidik saya adalah SAYA. Mereka yang mengajar saya adalah SAYA. Kerana setiap patah kata yang terbit dari bibir mereka itulah, yang membentuk seorang SAYA pada hari ini. Mereka yang tidak mengenal erti lelah dan jemu, tidak menghiraukan terik mentari dan dingin hujan, setia membakar diri untuk menerangi hidup anak-anak didik mereka dengan curahan ilmu dan nasihat

Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru saya yang mendidik saya dari kecil hingga kini,

-First ever after, MAMA dan ABAH yang mengajar saya mengenal ABC, 123, Alif Ba Ta dan I You Me buat pertama kalinya..

-Guru-guru saya di:
1) Taman Kanak-Kanak (TK) Masjid Al-Hassan, Kompleks Bumi Panyileukan, Bandung, Indonesia (1995)
2) Sekolah Dasar (SD) Kompleks Bumi Panyileukan, Bandung, Indonesia (1996-1997)
3) SK Kulambai + SAR Kuala Abai, Kota Belud (1997-1998)
4) SK Taun Gusi + SUIS Kg. Taun Gusi, Kota Belud (1999-2003)
5) SMU Islamiah Pantai Manis, Papar (2004-2006)
6) SMA Nahdzah, Bukit Besar Yan, Kedah (2007-2009)
7) Universiti Al-Azhar, Kaherah (2010-sekarang)

-Jurulatih saya yang terhebat, Ustaz Yusri Yusof. (2007-2009).  Jasamu dikenang selalu. J




p/s : Terima kasih Ustaz Nashruddin (SK Taun Gusi) kerana merotan saya yang tidak siapkan kerja rumah PAI. Terima kasih Cikgu Rohaya (SMA Nahdzah) kerana mencubit saya yang tidak siapkan kerja rumah Prinsip Perakaunan, Ustaz Azam kerana merotan saya yang tidak hafal Hadis, Ustaz Abdullah kerana denda saya berdiri di luar kelas sebab tak hafal Al-Quran. Terima kasih sebab marah saya, terima kasih sebab tegur saya, terima kasih sebab denda saya, terima kasih sebab didik saya! 


Selamat Hari Guru!!


Anak murid kalian yang nakal,
WYSK, Abbas Al-Aqqad,
Madinah Nasr,
Kaherah, Mesir.



Barisan pendidik SMA Nahdzah. ~Tetap di hati~
Majlis Sambutan Hari Guru SMAN 2009

1 ulasan:

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...