Selasa, 9 April 2013

Shoutul Nahdzah : Perjalanan masih jauh.

Bismillahirrahmaanirrahiim..


   Shoutul Nahdzah merupakan satu nama yang sangat akrab di hati saya. Meskipun zaman persekolahan telah saya tinggalkan hampir 4 tahun yang lalu, perkembangan dan perjalanan Shoutul Nahdzah masih menjadi prioriti dalam lingkung pengetahuan saya.

   Manager tidak rasmi, portfolio saya 4 tahun yang lalu. Saya sendiri kurang ingat bagaimana saya boleh 'terlibat' dengan Shoutul Nahdzah. Meskipun sering bersama mewakili sekolah ke Karnival Pendidikan Islam, saya hanya tekun dengan dunia syarahan saya, dan mereka tekun dengan nasyid mereka. Pernah sesekali, apabila giliran Shoutul Nahdzah di gelanggang nasyid sudah selesai, mereka beramai-ramai ke kelas yang menempatkan pertandingan syarahan dan memberi kata-kata semangat. "Good luck, Kak Kinah!"

Shoutul Nahdzah, chayok!

   Suatu hari, saya tiba-tiba diminta mengubah sedikit lirik lagu yang akan mereka pertandingkan di Festival Nasyid peringkat zon 4 Kuala Muda/Yan. Saya kehairanan sendiri, mengapa saya? Alasan mereka kerana lagu Hijrah dendangan kumpulan Wardatul Jannah (kumpulan nasyid yang saya sertai di tingkatan 4), ciptaan sepenuhnya saya dan rakan, Siti Hawa Jamaludin. Apa alasannya, sampai sekarang saya sendiri tidak tahu.

   Dengan senang hati saya mengubah sedikit lirik lagu tersebut, hingga timbul konflik antara saya dan penulis asalnya, senior setahun yang baru menamatkan STAM. Selesai mengubah lirik, saya diminta pula menambah intro dan mengubah melodi bridge di pertengahan lagu. Tugasan pertama kali dalam hidup itu saya terima dengan senang hati. Selepas itulah bermulanya, 'perkaitan' antara saya dan Shoutul Nahdzah. Mengawal dan meninjau sesi latihan, menyediakan minuman suplemen, menguruskan kostum pertandingan hinggalah memasang riben di songkok mereka, saya yang lakukan. 

Shoutul Nahdzah di Malam Kesenian Islam SMA Nahdzah 2010
   Tamat STAM, tamatlah zaman persekolahan. Saya meninggalkan bumi SMAN dan Shoutul Nahdzah dengan rasa berat hati. Namun, setiap perkembangan Shoutul Nahdzah tetap saya ikuti hingga ke hari ini. Meskipun ahli-ahlinya sudah bertukar, namun bagi saya mereka tetap Shoutul Nahdzah. Apatah lagi jurulatih mereka hari ini, Ahmad Al-Muqsit adalah salah seorang ahli Shoutul Nahdzah di zaman persekolahan saya dulu. 

Shoutul Nahdzah di Pertandingan Nasyid Belia sempena Sambutan Hari Belia
Peringkat Negeri Kedah 2009, anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah.
  
   Muqsit setia meng'update' maklumat pertandingan di facebook, menyebabkan saya sentiasa tertunggu-tunggu natijah setiap usaha mereka. Sudah ada video-video persembahan Shoutul Nahdzah dimuat naik di youtube, memudahkan saya mengikuti segala perkembangan mereka. Apa yang saya lihat, Shoutul Nahdzah hari ini sudah keluar dari kepompong nasyid skema dan keanak-anakan. Berbanding ketika pertama kali Shoutul Nahdzah menyertai MTQ pada tahun 2007, Shoutul Nahdzah kini digelar antara kumpulan nasyid terhebat dalam kalangan sekolah-sekolah sekitar daerah Kuala Muda/Yan.

   Alhamdulillah, baru-baru ini Shoutul Nahdzah merangkul naib johan dalam Karnival Pendidikan Islam peringkat Daerah Kuala Muda/Yan. Pencapaian membanggakan bagi saya. Dalam sengitnya persaingan antara kumpulan nasyid sekolah-sekolah, melihat Shoutul Nahdzah berdiri dengan yakin dan megah di atas pentas, saya bertepuk tangan penuh rasa teruja. Yes, itu dia Shoutul Nahdzah!

   Perjalanan mereka masih panjang, namun saya yakin dan percaya mereka mampu pergi lebih jauh.


Youtube : Shoutul Nahdzah juara pertandingan Nasyid di Festival Belia Sejahtera


Like facebook Shoutul Nahdzah di : www.facebook.com/ShoutulNahdzah


p/s : A friend (fellow Sabahan studying in Egypt) is currently taking part in Awakening Star Contest, and I'm proudly ROOTING for him. Open this link and kindly hit 'LIKE' button to show your support! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...