Isnin, 15 April 2013

Dakwah : Bukan Office Hour.


    Suatu petang, ketika bersibukan men’stapler’ surat-surat dan minit mesyuarat, saya ditegur seorang ukhti, “Ina, sibuknya… Waktu pejabat dah lama habis, sudah-sudahlah tu…” Saya hanya tersengih-sengih sambil meneruskan kerja.

    Seorang sahabat yang agak ‘lurus’ pula bertanya, “Memang kerja persatuan tak boleh buat lepas office hour kah Na?”

Meledak tawa kami sebilik.

~It's all about dakwah and ummah, and it's all for ALLAH~

    Kemudiannya saya terfikir-fikir, ‘kalau kerja-kerja amal dan dakwah cuma boleh dibuat semasa waktu pejabat, habislah!’

    Dalam usrah bersama sahabat-sahabat Durrah Widyani dan adik-adik Namlah Zakiyah, sering sahaja kami berkongsi dan saling mengingatkan tentang dakwah, sebagai satu lapangan kerja yang wajib dilazimi oleh seorang Muslim. Kami juga ditekankan tentang perlunya ukhwah dalam usaha menyebarkan dakwah. Analoginya seperti yis kering, glukosa dan air suling. Ketika mana yis kering perlu dicampurkan glukosa dan air suling supaya terhasilnya ethanol (abaikan sifat dan fungsi ethanol), seperti itulah Muslim perlu melazimi dakwah dan ukhuwah untuk menghasilkan ummah.

1+1+1 = INFINITI (ini yang kita mahu!)

    Berbalik kepada soalan sahabat saya yang ‘lurus’  tadi, amatlah melucukan sekiranya ada yang beranggapan bahawa kerja-kerja amal dan dakwah hanya perlu dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Waktu belajar, belajar. Waktu makan, makan. Waktu shopping, shopping. Jadi, bila waktu dakwah? Adakah ‘comel’ jika kerja dakwah yang mulia dikhususkan pada waktu tertentu sahaja? Saya sekali lagi mengingatkan diri saya bahawa amal dan dakwah bersifat fleksibel. Bila-bila masa, di mana sahaja, kepada siapa jua. Titik.

    Sesiapa pun tahu bahawa jalan dakwah BUKANNYA satu. Sepertimana Rasulullah SAW memberi teladan kepada umat Islam melalui perkataan dan perbuatan, sebegitu jugalah sewajarnya Muslim berkata dan bertindak bagi menyampaikan dakwah.

~Dakwah tidak mengenal usia~
Program Charity De'Tour Ramadhan WISA BKPSM 2012
Rumah Anak Yatim Darul Bakti Kota Belud


Listen, let me speak!
(Tiada kena mengena dengan isu Forum Suara Mahasiswa)

    Ceramah, tazkirah atau sebarang penyampaian maklumat secara lisan dijulang sebagai teknik dakwah popular sepanjang zaman. Era lampau ketika mana kecanggihan teknologi cumalah angan dan mitos, cara sebegini merupakan nadi yang membantu kelangsungan arena dakwah. Zaman kini, meskipun segala info dan input terbit dari hujung jari, metod dakwah secara speak-listen masih menjadi pilihan utama.

    Sekarang, tekan butang alat kawalan jauh, sudah boleh tonton ceramah dan kutip butir-butir ilmu dari mana-mana da’ei hebat seluruh dunia.

Kemah keming UAI!

Show, don’t tell!

Salah seorang penulis yang saya kagumi sering menulis dalam muka buku, ‘show, don’t tell.’

Saya memaksudkannya dengan ‘tunjukkan, jangan sekadar berkata!’

    Bila berbicara tentang dakwah, para da’ei tidak pernah lari dari membicarakan soal akhlak. Mana tidaknya, akhlak mazmumah merupakan masalah besar umat Islam pada hari ini.

Syeikh Muhammad Abduh pernah berkata,
“Saya pergi ke Paris lantas saya melihat Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Kaherah dan saya melihat Muslim tanpa Islam.”

    Setiap da’ei tidak terlepas dari sakit kepala memikirkan akhlak ummah. Ketika mana jiwa seorang da’ei sudah marak dengan semangat dakwah dan jihad, ketika itulah hati kecil sang da’ei itu sedang bersedih mengenangkan saudara seakidahnya yang semakin jauh dengan Islam. Justeru di zaman keegoan ini, menasihati secara lisan sudah kurang praktikal. Bila mana mad’u asyik-asyik menuduh para da’ei sebagai ketinggalan zaman, modal lapuk dan alim-alim kucing, ketika itulah jelas maksud frasa ‘show, don’t tell’.

    Oleh itu, salah satu jalan dakwah yang efektif adalah dengan menunjukkan apa yang betul, bukan sekadar menasihati semata-mata. Contoh, A menasihati B supaya solat berjemaah. Tetapi dalam masa yang sama A acap kali solat bersendirian di akhir waktu. B cukup pintar, lantas berkata “eleh, suruh aku solat jemaah, padahal engkau solat nafsi-nafsi, akhir waktu pula tu!”

Nampak kurang cantik di situ. That’s why, show, don’t tell!

    Jadi, titik utama permasalahan dakwah tetap tidak lari dari masalah akhlak, bukan sahaja mad’u tetapi da’ei juga. Jangan lupa, dakwah paling besar adalah dakwah kita terhadap diri kita sendiri. Bukankah dakwah itu mudah, bila da’einya terlebih dahulu punya akhlak mahmudah sebelum mengajak dan menasihati orang lain?


I can’t draw, but I can write!

    Dalam usrah Durrah Widyani yang berjumlah 12 orang, ada 12 bakat yang dikenal pasti. Kami sering diingatkan supaya menggunakan bakat dan potensi diri yang ada ke jalan dakwah dan kebaikan. Kata seorang ukhti, “sayang sekiranya kebolehan kita disia-siakan untuk perkara-perkara lagha, sedangkan pada masa yang sama kita boleh menggunakan bakat yang ada bagi memanfaatkan sesuatu yang besar untuk Ummah.”

    Benarlah, Allah meletakkan segala sesuatu sesuai pada tempatnya. Dan bakat-bakat hebat yang dimiliki itu, bukankah cantik dan sesuai jika dimanfaatkan ke jalan dakwah? Bukan sahaja kita telah menggunakan nikmat anugerah Allah pada jalan kebaikan, malah kita juga telah berusaha mengajak orang lain supaya turut sama meniti jambatan pahala.

    Kita hidup dalam masyarakat yang terdiri daripada kelompok individu yang memiliki kebolehan, kemampuan dan tugas yang berbeza. Setiap individu ini perlulah melaksanakan tugas MASING-MASING dengan sebaiknya, supaya masyarakat tersebut boleh digerakkan menuju matlamat yang ingin dicapai. Ini kerana setiap satu gerak kerja dalam sebuah masyarakat merupakan tiang yang mampu menentukan jatuh bangunnya tamadun masyarakat tersebut. Contohnya, dalam sebuah restoran, ada tukang masak, tukang cuci pinggan, dan jurukira. Kalau setiap pekerja dalam restoran tersebut melakukan tugasan yang tidak sesuai dengan kebolehan mereka, apa akan terjadi agaknya? Ataupun sekiranya semua orang mahu melakukan perkara yang sama, semua orang sibuk mahu menjadi jurukira, siapa yang akan melakukan kerja-kerja memasak? Kalau semua orang sibuk mahu jadi tukang masak, siapa akan jadi tukang cuci pinggan?

Teringat kata-kata Mat Luthfi dalam video Parodi Forum Suara Mahasiswa,

“Kalau anjing tak menggonggong, dia akan bercakap. Kalau anjing bercakap, siapa yang nak menggonggong?” (analogi sahaja. Sila abaikan anjing dan gonggongannya.)

    Maksudnya mudah. Dalam dakwah, lakukan apa yang sesuai dengan kemampuan kita. Kalau semua orang sibuk mahu berceramah, peluang dakwah lain melalui tulisan dan seni kreatif yang luas sasarannya akan terbazir begitu sahaja.

    Buat da’ei-da’ei senior, apabila saya cuma tahu menulis, jangan sesekali paksa saya melukis. Kerana orang lidi saya tidak pernah berupa orang lidi.

    Bila sahabat saya tiada kebolehan bercakap di khalayak, saya tidak mahu memaksanya berucap kerana saya tahu, tindakan saya itu hanya akan membunuh keberanian dan menjatuhkan self-esteem sahabat saya tadi. Ini terbukti.

Biarkan setiap orang dengan kemampuan sendiri. Buluh tua jika dilentur, patahnya sudah tidak cantik.

    Justeru, dengan kebolehan dan potensi tidak-kenal-masa yang Allah berikan kepada semua manusia, jelaslah bahawa dakwah boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sahaja, bukan ketika office hour semata-mata.

Kalau dakwah cuma ketika office hour, saya tidak boleh berblog di waktu malam lah ya?
Kalau dakwah cuma ketika office hour, bangun subuh sendiri-sendiri lah, tak perlu kejutkan orang lain?

Iyalah, office hour bermula pukul 8.00 pagi, tamat pukul 4.00 petang.

    Kesimpulannya, dakwah bukan office hour, tetapi tanggungjawab yang istimrar, yang perlu dipikul oleh seluruh Muslim. Dakwah bukan bermetodkan ceramah dan tazkirah semata-mata, tetapi juga pada setiap potensi diri manusia yang boleh dimanfaatkan untuk semua. Dakwah bukan melalui lisan sahaja, tetapi juga melalui pembawakan dan tauladan yang terbit dari keperibadian para da’ei dan da’eiah.

Jom berdakwah! 
\\(^_^)//

P/S : Saya mengetuk papan kekunci sambil berharap supaya tulisan ini memberi manfaat kepada sesiapa juga yang meluangkan masa membaca.

2 ulasan:

  1. assalamualaikum ukhti , blog ukhti mmmg menarik
    sedikit sbyk mmmberi ilmu bhawa dakwah itu amat dprlukan hingga kini .

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam ukhti fillah..
      Syukran kathiran. Moga beroleh manfaat. :-)

      Padam

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...