Selasa, 9 April 2013

Shoutul Nahdzah : Perjalanan masih jauh.

Bismillahirrahmaanirrahiim..


   Shoutul Nahdzah merupakan satu nama yang sangat akrab di hati saya. Meskipun zaman persekolahan telah saya tinggalkan hampir 4 tahun yang lalu, perkembangan dan perjalanan Shoutul Nahdzah masih menjadi prioriti dalam lingkung pengetahuan saya.

   Manager tidak rasmi, portfolio saya 4 tahun yang lalu. Saya sendiri kurang ingat bagaimana saya boleh 'terlibat' dengan Shoutul Nahdzah. Meskipun sering bersama mewakili sekolah ke Karnival Pendidikan Islam, saya hanya tekun dengan dunia syarahan saya, dan mereka tekun dengan nasyid mereka. Pernah sesekali, apabila giliran Shoutul Nahdzah di gelanggang nasyid sudah selesai, mereka beramai-ramai ke kelas yang menempatkan pertandingan syarahan dan memberi kata-kata semangat. "Good luck, Kak Kinah!"

Shoutul Nahdzah, chayok!

   Suatu hari, saya tiba-tiba diminta mengubah sedikit lirik lagu yang akan mereka pertandingkan di Festival Nasyid peringkat zon 4 Kuala Muda/Yan. Saya kehairanan sendiri, mengapa saya? Alasan mereka kerana lagu Hijrah dendangan kumpulan Wardatul Jannah (kumpulan nasyid yang saya sertai di tingkatan 4), ciptaan sepenuhnya saya dan rakan, Siti Hawa Jamaludin. Apa alasannya, sampai sekarang saya sendiri tidak tahu.

   Dengan senang hati saya mengubah sedikit lirik lagu tersebut, hingga timbul konflik antara saya dan penulis asalnya, senior setahun yang baru menamatkan STAM. Selesai mengubah lirik, saya diminta pula menambah intro dan mengubah melodi bridge di pertengahan lagu. Tugasan pertama kali dalam hidup itu saya terima dengan senang hati. Selepas itulah bermulanya, 'perkaitan' antara saya dan Shoutul Nahdzah. Mengawal dan meninjau sesi latihan, menyediakan minuman suplemen, menguruskan kostum pertandingan hinggalah memasang riben di songkok mereka, saya yang lakukan. 

Shoutul Nahdzah di Malam Kesenian Islam SMA Nahdzah 2010
   Tamat STAM, tamatlah zaman persekolahan. Saya meninggalkan bumi SMAN dan Shoutul Nahdzah dengan rasa berat hati. Namun, setiap perkembangan Shoutul Nahdzah tetap saya ikuti hingga ke hari ini. Meskipun ahli-ahlinya sudah bertukar, namun bagi saya mereka tetap Shoutul Nahdzah. Apatah lagi jurulatih mereka hari ini, Ahmad Al-Muqsit adalah salah seorang ahli Shoutul Nahdzah di zaman persekolahan saya dulu. 

Shoutul Nahdzah di Pertandingan Nasyid Belia sempena Sambutan Hari Belia
Peringkat Negeri Kedah 2009, anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah.
  
   Muqsit setia meng'update' maklumat pertandingan di facebook, menyebabkan saya sentiasa tertunggu-tunggu natijah setiap usaha mereka. Sudah ada video-video persembahan Shoutul Nahdzah dimuat naik di youtube, memudahkan saya mengikuti segala perkembangan mereka. Apa yang saya lihat, Shoutul Nahdzah hari ini sudah keluar dari kepompong nasyid skema dan keanak-anakan. Berbanding ketika pertama kali Shoutul Nahdzah menyertai MTQ pada tahun 2007, Shoutul Nahdzah kini digelar antara kumpulan nasyid terhebat dalam kalangan sekolah-sekolah sekitar daerah Kuala Muda/Yan.

   Alhamdulillah, baru-baru ini Shoutul Nahdzah merangkul naib johan dalam Karnival Pendidikan Islam peringkat Daerah Kuala Muda/Yan. Pencapaian membanggakan bagi saya. Dalam sengitnya persaingan antara kumpulan nasyid sekolah-sekolah, melihat Shoutul Nahdzah berdiri dengan yakin dan megah di atas pentas, saya bertepuk tangan penuh rasa teruja. Yes, itu dia Shoutul Nahdzah!

   Perjalanan mereka masih panjang, namun saya yakin dan percaya mereka mampu pergi lebih jauh.


Youtube : Shoutul Nahdzah juara pertandingan Nasyid di Festival Belia Sejahtera


Like facebook Shoutul Nahdzah di : www.facebook.com/ShoutulNahdzah


p/s : A friend (fellow Sabahan studying in Egypt) is currently taking part in Awakening Star Contest, and I'm proudly ROOTING for him. Open this link and kindly hit 'LIKE' button to show your support! 

Ahad, 7 April 2013

~Jom ke Al-Azhar! (2)~

Bismillahirrahmaanirrahiim..


Agak lama saya tidak menyinggah di blog BQ ini. Kesibukan nyatanya telah mengekang keupayaan saya untuk terus istiqamah menulis dan berkongsi sesuatu di laman karib saya ini. Hinggalah seorang sahabat berkata, "banyak comment dalam entri Al-Azhar tu, tak nak balas ke?"

Saya agak terkejut bila membaca beberapa ulasan dalam entri ~Jom ke Al-Azhar!~. Hampir semua ulasan dalam entri itu berbentuk soalan, dan saya akui saya sendiri bingung memikirkan jawapan-jawapan yang perlu saya berikan. Kotak mesej facebook saya juga didatangi soalan-soalan hampir sama. Apatah lagi kebanyakan soalan memerlukan penjelasan yang berada di luar pengetahuan saya. Saya ada menulis di perenggan awal artikel itu, bahawa (ketika artikel itu ditulis) keberadaan saya di bumi Mesir ini belum pun mencecah usia 2 tahun.

Saya tahu saya perlu bertanggungjawab dengan tulisan saya. Tapi saya juga sangat jelas dengan impak jika saya berikan jawapan 'hentam keromo' bagi setiap soalan yang ditanyakan. Akhirnya saya menemukan satu konklusi. Baik untuk ANDA yang mahu bertanya, dan BAIK juga untuk saya yang ditanya (tetapi tidak tahu bagaimana mahu menjawab).

Saya yakin dan percaya Syihab Educonsult lebih arif untuk membantu anda!
facebook : https://www.facebook.com/pages/Syihab-Educonsult/298045390321434







Saya mohon berjuta kemaafan buat saudara-saudari yang mengemukakan pertanyaan. Saya tidak berani untuk menjawab berdasarkan pengetahuan saya yang cetek, apatah lagi untuk mengabaikan soalan-soalan anda semua. Saya cuba sediakan satu alternatif lain untuk anda, semoga anda menemukan jawapan bagi setiap persoalan dan kemusykilan.

Saya yakin dan percaya, Syihab Educonsult lebih arif untuk membantu anda!

Ahlan...ahlan...ahlan,
Kami nantikan kedatangan mahasiswa/mahasiswi baru Al-Azhar 2013!

Khamis, 17 Januari 2013

Imtihan, Cuti dan Mr. Kebo-Kebo.


Sebelum itu; saya rindu Mr. Kebo-Kebo saya!
v(n_n)v

Alhamdulillah, genap seminggu berehat!

    Imtihan semester pertama bagi mahasiwi Tahun 2 kuliah Syariah Islamiah, Universiti Al-Azhar Kaherah tamat pada 10 Januari lalu. Dengan itu bermulalah cuti saya. Cuti seminggu, melegakan sakit-sakit kepala, sakit-sakit badan dan membetulkan kembali jam biologi saya yang sudah tidak tentu arah. Genap seminggu, saya tamatkan cuti rehat itu secara rasminya, hari ini.

    Dua minggu peperiksaan yang lalu berjaya ditempuhi semampunya. Bermula dengan madah Qadaya Fiqhiyah Mu’asirah, yang mana untuk tahun 2 kami ‘disumbat’ dengan segala istilah fiqh mu’amalat, dari isu ijarah muntahiyah bittamlik, prinsip tender dan bidaan, hukum penggunaan kad kredit dan akad import eksport. Berbeza dengan muqarrar tahun satu yang mana kami diperkenalkan dengan hukum perubatan wanita, bermula dengan hukum bayi tabung uji, bank susu dan sewa rahim hinggalah kepada hukum dan prinsip syariah dalam isu jirahah at-tajmil (pembedahan kecantikan).

    Qadaya Fiqhiyah, satu madah yang saya suka bagi takhassus syariah. Meskipun madah ini sangat mencabar, terutamanya untuk mengingat dan memahami segala istilah dan kosa kata baru, saya tetap suka.

    Seterusnya madah Nahu Sarf, madah yang jadi ‘musuh’ ketat saya sejak tingkatan satu. Alhamdulillah, sejak bergelar Azhariyah, Nahu Sarf sudah agak mesra dengan saya, tapi saya belum jadi pakarnya. Entah mengapa otak ini liat sedikit mahu memahami hukum dan kaedah tatabahasa Arab ini. Dan saya tahu saya perlu berusaha lebih lagi.

    Madah ketiga dalam jadual imtihan saya, Tauhid (nubuwwat dan sam’iyyat). Alhamdulillah, guru kelas tutorial kami banyak membantu, terutamanya bagi memahamkan istilah-istilah baru yang kami tidak pernah jumpai sewaktu tahun 1.

    Madah terakhir, Tafsir Ayat Ahkam bagi surah An-Nisa’ dan surah Al-Ma’idah. Sesak juga saya mahu menghadam dua kitab ini. Meskipun nipis sahaja, tapi isinya masyaAllah padat. Lumrahlah, namanya juga mahasiswi universiti, tiada yang mudah kalau saya tidak berusaha! Bagi madah ini, saya bertemu lagi dengan hal ehwal fara’idh. Terus terkenang pada Ustaz Abdullah, guru fiqh faraidh saya untuk SMRA dan STAM di SMAN. Ustaz Abdullah setia dengan asal masalah faraidh 40 nya, dan kata-kata keramat “hangpa ni masuk angin!”.


Encik Pemadam senyum girang di hari akhir imtihan. Suhu 10 darjah!

    Apa yang begitu mencabar kesabaran emosi dan kekuatan fizikal adalah imtihan semester pertama ini berjalan pada kemuncak musim sejuk. Musim sejuk di Mesir tiada salji, tapi orang Asia mana yang tahan dengan cuaca dingin yang kadang-kadang mencecah 10 darjah celcius ini?

    Saya dan seorang teman ke kampus seawal 8 pagi, sedangkan imtihan bermula pada jam 1 petang. Sengaja begitu, kerana kami merasa lebih bersemangat untuk mengimbas pelajaran pada saat akhir di kampus, bukan di atas katil dengan selimut tebal. Lalu dalam beberapa jam itulah kami akan bersoal jawab dan mengingat apa-apa yang terlupa, last force sebelum ke medan tempur.

    Oleh kerana kami tidak dibenarkan memasuki dewan kuliah, maka kami duduk di pondok kecil di belakang bangunan. Dalam dingin pagi yang menyeksa tulang belulang. Sekejap-sekejap kami ke kafe, memesan piza ataupun krip panas sebagai alas perut, kemudian kembali bersoal jawab bagai berforum perdana lagaknya.Kadang-kadang kami diserang angin kuat beserta pasir, membuat kami lari lintang pukang menyelamatkan diri, kemudian tertawa kagum pula melihat mahasiswi Arab yang selamba mengulangkaji di tengah-tengah ribut pasir itu. Menjelang zohor, kami solat di kaki lima bangunan. Mujur kampus ini kampus perempuan sahaja!

    Begitulah kami, sepanjang empat kertas peperiksaan. Kadang terasa letih, namun letih itu berganti seronok bila memikirkan ganjaran Allah buat orang-orang yang berusaha. 




    Memarahi diri yang terlebih seronok bila tamat imtihan. Semester dua saya ada 9 (+2) madah, dan diantaranya madah-madah baru yang saya tidak pernah kenal pun sebelum ini.

    Cuti seminggu saya sudah tamat. Saya akan kembali ber’gelut’ dengan kerja, tugasan dan hobi-hobi saya. Mr. Kebo-Kebo saya yang sudah beberapa lama dibiar berhabuk perlu dibelai-belai dulu, sebelum  kembali menghadap tutorial-tutorial yang tertangguh. Cikgu piano saya di youtube sudah merindu, agaknyalah! Beberapa cerpen dan certot yang tertulis separuh jalan juga perlu disempurnakan. Junior sekolah menengah saya pula meminta dituliskan beberapa lirik nasyid, untuk pertandingan katanya. Saya jadi teruja dengan busy-list saya!


Inilah dia Mr. Kebo-Kebo yang dirindu. Small yet stress-less!

    InsyaAllah 21 Januari ini, akan menyertai Bengkel Psikologi Gaya Nabi di Hayyu Asyir. Penyampai bengkelnya bukan calang-calang orang. Teruja lagi bila membaca testimoni para pengaplikasi teknik psikologi ini di muka buku, buat saya makin makin makin tidak sabar mahu pergi. InsyaAllah juga akan mendapatkan naskhah Teknik Mendorong Pelajar Corot Gaya Nabi di bengkel itu nanti. InsyaAllah!

   Apapun, imtihan dua minggu dan cuti satu minggu saya sudah tamat. 


p/s : Encik Ahmadi Putra akan tiba dari Jordan lusa petang.  

Rabu, 5 Disember 2012

Lagi monolog seorang saya!

Bismillahirrahmaanirrahim...

   Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah atas kesempatan yang Allah berikan. Kesempatan untuk terus hidup sebagai hamba-Nya, kesempatan untuk terus mencicip nikmat-Nya yang tidak terhitung banyaknya. Alhamdulillah kerana saya masih berupaya untuk terus menyinggah laman BintulQaryah yang kekadang terabai ini.

   Menjelang imtihan semester pertama hujung bulan ini, entah kenapa saya rasa seperti saya sangat tidak cukup masa! Bukan mengeluh atau merungut, tapi inilah yang saya sedar tentang hakikat seorang pejuang, yang mana amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan itu lebih banyak, banyak dari masa yang ada!

   Laman BQ sudah pun berusia 2 tahun November lalu, seusia keberadaan saya di bumi Mesir ini. Laman ini salah satu teman akrab saya, yang kekadang saya anggap seperti pendengar setia. Apabila terdetik mahu berkata atau menyampaikan sesuatu, tetapi tiada medan sesuai untuk saya berbuat sedemikian, maka laman BQ akan jadi kanvas contengan saya. Kasihan BQ, dijenguk cuma bila perlu. Kadang sebulan dibiar berdebu dan bersawang tanpa sebarang entri bermaklumat dan bermanfaat,

   Mungkin ini entri terakhir sebelum imtihan bermula (mungkin!). InsyaAllah kalau saya masih mampu mengatur nafas yang sudah mula tercungap, akan ada lagi entri seterusnya. Kalau tiada izin dari-Nya, mungkin saja usai imtihan baru BQ akan punya entri baru. Sepertinya saya beralasan, kan? Kalau bukan musim imtihan pun, tetap juga BQ dijenguk sekali-sekala. Bukan apa, meng'aula'kan yang utama dahulu...

   Tiba-tiba terdetik di hati untuk berkongsi tentang ini;


    Kini sudah ada 'amanah' terbeban di bahu. Mungkin yang memandang merasa bahawa 'amanah' ini bukan apa-apa. Tapi bagi saya yang bukan siapa-siapa ini, 'amanah' ini satu tugas dan tanggungjawab berat yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya. Amanah ini tentunya akan jadi hujah bila berhadapan dengan DIA, khaliq yang mencipta saya (dan anda), khaliq yang menggerakkan hati dan jemari mereka untuk memilih saya memikul amanah ini.

"كلكم راع وكلكم مسؤول عن رعيته"
    "Setiap dari kamu adalah pemimpin, dan setiap dari kamu bertanggungjawab pada apa yang kamu pimpin."

    Berada di 'atas' akan mengubah banyak perkara, terutamanya pada apa dan pada siapa keutamaan perlu diberikan. Masa kini terbahagi pada banyak perkara, bukan pada kuliah, kelas tutorial, makan dan tidur semata-mata. Banyak perkara perlu di'organize' semula, terutamanya untuk membiasakan diri dengan tanggungjawab besar yang sebelum ini tidak ada. 

    InsyaAllah, amanah ini saya cuba anggap sebagai satu cabaran hebat untuk saya terus mencari dan memperbaiki diri. Semoga sahaja amanah ini bisa jadi medan untuk kami semua terus bermuhasabah dan terus mengingati dan mendekati Allah. Doakan yang baik-baik, yaa... :-)

    Ada 'sesuatu' yang saya rasa saya MESTI lakukan. Perlunya 'sesuatu' itu untuk jadi suis pemancar, menggerakkan hati-hati yang lain, yang sedang tidur dan alpa. Pendek kata, 'sesuatu' itu perlu untuk kelangsungan dakwah Islamiah, kemaslahatan ummah dan kegemilangan ISLAM yang saya (dan anda) cintai ini. 

    Selamat menjalankan tugas dan amanah buat barisan Majlis Tertinggi dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi, Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM). Semoga kasih sayang dan hidayah Allah bersama kita, sentiasa... 



P/S: Serius tidak tahu, nak letak tajuk apa entri ini? Akhirnya, "Lagi monolog seorang saya!" Kalau tak sesuai, menjengkelkan or whatsoever, bagitahu ya. InsyaAllah saya tukar. :-)

Sabtu, 27 Oktober 2012

Salam Aidiladha! (dah ada geng karat!)

Bismillahirrahmaanirrahiim...

Salam Aidiladha buat semua, kullu sanah wa antum thayyibeen...!

-"Eh, Ina, bila kau tukar baju?"

-"Bukan kita dah salam tadi?"

-"Tadi kau di sana kan, macam mana kau ada di sini pula?"

Antara 'ucapan' yang saya terima di pagi aidiladha. Semuanya kerana ini,



    Serupa sangatkah?

    Alhamdulillah, adik saya, yang lebih mesra dipanggil Angah sudah selamat tiba di Kaherah pada 24 Oktober, dua hari sebelum hari raya Aidiladha. Jadi, saya sudah ada 'geng karat' saya untuk beraya bersama. Mulanya risau juga, kerana penerbangan mereka (pelajar baru Sabah) asyik tertangguh-tangguh. Apatah lagi sesi perkuliahan sudah bermula hampir sebulan yang lalu. Namun, syukur akhirnya mereka tiba jua..

Aidiladha keluarga BKPSM (mahasisiwi). Junior dan senior yang terbaikk!!

    Hari ini (27 Oktober), kami ke pasar Atabah dan Hussin, menemankan pelajar-pelajar baru membeli jubah, stokin dan barangan keperluan lainnya.  Alhamdulillah, cuti Aidiladha menyebabkan perjalanan kami lancar. Atabah dan Hussin tidak sesak seperti biasa!

    Terasa lucu melihat mereka seolah terpukau apabila kami memasuki kedai-kedai menjual jubah. Lebih-lebih lagi bila kami bawa mereka membeli syawerma (roti dengan daging) dan jus mangga yang pekat dan enak itu. 

Alahai, comel sungguh!

    Hajat hati mahu bawa mereka ke banyak tempat lagi. Tapi bila teringatkan bahawa malam ini ada majlis sambutan Aidiladha BKPSM, saya berkata "kita kena balik awal juga. Lain kali kita datang lagi, ya..."

    Laju sungguh angguk mereka.

    Saya merasa geli hati sekali lagi.

Selasa, 23 Oktober 2012

Ahlaan...!

Bismillahirrahmaanirrahiim...

    Ini entri pertama saya selepas hampir sebulan tiba di Kota Kaherah.

    Selesai sudah segala urusan pendaftaran kuliah, yuran, terjemahan keputusan Tahun 1 dan pengesahan pengajian. Alhamdulillah, kini sudah boleh tarik nafas lega, dan kini saya bergelar mahasiswi Tahun 2!

    'Ahlaan...!' itu sebenarnya satu simbol kepada semangat baru saya. InsyaAllah semangat yang akan menemani perjalanan saya sepanjang tahun pengajian ini. Meng'ahlaan...!'kan semangat yang hari itu pudar sedikit bila menyedari pagi-pagi kami ke kuliah kini tinggal bertiga. Sedih, sungguh sedih. Tapi bila menyedari lagi bahawa bagi setiap insan itu Allah telah aturkan jalan dan rezeki yang berbeza-beza, saya pujuk hati saya dan cuba memujuk hati-hati mereka dengan kalam Dia,

"Fa inna ma'al 'usri yusraa, Inna ma'al 'usri yusraa."

Moga saya kuat, dan semoga mereka lebih kuat.




***

    Tempoh hari sempat menyertai satu bengkel penulisan bersama penulis Azzah AR dan novelis sejarah Islam Pak Abdul Latip Talip yang datang ke Mesir bagi mencari bahan sejarah berkenaan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna untuk dimuatkan dalam novel terbaru Pak Latip yang dijangka terbit Disember nanti. Alhamdulillah, dapat ilmu dan maklumat baru. InsyaAllah akan cuba dipraktikkan juga... :-)

~Saya Adalah Penulis Yang Disayang Tuhan~

Bersama Cik Puan Azzah (berselendang merah)

Novel Shamsiah Fakeh, tulisan Cik Puan Azzah

Bersama Pak Abdul Latip Talib, novelis sejarah Islam

Novel Salahuddin Ayubi, tulisan Pak Latip.
Sempat lagi minta tandatangan, :-)

     Beberapa hari selepas itu, berpeluang pula menemani Cik Puan Azzah ke Kota Iskandariyah. Cik Puan Azzah dalam proses menyiapkan buku Travelog Menjejak Hassan Al-Banna. Kata Cik Puan Azzah, InsyaAllah akan siap Disember nanti, bersama dengan novel Hassan Al-Banna tulisan Pak Latip. Tak sabar pula nak beli!


~From Knowledge To Wisdom~
Di Bibliotheca Alexandrina

Istana Sultan Farouk, Montazah, Iskandariyah.
Saya, Cik Puan Azzah dan Kak Kartika.

    InsyaAllah, ada cita-cita mahu jadi penulis yang disayang Tuhan. Mungkin tidaklah sehebat Cik Puan Azzah dan Pak Latip, dan mungkin juga sekadar menarikan pena di laman BintulQaryah ini. Namun, siapa yang tahu rezeki hari esok? Andai ini jalan yang Allah sediakan untuk saya turut berjuang di jalan dakwah, saya harap anda semua turut doakan saya, yaa...

Wassalam...
Mahu jadi penulis yang disayang Tuhan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...