Sabtu, 27 Oktober 2012

Salam Aidiladha! (dah ada geng karat!)

Bismillahirrahmaanirrahiim...

Salam Aidiladha buat semua, kullu sanah wa antum thayyibeen...!

-"Eh, Ina, bila kau tukar baju?"

-"Bukan kita dah salam tadi?"

-"Tadi kau di sana kan, macam mana kau ada di sini pula?"

Antara 'ucapan' yang saya terima di pagi aidiladha. Semuanya kerana ini,



    Serupa sangatkah?

    Alhamdulillah, adik saya, yang lebih mesra dipanggil Angah sudah selamat tiba di Kaherah pada 24 Oktober, dua hari sebelum hari raya Aidiladha. Jadi, saya sudah ada 'geng karat' saya untuk beraya bersama. Mulanya risau juga, kerana penerbangan mereka (pelajar baru Sabah) asyik tertangguh-tangguh. Apatah lagi sesi perkuliahan sudah bermula hampir sebulan yang lalu. Namun, syukur akhirnya mereka tiba jua..

Aidiladha keluarga BKPSM (mahasisiwi). Junior dan senior yang terbaikk!!

    Hari ini (27 Oktober), kami ke pasar Atabah dan Hussin, menemankan pelajar-pelajar baru membeli jubah, stokin dan barangan keperluan lainnya.  Alhamdulillah, cuti Aidiladha menyebabkan perjalanan kami lancar. Atabah dan Hussin tidak sesak seperti biasa!

    Terasa lucu melihat mereka seolah terpukau apabila kami memasuki kedai-kedai menjual jubah. Lebih-lebih lagi bila kami bawa mereka membeli syawerma (roti dengan daging) dan jus mangga yang pekat dan enak itu. 

Alahai, comel sungguh!

    Hajat hati mahu bawa mereka ke banyak tempat lagi. Tapi bila teringatkan bahawa malam ini ada majlis sambutan Aidiladha BKPSM, saya berkata "kita kena balik awal juga. Lain kali kita datang lagi, ya..."

    Laju sungguh angguk mereka.

    Saya merasa geli hati sekali lagi.

Selasa, 23 Oktober 2012

Ahlaan...!

Bismillahirrahmaanirrahiim...

    Ini entri pertama saya selepas hampir sebulan tiba di Kota Kaherah.

    Selesai sudah segala urusan pendaftaran kuliah, yuran, terjemahan keputusan Tahun 1 dan pengesahan pengajian. Alhamdulillah, kini sudah boleh tarik nafas lega, dan kini saya bergelar mahasiswi Tahun 2!

    'Ahlaan...!' itu sebenarnya satu simbol kepada semangat baru saya. InsyaAllah semangat yang akan menemani perjalanan saya sepanjang tahun pengajian ini. Meng'ahlaan...!'kan semangat yang hari itu pudar sedikit bila menyedari pagi-pagi kami ke kuliah kini tinggal bertiga. Sedih, sungguh sedih. Tapi bila menyedari lagi bahawa bagi setiap insan itu Allah telah aturkan jalan dan rezeki yang berbeza-beza, saya pujuk hati saya dan cuba memujuk hati-hati mereka dengan kalam Dia,

"Fa inna ma'al 'usri yusraa, Inna ma'al 'usri yusraa."

Moga saya kuat, dan semoga mereka lebih kuat.




***

    Tempoh hari sempat menyertai satu bengkel penulisan bersama penulis Azzah AR dan novelis sejarah Islam Pak Abdul Latip Talip yang datang ke Mesir bagi mencari bahan sejarah berkenaan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna untuk dimuatkan dalam novel terbaru Pak Latip yang dijangka terbit Disember nanti. Alhamdulillah, dapat ilmu dan maklumat baru. InsyaAllah akan cuba dipraktikkan juga... :-)

~Saya Adalah Penulis Yang Disayang Tuhan~

Bersama Cik Puan Azzah (berselendang merah)

Novel Shamsiah Fakeh, tulisan Cik Puan Azzah

Bersama Pak Abdul Latip Talib, novelis sejarah Islam

Novel Salahuddin Ayubi, tulisan Pak Latip.
Sempat lagi minta tandatangan, :-)

     Beberapa hari selepas itu, berpeluang pula menemani Cik Puan Azzah ke Kota Iskandariyah. Cik Puan Azzah dalam proses menyiapkan buku Travelog Menjejak Hassan Al-Banna. Kata Cik Puan Azzah, InsyaAllah akan siap Disember nanti, bersama dengan novel Hassan Al-Banna tulisan Pak Latip. Tak sabar pula nak beli!


~From Knowledge To Wisdom~
Di Bibliotheca Alexandrina

Istana Sultan Farouk, Montazah, Iskandariyah.
Saya, Cik Puan Azzah dan Kak Kartika.

    InsyaAllah, ada cita-cita mahu jadi penulis yang disayang Tuhan. Mungkin tidaklah sehebat Cik Puan Azzah dan Pak Latip, dan mungkin juga sekadar menarikan pena di laman BintulQaryah ini. Namun, siapa yang tahu rezeki hari esok? Andai ini jalan yang Allah sediakan untuk saya turut berjuang di jalan dakwah, saya harap anda semua turut doakan saya, yaa...

Wassalam...
Mahu jadi penulis yang disayang Tuhan.


Isnin, 10 September 2012

PROMOSI : Kicap & Sos Mak Ana


    Petang khamis lalu, makcik saya (kakak kepada Mama) dari Kota Kinabalu datang, menghantar bekalan kicap dan sos ke kantin sekolah yang Mama usahakan. Sempat juga berbual-bual dengan makcik dan adik sepupu saya, Hafiz, bertanya itu-ini tentang perusahaan kicap dan sos yang mereka sekeluarga usahakan sejak tahun lepas.


    Produk kicap dan sos ini menggunakan jenama Mak Ana, bersempena anak sulung makcik yang sejak kecil saya panggil Kak Ana.

    Kerana belum mampu untuk memiliki bangunan kilang sendiri, perusahaan kicap dan sos ini diproses terus dari rumah kediaman mereka di Kampung Tebobon, Menggatal. Produk ini merupakan hasil usaha sepenuhnya BUMIPUTRA MUSLIM, dijamin HALAL dan SUCI, malah mendapat sokongan dan diselia oleh MARDI, FAMA dan SDSI.

    Produk kicap dan sos Mak Ana kini diedarkan ke pasaraya, restoran, kedai runcit dan kantin sekolah sekitar Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud

    Pengguna boleh mendapatkan Kicap Pekat Manis, Sos Cili, Sos Cili Pedas, Sos Cili Manis, Sos Tomato, Sos Tiram dan Sos Pencicah Mak Ana dalam saiz botol kecil 400 gram berharga RM 2.50, dan botol besar 1 kg berharga RM9.00.

Boleh juga dibeli secara pukal/borong.

Maklumat pengusaha:

Pasar Besar Enterprise,
Kampung Tebobon, Menggatal,
Jalan Tuaran, 88450 Kota Kinabalu.

Telefon : 013-854 4291 / 014-656 6591 (Puan Deliam Zainuddin)

    Alhamdulillah, seorang pelanggan yang juga pengusaha gerai ikan bakar memberitahu bahawa Kicap Pekat Manis Mak Ana sangat sedap dibuat sambal kicap untuk hidangan ikan bakar. 

P/s : Saya dah rasa semua. Petang-petang pekena keropok lekor dengan Sos Pencicah Mak Ana, memang sedap!

Jumaat, 7 September 2012

~Jeda II~


Bismillahirrahmaanirrahiim..

Salam Syawal 1433 h.

Alhamdulillah, setelah sekian lama tidak berkesempatan untuk menulis dan berkongsi sesuatu di sini, hari ini akhirnya Allah beri saya peluang untuk mengetuk papan kekunci buat kesekian kalinya.

Bukan malas ataupun culas, tapi kesibukan dan kekangan yang bermacam-macam menghambat waktu dan kesempatan.

Hari-hari saya diisi dengan rutin yang sama, membantu Mama di kantin dari awal pagi hingga rembang petang. Pulang ke rumah, kembali menjadi anak perempuan dan kakak sulung kepada 6 adik yang manja belaka.

Adik tersayang, Ahmadi Putra akan kembali ke Jordan pada 12 September ini, meneruskan pengajian sebagai mahasiswa Tahun 3 Universiti Mutah, Karak. Berpisah lagi kami.

Cuti masih berbaki lebih kurang 3 minggu. Selepas itu, saya akan kembali ke bumi Mesir untuk meneruskan perjuangan, InsyaAllah akan meneruskan pengajian sebagai mahasiswi Tahun 2 pula (Alhamdulillah)..

Selasa, 26 Jun 2012

~Mabruk Ya MISR!~


24 Jun 2012, 3.00 petang (waktu Mesir)

Sememangnya perancangan manusia itu hebat. Tetapi perancangan ALLAH lebih-lebih lagi hebat.

Mereka meletakkan sepenuh harapan dan kepercayaan pada ALLAH, dan memanifestasikan harapan dan kepercayaan itu pada sekeping kertas undi dan secalit dakwat.

Kepada siapa lagi sepatutnya mereka hamparkan tawakkal yang tinggi itu kalau bukan pada DIA?

Presiden baru Mesir, Dr. Muhammad Morsi.

Alhamdulillah, doa mereka yang tidak pernah putus itu dimakbulkan juga.

Rakyat Mesir sujud syukur di pinggir jalan sejurus selepas pengumuman keputusan pilihanraya.
Dataran Tahrir : 24 Jun 2012


Sujud syukur mereka di mana-mana. Sorak sorai mereka di mana-mana.



Rakyat Palestin turut berkongsi kemenangan
Tahniah juga buat Palestin. Semoga kemenangan haluan Islam di Mesir akan membuka satu lembaran baru buat kalian.


Detik pengumuman kemenangan Dr. Muhammad Morsi.

Petikan ucapan Mursi selepas diisytihar menang:

"Wahai sekalian penduduk Mesir. Kalian telah meletakkan bebanan yang cukup berat di atas belakangku. Aku bukanlah manusia terbaik untuk memegang jawatan ini... Namun aku akan berusaha dengan sepenuh tenagaku untuk memenuhi segala janjiku. Semua rakyat mempunyai hak yang sama. Adapun bagiku tiada apa-apa hak. Yang ada hanyalah tanggungjawab...

"Bantulah aku untuk menegakkan keadilan di kalangan kamu. Tolonglah aku selagi mana aku mentaati Allah dalam menguruskan kamu. Jika sebaliknya dan jika aku derhaka kepada Allah serta aku tidak konsisten dengan apa yang aku janjikan, ketika itu tidak perlu lagi kalian taat kepadaku."


P/s : Sebelum ini, apabila mendengar bunyi ledakan mercun dan bunga api, akan ada rasa tidak senang hati. Hingar itu seringnya mengganggu konsentrasi mengulangkaji. Tapi ketika hari itu, saya dan yang lain ikut tersenyum pula mendengar dentum-dentum kegembiraan dan keriangan mereka semua. Mujur hanya mengongsi bunyi. Andai sahaja kami turut dapat melihat warna-warni kemenangan itu, pasti kami juga akan turut bersorak ria. Sekali lagi, TAHNIAH Mesir!

*Imtihan telah pun berakhir khamis yang lalu. Hari ini akan bermusafir ke kota biru Alexandria selama 3 hari. Jalan-jalan cari makan!! =)

Isnin, 4 Jun 2012

~Jeda I~

Alhamdulillah abadan..

    Tawakkal hanya pada DIA yang berkuasa mengatur dan menentukan hatta gugurnya sehelai daun kering. Seolah separuh beban yang mengimpit dada ini teralih setelah 4 kertas selamat ditempuhi. Semoga usaha-usaha itu terbayar dengan sesuatu yang bernama kejayaan, dan semoga 4 kertas yang masih berbaki ini dapat saya, dan kami semua tempuhi sebaiknya.

    Sekian lama saya merasa 'bahagia' dengan kondisi tubuh badan yang sihat walafiat, sehari sebelum bermulanya imtihan Allah uji saya dengan demam dan rasa sangat tidak selesa. Alhamdulillah, kifarah atas dosa-dosa saya. Sememangnya agak sukar untuk saya memurajaah dalam keadaan kurang sihat, namun siapakah saya untuk mengeluh dan berburuk sangka atas setiap perkara yang Allah timpakan? Saya yakin Allah ada dan memerhatikan tiap usaha dan kerja keras saya, meskipun saya pernah merasa sungguh tidak mampu walaupun untuk duduk tegak dan membuka mata. Alhamdulillah, hari ini demam itu sudah kebah dan saya sudah boleh memurajaah sambil duduk tegak dengan mata terbuka seluasnya. =)

    Sepetang tadi saya cuma duduk di hadapan komputer, menatap satu wajah yang saya amat rindui. Satu wajah yang kini cuma bisa saya tatap melalui foto-foto dan skrin komputer semata. Seterusnya dan selamanya akan begitu. Apatah lagi baru-baru ini saya dihubungi oleh seseorang yang mengatakan bahawa dia rindu pada pemilik wajah itu. Saya sekadar membalas mesej sambil tersenyum dalam sendu, mengatakan bahawa saya juga rindu, lebih rindu! Lebih-lebih lagi mengenangkan bahawa pulang ke desa nanti, tiada lagi kelibat dia di dalam bilik, di dapur, tiada lagi yang akan tidur di sofa di ruang tamu, tiada lagi bayang dia, arwah Adik yang telah pergi dahulu.

    Cepatlah imtihan habis, saya semakin tidak sabar mahu pulang!

Arwah (bertopi) bersama sahabat-sahabatnya

Jumaat, 25 Mei 2012

~Salam Imtihan~

    Seolah-olah baru kelmarin kuliah fasal thani bermula. Sungguh saya kadang tidak sedar betapa cepatnya jarum jam berputar menghalau hari-hari kelmarin, dan tertawa menyambut hari-hari baru.
 
    Dan saya juga seolah-olah tidak sedar, betapa banyaknya waktu yang telah pergi dan menghadiahi saya sekuntum senyum sinis, menyindir dan memarahi saya dek banyaknya waktu yang mungkin terbuang sia-sia. 

    Maaf.

    Dan apabila mengingati bahawa saya pernah berkata pada seorang teman, "setiap hari, setiap jam, setiap minit dan setiap saat itu ada peluang untuk kita berusaha."

    Masih ada masa, dan moga saya (dan anda juga) diberi kudrat untuk meneruskan usaha. 

Jadual Peperiksaan Semester II 2011/2012
Tahun 1, Kuliah Syariah Islamiah
Universiti Al-Azhar Kaherah (lilbanat)

p/s: Harapnya masih mampu tersenyum dan tertawa menghadapi tempoh 27/5 hingga 21/6 ini. Jujur, saya mula rasa panik!! Selamatkan sayaaaa!!! Heheh.. =)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...