Khamis, 22 Disember 2011

~Tuhfatul Mar’ah : Medan Tarbiyyah Kita..!~

                 Hari demi hari berlalu, kehidupan sebagai seorang mahasisiwi diakui sememangnya amat jauh berbeza dengan kehidupan sebagai seorang pelajar sekolah menengah. Kini tanggungjawab yang perlu digalas itu lebih besar, lebih berat hingga kekadang diri terasa sangat lemah, tidak berdaya untuk menongkati perjuangan yang maha besar mehnahnya.

                Zaman sekolah menengah, segalanya disuap. Kita hanya menanti dan memerhati, menunggu dan menonton. Jikalau ada, maka adalah. Kalau tiada, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Semuanya tersaji dihadapan mata, malah kita sendiri akan dikerah secara paksa untuk menikmati sajian itu, tidak perlu berfikir panjang, kunyah dan telan sahaja!

                Kini tidak lagi. Sekarang segalanya bergantung pada kekuatan keinginan dan kesedaran diri sendiri. Segala tindakan digerakkan oleh pemerintah yang bernama hati, dinasihati oleh menteri yang bernama akal dan ditentuhala oleh panglima yang bernama niat. Iman menyempadani nafsu dan taqwa merantai kehendak bukan-bukan yang sering muncul kala kealpaan menyapa.

                Dan dalam ketegaran suasana hidup sebagai MAHASISWI ini, ada ‘dia’ yang menjadi tempat memadu kasih. Si ‘dia’ yang dinanti saban hari, si ‘dia’ yang menghidangkan buah-buah ilmu yang lazat di dalam dulang ukhuwah. Si ‘dia’ yang menyajikan tegukan madu pengetahuan untuk dicicip dan dinikmati. Si ‘dia’ itu yang kekadang dianggap sebagai beban yang menyusahkan dan membuang waktu meskipun hakikatnya si ‘dia’ itu tidak lain tidak bukan cumalah sebuah datar sepi yang penghuninya hanyalah beberapa srikandi yang istiqomah.


                Tuhfatul Mar’ah, satu halaqah kecil, sebagai satu wacana medan pentarbiyyahan srikandi-srikandi hebat yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan. Bukan sekadar pada nama, namun pelaksanaannya diharapkan menjadi aset dalam usaha membentuk jiwa-jiwa yang mapan dengan ilmu, erat dengan silah dan sarat dengan nilai tarbiyyah islamiyah. Sebagai salah satu cara untuk menyuapi rohani yang adakalanya terabai dek kesibukan dunia, Tuhfatul Mar’ah anjuran Mahasiwi Sabah (WiSa) dengan kerjasama Biro Dakwah dan Tarbiyah (BDAT) Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) inilah tempatnya!

                Di sini, segala idea bernas dicambah menjadi satu pupukan ilmu yang bukan sedikit nilainya. Di sini, setiap buah fikiran bermanfaat dikongsi dan dihadam bersama. Di sini, setiap telingkah yang terbit akibat perbezaan fikrah diperbetulkan dengan hikmah. Di sini, kami merapatkan yang jauh dan mengeratkan yang rapat. Di sini juga kami bersama meratapi kerisauan melihat segala tingkah pincang dan barah sosial yang kian mencekik umat. Namun disini kami bukan sekadar meratapi dan cuma bersedih hati tetapi juga bersama-sama berfikir dan mentafsir apa peran kami untuk mencegah dan mengubati virus-virus jahiliah bila kami kembali ke tanah air nanti.

                Tuhfatul Mar’ah kami ini tidak akan pernah sunyi. Kerana kami tahu kini sudah ramai yang menyedari UNTUK APA Tuhfatul Mar’ah ini berdiri di sini. Kami tidak akan pernah risau andai yang menyempati waktu itu cuma sedikit, kerana kami tahu mereka yang berkelapangan itu sudah cukup sebagai satu rahmat buat kami. Kita semua sibuk dengan urusan dunia, namun jangan biarkan kesibukan itu ‘membunuh’ waktu kita untuk bersenang lenang mencicipi kemanisan nikmat taman-taman syurga! Kita semua sibuk ber’murajaah’ dan mengulangkaji, namun jangan lupa untuk me’murajaah’ kembali keadaan hati dan keperluan rohani. Jangan biar jiwa kita lapar, kelak merana diri dan sanubari.

                Tuhfatul Mar’ah ini medan tarbiyah kita. Meskipun ‘kecil’ namun tetap yakin ada hikmah besar yang pasti datang nanti. Tuhfatul Mar’ah ini medan tarbiyah kita, untuk jadi yang lebih baik dan terbaik. Menjadi sayap kiri pemimpin-pemimpin hebat, penjana wacana fikiran bernas yang penuh ilmu dan hikmah, menghimpun kekuatan srikandi hebat disebalik kelembutan dan sopan santun seorang wanita, kitalah mar’ah yang dinanti-nanti!



“BUKA MATA, CELIKKAN MINDA, TARBIYAH HATI”

1 ulasan:

  1. betul tue.saya setuju sangat2...tapi,gara2 balik2 ttido,4 kali aq ndak trun TM.huhuhu...

    BalasPadam

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...