Selasa, 4 Oktober 2011

~Mohon doa~

Bismillahirrahmaanirrahiim..

    Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang berkuasa mengatur segala kejadian, menghidupkan, mematikan dan menentukan segala qada'dan qadar hamba-hambanya...

       Tragedi itu, sungguh tiada siapa yang meminta. Namun takdir, qada' dan qadar yang Allah telah tentukan, tiada siapa juga yang mampu menghalangnya. Sejak pagi jumaat lalu, kali pertama aku mendengar berita itu hinggalah ke saat ini, aku cuba sedaya upaya untuk tidak menyalahkan siapa-siapa, cuba sedaya upaya untuk tidak berandai-andai, berkalau-kalau. Alhamdulillah aku mampu, akal masih punya pertimbangan, masih ada kewarasan. Namun aku tetap tidak mampu tidur lena, makan dengan berselera. Malah sejak hari itu, air mata ini tidak mahu berhenti mengalir. Tiap kali terkenangkan namanya, teringatkan wajahnya, terngiang-ngiang suaranya, mutiara ini akan tumpah lagi..

     Dia adik aku. Ya..adik aku. Berusia 16 tahun, bertubuh tinggi lampai, kurus melengking dengan kulit hitam manis. Kini terlantar di atas katil unit rawatan rapi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star, akibat kemalangan langgar lari pagi 30 September lalu.

     Mesti adik sakit, kan... Sakit sangat... Lori tu rempuh dari belakang adik. Seorang kawan adik, 15 tahun, maut akibat kemalangan tu. 4 orang lagi kawan adik cedera ringan. Aku tak mampu bayangkan keadaan adik masa tu. Kata Ustaz, adik menjerit-jerit kesakitan dalam ambulans ketika dalam perjalanan dari tempat kemalangan ke hospital. Adik masih sempat minta air minum. Tiba di hospital, adik dimasukkan ke ICU sebelum disahkan koma. Sedar dari koma, adik diberi ubat tidur kerana ada pendarahan dalam paru-parunya. Kaki adik patah, dan baru dimasukkan besi ahad lalu. Sekarang, adik masih dalam ICU. Kata doktor, tunggu paru-paru adik sembuh sendiri, baru boleh sedarkan adik..

    Tengahari itu juga Mama dan Abah berlepas dari Kota Kinabalu ke Penang, terus ke hospital di Alor Star. Adik-adik yang masih kecil ditinggalkan dengan makcik di kampung. Waktu itu aku berharap untuk turut berada di situ, temankan Mama yang tentunya lebih sedih dan hiba dari aku. Aku kakak sulung adik, tapi Mama, ibu yang melahirkan dan membesarkan adik!

     Semua orang suruh aku dan keluarga bersabar, redha atas apa yang berlaku. Semua orang suruh banyakkan doa, solat hajat dan baca yassin untuk kesembuhan adik. Semua orang suruh aku dan keluarga kuatkan semangat, dan jangan berhenti berusaha untuk sembuhkan adik. Alhamdulillah, suara Abah di corong telefon masih bersahaja. Mama masih bisa tanyakan khabar aku. Angah masih kuat untuk teruskan hafalan STAMnya. Tapi adik?? Adik masih bertarung dengan kesakitan itu. Adik tidur, tapi siapa tahu apa adik rasa waktu kakinya dimasukkan besi? Siapa tahu apa adik rasa? Adik...dan Allah juga yang tahu segalanya. Allah lebih tahu.. Allah lebih tahu.. Allah lebih tahu...justeru itu doaku tidak akan pernah berhenti, dan harapan untuk melihat adik sihat tidak akan pernah putus, kerana aku tahu Allah lebih tahu...
   
    Alhamdulillah, walaupun belum sedar, keadaan adik semakin positif. InsyaAllah, semua ini  atas doa semua yang tidak putus-putus mengharapkan kesembuhan adik. Terima kasih untuk semua yang doakan adik, yang ziarah adik sejak jumaat lalu hingga hari ini, sanak saudara, keluarga angkat, guru-guru, sahabat-sahabat dan sesiapa jua yang tidak henti memberi sokongan dan kata-kata semangat. Mohon juga kepada sesiapa yang membaca entri ini, untuk turut sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan adik. Hanya Allah yang mampu membalasnya. Doa kalian, mudah-mudahan membantu adik untuk terus kuat, membantu Mama dan Abah untuk terus tabah, dan membantu kami semua untuk terus sabar dan redha.. InsyaAllah... Allah lebih tahu dan lebih berkuasa atas segalanya.. Amin ya Rabbal alamin...

~Ahmad Syafie Melih (Adik)~


p/s: kakak sayang adik...sangat... kami semua sayang adik..semoga adik kuat! 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...