Selasa, 26 Jun 2012

~Mabruk Ya MISR!~


24 Jun 2012, 3.00 petang (waktu Mesir)

Sememangnya perancangan manusia itu hebat. Tetapi perancangan ALLAH lebih-lebih lagi hebat.

Mereka meletakkan sepenuh harapan dan kepercayaan pada ALLAH, dan memanifestasikan harapan dan kepercayaan itu pada sekeping kertas undi dan secalit dakwat.

Kepada siapa lagi sepatutnya mereka hamparkan tawakkal yang tinggi itu kalau bukan pada DIA?

Presiden baru Mesir, Dr. Muhammad Morsi.

Alhamdulillah, doa mereka yang tidak pernah putus itu dimakbulkan juga.

Rakyat Mesir sujud syukur di pinggir jalan sejurus selepas pengumuman keputusan pilihanraya.
Dataran Tahrir : 24 Jun 2012


Sujud syukur mereka di mana-mana. Sorak sorai mereka di mana-mana.



Rakyat Palestin turut berkongsi kemenangan
Tahniah juga buat Palestin. Semoga kemenangan haluan Islam di Mesir akan membuka satu lembaran baru buat kalian.


Detik pengumuman kemenangan Dr. Muhammad Morsi.

Petikan ucapan Mursi selepas diisytihar menang:

"Wahai sekalian penduduk Mesir. Kalian telah meletakkan bebanan yang cukup berat di atas belakangku. Aku bukanlah manusia terbaik untuk memegang jawatan ini... Namun aku akan berusaha dengan sepenuh tenagaku untuk memenuhi segala janjiku. Semua rakyat mempunyai hak yang sama. Adapun bagiku tiada apa-apa hak. Yang ada hanyalah tanggungjawab...

"Bantulah aku untuk menegakkan keadilan di kalangan kamu. Tolonglah aku selagi mana aku mentaati Allah dalam menguruskan kamu. Jika sebaliknya dan jika aku derhaka kepada Allah serta aku tidak konsisten dengan apa yang aku janjikan, ketika itu tidak perlu lagi kalian taat kepadaku."


P/s : Sebelum ini, apabila mendengar bunyi ledakan mercun dan bunga api, akan ada rasa tidak senang hati. Hingar itu seringnya mengganggu konsentrasi mengulangkaji. Tapi ketika hari itu, saya dan yang lain ikut tersenyum pula mendengar dentum-dentum kegembiraan dan keriangan mereka semua. Mujur hanya mengongsi bunyi. Andai sahaja kami turut dapat melihat warna-warni kemenangan itu, pasti kami juga akan turut bersorak ria. Sekali lagi, TAHNIAH Mesir!

*Imtihan telah pun berakhir khamis yang lalu. Hari ini akan bermusafir ke kota biru Alexandria selama 3 hari. Jalan-jalan cari makan!! =)

Isnin, 4 Jun 2012

~Jeda I~

Alhamdulillah abadan..

    Tawakkal hanya pada DIA yang berkuasa mengatur dan menentukan hatta gugurnya sehelai daun kering. Seolah separuh beban yang mengimpit dada ini teralih setelah 4 kertas selamat ditempuhi. Semoga usaha-usaha itu terbayar dengan sesuatu yang bernama kejayaan, dan semoga 4 kertas yang masih berbaki ini dapat saya, dan kami semua tempuhi sebaiknya.

    Sekian lama saya merasa 'bahagia' dengan kondisi tubuh badan yang sihat walafiat, sehari sebelum bermulanya imtihan Allah uji saya dengan demam dan rasa sangat tidak selesa. Alhamdulillah, kifarah atas dosa-dosa saya. Sememangnya agak sukar untuk saya memurajaah dalam keadaan kurang sihat, namun siapakah saya untuk mengeluh dan berburuk sangka atas setiap perkara yang Allah timpakan? Saya yakin Allah ada dan memerhatikan tiap usaha dan kerja keras saya, meskipun saya pernah merasa sungguh tidak mampu walaupun untuk duduk tegak dan membuka mata. Alhamdulillah, hari ini demam itu sudah kebah dan saya sudah boleh memurajaah sambil duduk tegak dengan mata terbuka seluasnya. =)

    Sepetang tadi saya cuma duduk di hadapan komputer, menatap satu wajah yang saya amat rindui. Satu wajah yang kini cuma bisa saya tatap melalui foto-foto dan skrin komputer semata. Seterusnya dan selamanya akan begitu. Apatah lagi baru-baru ini saya dihubungi oleh seseorang yang mengatakan bahawa dia rindu pada pemilik wajah itu. Saya sekadar membalas mesej sambil tersenyum dalam sendu, mengatakan bahawa saya juga rindu, lebih rindu! Lebih-lebih lagi mengenangkan bahawa pulang ke desa nanti, tiada lagi kelibat dia di dalam bilik, di dapur, tiada lagi yang akan tidur di sofa di ruang tamu, tiada lagi bayang dia, arwah Adik yang telah pergi dahulu.

    Cepatlah imtihan habis, saya semakin tidak sabar mahu pulang!

Arwah (bertopi) bersama sahabat-sahabatnya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...