Ahad, 25 Mac 2012

~Cerpen : Khabar Dari Desa~


Assalamualaikum Warahmatullah..
               
Menemui sahabatku yang berada nun jauh di perantauan. Dari keheningan dan damainya bumi lembah bayu ini, kutitipkan salam penuh rindu dariku, juga dari seisi desa yang teramat mendambakan kehadiranmu.. Apa khabarnya dirimu? Imanmu? Perjuanganmu? Moga dirimu serta segala urusanmu sentiasa berada dalam kesejahteraan dan perlindungan Khaliqul ‘Adzim.

Sahabatku,
                Ku titipkan kertas kumal ini bukan sekadar menitip khabar, bukan juga sekadar bersoal ehwal. Bahkan ku ingin mencuri sedikit masamu itu untuk membaca cerita-cerita terkini dari redaksi desa yang sering memuatkan peristiwa-peristiwa pelbagai rupa. Aku tahu kau sedang keras berusaha demi menamatkan pengajianmu. Aku juga tahu betapa kau sedang berjuang bermatian demi sebuah kejayaan yang kau impikan. Namun ku berharap jangan kau campak kertas kumal ini, kerana aku benar-benar ingin kau tahu apa yang telah terjadi di desa lembah bayu permai kita selama 3 tahun ini.

Sahabatku,
                Masihkah kau ingat ketika kita bersama-sama menjadi penagih ilmu, ke sana ke mari dengan mengelek kitab dan buku, menadah keringat demi selaut wibawa dan keserbatahuan? Tentu kau masih ingat,bahawa kita pernah melakar janji lantas memahatnya di batang pohon mempelam di belakang rumahmu. Janji kita itu, janji pasti yang penuh azam dan tekad. Janji untuk merubah desa lembah bayu ini menjadi sebuah desa yang indah dengan karangan ilmu dan penuh dengan jasad ulama’ amilin. Masih kau ingat sahabatku? Hingga sekarang janji itu masih terpahat jelas dalam nubari ini, juga di batang pohon mempelam di belakang rumahmu itu, meski setelah bertahun engkau pergi.

Sahabatku,
                Kau tentu sedar keadaan global yang semakin parah dilanda penyakit kemodenan tanpa batasan. Kau juga pasti sedia maklum akan kritikalnya jiwa masyarakat yang kian tenat akibat kesan kemajuan yang melampau. Kau pasti arif benar tentang gejala virus sosial yang semakin menular dalam kalangan manusia. Aha..maaf sahabatku, aku bukan mahu bersyarah tentang dunia perubatan yang jauh berbeza dengan ilmu usul agama yang kau pelajari. Namun jangan lupa sahabatku, meski medan ilmu kita lain datarnya, ilmu kita itu sumbernya sama. Biarpun aku bakal bergelar doktor, dan kau bakal ustaz, misi kita tetap sama, iaitu untuk menabur bakti dan budi di samping menjadi daei serba boleh yang mampu mengubah bi’ah masyarakat.

Sahabatku,
                Beberapa bulan selepas keberangkatanmu ke bumi Musa itu, desa lembah bayu kita dikejutkan dengan satu berita. Seorang gadis berusia belasan tahun didapati bersalah kerana melakukan zina, melahirkan anak tidak sah taraf malah lebih sadis lagi, bayi yang dilahirkan sempurna itu dibuangnya ke dalam tong sampah! Sungguh remuk redam hati ini sahabatku. Seolah-olah ketika itu aku terlihat bayangan lidah neraka di ufuk langit senja menjelang maghrib ketika bayi itu kutemui dalam keadaan menyedihkan. Entah apa yang merasuk fikiran muda-mudi zaman sekarang ini. Sedang kesantunan budaya telah lama diletak ke tepi, perbuatan tidak bertamadun seperti ini pula yang mereka lakukan. Kemana hilangnya pertimbangan akal fikiran dan kewarasan, tiada siapa yang tahu. Semua penghuni desa lembah bayu kini saling berbalah dan salah menyalahi.

Sahabatku,
                Beberapa bulan selepas tragedi hitam itu, desa lembah bayu kita sekali lagi dikejutkan dengan satu insiden ngeri yang melibatkan pemuda-pemuda desa kita. Pada malam hari pertama kepulanganku ketika cuti semester, tidur lenaku diganggu dengan bingit derum enjin motosikal yang sahut menyahut bagaikan saling mencabar, mengajak sang seteru beradu kehebatan. Aku sekadar membiarkan, berfikir bahawa bunyi bingit itu cuma sekadar kenakalan anak muda yang masih mentah fikirannya. Bunyi tayar motosikal menyeret-nyeret, ditambah dengan jerit sorak suara mereka yang begitu seronok menemani gelap malam. Namun siapa menduga, dalam kebingitan itu kedengaran bunyi dentuman kuat diselangi suara raungan kesakitan. Dalam tidak sedar aku sudahpun berada di hadapan sekujur tubuh, parah terhimpit di celah-celah lori balak yang sering keluar masuk dari desa kita, bersama sebiji motosikal yang remuk dan hancur. Tubuh itu tadi kaku, dengan lumuran darah yang memercik membasah aspal. Sekumpulan remaja yang tadinya begitu hingar mencabar sunyi, lesap, hilang entah ke mana.

Sahabatku,
                Tentu kau masih ingat ketika kita bersama-sama dengan penduduk desa bergotong royong mengubah suai masjid. Masjid desa yang tersergam indah itu seolah-olah menjadi lambang kemakmuran desa lembah bayu ini. Di situlah penduduk desa berkumpul, membincangkan hal ehwal agama, bersilaturrahim, bahkan aktiviti-aktiviti pengisian rohani juga sering diadakan. Sementelah kita selaku jawatankuasa Unit Pembangunan Remaja juga tidak henti merancang dan memikat muda-mudi desa untuk sentiasa akrab dengan masjid. Tapi itu dahulu, ketika Imam Jamal masih ada. Kini, setelah pemergian Imam Jamal bertemu Sang Pencipta, tiada siapa lagi yang mampu dan mahu mengetuai jemaah masjid untuk terus merancang kerja bakti dan amal demi agama. Kerana itu masjid kini makin sunyi, ukhuwah penduduk desa makin renggang. Mujur beberapa bulan lalu, seorang ustaz muda lepasan maktab yang baru ditukarkan ke sini sempat menemui aku dan kami berbincang tentang cara menghidupkan kembali semangat cintakan masjid dalam kalangan penduduk desa. Tentunya, namamu menjadi antara topik perbincangan kami. Ustaz itu tidak sabar menanti kepulanganmu. Banyak perancangan telah kami aturkan dan sebahagiannya telah mula dilaksanakan. Sebahagiannya lagi, kami turut perlukan sentuhan hebat ulama muda lepasan Al-Azhar sepertimu…

Sahabatku,
                Aku semakin tidak sabar menanti 6 bulan mendatang. Kata ibumu, lagi 6 bulan maka tamatlah pengajianmu. Tahniah, kau lebih awal dapat berbakti secara sepenuh masa untuk ummah ini. Aku? Masih berbaki 2 tahun setengah untuk aku tamatkan pengajian. Aku harap, selesai perjuanganmu di sana, cepat-cepatlah kembali ke desa. Desa sakit ini perlukanmu. Desa sakit ini perlukan kita. Aku tentunya tidak kuat untuk bekerja sendiri sedang kegawatan sosial yang makin membarah ini perlukan banyak tangan untuk bersama memperbaiki dan memperbaharui jiwa-jiwa yang diharap mampu mengubah desa kita menjadi lebih indah dengan nur iman dan taqwa.

Sahabatku,
                Doaku sentiasa membasahi lantai sujudku, memohon agar kita bersama bisa bergerak dan beramal untuk Islam. Bersama berganding bahu membina taman-taman misalan syurga, bersama berpimpin tangan mengharung duri mehnah yang sering menyasarkan pejuang-pejuang yang mapan hatinya. Berdoalah juga sahabatku, agar harapan ini tidak sekadar harapan semata.. Berusahalah juga, agar kembalimu nanti membawa sinar baru yang bisa memancarkan cahaya perubahan dan penambah baikan. Demi desa kita, ummah kita, agama kita. Pengalamanmu di sana, kami seisi desa nanti-nantikan.
Salam rindu dari desa lembah bayu, buat sahabat yang jauh nun di sana, selamat berjuang..

p/s : Oh ya, kami sedang mengusahakan pembinaan maahad tahfiz untuk remaja-remaja kita di desa ini. Kalau mahu, kau boleh jadi penyumbang tenaga.


Mukhlis,

Anas Suwaifi
11 Februari 2011




Selasa, 13 Mac 2012

~Jom ke Al-Azhar!~

            Sekitar minggu lalu, saya menerima sebuah pesanan ringkas dari seorang junior ketika masih belajar di SMAN dulu, bertanyakan itu ini tentang Mesir, dan tentunya juga tentang Al-Azhar yang disayangi ramai.. Pengalaman hidup saya di bumi sahara ini belum pun mencecah usia 2 tahun, tapi persoalan dan pertanyaan yang diutarakan oleh junior tersebut saya cuba jawab semampunya.



Cara memohon ke Universiti Al-Azhar?

            Borang permohonan akan dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Biasanya boleh didapati di sekolah masing-masing. Untuk adik junior tersebut, bolehlah tanyakan pada Ustaz Muaaz, PK 1 SMA Nahdzah.. (erk, kirim salam kat ustaz/ustazah semua..) 

Syarat permohonan?

            Untuk jurusan Pengajian Islam, pemohon hendaklah sekurang-kurangnya memperoleh pangkat Maqbul dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Opps, adik junior saya tidak menduduki STAM, sebaliknya selepas tamat SPM terus memasuki pengajian matrikulasi di UIAM. Ada cara untuk mohon jurusan Pengajian Islam di Al-Azhar tak? Ada sesiapa tahu?



Imtihan Qabul?

            Adik junior saya terkeliru dengan sebuah artikel tentang Imtihan Qabul yang dibacanya dalam sebuah blog. Artikel itu, ditulis beberapa bulan sebelum saya menjejakkan kaki ke bumi Mesir ini sendiri. Jadi, yang boleh saya katakan ialah, proses Imtihan Qabul yang tertulis dalam artikel tersebut agak berbeza dengan Imtihan Qabul yang saya dan sahabat-sahabat lalui pada September 2010. Untuk Imtihan Qabul sesi 2011, seperti biasa bermacam-macam versi cerita timbul sebelum Imtihan Qabul dilaksanakan. Tetapi pengakhirannya, prosesnya tetap sama seperti apa yang dilaksanakan pada tahun sebelumnya. 

            Pada tahun 2010 dan 2011, Imtihan Qabul diadakan di bangunan Kuliah Ulum Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah, bukannya di Malaysia. Tetapi, untuk tahun 2012, pihak Al-Azhar sendiri belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung tempat pelaksanaan Imtihan Qabul. Oleh itu, tunggu dan lihat sahaja dulu. 

Bangunan Kuliah Ulum Islamiah, juga bangunan di mana pelajar akan menduduki peperiksaan Imtihan Qabul serta menjalani pengajian Matrikulasi Bahasa Arab selama setahun. 
            Seperti yang para pelajar ketahui juga, mana-mana pelajar yang lulus Imtihan Qabul ini akan terus memasuki kuliah Tahun 1 dalam jurusan yang dipohon (Syariah Islamiah/ Usuluddin/Lughah Arabiah). Manakala pelajar yang gagal (seperti saya dahulu) akan memasuki Matrikulasi Bahasa Arab Al-Azhar selama setahun, dibawah bimbingan tenaga pengajar yang mahir, berpengalaman dan baik hati belaka. Selepas setahun, insyaAllah jika lulus peperiksaan terakhir bolehlah memasuki kuliah Tahun 1 dengan hati yang bahagia..  

   Bentuk soalan Imtihan Qabul? Ada 4 bentuk soalan kesemuanya, dan dijawab dalam tempoh 2 jam. 

1) Qiraah (membaca) : 2 soalan
  -1. Soalan pemahaman. Ada petikan dan ada soalan. Baca soalan dan jawab petikan. Macam soalan pemahaman SPM.. 
  -2. Baca teks petikan (lisan). Pengawas peperiksaan akan beri satu petikan dan pelajar hendaklah membaca petikan tersebut dihadapan pengawas untuk dinilai. Petikan yang diberikan tidak berbaris, jadi perkara utama yang dinilai tentulah kebolehan pelajar untuk membaca petikan tersebut dengan sebutan dan baris yang tepat. Fathah ke..dhommah ke..majrur ke.. 

2) Kitabah (menulis) : 2 soalan
  -1. Isi tempat kosong, buat ayat (jumlah mufidah) dan soalan berkaitan ilmu Nahu Sarf.
  -2. Menulis karangan. Pelajar diberikan lebih kurang 2 pilihan soalan. Pilih satu dan tulis karangan mengikut jumlah kalimat (perkataan) yang ditetapkan.

3) Istima' (mendengar) : 2 soalan
  -1. Jawab soalan berdasarkan petikan yang dibacakan oleh pengawas peperiksaan. Pelajar hendaklah menjawab soalan SELEPAS pengawas selesai membacakan petikan. Formatnya lebih kurang sama dengan bentuk soalan Listening dalam peperiksaan MUET.
  -2. Imla'. Seperti biasa, pengawas peperiksaan membacakan teks/ayat, dan pelajar dikehendaki menulis ayat/teks yang dibacakam pengawas. 

4) Muhadasah (perbualan) : 1 soalan
  -1. Pengawas peperiksaan akan bertanyakan soalan kepada pelajar dengan konsep perbualan. Lebih kurang ujian lisan SPM dan ujian syafawi STAM juga. Tentunya dalam Bahasa Arab!

Yuran pengajian

           Kadar yuran berubah setiap tahun. Jadi saya tak berani lah nak menyebutkan berapa jumlahnya. Tapi, bagi pelajar jurusan pengajian Islam tak perlu risau, kerana kadar yuran yang ditetapkan biasanya adalah sangat-sangat murah. Tak mencecah ribu-ribu pun. Pengalaman saya untuk sesi 2011/2012 ini, jumlah yuran keseluruhan (yuran pendaftaran/kad pelajar/pengesahan pengajian/medical check up) tak sampai pun LE 200 (lebih kurang RM 110). Kitab-kitab pengajian juga boleh didapati dengan harga murah. Tak perlu risauu..!


Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (mabna qadim), Universiti Al-Azhar  Lil Banat, Kaherah

Kos sara hidup

            Bergantung dengan gaya hidup dan tahap penjimatan kita. Kalau tinggal di asrama pelajar (saya tinggal di Wisma Yayasan Sabah Kaherah!), sewa rumah mungkin agak murah berbanding dengan menyewa rumah milik warga Arab di samping keselamatan dan kebajikan lebih terjamin kerana adanya Badan Kebajikan Anak Negeri di asrama-asrama pelajar tersebut, contohnya Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) dan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK).

            Selain dari kos sewa rumah, kos-kos yang lain ialah bil elektrik (kongsi dengan housemate), duit dapur (kongsi dengan housemate juga), tambang pergi balik kuliah, duit poket (kot-kot teringin nak makan nasi firakh mashwi!) dan perkara-perkara luar jangka lainnya. Tapi tak perlu risau, kerana selagi mana kita tahu dan sedar tentang status kita sebagai pelajar, kita akan mampu untuk menguruskan perbelanjaan harian/bulanan dengan sangat baik. Lainlah kalau memiliki high-taste life style, gemar shopping sana-sini, pakai barangan well-branded, KFC/Welatain/Pizza Master tiap-tiap minggu, memang akan sesak nafas tiap hujung bulan!          

            Lagi satu, bahan-bahan mentah di Mesir ni (terutamanya sayuran dan buahan) dijual dengan harga yang murah. Lebih murah dari harga semasa di Kota Belud :-) . Jadi, hal ehwal makanan di Mesir ni, tak perlulah risau yaa, sebab kalau dalam keadaan sempit pun, InsyaAllah ada sahabat-sahabat/kakak/abang yang sudi menghulur bantuan.. 

Tajaan biasiswa/dermasiswa pusat zakat

            Pelajar bolehlah mencari inisiatif, mengajukan permohonan kepada pihak-pihak yang sepatutnya. Dapat atau tidak tajaan itu, bergantung pada rezeki masing-masing kan.. Kadar biasiswa adalah berbeza mengikut pihak penaja itu sendiri. Tapi, jangan lupa pula, bila dah ada pihak yang bermurah hati untuk menaja pengajian kita, jangan disalahgunakan pula wang tajaan beribu-ribu itu ke tempat atau perkara yang tidak sepatutnya. Manfaatkanlah sebaiknya untuk memastikan pengajian kita berjalan dengan lancar. 

            Ok, persoalan terjawab? Kalau musykil lagi, just feel free to drop any questions! InsyaAllah saya akan cari dan beri jawapan sebaiknya..

            Jom ke Al-Azhar, kami nantikan pelajar baru sesi 2012/2013!
  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...