Ahad, 31 Julai 2011

Ramadhanku di Kaherah #2 : Berkobar-kobar..

Bismillahirrahmaanirrahiim...

    Syukur, malam 1 Ramadhan yang dinanti. Tarawih pertama sejak setahun lalu berlangsung dengan lancar. Hehe..(^-^)

    Berkobar-kobar rasanya mahu menjalani ibadah puasa Ramadhan ini. Puasa sunat Rejab dan Syaaban yang lalu tidak pula terasa diri begitu bersemangat, tapi mungkin kerana hikmah Ramadhan yang begitu banyaknya, jiwa melonjak-lonjak tidak sabar. Mahu puasa..mahu puasa..


    Sepertimana yang telah dijelaskan kepadaku dan rakan-rakan ketika program Ihya Ramadhan di Beit Saifuddin Qutuz , Hayyu Sabie' sana tempoh hari, antara ibadah yang boleh dilakukan ketika bulan Ramadhan ialah menuntut ilmu. Semalam setelah mendapat jadual tafaqquh yang ditagkan oleh seorang ukhti di dalam akaun facebookku, ada rasa seronok bertandang. Yea..yea.. (^_^)


Jadual Tafaqquh Sepanjang Ramadhan..

1. Tafaqquh Fiddin (Syeikh Muhammad Nuruddin al-Banjari al-Makki)
    *Selepas asar dan selepas tarawih (31 Julai-15 Ogos)
    *Rumah Kedah Baru (Syari' Mahkamah Hayyu Sabie')

2. -Taalim Mutaalim (Ust. Kamal Arif)
      *Ahad & Rabu
   
    -Maraqil Ubudiyah (Ust. Faizul Hadi)
      *Isnin & Selasa

    -Kifaayatul Awwam (Ust. Hairul bin Othman)
      *Khamis & Sabtu

    @ Rumah BKAN Johor, Rabaah, 6-8 pagi

 *****

    Menuntut ILMU, sepertimana yang kita tahu merupakan satu tuntutan yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim. Dalam Al-Quran, Allah sendiri telah berfirman bahawa :

  “Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan” Surah al-Mujadalah, ayat 11.
 
    Jadi, rasanya apa pula bentuk ganjaran yang dijanjikan Allah bagi sesiapa yang menuntut imu ketika bulan Ramadhan? Tambahan lagi dalam keadaan fizikal yang letih tidak bertenaga, cuaca panas membahang hingga menyakitkan kepala (seperti di Kaherah sekarang). Jika difikirkan sekali imbas pun, pasti kita semua dapat mengagak betapa besarnya ganjaran yang akan diberikan kepada mereka yang menuntut ilmu ketika bulan Ramadhan.. Kan..

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : 
 
“Barangsiapa mendatangi majlis ilmu di bulan Ramadhan maka Allah mencatat tiap-tiap langkahnya sebagai ibadah satu tahun dan dia akan bersamaku di bawah panji-panji Arasy; barangsiapa mengekalkan solat berjemaah di bulan Ramadhan, maka tiap-tiap rakaatnya akan diberi satu kota yang penuh nikmat Allah; barangsiapa berbuat baik kepada kedua orang tuanya di bulan Ramadhan maka akan memperoleh perhatian Allah dengan kasih sayang, sedang aku menjaminnya di dalam Syurga; dan seorang perempuan yang mencari keredhaan suaminya di bulan Ramadhan, maka baginya pahala sebagaimana pahala Maryam dan Asiah; dan barangsiapa yang menolong keperluan saudara muslimnya di bulan Ramadhan, maka Allah akan menolong seribu keperluannya di Hari Qiamat.” 
– dari Anas bin Malik r.a.
 
 
    Fuhh.. hebat..hebat.. Jadi, jom sama-sama menuntut ilmu ketika Ramadhan ini. Usahlah kita jadikan lapar, dahaga dan letih itu sebagai satu alasan untuk bermalas-malasan. Ramadhan kan setahun sekali, apa kata kita cuba rebut segala pahala dan ganjaran yang terdapat dalam tempoh masa sebulan ini. InsyaAllah, DIA yang maha memberi rahmat sentiasa melindungi kita semua dari segala bencana dan marabahaya..

*****

p/s : Kecewa sikit terlepas Tafaqquh Fiddin bersama Syeikh Muhammad Nuruddin di rumah Kedah Sabie'   (rumah cek pikah) malam ni. Pikah kata depa ngaji kitab Tahzib Misykah Jilid 2 dan kitab Ma'a Aulia' As-Solihin.. Hang pun pikah ooi, bukan nak habaq kat aku awai2. Nak boleh ilmu sorang2 ja ka? tak aci..tak aci.. 
 
~BintulQaryah~
  
 
 


Sabtu, 30 Julai 2011

Ramadhanku di Kaherah #1 : Ahlaan..!!

    Bismillahirrahmaannirrahiim..

    Limpahan syukur ke hadrat Illahi atas kurnianya yang menghamparkan nikmat tiada bandingan. Nikmat Iman (InsyaAllah) dan nikmat Islam yang kita semua kecapi, sungguh tiada bicara mampu menggambarkan rasa syukur yang tidak terhingga. Syukur juga kepada-Nya, kerana jemari ini masih punya kudrat dan tenaga untuk terus mengetik frasa dan stanza yang picisan cuma. Bukan khabaran atau oleh-oleh dari bumi Anbiya' ini sekadarnya, tapi juga sedikit rasa dan pandangan yang adakala menyapa minda kala waktu tidak tersangka.. Moga apa yang terhasil dari genta rasa ini, bisa mendatangkan biar secalit cuma rasa cinta kita semua padaNya yang mengatur perjalanan alam semesta.. Sesungguhnya diri ini bukan siapa-siapa, cuma seorang insan kerdil yang berkelana jauh ke bumi Anbiya' ini demi selaut ibrah dan khibraat buat pendamping hati dan jiwa.. (^_^)

*****

    Ramadhan yang dirindui kian menghampiri. Terasa penghujung syaaban ini bagaikan berlalu begitu lama sekali, seakan-akan mahu menguji rindu yang mendalam terhadap ramadhan yang dinanti.. Bila ramadhan disebut, hati bertanya pada empunya diri : cukupkah sudah persediaanmu untuk ramadhan kali ini??

~Tanglung Ramadhan~

    InsyaAllah..walaupun bahang mentari kota Kaherah semakin hari semakin menyengat, semangat untuk menjalani ramadhan di bumi anbiya' ini tidak pernah luntur. Pengalaman senior-senior terdahulu yang membuktikan betapa meriahnya ramadhan di kota seribu menara ini membuatku semakin tidak sabar untuk melihat dan merasakan sendiri hebatnya sambutan dan penghayatan ramadhan di Mesir ini. Tidak sabar rasanya mahu mengecap kemanisan dan kemeriahan ibadah puasa di sini. Memang, ada sebak di dada kerana kali ini terlalu jauh tempat semayam diri kala menyambut ramadhan tahun ini. Tahun-tahun lalunya, biasa sahaja aku dan adik-adik menjalani ramadhan di utara tanah air sedang keluarga tercinta berada di bumi Sabah. Tapi entah, tahun ini terasa perbezaannya.. 

*****

    Ahlaan ya Ramadhan.. berbaki 1 hari ini, mari sama-sama persiapkan diri..! Imbas kembali kelebihan-kelebihan ramadhan itu sendiri, dan jangan lupa untuk mengingat kembali rukun, syarat sah dan niat puasa, semoga semangat untuk beribadah TERUS membara...!! (^_^)

Jom berpuasa!!

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيكُمُ الصِّيَامَ كَماَ كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Wahai orang-orang beriman, dituntut ke atas kamu berpuasa seperti mana yang dituntut ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa"

    Melihatkan kepada tamsilan ayatul Quran di atas, tidak ada alasan bagi mereka yang bergelar orang-orang beriman untuk meninggalkan ibadah puasa, kecuali bagi mereka yang berhalangan dan tidak berkudrat. Mungkin bagi sesetengah individu, ramadhan cuma bermaksud puasa, yakni tidak makan atau minum serta menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Namun, hakikatnya ramadhan membawa maksud yang lebih besar daripada sekadar itu.


*****

Andai tersingkap rahsia tersimpan,
Menyerlah fadhilat dan kelebihan,
Pasti ummat ini kan sentiasa merindui,
Hadirnya Ramadhan Karim yang dinanti.
       

p/s : Salam Ramadhan al-Mubarak buat semua.. moga berjaya melalui madrasah Ramadhan dengan sabar, redha dan istiqamah..

~BintulQaryah~

Jumaat, 22 Julai 2011

Haflah Takrim..

    18 Julai (Isnin) yang lalu, bertempat di Azhar Conference Center (ACC), telah diadakan satu majlis Haflah At-Takrim bagi meraikan graduan-graduan pertama dari Al-Azhar Language Center ( مركز التعليم اللغة العربية للنا طقين بغيرها ). Al-Azhar Language Center yang bernaung di bawah seliaan World Association of Al-Azhar Graduate (WAAG) ini menyediakan pendidikan kemahiran Bahasa Arab secara menyeluruh bagi mana-mana pelajar asing yang tidak berjaya melepasi ujian kemasukan (Imtihan Qabul) Universiti Al Azhar pada Oktober 2010 yang lalu. Sesuai dengan peranan Universiti Al Azhar yang menjadi pusat ilmu sedunia, maka pelajar dari ALC juga tentunya datang dari berbilang negara yang berbeza sosiobudaya, bahasa dan adat istiadatnya. Dengan pelajar Malaysia mendominasi majoriti, turut terdapat pelajar dari negara lain seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Turki, Albania, Bosnia, Maldives, Nigeria dan beberapa negara dari utara benua Afrika.

~Banner majlis~

    Aku dan rakan-rakan sebagai graduan pertama dari Pusat Bahasa Arab ini tentunya tidak ketinggalan menghadirkan diri dalam majlis tersebut. Kami tiba di ACC pada pukul 11 pagi dengan menaiki teksi. Perasaan gentar tentunya tidak dapat digambarkan kerana turut dimaklumkan bahawa keputusan peperiksaan yang baru sahaja dilalui akan diumumkan pada hari ini. Memasuki dewan utama yang sudah mula dipenuhi para pelajar dan tetamu jemputan, perasaan kian berdebar-debar membayangkan natijah yang bakal diterima sebentar lagi.

 ~Aku dan rakan-rakan, sebelum majlis dimulakan~

    Pada pukul 12.30 petang, majlis dimulakan dengan tayangan video dokumentari tentang Al-Azhar Language Center (ALC). Sekilas temuramah bersama pelajar-pelajar ALC yang ditayangkan, terbayang betapa mahalnya ilmu Bahasa Arab yang kami semua perolehi sepanjang hampir setahun menjadi penuntut di ALC. Masing-masing meluahkan kegembiraan dan kesyukuran kerana berpeluang mendalami Bahasa Arab secara lebih mendalam sebelum menjejakkan kaki ke alam universiti yang sebenar.

    Usai tayangan video, pengerusi majlis menyampaikan ucapan aluan disusuli dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Saudara Hamid Kharjah, pelajar dari Turki. Sejenak diri terbuai dengan kemerduan bacaan yang bukan calang-calang. Semester pertama yang dilalui bersama pelajar-pelajar Turki sebagai rakan sekelas, aku sedikit sebanyak memahami betapa kefasihan lafaz arab itu merupakan sesuatu yang agak sukar bagi mereka. Namun mendengar bacaan Saudara Hamid Kharjah ini, persepsi itu berubah!

 ~Saudara Hamid Kharjah dari Turki~

    Acara diteruskan dengan persembahan puisi oleh Saudara Muzir Muhibbuddin dari Indonesia yang mendeklamasikan puisi bertajuk (من فيض النبي الكريم) karya Dr. Sa'eid Hassan, amid kuliah di ALC. Dengan suara lantang dan intonasi yang bersemangat, para pelajar dan penonton seolah-olah hanyut dengan roh puisi yang disampaikan. 

~Saudara Muzir Muhibbuddin dari Indonesia~
   
    Kemudian ialah persembahan nasyid dari kumpulan gabungan pelajar-pelajar putera dari Asia (Malaysia, Indonesia, Thailand). Persembahan mereka sederhana, namun semua yang ada ibaratnya memahami kekangan masa latihan yang mereka jalani. Di tengah-tengah persembahan, Syeikhul Azhar Dr. Ustaz Ahmad Muhammad At-Tayyib pun tiba. Ketika ini lagu kebangsaan Mesir tiba-tiba berkumandang dan persembahan nasyid di atas pentas terhenti. Setelah tamat lagu kebangsaan Mesir, kumpulan nasyid tadi meneruskan persembahan mereka dengan suara yang lebih bersemangat.


 ~Ketika ketibaan Syeikhul Azhar, semua hadirin berdiri semasa lagu kebangsaan Mesir dikumandangkan~
   
    Setelah itu, acara disusuli dengan ucapan wakil pelajar yang disampaikan oleh Saudara Muhammad Hasin dari Bosnia. Kemudian ucapan dari Fadhilah Syeikh Umar Kamil yang disampaikan oleh Saudara Umar Syaan dari Turki. Kemudian ialah ucapan dari Syeikhul Azhar Dr. Ustaz Ahmad Muhammad at-Tayyib. Paling mengesankan hati apabila antara butir ucapan Syeikhul Azhar berbunyi begini :

"برك الله على الذين ترك أهله وترك بلده للطلب العلم"

للطلاب الوافدين والوافدات, نحن نحتم بكم لأنكم روح الأزهر""

    Malangnya, Syeikhul Azhar berucap dari tempat duduk beliau yang berhadapan dengan pentas. Jadi tiada foto dapat diambil dari tempat dudukku yang terletak lebih kurang 10 meter dari pentas.

    Acara diserikan lagi dengan persembahan puisi dari Saudara Abdul Rasyid Ibrahim dari Nigeria yang mendeklamasikan syair berjudul (مصر تتحدث عن نفسها) disusuli dengan persembahan puisi dan nasyid oleh gabungan pelajar-pelajar puteri dari Asia (Malaysia, Indonesia, Thailand).

    Kemudian tibalah acara yang ditunggu-tunggu oleh semua hadirin iaitu pengumuman dan penyampaian hadiah kepada 10 orang pelajar yang mendapat markah tertinggi pada peperiksaan yang lalu. Membanggakan apabila seramai 5 orang pelajar Malaysia (3 putera dan 2 puteri) turut termasuk dalam senarai 10 pelajar terbaik ini. Hadiah berupa syahadah dan wang tunai disampaikan sendiri oleh Syeikhul Azhar. Kala itu kelihatan wartawan media dan hadirin memenuhi tempat duduk paling hadapan di mana Syeikhul Azhar menyampaikan hadiah. Sekali lagi, tiada foto berjaya dirakamkan.

  Usai acara, kami kekal di dalam dewan, menunggu makluman tentang keputusan peperiksaan yang kononnya bakal diumumkan pada hari itu. Suasana agak kalut ketika mana para pelajar mengambil kesempatan berjumpa dengan para guru dan bergambar sesama sendiri. Aku dan rakan pun tidak melepaskan peluang bergambar bersama Ustaz Baraa yang kebetulan berada berdekatan. Wajah Ustaz Baraa kelihataan berseri-seri kerana baru sahaja diakad nikahkan beberapa hari yang lalu dan ketika sesi bergambar itu, Ustaz Baraa mempersilakan kami hadir ke majlis resepsi yang akan diadakan pada malam hari itu.

    Ketika itu juga, terdengar pengumuman bahawa keputusan peperiksaan akan diumumkan melalui laman web rasmi ALC pada petang harinya. Para pelajar boleh menyemak markah dan status masing-masing dengan menggunakan angka giliran. Resah hati reda sedikit. Sekurang-kurangnya keputusan peperiksaan itu tidaklah diumumkan dengan pembesar suara!

    "Jom balik." Seorang rakan menggesa. Maka kami pun meninggalkan dewan yang tersergam indah itu, pulang ke rumah dan berehat seketika sebelum keluar semula selepas maghrib bagi menghadiri majlis resepsi Ustaz Baraa, guru Istima' dan Muhadasah kami!!

 ~Bersama Ustaz Baraa Safwan~

 ~Bersama rakan seSABAHan di luar ACC~

p/s : Pukul 5.30 petang itu, aku memberanikan diri membuka laman web rasmi ALC di www.azhar-alc.com, memasukkan angka giliran di halaman 'Nataijul Imtihanat', dan.......

Jeng..jeng..jeng..
 
~Alhamdulillah, syukur aku NAJAH!!~


~Jumpa di Tahun 1!!~


~BintulQaryah~




Khamis, 14 Julai 2011

Selepas Imtihan..

    Alhamdulillah, puji-pujian buat Rabb pencipta alam, pengatur tiap detik dan pemudah segala kesukaran..

    Syukur, hari-hari mencabar berjaya dilalui dengan tenang. Sekilas terimbas keadaan minggu lalu yang agak chaos dengan segala kesibukan. Mujur persiapan awal sudah dibuat, jadi diri tidak lagi terkejar-kejar dan kelam kabut mengulangkaji dan semak semula silibus pelajaran.

Kaifa haal al-imtihan?

    Alhamdulillah.. syukur kepada Allah kerana mempermudahkan.
    Soalan imtihan bagiku tidaklah terlalu mudah, tetapi tidak juga terlalu susah. Andainya ada soalan yang rumit, wajar aku salahkan diri sendiri yang culas dan lalai. Namun imtihan kali ini cukup untuk membuatku tersenyum lebar. Lancar sahaja jemari membulatkan jawapan, mengisi tempat kosong dalam setiap soalan, dan mewasilahkan idea dari minda dalam bait jumal ketika menulis karangan.. Syukur, kelapangan masa lalu membuatkan aku merasa cukup bersedia.

    Hari pertama imtihan terasa agak santai kerana madah imtihan hari itu (Kitabah/mufradat/imla') adalah antara madah yang ditafsirkan mudah. Namun sesampainya di dewan peperiksaan, kami dimaklumkan bahawa imtihan bagi madah Muhadasah (perbualan) akan turut diadakan pada hari itu. Hahh?? Kenapa tiada di dalam jadual? Maka ada sedikit gelabah menguasai diri. Minda cuba untuk berfikir rasional, "Pihak pengurusan sengaja menguji tahap kemampuan pertuturan tullab". Tarik nafaas..hembus..tarik nafaas..hembus. InsyaAllah, boleh punya.. (^_^)

    Maka sesi Muhadasah pun bermula. Aku merupakan pelajar kedua terakhir dalam senarai.

~Soalan pertama, Alhamdulillah.
~Soalan kedua, pun Alhamdulillah.
~Soalan ketiga, Alhamdulillah lagi.
~Soalan keempat, hah?? Peliknya. Tapi, Alhamdulillah..
~Soalan kelima, Err..biar betul.
~Soalan keenam, ayark.. Apa ustaz ni cakap? Kitab Maqru' dan Kitab Matbu'? Benda apa tu?

    Namun tetap rasa bersyukur, Alhamdulillah.. Dapat jawab semua..

Natijah?

    14 Julai, sepatutnya natijah imtihan diumumkan hari ini. Tapi baru sebentar tadi seorang guru memaklumkan  melalui facebook bahawa natijah imtihan akan diumumkan pada hari ahad (17 Julai) ketika Majlis Ihtifal di Azhar Conference Center (ACC) bersama dengan Syeikhul Azhar. Ketika inilah rasa gelisah itu bertandang. Risau, cemas.. Namun hati memujuk, "Tenang, InsyaAllah, Allah memudahkan segalanya.."

Terima kasih semua...

    Aspresiasi tentunya ku dedikasikan buat mereka yang banyak berjasa, membantu dan memberi sokongan. Mulanya minda ter'setted' dengan ungkapan Bahasa Arab susah, Nahu Sarf payah.. Namun mereka menghapuskan anggapan itu dengan kata semangat dan dorongan yang pastinya berjaya mengubah tanggapanku. 

    Mereka ialah Guru-guru di kuliah: Ustaz Ahmad 'Asyur, Ustaz Baraa, Ustaz Abdul 'Aziz, Ustaz Haitham, Ustazah Nasrin dan Ustazah Nura. Guru-guru di Markaz Eqraa: Ustazah Amirah,  Ustaz Hosaini, Ustaz Muhammad Ramadhan dan Ustazah Du'aa . Mesra, penyayang, prihatin dan profesional! Sikap mereka membuatku semakin bersemangat untuk mendalami Bahasa Al-Quran. InsyaAllah, kemahiran dan kefasihan itu pasti akan jadi milikku.. 

Cuti?

    Mungkin sekejap. InsyaAllah sesi pengukuhan di kuliah akan bermula pada 27 Julai nanti. Sementara itu, masa senggang ini sedaya mungkin cuba untuk diisi dengan perkara yang bermanfaat.

    Sekilas terkenang puda pada satu janji. Sejak dahulu cuba mencari masa lapang bagi melunaskan janji itu. Namun ASIF JIDDAN, daqa'iq yang bernama masa itu tidak pernah memberikan walau seinci peluang untuk aku menta'kidkan idea. Padahal idea itu sering muncul pada ketika yang tidak terjangka. Papan kekunci hitam putih juga sudah lama berhabuk di atas meja, bagaikan menunggu jemariku untuk kembali memainkan irama. Dalam komputer riba biru ini juga sudah tersedia bait-baitnya. Tinggal untuk disatukan dengan rimanya sahaja.

Balik Malaysia?

    InsyaAllah tahun hadapan. Baru 3 bulan lebih di Mesir setelah 'cuti percuma tidak terjangka' bersempena dengan Revolusi Mesir Januari lalu, hati belum teringin untuk kembali semula ke tanah air. Memang ada rindu membuak di dada, namun di sini ada perkara yang lebih penting dari kerinduan itu. Sesi pengukuhan di kuliah, Talaqi di Masjid Azhar, kelas Quran bersanad, kelas tahsin Al-Quran di Markaz Eqraa, terasa seperti masa menyempitkan peluang pula. Mahu balik Malaysia? Err.. tak. (^_^)



~BintulQaryah~

Jumaat, 8 Julai 2011

Kala minda menerawang...

Ingatlah sesungguhnya perjuangan meneggakan Islam ini ibarat aliran air yang ditahan, semakin ditahan, semakin dihalang ia akan terus melanda dan melanggar benteng penahan, lumrah alam juga telah menetapkan bahawa suatu masa dan ketikanya benteng pasti akan pecah, ketika itu maka terbuak buaklah aliran air tersebut membanjiri pelusuk muka bumi. Yakinlah!
~TGHAHA~
-Perjuangan itu ibarat dakian penuh liku. Diintai dari jauh seakannya mudah, namun kala kaki mula mengorak langkah baru terasa tingginya langit yang bersahabat dengan puncak jaya-

-Bukan penghalang yang mengekang kejayaan, melainkan ketakutan kita sendiri jualah yang memadamkan nyalaan api perjuangan-

-Usah berkhayal untuk menyentuh awanan, andai gentar untuk berpamit pada daratan-

~BintulQaryah~

Sabtu, 2 Julai 2011

Oh Semangat!!

    Semangat oh semangat, ke mana kau menghilang??!!

    Menghitung detik dan hari yang bakal berkunjung, lagi 9 hari. Sepatutnya semangat semakin membara. Namun entah mengapa jasad seolah-olah bertambah lesu apabila melihat kalendar kecil yang terletak kemas di atas meja.

    Makin malaskah aku? Atau minda ini sudah bosan untuk terus-terusan menghadap buku?

    Oh tidak......

    Semangat yang hilang perlu di cari. Kalau tidak nanti merana diri.




    Kembara ini masih panjang, lantas wajarkah aku kecundang pada semangat yang hilang??

  *****

Kembara Ilmu (Suhaimi)

Kembara ilmu selaut cahaya
Milik Tuhan tiada bertepi
Diselam tak cecah ke dasar
Ditimba tak luak setitis

Kembara misi lembah nurani
Menakung titisan ilmu suluhan budi
Resapan dari akal yang murni
Untuk diuntai mutiara sufi
Menjadi azimat menuju Firdausi

Lembah nurani fitrahnya suci
Jangan ditinggal gersang jangan dibiar hitam
Gersang nurani kerana tiada ilmu
Hitam nurani kerana dosa bertimbun


Noda di hati melemahkan minda
Kembara sufi terasa sukar
Sesatlah di dalam pelayaran
Hanyut tiada pedoman
Akhirnya karam dalam kegagalan


*****

Jadual Imtihan Niha'yah (banat) 
Markaz Lughah Arabiah Jami'atul Azhar As-Syarif, Kaherah.

11/07/2011
~Qiraah
~Mufradat
~Imla'

13/07/2011
~Qawa'id
~Istima'
~Kitabah

14/07/2011
~NATIJAH!!



SEMANGAT!!

*****
p/s : Makin dekat hari imtihan, tangan juga makin ringan dan rajin untuk mengetuk papan kekunci.. hehe...
   
~BintulQaryah~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...