Sekitar minggu lalu, saya menerima sebuah pesanan ringkas dari seorang junior ketika masih belajar di SMAN dulu, bertanyakan itu ini tentang Mesir, dan tentunya juga tentang Al-Azhar yang disayangi ramai.. Pengalaman hidup saya di bumi sahara ini belum pun mencecah usia 2 tahun, tapi persoalan dan pertanyaan yang diutarakan oleh junior tersebut saya cuba jawab semampunya.
Cara memohon ke Universiti Al-Azhar?
Borang permohonan akan dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Biasanya boleh didapati di sekolah masing-masing. Untuk adik junior tersebut, bolehlah tanyakan pada Ustaz Muaaz, PK 1 SMA Nahdzah.. (erk, kirim salam kat ustaz/ustazah semua..)
Syarat permohonan?
Untuk jurusan Pengajian Islam, pemohon hendaklah sekurang-kurangnya memperoleh pangkat Maqbul dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Opps, adik junior saya tidak menduduki STAM, sebaliknya selepas tamat SPM terus memasuki pengajian matrikulasi di UIAM. Ada cara untuk mohon jurusan Pengajian Islam di Al-Azhar tak? Ada sesiapa tahu?
Imtihan Qabul?
Adik junior saya terkeliru dengan sebuah artikel tentang Imtihan Qabul yang dibacanya dalam sebuah blog. Artikel itu, ditulis beberapa bulan sebelum saya menjejakkan kaki ke bumi Mesir ini sendiri. Jadi, yang boleh saya katakan ialah, proses Imtihan Qabul yang tertulis dalam artikel tersebut agak berbeza dengan Imtihan Qabul yang saya dan sahabat-sahabat lalui pada September 2010. Untuk Imtihan Qabul sesi 2011, seperti biasa bermacam-macam versi cerita timbul sebelum Imtihan Qabul dilaksanakan. Tetapi pengakhirannya, prosesnya tetap sama seperti apa yang dilaksanakan pada tahun sebelumnya.
Pada tahun 2010 dan 2011, Imtihan Qabul diadakan di bangunan Kuliah Ulum Islamiah, Universiti Al-Azhar, Kaherah, bukannya di Malaysia. Tetapi, untuk tahun 2012, pihak Al-Azhar sendiri belum mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung tempat pelaksanaan Imtihan Qabul. Oleh itu, tunggu dan lihat sahaja dulu.
 |
| Bangunan Kuliah Ulum Islamiah, juga bangunan di mana pelajar akan menduduki peperiksaan Imtihan Qabul serta menjalani pengajian Matrikulasi Bahasa Arab selama setahun. |
Seperti yang para pelajar ketahui juga, mana-mana pelajar yang lulus Imtihan Qabul ini akan terus memasuki kuliah Tahun 1 dalam jurusan yang dipohon (Syariah Islamiah/ Usuluddin/Lughah Arabiah). Manakala pelajar yang gagal (seperti saya dahulu) akan memasuki Matrikulasi Bahasa Arab Al-Azhar selama setahun, dibawah bimbingan tenaga pengajar yang mahir, berpengalaman dan baik hati belaka. Selepas setahun, insyaAllah jika lulus peperiksaan terakhir bolehlah memasuki kuliah Tahun 1 dengan hati yang bahagia..
Bentuk soalan Imtihan Qabul? Ada 4 bentuk soalan kesemuanya, dan dijawab dalam tempoh 2 jam.
1) Qiraah (membaca) : 2 soalan
-1. Soalan pemahaman. Ada petikan dan ada soalan. Baca soalan dan jawab petikan. Macam soalan pemahaman SPM..
-2. Baca teks petikan (lisan). Pengawas peperiksaan akan beri satu petikan dan pelajar hendaklah membaca petikan tersebut dihadapan pengawas untuk dinilai. Petikan yang diberikan tidak berbaris, jadi perkara utama yang dinilai tentulah kebolehan pelajar untuk membaca petikan tersebut dengan sebutan dan baris yang tepat. Fathah ke..dhommah ke..majrur ke..
2) Kitabah (menulis) : 2 soalan
-1. Isi tempat kosong, buat ayat (jumlah mufidah) dan soalan berkaitan ilmu Nahu Sarf.
-2. Menulis karangan. Pelajar diberikan lebih kurang 2 pilihan soalan. Pilih satu dan tulis karangan mengikut jumlah kalimat (perkataan) yang ditetapkan.
3) Istima' (mendengar) : 2 soalan
-1. Jawab soalan berdasarkan petikan yang dibacakan oleh pengawas peperiksaan. Pelajar hendaklah menjawab soalan SELEPAS pengawas selesai membacakan petikan. Formatnya lebih kurang sama dengan bentuk soalan Listening dalam peperiksaan MUET.
-2. Imla'. Seperti biasa, pengawas peperiksaan membacakan teks/ayat, dan pelajar dikehendaki menulis ayat/teks yang dibacakam pengawas.
4) Muhadasah (perbualan) : 1 soalan
-1. Pengawas peperiksaan akan bertanyakan soalan kepada pelajar dengan konsep perbualan. Lebih kurang ujian lisan SPM dan ujian syafawi STAM juga. Tentunya dalam Bahasa Arab!
Yuran pengajian
Kadar yuran berubah setiap tahun. Jadi saya tak berani lah nak menyebutkan berapa jumlahnya. Tapi, bagi pelajar jurusan pengajian Islam tak perlu risau, kerana kadar yuran yang ditetapkan biasanya adalah sangat-sangat murah. Tak mencecah ribu-ribu pun. Pengalaman saya untuk sesi 2011/2012 ini, jumlah yuran keseluruhan (yuran pendaftaran/kad pelajar/pengesahan pengajian/medical check up) tak sampai pun LE 200 (lebih kurang RM 110). Kitab-kitab pengajian juga boleh didapati dengan harga murah. Tak perlu risauu..!
 |
| Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (mabna qadim), Universiti Al-Azhar Lil Banat, Kaherah |
Kos sara hidup
Bergantung dengan gaya hidup dan tahap penjimatan kita. Kalau tinggal di asrama pelajar (saya tinggal di Wisma Yayasan Sabah Kaherah!), sewa rumah mungkin agak murah berbanding dengan menyewa rumah milik warga Arab di samping keselamatan dan kebajikan lebih terjamin kerana adanya Badan Kebajikan Anak Negeri di asrama-asrama pelajar tersebut, contohnya Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir (BKPSM) dan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK).
Selain dari kos sewa rumah, kos-kos yang lain ialah bil elektrik (kongsi dengan housemate), duit dapur (kongsi dengan housemate juga), tambang pergi balik kuliah, duit poket (kot-kot teringin nak makan nasi firakh mashwi!) dan perkara-perkara luar jangka lainnya. Tapi tak perlu risau, kerana selagi mana kita tahu dan sedar tentang status kita sebagai pelajar, kita akan mampu untuk menguruskan perbelanjaan harian/bulanan dengan sangat baik. Lainlah kalau memiliki high-taste life style, gemar shopping sana-sini, pakai barangan well-branded, KFC/Welatain/Pizza Master tiap-tiap minggu, memang akan sesak nafas tiap hujung bulan!
Lagi satu, bahan-bahan mentah di Mesir ni (terutamanya sayuran dan buahan) dijual dengan harga yang murah. Lebih murah dari harga semasa di Kota Belud :-) . Jadi, hal ehwal makanan di Mesir ni, tak perlulah risau yaa, sebab kalau dalam keadaan sempit pun, InsyaAllah ada sahabat-sahabat/kakak/abang yang sudi menghulur bantuan..
Tajaan biasiswa/dermasiswa pusat zakat
Pelajar bolehlah mencari inisiatif, mengajukan permohonan kepada pihak-pihak yang sepatutnya. Dapat atau tidak tajaan itu, bergantung pada rezeki masing-masing kan.. Kadar biasiswa adalah berbeza mengikut pihak penaja itu sendiri. Tapi, jangan lupa pula, bila dah ada pihak yang bermurah hati untuk menaja pengajian kita, jangan disalahgunakan pula wang tajaan beribu-ribu itu ke tempat atau perkara yang tidak sepatutnya. Manfaatkanlah sebaiknya untuk memastikan pengajian kita berjalan dengan lancar.
Ok, persoalan terjawab? Kalau musykil lagi, just feel free to drop any questions! InsyaAllah saya akan cari dan beri jawapan sebaiknya..
Jom ke Al-Azhar, kami nantikan pelajar baru sesi 2012/2013!