Ahad, 8 Disember 2013

Dewasa...

    

    2 hari akan datang, bererti genap sebulan sejak saya kembali ke bumi ini. Bumi yang sudah hampir 3 tahun menjadi saksi perjuangan. Bumi Mesir yang berkah, yang tidak pernah luput dari hati pencinta dan bekas pemastautinnya. Mesir, bumi yang terpaksa melalui pelbagai episod cerita, bumi yang terpaksa menelan duka, darah dan airmata sebelum bertemu janji salamin aminin dari Tuhan, bumi yang diberitakan ‘ fa inna lakum ma saaltum’, bumi tarbiyah, bumi ukhuwah...

    Hampir genap sebulan, berkejar ke sana ke sini cuba menyempati tanggungjawab demi tanggungjawab. Kadang-kadang terasa seperti tidak mampu bernafas, sesak dan kacau. Rasa cuak memikirkan detik jam yang bagaikan bergerak terlalu pantas. Dalam kalut-kalut mengejar kuliah, mengikuti kelas tutorial dan memberi tutorial, entah mengapa tiba-tiba saya merasa seolah baru menjadi dewasa. Sepertinya sebelum ini saya masih terlalu anak-anak. Terlalu tidak matang.


    Mengorak langkah sebagai anak juang yang merantau, yang memikul amanah dan kepercayaan sebesar gunung bukanlah satu kerja mudah. Belajar menimbang baik buruk, mengagak risiko jangka pendek dan panjang, serta mewajarkan keputusan-keputusan besar dalam hidup, adalah satu jalan perubahan yang perlu saya dan semua orang lalui. Setiap manusia akan melalui jalan yang sama, meskipun berbeza suasananya; proses dewasa.


Seorang dewasa yang hebat terhasil dari proses pendewasaan yang 
hebat; cabaran hidup.

    Untuk bergelar dewasa, ramai orang bertanggapan bahawa berdikari itu perlu, malah cukup untuk menjadi kayu ukur tahap kedewasaan. Pada saya, menjadi dewasa bukan sekadar percaya pada kemampuan untuk melakukan segalanya menggunakan kudrat sendiri tanpa bantuan orang lain. Bukan juga hanya dengan mengubah penampilan fizikal kepada imej lebih matang dan bertutur dengan nada yakin seorang yang lebih berusia. Dewasa, pada saya adalah apabila seorang manusia itu mampu melakukan sesuatu dengan sendiri, termasuklah membuat satu keputusan yang baik, serta berani untuk menanggung kesan dan risiko hasil keputusan tersebut.


    Seorang dewasa yang hebat sentiasa percaya pada kebolehan sendiri, namun tidak pernah angkuh untuk menerima konsultasi pihak lain sebelum bertindak.


    Seorang dewasa yang hebat sentiasa berani untuk tampil kehadapan dan memperbaiki keadaan, namun tidak pernah menganggap bahawa dirinyalah manusia paling hebat dalam menyelesaikan setiap permasalahan.


    Seorang dewasa yang hebat, tidak pernah lupa akan masa kecilnya. Dijadikan kesilapan dan keburukan zaman lalu sebagai peringatan, diterjemahkan cita-cita zaman kanak-kanak sebagai impian.


    Seorang dewasa yang hebat, tidak pernah gentar menerima cabaran. Jasadnya tegar merentasi ujian dan tribulasi. Tidak pernah takut pada ancaman dan mehnah dunia, malah tidak pernah mengalah pada sogokan nikmat yang sementara.


    Seorang dewasa yang hebat tidak pernah lupa untuk menoleh pada Tuhannya, meminta diberikan petunjuk dan rasa yakin melalui istikharah dan pertimbangan bijak. Seorang dewasa hebat yang tahu hala tuju hidup dan perjuangan.


Cabaran lebih tegar dari hidup. Justeru jangan sekadar hidup. 
Sahutlah cabaran.

    Saya yakin saya sedang memanjat usia dewasa, kerana ada perubahan-perubahan sama sedang berlaku dalam hidup saya. Belajar bersabar dan mempertimbangkan keputusan dengan jalan wajar. Mencuba untuk berbicara dengan matang, membuang jauh-jauh persepsi keanak-anakan dan cara berfikir yang tidak kenal pro dan kontra. Belajar melihat dunia dengan akal, melihat masa depan dengan hati. Belajar untuk ikhlas, untuk tidak lagi berkeluh-kesah dan sering menyalahkan orang lain.


    Menginjak usia hampir 23 tahun, saya masih belajar untuk jadi dewasa, masih belajar untuk menerima dengan ikhlas setiap perubahan hatta sekecil-kecil peralihan cara berfikir dan bertingkah laku. Entahlah, adakah dewasa untuk saya?


    Kita memandang dewasa melalui perspektif yang berbeza-beza. Alangkah indahnya perbezaan itu, meskipun kita melihat dunia melalui kacamata masing-masing, kita masih menilai kehidupan dari sisi manusia yang lahir dan takdirnya juga berbeza-beza. Kita mencongak dewasa dan kehidupan, bererti kita mahu meniti baki umur dengan secukup-cukup persediaan. Kerana kita punya hadaf hidup yang sama, hadaf hidup kerana Dia…


Adios!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...