Rabu, 25 Disember 2013

Mesir : Saya dan catatan hari takhalluf.

    Saya cuma seorang 'penumpang' dan 'pendatang', seperti sahabat-sahabat yang lain. Meletakkan Allah dan cita-cita akhirat sebagai yang teratas dalam senarai impian, saya terbang meninggalkan bumi Malaysia yang aman damai, mengemis ilmu dan mencari pengalaman di sebuah negara yang sangat ramai populasi penduduknya. Wafidat, itu gelaran rakyatnya kepada kami.

    2011, saya sebagai salah seorang saksi kecil kebangkitan rakyat, saksi kecil kejatuhan penguasa jahat, saksi kecil perubahan demi perubahan. Saya juga antara yang 'berbangga', apabila diterbangkan pulang secara percuma melalui operasi evakuasi Ops Sphinx, operasi khas untuk pelajar-pelajar Sabah. Saya masih ingat, dan sehingga mati saya akan tetap ingat, kata-kata seorang warga Indonesia kepada saya dan beberapa orang rakan ketika kami transit di Qatar dalam perjalanan pulang ke Malaysia, "ini dia, orang-orang Malaysia yang sedang lari dari medan peranggg...!!"

    Wallahi, saya sangat terasa dan tersentap. Sepertinya ada belantan besi dihayunkan dan kenanya tepat di kepala saya, tapi sakit dan pedihnya di hati. Tiba di tanah air, saya ceritakan peristiwa itu kepada Abah, dan Abah hanya tertawa kecil. Kata Abah, "biasalah tu, di negara diorang sudah beberapa belas kali kebangkitan rakyat dan kejatuhan penguasa. Perkara kecil saja itu. Mestilah diorang rasa lucu tengok kamu dihantar pulang..." 

    Saya juga antara yang berbangga dan ikut terharu, apabila bumi ini berjaya memilih pemerintah mengikut sistem demokrasi. Pemerintah yang dipilih itu pula, bukan calang-calang hebatnya. Saya ikut bergembira melihat beberapa perubahan dan peralihan, meskipun cuma pada sistem dan perkhidmatan yang nilainya kecil. Mereka dan perubahan, saya melihat itu sebagai satu perkara yang hebat!

    Namun segalanya seperti angin yang berlalu. Rasa kemenangan dan kegembiraan itu dicabut terus dari jiwa-jiwa mereka. Perjuangan mereka dikhianati, darah dan air mata yang telah mengalir bagaikan tiada nilai lagi. Itulah, saya sekali lagi menjadi saksi kecil perjuangan yang dipijak-pijak. Mahu marah? Sahabat saya pernah diherdik, kononnya jangan cuba-cuba berlagak dan menyibuk hal ehwal negara orang!

    Mereka itu pula cuma segolongan kecil warga bumi ini yang mahukan keadilan dan kemerdekaan. Selama ini saya cuma menutup mata melihat jerit pekik mereka, berlakon pekak mendengar rintihan mereka. Kata saya, "saya tiada kena-mengena, jangan mengadu pada saya dan jangan cuba libatkan saya!"

    24 Disember 2013, hari saya menduduki peperiksaan takhalluf (repeat paper). Peperiksaan sepatutnya bermula pada pukul 10.00 pagi, tetapi himpunan pelajar yang mahu peperiksaan ditangguhkan mengganggu kelangsungan peperiksaan. Saya dan pelajar lain hanya duduk di depan dan tepi bangunan, memerhatikan mereka berhimpun dan bersorak. Bagi kami, setakat perkumpulan seperti itu cumalah satu perkara biasa. Setiap hari mereka berhimpun dan berarak, bergendang dan bersorak di keliling kampus. Apabila mereka sekadar kekal di satu-satu tempat dan terpekik terlolong seperti biasa, untuk apa kami takut? Kami pernah menyaksikan yang lebih teruk dari itu (merujuk kekecohan gas pemedih mata dan tembakan air pada minggu-minggu lalu).

Himpunan beberapa minggu lalu. Water gun dan tear gas bukan apa-apa
bagi mereka. They already had the worst!

    Tiba-tiba seorang profesor dari Syu'bah Usuluddin marah-marah. Jam sudah menunjukkan pukul 10.40 pagi, peperiksaan sudah lambat 40 minit. Tetapi tiada seorang pun pelajar, malah pekerja pentadbiran dan para tenaga pengajar dibenarkan memasuki bangunan kuliah Pengajian Islam dan Bahasa Arab. Mula ada yang bergaduh, air disimbah-simbah. Saya pula dimarahi seorang mahasiswi Arab kerana merakam perhimpunan dengan telefon bimbit. Jerit profesor yang marah-marah tadi kepada pelajar yang berhimpun, "kamu tidak kasihankah pada pelajar wafidat?" Tangannya menunjuk ke arah saya dan seorang sahabat. Kami menelan liur, "alamak, kita pula yang ditunjuk." Pelajar yang berhimpun tadi memandang kami. Kami buat-buat tidak perasan, pura-pura membelek kitab.

    Seorang dari mereka menghampiri kami tiba-tiba, mahu berbual kononnya. Kami cuba mengelak, berlakon tidak memahami Bahasa Arab. "Takallamti bil 'arabiy? (kamu pandai bercakap dalam bahasa Arab?)" Tanya gadis itu. Saya dan sahabat menggeleng laju-laju. Kami cuak, takut dituduh bukan-bukan oleh kelompok pihak satu lagi. "Musy fahimti 'arabiy? (kamu tidak faham bahasa Arab?)" Tanyanya lagi. Kami buat-buat ternganga, "syuwaiya, (sedikit)" kata saya. Dalam hati berharap supaya gadis itu pergi segera. Tapi tiba-tiba dia berkata, "you know English, right? Can I have your time, so I can tell you my idea?" Saya dan sahabat terjerat. Kami tiada jalan untuk mengelak. Mahu angkat kaki dan pergi dari situ? Saya tidak mahu digelar pendatang yang tidak beradab dan kurang ajar.

    "We do this (rally), not because we want the examination be cancelled. We only want it to be postponed, to a certain date until our families and friends is released from the prison. My brother, my sister were dead. My father is in the prison, and many of my cousin from my family, also in the prison. They were arrested without any reasons. My brother and sister were killed, just because they want some justices. Is that fair? How can I take the examination if my family were killed? Many of the people arrested is from this university. Medical students, architechture, even the Islamic Studies students, were all captured just because we want our president back and rule this country. We do not want 'Cicak kuasa dua' (istilah ini saya yang bagi, sila fahami sendiri), he is a killer and betrayer."

    Saya dan sahabat angguk-angguk. Mula ada rasa belas dalam hati kami. Kasihan, gadis ini mungkin seusia kami, tapi kisah hidupnya sudah cukup ngeri dan menakutkan. Dia kemudian menyambung lagi, "I do not want to involve you, I just want you to know my idea, and our reason about why we do this. I tell you this, so you do not misunderstood us. We are all Muslim, we are sister. Please make your du'a for all of us."

    Gadis itu pergi setelah mengucapkan terima kasih. Kami mula sedih. Rupanya begitu penderitaan hidupnya, dan saya yakin ada dalam kalangan mereka yang berhadapan dengan tragedi lebih kejam dari gadis tadi. Beberapa ketika kemudian seorang lagi gadis Arab datang menghampiri kami. Kali ini kami tidak lagi berpura-pura tidak faham. Kami mendengar dengan bersedia, dan kisah gadis ini hampir sama dengan gadis yang tadi. Mereka bukan mahu peperiksaan dibatalkan, tapi mereka mahu ianya ditangguhkan hinggalah saudara-saudara mereka yang terkurung tanpa pembelaan dibebaskan. Yang pergi telah pergi, katanya. Tapi yang hidup mesti terus berjuang.

Ketika himpunan beberapa minggu lalu.
Ini bukan medan perang, ini kampus wanita Universiti Al-Azhar!
    
    Saya terus melayan perasaan, berkongsi rasa kasihan dengan sahabat saya, hinggalah kumpulan pelajar tadi lari bertempiaran. Kami terpinga-pinga, tidak mengerti apa-apa. Sahabat saya dari Turki, Zumurrud datang dan menarik tangan saya. Disuruhnya saya lari cepat-cepat. Hinggalah saya melihat seorang lelaki berusia berlari-lari dengan darah mengalir di kepalanya, baru saya memahami situasi. Dari jarak tidak sampai 50 meter, sekumpulan samseng sedang memusnahkan meja dan kerusi di kafeteria kampus. Meja-meja tersebut diangkat tinggi lalu dihempas ke tanah. Di tangan mereka pula ada kayu beroti. Pelajar lain mula menjerit ketakutan. Seorang pelajar Indonesia menjerit, "wafidaaaattt, lari cepatt!!" Saya sempat melihat seorang pelajar wafidat, dari Singapura rasanya, menghulurkan tisu kepada lelaki yang kepalanya berdarah tadi.

    Saya capai tangan sahabat saya dan ikut berlari sekuat hati. Kami meninggalkan bangunan kuliah, dan melintasi bangunan kuliah Pergigian. Dari situ kami melihat api menjulang di kafeteria, dan asap berkepul-kepul dari kejauhan. Kami terus berlari, hingga ke tangga menuju pintu gerbang keluar, pelajar lain juga mula kelam kabut meninggalkan kawasan kampus. Kmi berhimpit dan bersesak di tangga, bertolak-tolakan memikirkan nyawa sendiri yang perlu diselamatkan. Kami genggam tangan masing-masing, sambil cuba mengambil ruang dalam huru-hara yang memuncak. Saya dan tiga rakan berlari hingga ke seberang jalan, mengambil tempat selamat di tepi landasan keretapi yang sudah tidak digunakan. Sakit di dada mula menyucuk-nyucuk, saya baru ingat saya penghidap asma!

Gambar kecil : Kafeteria kami dibakar!
Gambar besar : Askar-askar dihadapan bangunan kuliah Pengajian Insaniah.

    Hampir 30 minit kemudian, keadaan mula reda. Samseng-samseng tadi sudah menghilang entah ke mana. Kami disuruh masuk kembali kerana peperiksaan tetap akan dijalankan. Sepanjang perjalanan memasuki bangunan kuliah, saya cuba mencari semangat saya yang sudah hilang. Sakit dada belum reda sepenuhnya, dan saya perlu menduduki peperiksaan itu dalam keadaan menggeletar dan kebingungan. Tangan saya menulis jawapan selaju yang mungkin. Setiap bunyi bising yang datang dari luar bangunan membuatkan kami semua separa panik. Lucunya, pelajar wafidat berkelakuan seperti sudah terbiasa dengan situasi sebegitu. Beg buku yang sepatutnya diletakkan jauh-jauh, kami letakkan di atas pangkuan. Semua mengerti, apabila situasi meruncing, kami akan mengabaikan kertas jawapan kami dan mula berlari sekali lagi. Peperiksaan? Pendatang seperti kami ini lebih sayangkan nyawa!

    Keluar dari bangunan kuliah, kami lihat keadaan mula reda, kecuali kepulan asap hitam di kawasan asrama mahasiswa. Oh, asap dari sampah yang dibakar. Kami melalui bangunan kuliah Pergigian yang sudah kosong sejak tadi. Sempat kami mencuri pandang ke arah kafeteria, kebakaran kecil hasil perlakuan khianat samseng-samseng tadi berjaya dipadamkan sekelip mata. Perosak-perosak tersebut cuma tahu mengganas, tanpa mereka sedari bahawa yang mencintai keamanan dan keadilan itu lebih ramai dari mereka.

Keadaan di kampus selepas kekeocohan. Kelihatan beberapa trak polis dan
tentera. Bangunan besar yang kelihatan adalah bangunan baru (mabna jadid)
 yang menempatkan kelas-kelas bagi kuliah Pergigian dan beberapa kelas bagi
 kuliah Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

    Saya pulang dengan sebak dan takut. Sebaik sahaja menaiki teksi, baru saya dapat bernafas panjang. Saya dan sahabat yang juga housemate saya akhirnya tertawa kecil, "jawapankah yang aku tulis tadi? Sepanjang exam tadi bergegar ja kaki ni. Aku terbayangkan waktu kita tengah jawab exam dalam bangunan, di luar bangunan tengah berperang, berhumban batu dan bom segala."

    Saya tidak mahu menulis tentang pendapat saya tentang kedua-dua pihak yang sedang 'bermasalah' ini. Saya dan sahabat lain sudah diberi peringatan untuk tidak mengulas apa-apa yang berkaitan dengan masalah politik Mesir. Cukuplah datang sebagai pendatang yang mengemis ilmu, cukuplah sekadar menyokong dengan doa dan cukuplah sekadar menitip simpati dari jauh. Usah cuba-cuba berlagak adiwira yang kuat dan tahu setiap sesuatu. Saya sudah merasai ancaman kecil itu bilamana saya dimarahi kerana merakam video himpunan berdurasi 2 minit 3 saat  menggunakan telefon bimbit. Macamlah saya youtube uploader yang tegar!

    Catatan ini sekadar catatan. Saya cuma mahu berkongsi pengalaman yang tidak seberapa gempar ini. Takut-takut saya terlupa suatu hari nanti, bahawa saya pernah menyaksikan revolusi, kebangkitan dan kejatuhan penguasa beberapa kali. Takut-takut juga saya terlupa bahawa saya pernah terperangkap dalam kekecohan, dan hampir pengsan diserang asma ketika cuba menyelamatkan diri. Saya yakin, kisah dan pengalaman ini perlu diwariskan kepada anak cucu kelak.

    Saya dan Angah merupakan generasi kedua dalam keluarga saya yang belajar dalam zon rusuhan pada zaman revolusi di negara orang. Sekitar tahun 1997, ketika Indonesia dilanda revolusi dan rusuhan rakyat, Abah masih belajar di IAIN Sunan Gunung Djati di Bandung. Saya dan Angah sudah hampir besar ketika itu, dan kami masih ingat beberapa peristiwa, meskipun samar-samar.

Mengharap yang terbaik untuk mereka.

    Apapun, teruskan berdoa untuk saudara-saudara kita yang sedang berdepan dengan akibat konflik politik yang tiada kesudahan. Doakan agar mereka terus cekal dan tabah menghadapi pertembungan prinsip dan kepercayaan. Semoga keamanan dan kemenangan akan menjadi milik mereka dan kita semua. Jangan lupa, doakan Al-Azhar, pusat ilmu sedunia kesayangan kami yang kini sedang menghadapi krisis demi krisis. Doakan juga agar mereka yang tersesat dan tersalah jalan agar cepat-cepat bertaubat dan kembali kepada fitrah sebenar. Doa kita, senjata kita, kemenangan kita. 

Saya masih berdebar-debar.

1 ulasan:

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...