Jumaat, 22 Julai 2011

Haflah Takrim..

    18 Julai (Isnin) yang lalu, bertempat di Azhar Conference Center (ACC), telah diadakan satu majlis Haflah At-Takrim bagi meraikan graduan-graduan pertama dari Al-Azhar Language Center ( مركز التعليم اللغة العربية للنا طقين بغيرها ). Al-Azhar Language Center yang bernaung di bawah seliaan World Association of Al-Azhar Graduate (WAAG) ini menyediakan pendidikan kemahiran Bahasa Arab secara menyeluruh bagi mana-mana pelajar asing yang tidak berjaya melepasi ujian kemasukan (Imtihan Qabul) Universiti Al Azhar pada Oktober 2010 yang lalu. Sesuai dengan peranan Universiti Al Azhar yang menjadi pusat ilmu sedunia, maka pelajar dari ALC juga tentunya datang dari berbilang negara yang berbeza sosiobudaya, bahasa dan adat istiadatnya. Dengan pelajar Malaysia mendominasi majoriti, turut terdapat pelajar dari negara lain seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Turki, Albania, Bosnia, Maldives, Nigeria dan beberapa negara dari utara benua Afrika.

~Banner majlis~

    Aku dan rakan-rakan sebagai graduan pertama dari Pusat Bahasa Arab ini tentunya tidak ketinggalan menghadirkan diri dalam majlis tersebut. Kami tiba di ACC pada pukul 11 pagi dengan menaiki teksi. Perasaan gentar tentunya tidak dapat digambarkan kerana turut dimaklumkan bahawa keputusan peperiksaan yang baru sahaja dilalui akan diumumkan pada hari ini. Memasuki dewan utama yang sudah mula dipenuhi para pelajar dan tetamu jemputan, perasaan kian berdebar-debar membayangkan natijah yang bakal diterima sebentar lagi.

 ~Aku dan rakan-rakan, sebelum majlis dimulakan~

    Pada pukul 12.30 petang, majlis dimulakan dengan tayangan video dokumentari tentang Al-Azhar Language Center (ALC). Sekilas temuramah bersama pelajar-pelajar ALC yang ditayangkan, terbayang betapa mahalnya ilmu Bahasa Arab yang kami semua perolehi sepanjang hampir setahun menjadi penuntut di ALC. Masing-masing meluahkan kegembiraan dan kesyukuran kerana berpeluang mendalami Bahasa Arab secara lebih mendalam sebelum menjejakkan kaki ke alam universiti yang sebenar.

    Usai tayangan video, pengerusi majlis menyampaikan ucapan aluan disusuli dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Saudara Hamid Kharjah, pelajar dari Turki. Sejenak diri terbuai dengan kemerduan bacaan yang bukan calang-calang. Semester pertama yang dilalui bersama pelajar-pelajar Turki sebagai rakan sekelas, aku sedikit sebanyak memahami betapa kefasihan lafaz arab itu merupakan sesuatu yang agak sukar bagi mereka. Namun mendengar bacaan Saudara Hamid Kharjah ini, persepsi itu berubah!

 ~Saudara Hamid Kharjah dari Turki~

    Acara diteruskan dengan persembahan puisi oleh Saudara Muzir Muhibbuddin dari Indonesia yang mendeklamasikan puisi bertajuk (من فيض النبي الكريم) karya Dr. Sa'eid Hassan, amid kuliah di ALC. Dengan suara lantang dan intonasi yang bersemangat, para pelajar dan penonton seolah-olah hanyut dengan roh puisi yang disampaikan. 

~Saudara Muzir Muhibbuddin dari Indonesia~
   
    Kemudian ialah persembahan nasyid dari kumpulan gabungan pelajar-pelajar putera dari Asia (Malaysia, Indonesia, Thailand). Persembahan mereka sederhana, namun semua yang ada ibaratnya memahami kekangan masa latihan yang mereka jalani. Di tengah-tengah persembahan, Syeikhul Azhar Dr. Ustaz Ahmad Muhammad At-Tayyib pun tiba. Ketika ini lagu kebangsaan Mesir tiba-tiba berkumandang dan persembahan nasyid di atas pentas terhenti. Setelah tamat lagu kebangsaan Mesir, kumpulan nasyid tadi meneruskan persembahan mereka dengan suara yang lebih bersemangat.


 ~Ketika ketibaan Syeikhul Azhar, semua hadirin berdiri semasa lagu kebangsaan Mesir dikumandangkan~
   
    Setelah itu, acara disusuli dengan ucapan wakil pelajar yang disampaikan oleh Saudara Muhammad Hasin dari Bosnia. Kemudian ucapan dari Fadhilah Syeikh Umar Kamil yang disampaikan oleh Saudara Umar Syaan dari Turki. Kemudian ialah ucapan dari Syeikhul Azhar Dr. Ustaz Ahmad Muhammad at-Tayyib. Paling mengesankan hati apabila antara butir ucapan Syeikhul Azhar berbunyi begini :

"برك الله على الذين ترك أهله وترك بلده للطلب العلم"

للطلاب الوافدين والوافدات, نحن نحتم بكم لأنكم روح الأزهر""

    Malangnya, Syeikhul Azhar berucap dari tempat duduk beliau yang berhadapan dengan pentas. Jadi tiada foto dapat diambil dari tempat dudukku yang terletak lebih kurang 10 meter dari pentas.

    Acara diserikan lagi dengan persembahan puisi dari Saudara Abdul Rasyid Ibrahim dari Nigeria yang mendeklamasikan syair berjudul (مصر تتحدث عن نفسها) disusuli dengan persembahan puisi dan nasyid oleh gabungan pelajar-pelajar puteri dari Asia (Malaysia, Indonesia, Thailand).

    Kemudian tibalah acara yang ditunggu-tunggu oleh semua hadirin iaitu pengumuman dan penyampaian hadiah kepada 10 orang pelajar yang mendapat markah tertinggi pada peperiksaan yang lalu. Membanggakan apabila seramai 5 orang pelajar Malaysia (3 putera dan 2 puteri) turut termasuk dalam senarai 10 pelajar terbaik ini. Hadiah berupa syahadah dan wang tunai disampaikan sendiri oleh Syeikhul Azhar. Kala itu kelihatan wartawan media dan hadirin memenuhi tempat duduk paling hadapan di mana Syeikhul Azhar menyampaikan hadiah. Sekali lagi, tiada foto berjaya dirakamkan.

  Usai acara, kami kekal di dalam dewan, menunggu makluman tentang keputusan peperiksaan yang kononnya bakal diumumkan pada hari itu. Suasana agak kalut ketika mana para pelajar mengambil kesempatan berjumpa dengan para guru dan bergambar sesama sendiri. Aku dan rakan pun tidak melepaskan peluang bergambar bersama Ustaz Baraa yang kebetulan berada berdekatan. Wajah Ustaz Baraa kelihataan berseri-seri kerana baru sahaja diakad nikahkan beberapa hari yang lalu dan ketika sesi bergambar itu, Ustaz Baraa mempersilakan kami hadir ke majlis resepsi yang akan diadakan pada malam hari itu.

    Ketika itu juga, terdengar pengumuman bahawa keputusan peperiksaan akan diumumkan melalui laman web rasmi ALC pada petang harinya. Para pelajar boleh menyemak markah dan status masing-masing dengan menggunakan angka giliran. Resah hati reda sedikit. Sekurang-kurangnya keputusan peperiksaan itu tidaklah diumumkan dengan pembesar suara!

    "Jom balik." Seorang rakan menggesa. Maka kami pun meninggalkan dewan yang tersergam indah itu, pulang ke rumah dan berehat seketika sebelum keluar semula selepas maghrib bagi menghadiri majlis resepsi Ustaz Baraa, guru Istima' dan Muhadasah kami!!

 ~Bersama Ustaz Baraa Safwan~

 ~Bersama rakan seSABAHan di luar ACC~

p/s : Pukul 5.30 petang itu, aku memberanikan diri membuka laman web rasmi ALC di www.azhar-alc.com, memasukkan angka giliran di halaman 'Nataijul Imtihanat', dan.......

Jeng..jeng..jeng..
 
~Alhamdulillah, syukur aku NAJAH!!~


~Jumpa di Tahun 1!!~


~BintulQaryah~




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...