Khamis, 30 Disember 2010

YaNg PaLiNg JaUh ItU IaLaH....

Teringat tatkala diberi taklifan untuk berbicara sedikit pada sesi Tuhfatul Mar'ah baru-baru ini.. Pada mulanya diri merasa gentar, namun pabila teringat diri ini pernah menasihati seorang sahabat, 'Buat apa nak takut? Ni baru di sini, belum lagi balik ke Sabah nanti.. Rilek la, mesti boleh punya..' aku termangu sendiri. Untuk apa aku gentar? Dakwah tetap dakwah!!

Sejak pagi aku memerah minda, mencari-cari topik yang perlu diulas. Lantas idea menjelma setelah terpandang jam tangan hadiah pemberian ibu..

Imam Ghazali r.a pernah bertanya 6 soalan pada anak-anak muridnya. Salah satunya, yang membuatku terusik sedikit ialah soalan tentang apa yang paling jauh...

Apa yang paling jauh?? Matahari? Bulan? Bintang? Uranus? Pluto??

Yang paling jauh, hinggakan tiada siapa pun di dalam dunia ini yang mampu memperolehinya ialah MASA YANG TELAH BERLALU..


Jawapan yang sangat rasional, tidak tersangkal dan telah mengajak akal cetek ini untuk berfikir seketika lantas dikongsikan bersama sahabiah dalam sesi TM yang lalu..

Sekaya mana pun seorang manusia itu, lantas dibelanjakan hatta berbilion dolar sekalipun, untuk kembali ke masa silam, tetap tiada gunanya. Setinggi manapun penyesalan atas sesuatu tindakan, lalu diri berharap agar masa bisa berundur ke belakang untuk diubah segala tingkah, tetap jua sia-sia..

Jadi, jelaskan??? Betapa berharganya masa yang diberikan Allah pada kita....
Justeru, kenapa disiakan? Kenapa dibazirkan? Kenapa dihambur-hamburkan masa itu seolah-olah ianya ibarat debuan halus cuma? 

Benarlah kata pujangga arab,
MASA IBARAT EMAS.
MASA ITU IBARAT PEDANG, JIKA KITA TIDAK MEMOTONGNYA, MAKA IA AKAN MEMOTONG KITA.

Kadang diri terfikir, bertahun-tahun menghirup nafas di bumi bertuah milik Allah ini, untuk apakah agaknya usia ini dilaburkan??
Belajar?
Beramal?
Berdakwah??
Atau...
Bersuka ria??

Satu senario yang LUMRAH pada hari ini,
"Nanti-nantilah buat baik, sekarang ni enjoy dulu.."
"Alaa..kita kan muda lagi, rileklah. Dah tua nanti, bertaubatlah.."

Tanpa menyedari bahawa ajal itu akan tiba pada bila-bila masa..
"Dan bagi setiap umat itu ada ajal. Apabila tiba ajal itu, maka tidak akan dapat ditunda mahupun dipercepatkan, walaupun sesaat.."Al-A'araf, 34.

Andai usia yang berharga ini, digunakan pada perkara yang tidak sepatutnya, kelak pasti akan timbul penyesalan. 
"Ya Allah, menyesal aku x belajar bersungguh-sungguh..Kalaulah masa dapat berputar kembali..."
"Ish..kenapalah aku banyak main dulu. Kan bagus kalau aku tumpu study.."
"Kalaulah aku sedar dari awal, tentu takkan jadi sampai macam ni..."


Agaknya, mampukah masa itu diulang kembali, seperti kita merewind kembali cd atau dvd?
Atau dapatkah kita menggunakan mesin masa, seperti mana yang digunakan Doraemon dan rakan-rakannya? (^_^)
Atau kalung pemutar masa pemberian Prof. Mc Gonnagal pada Hermione Granger dalam Harry Potter and The Prisoner of Azkaban?? (^_^)

Kita hidup dalam zaman realiti, yang mana masa lampau itu tidak dapat berputar kembali. Lalu, berpesanlah pada diri sendiri, agar tidak menyiakan usia dan masa yang diberi. Laburkan usia pada jalan mujahadah, moga hidup sentiasa beroleh berkah. Andai dilalaikan oleh godaan dunia, menyesal kelak tidak lagi berguna. Lantas beringatlah, moga tidak terhantuk lalu terngadah.

Jangan lupa, yang paling jauh itu bukan mentari yang menyinar, apatah lagi bulan yang bercahaya.
Bukan bintang yang berkerdip, apatah lagi langit yang tak terjangkau..
Yang paling jauh itu ialah masa yang telah berlalu.
Justeru gunakanlah masa yang ada tersisa dengan penuh bijaksana..

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan yang beramal soleh, serta saling berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran.." Al-Asr, 1-3

-BintulQaryah-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...