Ahad, 2 Januari 2011

AkU jAtUh CiNtA...

    Pernah seorang ukhti mengatakan bahawa, hati manusia itu memerlukan makanan sama seperti manusia yang sering merasa lapar. Namun, makanan hati itu bukanlah nasi, mee, kuih-muih mahupun makanan-makanan enak yang sering dijamah manusia. Makanan hati itu tidak lain merupakan pengisian rohani yang bermanfaat, mampu men'sejahtera'kan iman serta mampu menambahkan taqwa pada Allah...

    Lantas, menyedari kepentingan 'makanan' untuk hati, bersama beberapa orang rakan se'fikrah', satu liqa' yang masih belum bernama kami lancarkan. Sasaran cuma pada rakan akhawat se'batch' namun andai diizinkan Allah akan kami ajak juga akhawat senior, moga apa yang kami usahakan dapat dikongsi bersama.
    Alhamdulillah, setelah 2 sesi, hati ini terasa makin cinta pada halaqah-halaqah kecil sebegini. Meskipun bagi 2 sesi ini cuma 4,5 orang sahaja yang turut serta, namun kami yakin hati sahabat yang lain kelak akan tergerak jua. Isu-isu yang dibincangkan tidaklah terlalu berat namun berfokuskan pada masalah umat. Keinginan untuk mengislah masyarakat mendorong kami untuk berfikir dan berfikir, sekaligus cuba mencari punca dan jalan penyelesaian bagi setiap penyakit yang agak parah membarah dalam nadi saudara-saudara seakidah seluruh dunia..

    Pernah terdetik dalam hati perasaan malas, letih dan bosan. Hampir-hampir sahaja kalah dengan pujuk rayu syaitan yang menghasut, mencipta berbakul-bakul alasan untuk tidak hadir. Namun cepat pula disedarkan dengan bisikan-bisikan dorongan yang datang dari sudut terdalam atma ini. Alhamdulillah, Allah masih memberikan diri ini peluang untuk terus mentarbiyah hati dengan kalimah-kalimah dan peringatan-Nya..

    Kami duduk dalam dawwar, lutut bertemu lutut. Ummul Furqan dibaca mengharap rahmah dan maghfirah Allah, moga liqa' kami diberkati.. Lantas beberapa potong ayatul Quran kami baca, berdasarkan fokus bagi topik sesi kali itu. Kemudian salah seorang dari kami akan membaca tafsirnya, lalu bermulalah perbincangan kami...

Kenapa begini?? Sebabnya begini...  Apa puncanya?? Puncanya ini.. Apa peranan kita?? Peranan kita begini.. Macam mana nak buat?? Caranya begini...

    Begitulah selalunya. Dari hati ke hati kami berbicara, meluahkan apa yang terpendam dalam jiwa. Tiada rahsia antara kami semua. Andai ada yang bermasalah, terluka mahupun berduka, semua berperanan menghiburkan. Konsep bersaudara kami genggam seeratnya. Terasa benar ukhuwah yang terjalin, ibarat ombak dan pantai yang tidak pernah terpisah, saling melengkapi. Senda gurau dan tawa mesra menghiasi liqa' kami, namun masih berbatas atas hakikat bahawa kami semua adalah wanita.. (^_^)

    Setelah sejam, doa penutup kami baca, moga setiap yang dikongsikan bermanfaat bagi semua. Lantas tangan dihulur, pelukan dieratkan.   
                                                                                 
    Sungguh, diri ini telah jatuh cinta. Pada liqa' dan ukhuwah kami semua. Meskipun ada yang baru saling mengenal, namun terasa bagai telah lama bersahabat. Hati-hati kami bagaikan telah diikat dan disatukan agar lebih erat dan rapat. Sememangnya ukhuwah kerana Allah itu amat indah...

    Kepada sahabat-sahabatku, Ukhti Nad, Ukhti Sue, Ukhti San dan Ukhti Fath, uhibbukunna fillah abadan abada..

~BintulQaryah~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...