Jumaat, 24 Jun 2011

Yalla BisSur'ah!!!

    Sejak kecil telah terdidik dengan segala yang segera. Semua perkara sebolehnya dilakukan dengan pantas dan segera. Pantang bagi abahku berlambat-lambat, justeru dewasanya aku juga dengan prinsip 'Pantang Lambat'. Haa..sesuailah barangkali dengan tabiat Misriyun yang juga tidak suka berlambat-lambat, semuanya mesti cepat. Yalla bisSur'ah!!

    Kehidupan di perantauan sebagai seorang mahasiswi menuntut sikap dan tabiat 'SEGERA' dalam banyak perkara. Setiap hari, menjadi yang ter'SEGERA' bangun pagi,  ter'SEGERA' bersiap, ter'SEGERA' keluar rumah untuk ke kuliah, ter'SEGERA' tidur,  malah ter'SEGERA' dalam segala-galanya. Kebiasaan ber'SEGERA' inilah yang mungkin menjadikan aku agak kebal dari kekelamkabutan. Namun kadang tersedar bahawa bersikap terlalu SEGERA adakalanya menatijahkan kefasadan dalam sesetengah tindakan andai aku kurang berhati-hati.


    Namun, hakikatnya ber'SEGERA' merupakan satu perkara yang LA BUDDA (mesti) ada dalam diri setiap mahasiswa/i. Mungkin bukan dalam semua perkara, namun sekurang-kurangnya keinginan untuk melakukan dan menyiapkan sesuatu dengan cepat dan pantas pasti ada. Contohnya, tugasan kuliah yang perlu dihantar esok hari terlalu banyak dan wajib disiapkan hari ini juga. Tapi, MasyaAllah banyaknya!! Oleh itu, mahasiswa/i empunya tugasan tadi akan sedaya upaya menyiapkan tugasannya selaju yang mungkin. Rujuk buku dengan cepat, menulis dengan cepat, malah mata pun dengan kadar cepat berulangkali memandang jam. Tapi, AWAS!! Kecepatan tanpa ketelitian mungkin menyebabkan mahasiswa/i tadi dimarahi pensyarah keesokan harinya.. 


     Kita hidup di zaman pantas!! Petikan hiwar dalam nas istima' tugasan kuliahku baru-baru ini. Ya, memang kita hidup di zaman pantas, segalanya pantas. Namun yang membuatku tersenyum sendirian ialah kerana terlalu mahu pantas dan ber'SEGERA', ramai mahasiswa/i mengambil jalan pintas dalam melakukan sesuatu perkara. Contohnya, kerana mahu cepat ke kampus di pagi hari, maka sarapan pada setiap pagi cuma semangkuk mi 'SEGERA' tanpa menyedari bahawa mi 'SEGERA' jika dikonsumsi berlebihan boleh me'NYEGERAKAN' serangan penyakit.. (^_^)

    *****

    Mahu lambat atau ber'SEGERA', semuanya bergantung dan terpulang pada kemampuan masing-masing. Boleh berlambat-lambat tetapi janganlah sampai melengahkan masa. Boleh juga ber'SEGERA' tetapi jangan sampai tersilap berlaku tingkah. Kekadang berlambat itu perlu, namun jangan lupa ber'SEGERA' juga penting. Bagi mahasiswa/i, lumrah kesuntukan masa menuntut pertimbangan akal sewajarnya . Exam just around the corner, siapa lagi yang masih mahu berlengah-lengah?? Yalla bisSur'ah!!!

p/s : Mi segera cepat dimasak, sedap dimakan. Cepat berpenyakit dan sedap juga makan ubat tiap-tiap hari.. Kan..kan..!! (sambil jeling-jeling mi segera dalam almari.. (^_^))


~BintulQaryah~

       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...