Terngiang-ngiang suara anak muda yang berlari-lari anak mengejar kami dari hadapan mini market Abou Zekry. "Yaa sodiq...yaa sodiq..." Tangan yang berkematu ditadah, mengharap meski secebis cuma simpati. Dalam remang langit senja itu aku masih sempat berfikir, bagi atau tidak?
Rakan yang menemani menegah. Anak muda yang sihat tubuh badan tadi masih membuntuti langkah kami yang makin laju. Takut. Teringat kisah yang diceritakan oleh para senior, tentang mahasiswi yang dirompak dompetnya ketika mahu mengeluarkan wang untuk disedekahkan. Sempat aku mengerling anak muda tadi, wajahnya kelihatan marah. "Biarkan..."
Berbelah bagi, antara simpati dan keselamatan diri. Apapun, anak muda iu sudah jauh ketinggalan. Kami yang memecut bagai anak tikus dikejar kucing mula rasa lega. Cuba berfikir positif. Tapi, perlukah berpatah balik? Kocek jaket hitam kugenggam.
Ini situasi biasa, pemandang yang 'aadi. Lazim. Di merata ceruk bumi sejarah ini, akan kelihatan mereka-mereka yang bernasib seperti pemuda tadi. Sungguh. Meskipun begitu, kami sudah terlanjur menyayangi bumi ini. Bumi yang menjadi saksi catatan sirah utusan mulia Musa Alaihissalam. Bumi yang pernah menjadi tempat berpijaknya penguasa zalim Firaun. Bumi sahara yang dilitupi pepasir dan debu halus. Bumi anbiya' yang menjadi kiblat ilmu sedunia.
Hanya mampu memandang, menitip sekalung doa buat mereka. Banyak yang mahu diceritakan sebenarnya. Namun ada tegahan atas alasan keselamatan. Tidak mengapa, lain kali akan dicoretkan juga dilembar maya ini. Buat anak muda itu, maaf. Terpaksa mengutamakan diri.
Doa buat mereka yang masih mengharap kemunculan sinar baru. M.E.S.I.R., we love YOU!!
Antara Simpati dan Keselamatan diri???...Hehe!!!
BalasPadam