Jumaat, 4 November 2011

~Pemergian~

Bismillahirrahmaanirrahiim…
                Alhamdulillah, puji dan syukur ke hadrat Allah SWT yang mengizinkan aku terus menghirup nafas, berpijak di muka bumiNya sambil menikmati nikmat kurniaanNya yang tidak terhitung. 

                Sebulan menyepikan diri, lantaran minda tidak punya kekuatan untuk menjana kalimah bagi dinukilkan di atas lembaran maya ini. Apa yang perlu aku tulis? Apa yang mahu diceritakan? Banyak sebenarnya yang mahu dikongsikan. Itu..ini…itu..dan ini… Tapi sungguh ketidakstabilan emosi mengekang keinginan itu…

                25 hari doa tanpa henti, mengharap keajaiban dari DIA yang berkuasa mengatur segala-galanya hatta gugurnya sehelai daun kecil. Saban waktu, siang dan malam tanpa jemu memanjatkan harapan menggunung. Semoga…semoga…semoga…ahhh…

                24 Oktober (isnin) aku dihubungi abah. Bertanyakan pesan untuk disampaikan pada Adik yang sedang menderita sakit. Dengan girang aku menjawab, “semoga Adik cepat sembuh!”. Abah tertawa kecil. Namun dalam tawa abah aku mengesan sesuatu. Pantas juga akalku mencongak waktu. Di Malaysia sudah pukul 1 pagi! Aku menenangkan diri, memujuk hati untuk redha andai waktu itu telah tiba. Terkenang mimpi semalamnya, aku terlihat Abah dan Mama membawa Adik pergi dengan menaiki kereta..

                Pagi 25 Oktober, belum sempat aku menunaikan fardhu subuh. 1 panggilan tidak dijawab, dari Abah. Aku bingkas bangun dari pembaringan, memerhati skrin telefon bimbit dengan nafas turun naik. Abah memanggil lagi. Dengan membiasakan suara aku menjawab salam. “Kakak dah bangun?” “Sudah..” Jawabku. “Dah solat subuh?” “Belum”..aku jawab lagi. Abah kemudian bertanya itu ini..seolah tiada apa yang terjadi. “Nah, Ummi nak cakap” Telefon bimbit bertukar tangan. Ibu kepada seorang rakan yang kami panggil Ummi bersuara. Aku sudah mengagak, sudah menjangka. Berita itu dikhabarkan saat aku merasa diriku sudah bersedia mendengarnya. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un.. Adik pergi jua, bersama senyuman manis yang terlakar dibibirnya…

Adik pergi, setelah 25 hari bertarung dengan kesakitan di Unit Rawatan Rapi (ICU). Kemalangan yang berlaku cuma wasilah, kematian itu juga yang ditakdirkan Allah. Aku sebagai seorang kakak sulung hanya mampu menitip doa dari jauh. Mengharap Allah mencampakkan redha dan sabar dalam hati-hati kami sekeluarga. Mengharap agar pemergian Adik dikenang sebagai satu peringatan dari-Nya, bahawa bila janjiNya ditagih, kita tidak punya upaya untuk meminta dipercepatkan apatah lagi meski sedetik cuma penangguhan.

                Janji Allah itu pasti! Sesungguhnya tiada daya bagi sesiapa pun untuk memungkiri janji itu. Mama membacakan aku ayat 34 surah al-A’raf.. “Dan bagi setiap umat itu ada batas waktu (ajal). Apabila telah tiba ajal mereka, maka tidak akan dilambatkan ataupun dipercepatkan meskipun sesaat”. Abah pula memujuk, “Kita semua sedih kan..kita semua sedih.. Tapi kita semua ada IMAN, ingat itu.” Cuba membayangkan wajah Mama dan Abah, sungguh aku sangat tidak mampu. Mujur mereka tabah, mujur mereka kuat. Dan aku dari kejauhan ini, bersama empang air mata yang telah pecah mengharap ada tempias titisan kekuatan itu terpercik ke sini.

                Alhamdulillah, Allah jemput Adik dengan cara yang sangat lembut. Di atas pangkuan Mama dan Abah juga Adik pergi, bersama senyuman yang tidak tertafsir ertinya. Tengahari (waktu Mesir), satu pesanan ringkas tiba. “Adik pergi dengan senyuman, Air muka Adik sangat manis. Adik pergi di pangkuan Mama dan Abah. Kami menuntun Adik dengan kalimah zikir dan syahadah. Allah jemput Adik dengan amat lembut sekali. Alhamdulillah..” Lantas apa lagi yang perlu dikatakan oleh seorang bernama aku ini, andai Allah sendiri telah melunaskan janjiNya dengan cara yang amat dicemburui insan-insan lain?

                Adik menghembuskan nafas terakhir pada 25 Oktober, pukul 8 pagi di atas pangkuan Mama dan Abah serta disaksikan sanak saudara, keluarga angkat, guru-guru, dan rakan-rakan yang turut berada di sana (Hospital Sultanah Bahiyah). Jenazah Adik dimandikan, dikafankan sebelum disolatkan di Masjid Wira Mergong, Alor Star selepas solat Asar. Pukul 9.30 malam, bersama jenazah Adik, Mama, Abah, Ummi, Kak Jannah (kakak angkat), Ustaz Adenan (pengetua), Ustaz Muaaz (PK1), dan seorang pegawai dari JPN Kedah berlepas ke Kuala Lumpur. Keesokan harinya (26 Oktober) pukul 9.00 pagi mereka berlepas pulang ke Kota Kinabalu dan jenazah terus dibawa pulang ke Kota Belud. Jenazah dibawa ke rumah nenek, diperlihatkan buat kali terakhir kepada adik-adik dan kaum keluarga yang lainnya, kemudian disolatkan sekali lagi di Masjid Jamek Kampung Kulambai dan kemudian dikebumikan di kampung Abah, Kampung Suang Punggur. 

                Bersama pemergian Adik jutaan doa dari mereka yang mengenali dan menyayangi Adik. Sungguh, Allah lebih sayangkan Adik, dan Allah lepaskan Adik dari kesakitan selama 25 hari dengan menjemput Adik kembali ke pangkuanNya. Seorang Adik yang kami sayang, yang kami kenang dan akan kami rindui selama-lamanya. 

                Bersemadilah dengan tenang, bersama cinta Rabb dan kasih kami semua!

~Al-Fatihah~
Allahyarham Ahmad Syafi’e bin Melih
19 Ogos 1995 – 25 Oktober 2011
                 

1 ulasan:

  1. salam idul adha =)
    moga dirahmati-NYA

    Al Fatihah buat adik yang disayangi

    BalasPadam

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...