Khamis, 22 September 2011

Pondok Pak Ya: Tragedi Tragis 22/9/89

    Promosi dan hebahan tentang program yang berlangsung hari ini telah beberapa lama aku ketahui. Andai sahaja aku masih berada di Kedah, mahu sahaja aku turut bersama mereka, menyaksikan pengkisahan semula tragedi tragis yang berlaku 22 tahun yang lalu.



    Nama Sek. Men. (A) Taufikiah Khairiah al-Halimiah bukanlah sesuatu yang asing bagiku. Aku akan melintasi kawasan sekolah ini setiap kali pulang ke rumah keluarga angkat di Jeniang, Sik. Lebih dikenali dengan gelaran Pondok Pak Ya, sekolah yang terletak cuma 4 batu jauhnya dari sekolahku (SMA Nahdzah) ini pernah aku kunjungi beberapa kali. Terletak di batu 16 Padang Lumat, Pondok Pak Ya juga seperti Pondok Pak Man (SMA Nahdzah) yang menjadi pilihan ibu bapa di sekitar Kedah bagi menghantar anak-anak mendalami ilmu agama.

    Sejarah penubuhan bermula pada tahun 1910-an oleh Tn. Hj Hussain Nasir atau lebih dikenali sebagai Tn. Hussain Kedah al-Banjari sebelum dikelola oleh Tuan Guru Hj Yahaya Junaid (Pak Ya Junid) dan dirasmikan pada tahun 1942.

    Selama hampir satu abad berdiri megah menongkati perjuangan menyebarkan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi,siapa menyangka bahawa di sebalik namanya yang harum, ada satu tragedi ngeri yang sehingga kini diingat dan dikenang bukan sahaja oleh pelajar dan bekas pelajar Pondok Pak Ya, tetapi juga oleh seluruh penduduk Kedah amnya.

    Peristiwa kebakaran asrama puteri pada 22 September 1989, satu tragedi yang meragut nyawa 27 orang puteri dalam sekelip mata. Dalam api yang menjulang, tiada siapa yang mengetahui sekuat mana teriakan dan tangis mereka, berusaha untuk menyelamatkan diri dan satu sama lain. Masih ada goresan pilu di hati mereka yang turut sama merasakan nyalaan api membara, 22 September pada 22 tahun yang lalu. Hingga hari ini, peristiwa ngeri itu masih dalam ingatan seluruh warga Pondok Pak Ya. Malah hingga hari ini, masih ada ibu yang menanggung rindu, ayah yang menangis pilu, sahabat yang hilang teman dan guru yang hilang pelajar harapan.

Kehadiran orang ramai ke tempat kebakaran walau dalam keadaan hujan
Suasana pilu...mengutip sisa-sisa tulang dan isi mangsa

Suasana di tapak kebakaran
Serpihan anggota badan mangsa....ALLAHUAKBAR
Keratan akhbar berkenaan tragedi ngeri 22/9/89

    27 puteri, syuhada' yang dikenang, sehingga sekarang nama mereka terus abadi dalam lipatan sejarah sebuah Sek. Men. (A) Taufikiah Khairiah al-Halimiah. Di pusara mereka yang mengharum, terkubur bersama impian dan harapan yang kini menjadi doa yang dititipkan saban waktu.

Sek. Men. (A) Taufikiah Khairiah al-Halimiah, bt 16 Padang Lumat



    Usaha murni pihak pentadbiran Pondok Pak Ya bersama alumni sekolah mengadakan majlis memperingati tragedi ini, di samping menziarahi keluarga mangsa-mangsa kebakaran amat wajar diberikan penghargaan.

    Al-Fatihah buat 27 Syuhada'...

p/s: Mengenang sebuah pemergian pilu yang tidak terjangka, sungguh mengajar aku untuk sentiasa bersiap sedia menerima detik kematian itu. Ya Allah..semoga jasad ini, hati ini, terus berada dalam rahmat-Mu..
   

~BintulQaryah~

Rabu, 21 September 2011

~Kenapa langit cerah itu pergi?~

    Warna biru lembut, menyenangkan mata memandang. Dengan awan putih yang berarak gemalai bagai desir ombak yang menghempas pantai, seakan-akan aku sedang menyaksikan sebuah opera bisu yang mentafsirkan ceritera pada gerak tari semata-mata. Camar putih yang berterbangan, mengibarkan sayap kecilnya sambil merasakan ketenangan bayu yang enak berpuput, bagai titik-titik kecil yang turut berdansa di dada langit yang bersih itu. Mentari yang malu-malu bagaikan si anak dara yang mengintip melalui celah jendela. Enggan turut sama memeriahkan suasana, sang mentari sekadar memanahkan sinaran manja yang meredupkan.




    Langit cerah terus menjadi santapan mata. Lidah pula tidak henti menuturkan kalimah hamdallah, memuji keagungan zat-Nya yang berkuasa mencipta langit nan luas tanpa tiang menongkatinya. Pepohon yang bergemersik dedaunnya, bagai bertepuk-tepuk menyorak langit cerah yang menceriakan hari demi hari. Hinggakan cengkerik turut sama berdendang, bernyanyi mengikut rentak pepohon yang semakin galak menari.

    Namun tiba-tiba langit cerah itu berubah warna. Awan biru putih yang tadinya berarak gemalai tiba-tiba lesap bersama gerombolan kepulan awan hitam yang mengusir damai dan ketenangan. Pepohon dan cengkerik yang berpesta pora tadi jadi tidak keruan. Nyanyian mereka sumbang, tarian mereka bagai lalang dihentam badai. Langit cerah tiba-tiba jadi hitam, kelam. Angkin keras pula menerpa, hingga aku terhuyung hayang bagai bahtera dipukul ribut lagaknya.

    Aku yang memerhati jadi takut. "Mana langit cerahku?" Tiada lagi indah yang terpapar di layar mata. Camar putih yang terbang bebas tadi juga menghilang entah kemana. Aku jadi nanar, terkesima melihat langit cerah yang sudah berubah rupa. "Mana langit cerahku?" Aku berlari menanyakan pohon yang bertempik ganas. Gemersik dedaunan yang merimbunkan pohon tadi seakan menjawab kasar, "langit cerahmu? Hahahaha.." Aku yang kaget ditertawakan. Kutanyakan pula cengkerik yang kabut melarikan diri, "mana langit cerahku?" Cengkerik kecil sekadar memandang, diam.

    Aku berlari lagi. Dengan teriakan yang timbul tenggelam aku tanyakan semua yang ada, "mana langit cerahku? Mana langit cerahku?" Malangnya semua sekadar memerhatikan. Tiada simpati mahupun huluran tangan menawarkan pertolongan. Tangisan tidak lagi tertahan. Aku melompat tinggi-tinggi, mahu mencapai dan merobek awan hitam yang mengusir langit cerahku. "Argh, nyah kau awan hitam! Aku mahu langit cerahku." Teriakanku cuma jadi dengusan kecil tidak berbunyi. Tanpa kusedari aku mulai lencun kebasahan. Ku dongak ke dada langit yang kelam itu, "kenapa engkau yang menangis, wahai awan hitam? Aku yang kehilangan langit cerah." Aku tanyakan awan hitam yang melaju geraknya. Awan hitam sekadar berlalu, tidak menjawab pertanyaanku.

    Aku terkesima lagi. Dalam kebasahan dan kedinginan itu aku cuma berdiri kaku di bawah pohon hijau, sambil mataku meninjau-ninjau kalau-kalau ada langit cerah bertandang kembali. Pohon hijau yang memerhati tiba-tiba bersuara, "duhai anakku, kenapa ditangisi langit cerah yang pergi?" Aku pandang pohon hijau yang rendang dan rimbun. "Langit cerah itu teman karibku. Langit cerah menceriakanku dengan warna lembutnya, dengan tenang dadanya. Sekarang langit cerah sudah tiada,siapa lagi akan mewarnai hari-hariku?" Aku memeluk batang pohon yang sedang-sedang.

    "Anakku, jangan ditangisi langit cerah yang pergi. Hilangnya cuma sementara, pergi mencari keindahan untuk dihadiahkan kepadamu. Kelak langit cerah kembali, tentu kau akan tersenyum lagi." Pohon hijau mengelus-ngelus bahuku. Aku pandang pohon yang aku peluk erat itu. Perdunya aku gosok-gosok. "Benarkah katamu itu wahai pohon?" Pohon hijau angguk-angguk. "Nantikan sahaja." Dedaun rimbunnya terus membelai kepalaku, hingga tanpa sedar aku terlena keasyikan lantaran belaian pohon hijau yang sedikit sebanyak menghilangkan waham.

    Tiba-tiba mataku pedih. Ada terik memanah wajahku yang masih diselimuti redup rendang dakapan pohon hijau. "Bangun anakku. Lihat itu, langit cerah bawakan hadiah istimewa untukmu." Pohon hijau bersuara merdu. Aku bingkas bangun, memerhati langit cerah yang kembali mampir, hingga aku mengukir senyum lebar tanpa sedar. "Oh langit cerah? Kenapa kau pergi tadi?" Aku tanyakan langit cerah yang tersenyum. "Pergiku seketika cuma, memberikan kau peluang untuk merasai kelamnya tanpa cahaya." Langit cerah berkata. Aku terkedu kehairanan. Aku mendekat pada langit cerah. "Untuk apa?" Tanyaku lagi, ingin tahu. "Agar kau lebih menghargai sinar yang ada pada hari ini. Lihat, aku bawakan hadiah terindah untuk kau." Langit cerah menunjuk pada garisan melengkung berwarna warni. Aku terkesima lagi. "Itulah dia pelangi. Saat kau kehilangan aku, kau menangis tanpa henti. Kau mahu aku sentiasa di ada di sisi. Kau marahkan awan gelap yang mendatangkan kelam. Kau marahkan awan yang menangis. Hakikatnya tanpa kau sedari, jika aku sentiasa bersamamu, mana mungkin kau dapat menatap pelangi indah sebegini. Atas sebab inilah aku pergi, seketika."

    Aku mulai mengerti kata-kata sang langit cerah. Langit cerah pergi bukan selamanya. Langit cerah pergi untuk memberi peluang kepada aku merasakan hidup dalam gelap dan kebasahan. Lantas langit cerah datang kembali, menghadiahiku sebentuk pelangi nan indah.

*****

    Ingatlah, hidup tidak selalunya indah. Langit juga tidak akan sentiasa cerah. Andai ada gelita bertandang tiba-tiba, terimalah seadanya kerana ia merupakan satu peluang untuk kita merasai detik kesukaran yang akan mengajar kita menjadi manusia yang lebih bersyukur. Apabila gelita itu pergi, pasti kesukaran tadi akan memberi kita seribu satu keindahan tidak berbelah bahagi. Itulah dia pelangi yang muncul selepas langit kelam dan rintik hujan, mengukir senyuman di wajah yang tadinya gundah dek ruang gelita tanpa cahaya.

~BintulQaryah~

Khamis, 15 September 2011

Jangan Sebarangan!! ~ Jom jadi muslimah solehah~

    -Kata orang dulu-dulu, memelihara sekandang lembu lebih mudah daripada menjaga seorang anak gadis..

    #Tak percaya.. mana boleh bandingkan anak gadis dengan lembu. Anak gadis ada akal, boleh berfikir sendiri. Lembu mana ada akal? Kita suruh makan, lembu makan. Kita suruh jalan, lembu jalan. Anak gadis tak, anak gadis cerdiiikkk belaka..

    -Kerana anak gadis ada akallah, maka susah untuk menjaga anak gadis. Kita suruh duduk rumah, bukan semua anak gadis boleh patuh. Kita suruh jaga maruah, bukan semua anak gadis boleh akur. Semua pun nak ikut tuntutan akal sendiri. 

    #Baguslah kalau ikut tuntutan akal. Asah kebolehan berfikir...

    -Masalahnya kalau ikut tuntutan akal yang tidak berpandu iman, ikut kehendak akal yang tidak dikawal taqwa..kan susah..

     Betul, tambahan lagi gadis-gadis sekarang tidak seperti gadis-gadis dahulu. Kemajuan dan kepesatan pembangunan dunia benar-benar telah merubah gadis-gadis kita. Kalau dahulu elok santunnya, lembut perinya. Kini gadis-gadis kita, kerana pengaruh semasa yang merubah cara hidup dunia, bagai batu di atas gunung. Jatuh tidak tertampung, bergolek tidak terbendung, pecah pun tidak terhitung. Oh gadis-gadis.. Muslimah solehahkah?

>BintulQaryah nak jadi muslimah solehah. Anda semua bagaimana?<

*****   

~Aduhai muslimah, mahukah kau jadi solehah?
>Yaa... tentu sahaja aku mahu.
~Tahukah kau bagaimana caranya?
>Yaa... tentu sahaja aku tahu.
~Bagaimana?
>Taat pada Allah, Rasul, ibu bapa..
~Itu sahaja??
>Ada lagikah?
~Tentu..
>Apa lagi?
~Mahu tahu?
>Iya..
~Jangan sebarangan...

*****

Wahai muslimah!

    Jangan sebarangan dalam pergaulan. Sahabat itu cerminan dirimu. Cantik akhlaknya, cantiklah akhlakmu. Ibarat berteman dengan si pembuat minyak wangi, dirimu juga akan turut sama berbau harum. Namun jika berteman dengan si tukang besi, tidak mustahil tempias bara besi itu terpercik kepadamu. Teman sejati itu yang bila kau pandang sejuk hatimu. Yang menegahmu berlaku sumbang, menghalangmu bertingkah tempang. Bukannya ketika kau tersadung di jalanan, teman itu cuma memerhatikan. Pergaulan tidak salah, namun khilaf besar andai kau melewati batas sempadan yang sepatutnya. Berurusan dengan kaum Adam tidak ditegah, asalkan urusan itu tidak menyalahi fitrah dan tidak mengundang fitnah.

    Jangan sebarangan berpeleseran. Kau insan yang diciptakan dengan kelembutan dan kecantikan. Seharusnya kau jadi bagai mutiara di dasar lautan. Dapatnya susah, pandangnya payah. Namun andainya kau lazimkan keluar rumah tanpa urusan, apa lagi nilainya mutiara yang sudah tercampak ke tepi jalan? Dengan kecantikanmu, bukankah mudah untuk kau menjadi fitnah? Keluarlah dengan berteman. Nescaya terjamin kesejahteraan dan keselamatan. Kiranya kau biasakan juga rayaumu yang tidak tentu hala, "Anak si fulan itu keluar rumah malam-malam mahu ke mana?" Kata mereka yang memerhati. "Di sana ada gadis cantik berjalan seorang diri, mari kita dekati." Kata mereka yang berpenyakit hati.

    Jangan sebarangan dalam berpakaian. Lumrah nurani wanita mahu kelihatan jelita. Tapi persoalannya kejelitaan itu untuk siapa? Cukuplah dengan keayuan wajahmu yang menggegarkan jiwa, mengapa perlu dikenakan lagi pakaian dan perhiasan yang menarik pandangan mata? Muslimah itu imejnya istimewa. Syara' menjadi pakaian dan malu menjadi hijab setia. Ketika mana kau menyarung pakaian bergemerlapan dengan perhiasan bergemerincingan, ditambah lagi dengan olesan warna-warni pada wajah mulusmu itu, tidakkah kau merasa kekok menjadi tontonan segenap buana yang riang menyaksikan pertunjukan percuma? Tidakkah kau merasa jelik melihat mata-mata berpenyakit yang menjalarkan pandangan ke segenap tubuhmu yang menarik? Cukuplah kejelitaan dan keayuan itu kau pertontonkan buat si dia yang layak dan berhak..ketika mana saat dan ketikanya tiba.

    Jangan sebarangan bertutur kata. Lenggok suaramu sudah cukup lunak untuk menjadi halwa telinga sang Adam yang mendengarnya. Bagaikan si tiung yang merdu bernanyi, tuturanmu juga ibarat alunan seruling merdu dari bilahan buluh perindu, jadi idaman satria-satria yang merindukan suara halus bagai bayu yang berpuput mesra. Untuk apa lagi dilagu-lagukan tuturan? Dan untuk apa pula diiramakan meski sekadar sedikit persoalan? Cukuplah kau tegaskan tiap apa yang terlahir  dari kedua bibirmu. Bukan mengajarmu untuk menengking dan menyergah, namun mendidikmu untuk membiasa-biasakan nada. Agar tiada hati-hati lompang yang tertarik hanya kerana gemersik suara yang menawan sukma. Dan berhati-hatilah juga ketika kau meluah kalimah. Jauhilah kata-kata kesat yang melalaikan, hindarilah butir bicara kotor yang merosakkan. Alangkah bagusnya jika tiap yang terbit dari lidahmu itu untaian pujangga hikmah, bukan umpatan mahupun fitnah yang memincangkan ummah. Makian dan cacian itu, bukanlah jalan penyelesaian termudah, melainkan racun berbisa yang mampu menghilangkan sinar murni seorang muslimah mukminah.

    Jangan sebarangan melirik mata. Renunganmu yang tajam itu bagai belati yang menikam ke ulu hati, bisa menggoda jiwa-jiwa manusia dengan hanya satu kerdipan sahaja. Tundukkanlah pandanganmu wahai muslimah. Usah diliarkan pandanganmu ke sini sana, mencari bahan tontonan yang mungkin sahaja merosakkan kebaikan dan pahala. Apatah lagi menyaksikan sandiwara dunia yang dihiasi segenap dusta dan tipu daya. Perhatikanlah sesuatu yang mendatangkan faedah, mengisi jiwa, memperbaiki tingkah dan menambahkan cinta padaNYA.
 

    Andai sahaja bumi bisa bicara, ingin kutanyakan pada bumi.

~Bagaimana tingkah gadis-gadis yang berpijak di datarmu itu? Menyenangkan hati? Atau...?


    Tapi aku takut ini jawapan bumi..

~ Majoriti membuat aku sedih. Mereka terlalu sebarangan. Hingga tidak lagi kelihatan nilai maruah yang sepatutnya menjadi kebanggaan..

>Ni pulak sahabat-sahabat BintulQaryah. InsyaAllah..semua pun towards MUSLIMAH SOLEHAH!<
~BintulQaryah~

Selasa, 13 September 2011

~365 hari yang lalu… {14 Sept 2010-14 Sept 2011}~

 Bismillahirrahmaanirrahiim…

    Alhamdulillah, puji dan syukur buat DIA yang menciptakan buana, lengkap dengan segala isinya.. Mengizinkan aku untuk terus bernafas, menghirup dan menikmati rezeki kurnianNya yang tiada bandingan.

    Rabu, kebiasaan bagi blogger-blogger di luar sana untuk menulis sekadar ‘Wordless Wednesday’ dalam entri masing-masing. Hmm.. tapi aku tidak. Tak kira rabu atau isnin, kalau sudah jemari ini berkehendak untuk menari, maka akan menarilah ia.. 

    Sedar atau tidak, hari ini (14 Sept) genap setahun sudah usia perjuanganku di bumi Mesir ini. Terasa seperti baru kelmarin kaki menjejak Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, menaiki bas ke Asrama Darul Aman (Rumah Kedah) Hayyu Sabie’ sebelum berpindah ke WYSK (Rumah Sabah) Awwal Abbas. Oohh..masa..cepatnya kau berlalu..

Mari imbas kembali (^_^)..



14 Sept 2010

    Penerbangan dari Amman Jordan ke Kaherah Mesir mengambil masa sekejap cuma. Dalam hati tidak sabar-sabar mahu menjejakkan kaki ke bumi yang selama bertahun-tahun menjadi anganan dalam lena. Sebak yang terasa dek perpisahan antara aku dan Abang (adik sebenarnya, tapi dari kecil dipanggil Abang) di Lapangan Terbang Amman seperti hilang seketika. Yalah, teruja mahu tiba ke tempat yang didamba.

    Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, disambut oleh ukhti-ukhti dan akhi-akhi dari Rumah Kedah. Kala itu aku berseorangan cuma. Tiada sesiapa yang dikenali memandangkan penerbangan yang aku sertai adalah trip kedua dan sahabat-sahabat sesekolahku sudah berlepas 11 Sept yang lalu.. Yaaiii… sepi…

    Dalam bas, taklimat yang diberikan sepanjang perjalanan langsung tidak aku endahkan. Air mata yang tertahan sejak transit di Amman akhirnya tumpah jua. Seorang ukhti di sebelahku mengusap-ngusap bahu yang terhinggut-hinggut. “Sabar ya dik…” Pujuknya. Aku pun sebenarnya hairan, kenapa baru sekarang air mata ini mahu mengalir? Di KKIA tidak, di KLIA tidak, di Amman pun tidak. Kenapa sekarang? Oh.. mungkin kerana keinginan yang dipendam selama bertahun-tahun, hasrat hati untuk menjejakkan kaki ke bumi Anbiya’ yang menjadi saksi lakaran jutaan sirah dan sejarah ini akhirnya tercapai jua. Air mata terharu, sebak, gembira, sedih, semuanya bersatu dalam sehelai tisu pemberian ukhti tadi. Abang? Oh, semoga si adik nakal yang kusayangi itu selamat tiba ke destinasinya di Mu’tah Jordan. Kala terpandang orang ramai yang lalu lalang menyeberangi jalan raya, aku teringat pula Mama, Abah dan adik-adik. Pasti mereka sedih yang teramat kerana melepaskan aku dan Abang sekaligus!

    Bas terus bergerak, melintasi bangunan-bangunan coklat berdebu yang menghiasi kiri dan kanan jalan. ‘Kenapa semua bangunan ni warna coklat? Ke orang Mesir memang tak pakai cat?’< Persoalan ini menari-nari di benak. “Haa, yang ini Kuliah Banat Universiti Al-Azhar, siapa yang ambil pengajian Islam atau perubatan Azhar nanti kuliah kat sini la.” Seorang akhi berserban besar bersuara melalui mikrofon bas. Secara automatiknya juga kepala ku berpusing, menoleh ke arah lokasi yang dimaksudkan. ‘Oh, kat sinilah aku belajar nanti. Eh, coklat juga..’ <Bisik hati yang masih hiba. 

>Madinat Nasr @ Nasr city : semua coklat!<
>Abbas El- Akkad (Awwal Abbas) : Kat area ni lah Rumah Sabah!<

    Tiba di Asrama Darul Aman (Rumah Kedah), aku tercari-cari, ‘mana pergi budak 3 orang lagi ni?’ Sahabat-sahabat yang bertolak lebih awal daripadaku tentunya sedang menikmati rehat dengan sepuas hati. Semua pelajar dibawa ke syaqqah masing-masing. Aku pula ke tingkat 5. Sebaik sahaja tangan mahu memulas tombol pintu, terlihat sekeping kertas bertaip terlekat di dinding. Nama ku baca satu persatu, dan di situ juga aku melonjak gembira!

    Pertemuan selepas hampir setahun tidak bersua. Masing-masing teruja dengan cerita masing-masing. “Seronok tak transit kat Kuwait?” “Seronok tak transit kat Jordan?” Huhu…hal sebegini pun jadi cerita. Namun keseronokan pertemuan semula itu tidak dapat membendung keletihan yang menguasai tubuh. “Jangan mandi!” Pesan seorang ukhti, ditakuti tubuh menerima renjatan iklim lantas menyebabkan demam dan sebagainya. Aku akur sahaja, menyalin pakaian dan merebahkan diri di atas katil. Dan, lena…..

*****

    14 September itu menyaksikan pelbagai cerita, berhimpun dalam satu hari cuma.  Kisahnya tidaklah terlalu menarik untuk diceritakan, namun itulah sebenarnya yang berlaku pada tarikh ini, 365 hari yang lalu. Apabila seorang aku, berlepas dari tanah air tercinta bersama seorang adik yang beza usianya tepat-tepat setahun denganku, lantas terpisah di pertengahan perjalanan dan aku pula tercampak ke sini, ke bumi yang menjadi imejan dalam mimpi sejak sekian lama. Mengimbau kembali perasaan yang terlahir tatkala kaki berpijak di atas aspal kelabu Lapangan Antarabangsa Kaherah, ketika melintasi Kuliah Banat Al-Azhar, memerhatikan ragam penghuni kota Kaherah yang beraneka rupa, semuanya terlipat kemas dalam memori satu hari 14 September 2010.

    Hari ini, 14 September 2011, genap setahun sejak hari itu. Diri cuba mengenang kembali rentetan peristiwa demi peristiwa yang telah berlaku sejak 365 hari yang lalu. Hmm..terlalu banyak kisah suka duka, tangis dan tawa yang terbuku dalam minda. InsyaAllah.. sejarah setahun ini akan dijadikan iktibar sebaiknya, untuk menemani usia perjuangan seorang kelana yang masih terlalu mentah. 

Semoga 365 hari yang akan datang membawa lebih banyak kisah dan cetera untuk dikenang!

~BintulQaryah~

Isnin, 12 September 2011

~Cetera Syawal 1432 h : Kisah, Rasa dan Suka...~

Bismillahirrahmaanirrahiim...

    Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga aku menyempati sedikit waktu di tengah-tengah kesibukan dan tugasan demi tugasan untuk kembali melakar tinta rasa di lembar maya ini. Bukan culas mahu mengetuk papan kekunci, namun sebenarnya ada tanggungjawab lain yang perlu didahulukan...

    Syawal 1432 h telahpun mencapai usia 2 minggu. (SALAM AIDILFITRI MAAF ZAHIR DAN BATIN!!) Sedikit sebanyak tentunya ada peristiwa yang 'perlu' dikongsikan bersama. Perjalanan hidup sepanjang 2 minggu yang sangat bererti lagi bermakna, hingga kekadang ada rasa takut untuk minda kehilangan memori demi memori yang banyak menjadi medan tarbiyah nurani. Meskipun usia perjalanan ini belum terlalu dewasa, namun pastinya setiap langkah yang tercipta itu, ada terselit seribu satu ibrah untuk diambil pengajaran darinya... Alhamdulillah..

Ok... JOM citer2!!

Malam takbir

    "Duduk saf depan sekali lah. Supaya orang tak nampak kalau kita menangis.." Usul seorang rakan ketika iqamah Isya' dikumandangkan. Aku sekadar akur, menyedari bahawa tentunya ada mata-mata yang memerhati nanti.. 
    "Allahu akbar..Allahu akbar.. Allahu akbar..." Takbir Syawal yang bergema, sungguh menyebabkan ada empang air mata tercipta. Hati membujuk, "Jangan tumpah...jangan tumpah...!!" Suasana seketika seakan jadi hening, aku yang duduk di saf paling hadapan mencuba untuk mengintai, menoleh kalau-kalau ada yang 'kalah' dengan emosi.. Eh?? Tenangnya... (kenapa tiada orang menangsi nih?) Semua khusyuk, menghayati bait demi bait alunan takbir, memuju kebesaran Yang Maha Esa.. Toleh kiri, kawan ni khusyuk. Toleh kanan, kakak ni pun khusyuk. Aku?? Sibuk pula mahu melihat mutiara-mutiara jernih yang mengalir dari tubir mata orang!! (sudah-sudahlah tu!)

1 Syawal

    3.00 pagi, janji untuk ber'skype' dengan keluarga tercinta ditunaikan. Sebak amat rasa kalbu melihat Mama, Abah, Abang, Angah, Adek Wan, Hakimi, Ochik, Amin dan Ghazali berkumpul di hadapan komputer riba milik Abang. Huwwaaaaa!!! (eh, jangan nangislah.. nanti Mama nangis jugak!!) 

~Mama : Kakak sihat?
~Aku : Alhamdulillah..sihat..
~Mama : Macam mana raya sana?
~Aku : Nda tau lagi.. belum pagi pun di sini..
~Abah : Pukul berapa sembahyang raya?
~Aku :Tujuh
~Abah : Ada buat kuih raya?
~Aku : Ada
~Abah : Jangan sedih ah..
~Aku : Emmmm... :-(
~Angah : Hahaha...kakak nangis!!
~Aku : Minta puji!

    Hehehe..sedikit sebanyak sad conversation yang berlangsung antara aku dan keluarga di desa. Usai solat subuh, bersiap seadanya lantas turun ke syaqqah 5, ada tugas menanti! 

    Solat sunat aidilfitri, hampir-hampir aku terlepas. Selesai solat, bersalaman dan bermaafan pula dengan sahabat-sahabat yang sama berkongsi rasa menyambut Syawal di tempat orang ini. Yang lebih senior, memujuk untuk jangan bersedih hati. Yang sama-sama junior, sekadar tersenyum mengiyakan.. (Iya kak, kami nda sedih..huhuhu)... :-)

>Inilah kami..anak-anak rantauan..<

>Ahli bait Syaqqah 11 bah pulakk<
 2 Syawal


    Majlis Sambutan Aidilfitri BKPSM. Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar dan meriah sekali. Dengan persiapan seadanya ditambah lagi dengan kekangan masa, majlis yang dirangka beberapa hari sebelumnya berlangsung tanpa sebarang masalah. Segenap anak Sabah yang berkesempatan hadir turut sama memeriahkan majlis yang saban tahun menjadi penawar rindu bagi mereka yang tidak berpeluang beraya bersama keluarga. Syukur, terubat juga pedih di hati..

>Hasil air tangan anak-anak Sabah<

    "Wakil syaqqah 11, anyam ketupat," Ujar seorang ukhti. Aku menolak dengan bibir muncung. "Nda mau, malu.." "Ehehe... malu? Bukan suruh nyanyi lah dik..." Dengan sedikit rasa terpaksa, aku sekadar akur. Lucu juga, bila ada yang memberi sokongan seolah-olahnya aku sedang menyertai acara balapan 100 meter pecut! Alhamdulillah... 7 1/2 biji (erk.. 1/2?) kelongsong ketupat berjaya dihasilkan, dan keputusannya, syaqqah 8 + syaqqah 11 =JOHAN!!... (^_^)

>Ketupat tak boleh makannn<

>Huhu.. tahniah..tahniah... ngee~<
5 Syawal

    Rumah Terbuka Syaqqah 11.. Kak K punya idea yang on the spot! Okay... Alhamdulillah segala yang dirancang berjalan dengan sempurna (kot?). Terima kasih tidak terhingga kepada kakak-kakak dan sahabat-sahabat yang sudi hadir memeriahkan syaqqah 11 yang sunyi sepi ini.. (sempat lagi buat meeting open house WISA). Maaf juga atas layanan, makanan dan kuih muih raya yang tidak seberapa..Hehehe..

>Hidangan ala kadar.. setakat yang termampu< 
>Kuih raya kami<






>Sila jamu selera...<
7 Syawal

    Ke Asrama Darul Aman (Rumah Kedah) Hayyu Sabie' bersama Kak K dan Kak Lynn.. Menyempatkan diri untuk bertemu dengan ibu bapa seorang sahabat yang datang beraya di Mesir demi anak tercinta! Hmmm... Cemburu sedikit melihat sahabat yang sama-sama seperjuangan sejak tingkatan 4 itu. Perbualan rancak bersama makcik yang sudah lama tidak ketemu itu mengingatkan aku pada Mama. Teringat pula ketika mereka bertandang ke Sabah, Abah berusaha sedaya mungkin untuk memastikan mereka tiba juga ke Taman Negara Kinabalu. Aku bertanya pada makcik, "Dok jalan pi mana dah?" Makcik sekadar menjuihkan bibir lantas bercerita. Aku turut kecewa. Pelancongan mereka nyatanya tidak seindah yang digambarkan. Aku pula meringankan mulut untuk berkata, "Awat tak habaq awai.. tidak ada ja orang Sabah boleh bawak pi jalan meqata.." Sahabat menjawab, "Ha'ah la Kinah... tak tepikiaq langsung.. Tanya hang awai lagi baguih noh, dah lah esok nak balik dah.." Sungguh aku mengesan riak kecewa dalam nada suara makcik dan pakcik. Apatah lagi mereka tidak berpeluang untuk menatap sendiri Piramid dan Sphinx yang menjadi kebanggaan rakyat Mesir itu. 

    "Takpa lah makcik, pakcik. Tahun depan mai raya kat sini lagi.. Saya boleh tolong cari orang jadi pemandu pelancong, pasti puaih hati...Hehehe.." Ujarku ketika berpamitan. Makcik sekadar tersenyum dan ada riak berat hati dalam senyumannya untuk melepaskan kepulangan kami.

    Keesokan paginya, aku dikejutkan oleh panggilan telefon dari sahabat itu.. "Kinah.. mak aku nak pi makam Imam Syafi'e, boleh minta tolong kat ustaz yang hang habaq semalam tu?.." Hampir aku terlompat. "Hah??!! Err..InsyaAllah..boleh..boleh.. sat aku nak tanya dia dulu..." Maka aku pun dengan kelam kabutnya menghubungi ustaz yang dimaksudkan (sapa suruh jual nama dia semalam??!!) Hehehe... Kata makan tuan, kan..kan... Apapun..syukran kathiran Akhi... Bantuan dan jasamu ku kenang hingga akhir hayatku... :-)

10 Syawal

    Memulakan projek membuat 7 biji kek lapis sarawak. Eh, bolehkah? InsyaAllah..boleh tu.. selagi ada kudrat, semampu itu lah kami akan terus bekerja kuat... Hihi...


    2 hari aku dan ahli bait bersengkang mata menghadap adunan demi adunan, lapisan demi lapisan yang bakal diterjemahkan menjadi kek lapis sarawak yang hakikatnya kekurangan bahan (ovelette takda lah Mama).

12 Syawal 

    Rumah Terbuka WISA!! Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar dan teratur. Seronok rasa hati melihat ramai akhawat dari BKAN semenanjung bertandang ke rumah Sabah yang agak terpencil lokasinya ini. Rata-rata kagum melihat keadaan dewan yang didekorasi seindahnya (kakak-kakak Sabah kreatif-kreatif belaka!) dan makanan yang menyelerakan (kakak-kakak Sabah masak sendiri tauu.. abang-abang Sabah takda kena mengena!). Bukan setakat semenanjung, akhawat Singapura dan Thailand pun ada juga. Dah tu... ada pula tayangan video iklan-iklan raya yang pernah ditayangkan di kaca televisyen tanah air (rasa macam kat rumah la pulak!). Iklan raya yang aku tengok zaman sekolah rendah pun macam ada juga. Huhu... Memang seronok dan happening sangatlah. Ahli-ahli WISA pula sangat-sangat berkomitmen sepanjang majlis berlangsung, dari tengah hari ke tengah malam bertapa di dewan demi memastikan segalanya berjalan dengan sempurna.. Letih dan penat ditolak ketepi, yang penting kita semua happy dan puas hati!! Yahuu...!!

    Alhamdulillah... "syukur sungguh di hati ini.. dikurniakan teman sejati.. menyuluh jalan dekatiNya..tika diri dalam kebuntuan..betapa aku...lalalala~" (Eh.. apa berkaraoke pula ni?) Huhu... Takpe..takpe.. Jangan mara-mara n jangan sedeh-sedih okey... pengalaman mematangkan dan mendewasakan kita.. Sama-sama ambil ibrah dan pengajaran.. Right?? Right?? (^_~)



 
>Bahagian tengah dewan yang ramai admire< 



>Huhuhu<
>Hidangan WISA... Kerja keras tidak berbelah bahagi<

*****

    Setakat itu sahajalah kot, cerita mengarut dari tukang karut yang gemar mengarut-ngarut.. Lama benor qasanya tak menulis macam ni.. Selalu mature ja kan?.. Hah, sekarang, "Nah, amek kau! Kwaaaii..po...he...po...!!"<Goku Dragon Ball kata. Macam nak balik ke zaman kanak-kanak ribena pulak.. Huhu... Wokehlah... satu tugas dah selesai, tapi ada juga yang belum selesai, dan lepas ni ada tugas baru pula menyusul tiba. (korang suke benar buli aku yang lemah tak berdaya ni kan??) Takpe...takpe... kata sorang ukhti... kita bekerja, biarlah ikhlas kerana Allah, bukan manusia. Manusia memang bisa memuji, namun yang memberi ganjaran pahala itu tiada yang lain selain DIA... InsyaAllah... (^_^)

~Salam Aidilfitriiiii!! Mohon maaf terkasar bahasa, terambik sekupang dua, tertibai tak sengaja, ter..ter..ter... dan segala macam ter... lagi.. MAAFKAN SAYA YAA.. (^_~)

 ~BintulQaryah~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...