Khamis, 23 Februari 2012

~Jom ke kuliah!~

    Musim sejuk menjadi satu cabaran besar bagi kami, mahasiwa mahasiswi yang menuntut di datar benua Afrika ini. Awal pagi terutamanya, hawa dingin yang adakalanya mencecah suhu negatif sememangnya sesuatu yang bukan mudah untuk ditangani. Mengerekot dalam selimut tebal merupakan sesuatu yang paling digemari hinggakan seorang ukhti pernah berkata, "Macam nak angkut stove, periuk nasi, dan pinggan mangkuk sekali dan masak dalam selimut. Sejuk!"

    Kali pertama 'menyambut' ketibaan musim sejuk pada penghujung 2010, aku dan rakan-rakan jadi agak 'teruja' seketika. Dengan penuh bersemangatnya kami membeli selimut tebal dan winter coat berharga murah di pasar Hussein. Ke kuliah dengan pakaian berlapis-lapis, stokin berlapis-lapis hingga ada yang kelihatan 'gemuk'. Selera makan meningkat hingga berat badan naik mendadak. Duit poket pula cepat sahaja susut lantaran hajat perut yang berbeza daripada selalu. Makan, makan, dan makan!

~Awal musim sejuk tahun 2010 (sebelum ke kuliah)~

    Satu masalah utama bagi kami, ketika musim sejuk ialah kesukaran untuk bangun pagi dan ke kuliah. Bagi yang 'determined', musim sejuk bukanlah sesuatu yang jadi alasan. Tapi bagi yang mudah kalah dengan situasi, kehadiran ke kuliah pasti boleh dibilang dengan jari. Bila tidak ke kuliah, tentunya akan terlepas maklumat bermanfaat dan nota-nota penting dari pensyarah. Silap-silap boleh tak tahu bahawa ada tugasan bahas (assignment) yang perlu di submit dengan segera.

    Itulah masalahnya, apabila musim sejuk dijadikan 'musuh'. Musim sejuk di bumi anbiya' ini dijadikan SETERU! Walhal hakikatnya suhu dingin yang mengejangkan urat saraf ini merupakan satu bentuk cabaran untuk menguji sejauh mana kekuatan tekad para mahasiwa/wi untuk terus mengejar dan menuntut ilmu. Andai sahaja suhu dijadikan alasan, ramai pula mahasiswa/wi Malaysia di negara Eropah yang masih ke kuliah dalam keadaan salji tebal yang terus turun dan menutupi jalan-jalan raya. Mesir bukan ada salji pun!

~Musim sejuk di Jordan, bersalji (culik gambar adik, hehe)~

    Jadi, jom ke kuliah! Biarkan sahaja kabus dingin yang sering mentupi pandangan di waktu pagi itu. Abaikan sahaja angin sejuk yang menghembus itu. Perjuangan harus diteruskan, tidak kira dalam musim apa pun, cuaca apa pun. Sudah sunnah orang berjuang, biar apapun rintangan dan duri melintang di pertengahan jalan, tetap akan ditempuhi tanpa rasa gentar.

    Jom ke kuliah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...