Khamis, 11 Ogos 2011

Ramadhanku di Kaherah #5 : Lapangnya...!

Bismillahirrahmaanirrahiim...

    11 Ramadhan 1432 h, terik mentari yang panas membahang tidak lagi dipedulikan. Sedaya upaya langkah dikerah dan diatur , melintasi imarah-imarah coklat berdebu yang tinggi menjulang. Di tangan ada beberapa bungkusan plastik berisi barang-barang dapur. Ketika melintasi sebuah padang hijau, hati berdetik, "Lapangnya....!". Lantas teringat, sejak beberapa hari ini ada rasa 'lapang' mencuit-cuit ulu hati dan rasa 'lapang' itu menzahirkan beberapa makna berbeza.

    Seorang demi seorang terbang pergi. Sunyi teramat rasanya di WYSK ini. Syaqqah ku sendiri terasa 'lapang', sepi. Seketika duduk sendiri di ruang tamu, ada pilu bertandang sebentar. Kalau dulu ada tawa mereka menghiasi pagi dan sore, ada usikan mereka mewarnai siang dan malam. Tapi mereka telah terbang pergi, meninggalkan sementara bumi Mesir yang menanti kepulangan mereka kelak ke sini. Berbaki beberapa hari lagi, nyata di syaqqah ini cuma tinggal kami bertiga. Aduhai sahabat-sahabatku, aku mula rindu...

    Dan yang membuatku terasa 'lapang' juga, apabila kelas tajwid di'cuti'kan beberapa hari. Tapi 'lapang' yang ini memang tidak aku gemari. Tiada apa-apa untuk dikalutkan, tiada apa-apa untuk dikejarkan. Maka aku pun berdiamlah di rumah, berteman dengan mushaf kecil coklat tua dan buku tajwid. Ohh, baru teringat, ada tugasan rupanya... Kurang rasa 'lapang' sedikit... :-)

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran". [al-‘Ashr 103:1-3]

    Hati? Bagaimana? 'Lapang'kah juga? Oh, iya... Hati pun seharusnya 'lapang', seperti padang hijau, WYSK dan syaqqah 11. 'Lapang' hati ini, susah sekali dicari. Sentiasa sahaja ada perkara-perkara yang membuatkan hati gundah gulana, resah dan gelisah. Namun sejak kebelakangan ini, bagai mudah sahaja bibir menguntum senyum, tingkah pun seperti lagak orang ceria. Hati 'lapang' agaknya, Ramadhan yang bertamu bagai mengagah redha dan sabar untuk terus bermain-main di taman sanubari. Jadi, bimbang dan bosan pun terusir pergi. "Selamat tinggal, berseronoklah dengan redha dan sabar itu..." Kata bimbang dan bosan kepada hati..

    'Lapang'.... banyak maksudnya menurut telahan seorang aku. Iyalah, bila mata memerhati, jiwa pun seakan menangkap maksud yang pelbagai, yang datang menjenguk sejenak lantas mengalirkan pengertian berbilang-bilang. Ketika melintasi padang hijau, 'lapang' bermaksud luas. 'Lapang' di WYSK dan syaqqah pula bermaksud sunyi. 'Lapang' kerana kelas tajwid dicutikan bermaksud bosan, dan 'lapang' ketika redha dan sabar bermain di taman sanubari bererti tenang.. Bagi akulah, nyatanya bagi orang lain tidak sama..!

*****
  
    Ramai yang merungut dan mengeluh, panas, letih, bosan! Hahaha... Ramadhan ini, kenapa mahu mengeluh lagi? Kan bagus jika berlapang dada. Panas? Letih? Bosan? Semua pun memahami, cuaca dan persekitaran membuat ramai yang merasa sesak dan geram. Kalau panas, tak perlulah berpayung langit di luar rumah. Kalau letih, kan banyak masa senggang tanpa aktiviti, berehatlah.. Kalau bosan, kalamullah ada, baca dan telaahlah.. Bagi aku, itu penyelesaiannya. Bukan dengan merungut, membebel, mengeluh dan sebagainya. Ramadhan ini, kerja-kerja tidak berfaedah dan mendatangkan kelalaian ibaratnya karat yang melekat di kekili batang pancing. Andai karat tidak dibuang, kekili pun akan rosak dan ikan pahala yang sudah tersangkut di kail amalan pun akan terlepas semula.. 

    Jom berlapang dada, ketika beramal dan ketika diulit masalah. Allah kan ada, mengadulah pada Dia. Nescaya dipermudahkan segala-galanya..

*****
   
Sofyan bin Dinar mengatakan kepada Abu Basyir-salah seorang sahabat Ali bin Abi Talib r.a: "Beritakan kepadaku tentang amal-amal perbuatan umat sebelum kita?” Dia menjawab: " mereka sedikit berbuat, tetapi banyak mendapatkan pahala." Sofyan bertanya: " apa sebabnya?" Dia berkata: "dengan sebab kelapangan dada mereka." (dikeluarkan riwayat oleh Hannad bab: az-Zuhd [2/600])
 
*****
~BintulQaryah~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...