Ahad, 14 Ogos 2011

Ramadhanku di Kaherah #6: Jom jaga HATI

Bismillahirrahmaanirrahiim..

    15 Ramadhan 1432 h, syukur Alhamdulillah masih ada hela nafas tersisa dalam melalui hari-hari penuh barakah di bulan yang mulia ini. Suasana WYSK semakin hari semakin sunyi, dan aku sudah beberapa kali menyaksikan keberangkatan pergi mereka-mereka yang lain melalui jendela syaqqah. Dengan bagasi besar berisi oleh-oleh buat sanak saudara di kampung halaman, mereka tinggalkan sementara bumi Anbiya' yang padat dengan kenangan..

    12 Ramadhan lalu, aku ditaklifkan bersama seorang lagi ukhti untuk mengelolakan program usrah 'Halaqah Saidatina Aisyah' di kediaman ukhti-ukhti comel, Rabaah. Mulanya terasa diri sangat-sangat tidak mampu, namun Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar. Hari itu aku diberi tanggungjawab untuk membawakan beberapa potong hadis, lantas mengupas dan menghuraikannya. Maka melilau-lilaulah fikiran mencari idea, hingga terdetik dalam minda untuk berbicara soal HATI..

*****

Sabda Rasulullah SAW : Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam. Sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hinggas seluruh hatinya menjadi hitam. 
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

    HATI merupakan organ terpenting dalam tubuh badan manusia. Jika dilihat secara kasar,  HATI adalah satu elemen utama yang signifikan dalam kehidupan seseorang insan. HATI berada di dalam jasad, berwarna perang kemerahan dan terletak di bawah diafragma iaitu di dalam rongga abdomen. Secara analogikalnya, HATI boleh diibaratkan seperti raja bagi sesebuah negara. HATI mengawal tindak-tanduk dan tingkah laku seseorang manusia sepertimana seorang raja mengawal negaranya.



    Menurut Islam, HATI merupakan bahagian yang paling murni dan paling mulia yang berada dalam seluruh makhluk hidup yang mempunyainya. Orang kata, ikut hati mati, ikut nafsu lesu. Jadi, ikutlah akal. Namun, para ulama juga membahaskan mengenai tempat letaknya akal. Mereka bersepakat bahawa akal itu terletak di dalam hati, bukannya di otak. Allah Taala berfirman, 

“Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat berakal dengannya.” (QS. Al-Hajj: 46).

   Dalam jiwa seorang muslim, HATI secara kinayahnya bermaksud HATI yang mempunyai roh, jiwa dan perasaan, bukan seketul daging berwarna perang kemerahan semata-mata. Meskipun tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun semua muslim mengetahui bahawa di dalam HATI lah terletaknya IMAN. Bertitik tolak dari IMAN itu pula adanya NIAT, IKHLAS, TAQWA dan sebagainya. Sebagai satu sistem kawalan utama bagi jasad manusia, HATI tentunya memainkan peranan penting dalam menentukan tindak tanduk dan perlakuan seseorang itu. Justeru, apabila jasad dikawal oleh HATI yang didalamnya ada IMAN yakni percaya dan yakin akan zat dan kekuasaan Allah Taala, maka jasad tadi akan melakukan segala perbuatan yang menzahirkan keIMANan yang teguh di dalamnya. Tapi, seandainya HATI dipenuhi oleh titik dosa dan noda, maka jasad pun secara automatiknya akan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah semulajadi seorang hamba yang telah berbai'ah untuk patuh dan taat kepada Penciptanya.

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Sabda Rasulullah SAW : "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka akan baiklah seluruh anggotanya dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Ketahuilah, itulah hati".(muttafaq alaih)

    Bagaimana agaknya rupa HATI yang rosak? Mudah sahaja untuk kita mengenal pasti jasad-jasad yang terdapat didalamnya HATI yang rosak. Kita lihat sahaja pada tingkahnya. Andai akhlaknya cantik bagai mutiara di dalam cengkerang, bersinar-sinar bagai permata terkena panah mentari dan membuat sesiapa yang memandang terasa dekat dengan Allah Taala, maka jelaslah betapa indah kolam HATInya, betapa besar rasa takut dan TAQWAnya. Namun, jika akhlaknya jelik dan menggusarkan, perlakuannya mendatangkan rasa tidak senang hati dan menyebabkan sesiapa yang memandang merasa jauh dengan Rabbul Izzati, tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan HATInya.

    Oleh itu, HATI tidak dboleh dibiarkan mati, rosak, gelap, kering dan buta. Andai perkara-perkara sebegini terjadi kepada HATI kita, fikirkan sahaja bagaimana jasad kita akan merealitikan keadaan HATI kita ini. Mungkin sahaja kita menjadi seorang yang fasik, munafik, malah gemar melakukan maksiat. Tapi, bagaimana mahu jaga hati supaya tidak mati, rosak, gelap, kering dan buta?
  
1. Al-mujahadah (kesungguhan) dalam memperbaiki HATI.
    Allah Taala berfirman,  
“Dan orang-orang yang bermujahadah untuk (mencari keridaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami.” (QS. Al-Ankabut: 69)

2. Banyak mengingati mati dan hari akhirat.

    Rasulullah SAW bersabda :

أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اللَّذَّاتِ يَعْنِي الْمَوْتَ
“Perbanyaklah mengingat penghancur kelazatan, yakni kematian” (HR. Imam Empat kecuali Abu Daud)

3. Bergaul dengan orang-orang yang saleh.

     Dalam hal ini Nabi SAW bersabda sebagaimana dalam hadis Abu Musa Al-Asy’ari :

إِنَّمَا مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَحَامِلِ الْمِسْكِ وَنَافِخِ الْكِيرِ فَحَامِلُ الْمِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الْكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً

“Perumpamaan teman duduk yang baik dengan teman duduk yang jelek adalah seperti penjual minyak wangi dan pandai besi. Adapun penjual minyak wangi, maka mungkin dia akan memberikannya kepadamu atau mungkin juga kamu akan membeli darinya atau paling tidak kamu mencium bau wangi di sekitarmu. Adapun pandai besi, maka kalau dia tidak membakar pakaianmu maka paling tidak kamu mencium bau busuk di sekitarmu”. (HR. Al-Bukhari dan Muslim)

4. Hatinya selalu terkait dengan Penciptanya dan Sembahannya.

    Ibnu Al-Qayyim berkata dalam Al-Wabil Ash-Shayyib : 

“Sesungguhnya di dalam hati ada wahsyah (sifat liar) yang tidak bisa dihilangkan kecuali dengan ketenangan dalam mengingat Allah, di dalamnya ada kesedihan yang tidak bisa dihilangkan kecuali dengan kegembiraan mengenal-Nya, dan padanya ada kefakiran yang tidak bisa dihilangkan kecuali dengan kejujuran tawakkal kepada-Nya, yang seandainya seseorang diberikan dunia beserta segala isinya niscaya kefakiran tersebut tidak akan hilang.” 

5. Amalan soleh dalam semua perbuatan

    Allah Ta’ala berfirman: 
 
“Barang siapa yang mengerjakan amal yang saleh maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barang siapa yang berbuat jahat maka (dosanya) atas dirinya sendiri.” (QS. Fushshilat: 46)

6. Memanfaatkannya (hati) sesuai dengan tujuan penciptaannya.

    Pernah ditanyakan kepada Ummu Ad-Darda` r.a tentang ibadah suaminya yang sering dia lakukan, maka beliau menjawab, “Berfikir dan mengambil pelajaran (darinya).”

7. Berzikir kepada Allah Ta’ala. 
    
    Allah Ta’ala berfirman: 
“Barang siapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Al Qur’an), Kami adakan baginya setan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (QS. Az-Zukhruf: 36) 

 *****
Syeikh Ibni Athoillah Iskandari pernah berkata :
 "Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan, juga tidak menyesal jika terjadi sesuatu perlanggaran dosa."

*****

    Jelas sekali, betapa pentingnya peranan HATI dalam kehidupan seseorang manusia. Sesuai dengan peranan HATI sebagai organ yang berfungsi mengawal aras glukosa darah dengan menyimpan glikogen di dalamnya, HATI juga berperanan penting mengawal akhlak dan perlakuan seseorang manusia. HATI bukan sahaja bertindak menyimpan vitamin dan garam mineral tertentu, bahkan juga HATI menyimpan NIAT tulus beribadah kepadaNya Yang Satu. HATI juga bukan sekadar bertindak menyahtoksik bahan-bahan beracun terutama dadah dan bahan-bahan bernitrogen seperti ammonia serta menyingkirkan hormon-hormon berlebihan, tapi HATI juga berfungsi menyahkan segala sikap-sikap mazmumah yang berkemungkinan besar menjadi hijab doa dan pengaduan seorang hamba kepada Tuhannya. 


    Bersempena dengan Ramadhan al-Mubarak ini, marilah kita bersama melakukan iman check-up, mendidik dan mentarbiyah HATI kita supaya menjadi lebih akrab dengan segala sifat positif seperti sabar, redha dan ikhlas, lebih mencintai Allah dan RasulNya, serta lebih bersemangat dalam mengumpul pahala amal ibadah. Semoga Ramadhan kali ini benar-benar menjadi medan islah sebenar dalam usaha kita menjadi muslim dan mukmin yang lebih baik. InsyaAllah.. Jadi, jom jaga HATI..!!

~BintulQaryah~

   

   

2 ulasan:

  1. akal itu menteri yang menasihati ,hati itu raja yang menentukan,harta itu tetamu yang akan berangkat,kesenangan itu masa yang akan ditinggalkan.

    BalasPadam
  2. Iyaa... hati bagai seorang dara rupawan.. untuk dijaga memang susah, bila diabaikan membawa bencana untuk sesebuah keluarga. Bila si gadis dididik sebaiknya, InsyaAllah membawa bahagia... (^_^)

    BalasPadam

Syukran jazilan atas ulasan anda. Ada masa ziarahlah BQ lagi.. :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...